header-photo

Balik Kampung...


"Helmy takde...balik kampung..."

Anugerah...

Aku sering melihat bulan dan...

Setiap kali aku melihatmu, aku mula mempersoalkan kehadiranku di sini. Kau di sana dan aku di sini. Mengapa?

Hampir setiap kali aku melihatmu, aku terselam ke lembah hati, bertanya dan aku semakin percaya engkau adalah satu titik penanda akan peredaran hidupku ini.

Setiap kali aku melihatmu, aku terlayang ke puncak minda, mahu kepastian dan aku rasai, sebabak hidupku lengkap tersimpan terkunci, namun berputiklah pula babak yang baru, perlu diisi. Perlu diwarnai.

Hidup satu anugerah. Sekeliling kita bermakna, seakan saling berpesanan - mengingatkan. Bisikan hati terjemahan akal mampu meletakkan sesuatu itu di tempat yang sepatutnya - logik. Dan setiap kali aku melihatmu, aku tersenyum...aku tahu kau sedang menyampaikan pesan - anugerah ini tidak selamanya di sini.

Ikan Singgang Goreng

Inilah jadinya bila lama sangat membujang dan sering berangan...

Tadi saya memasak untuk hidangan berbuka puasa. Ini terjadi secara spontan. Tidak ada niat langsung untuk memasak sebenarnya, tetapi dalam pukul 4 lebih saya seakan sudah mati akal tidak tahu apa hendak buat. Masuk dapur, buka peti sejuk...

Ikan Singgang Goreng:

- 5 ekor Ikan kembung beberapa ekor direbus bersama:
- asam keping (seekor ikan 2 keping atau ikut selera tahap kemasaman)
- garam (2 sudu kecil)
- serai
- lengkuas (sebesar syiling 50 sen dipotong halus)

Rebus hingga hampir kering (api jangan besar sangat)

Selepas itu goreng!

Jaga-jaga, dinasihatkan tutup kuali kerana minyak akan sentiasa terpercik.

Masakan ini diajar oleh mantan ibu mertuaku...hehehe

Akan datang: Salmon atau daging Teppanyaki!

Terima kasih...

Saya kira Ramadhan kali ini tidak banyaknya bezanya dengan yang lalu - masa agak lapang dan saya perlu tercari-cari cara mengisinya agar tidak rugi.

Projek buku kerjasama dengan DBP dalam peringkat akhir. Saya hanya perlu tunggu buku siap dicetak, menghantarnya ke Dawama untuk diedarkan dan (ini dugaan) menanti bayaran dari DBP.

Pada awalnya, DBP mahu mencetak antologi cerpen "Dosa Pejuang" sebagai Edisi Khas Sasterawan Negara yang akan diedarkan ke sekolah-sekolah. Bersama dengan karya-karya terpilih (dan tentunya dari penerbitan DBP) lapan Sasterawan Negara yang lain, pihak DBP mahu menggunakan dana yang tersedia ada. Perancangan mereka terhalang sedikit kerana Pak Samad menolak. Pak Samad menyuarakan rasa lukanya kerana DBP tidak memaklumkan penerbitan "Dosa Pejuang" yang tiba-tiba didapatinya sudah berada di rak-rak kedai buku dan yang anehnya beberapa bulan selepas itu baru kontrak sampai untuk ditandatangani.

("Dosa Pejuang" yang terdapat di pasaran sebenarnya sehingga kini kontraknya tidak ditandatangani dan TIDAK AKAN ditandatangani oleh Pak Samad. PaK Samad cuma mengutuskan sepucuk surat menyatakan rasa hati dan pendiriannya bersama kontrak yang tidak ditandatanganinya. Namun, dalam surat tersebut, Pak Samad membenarkan juga penerbitan itu (dengan beberapa syarat) atas sifat setiakawan.)

Selepas beberapa pertemuan, akhirnya mereka bersetuju dengan saranan kami: "Rindu Ibu". Buku yang pada mulanya dipersetujui jumlah cetakannya sebanyak 5,000 naskah akhirnya terpaksa dikurangkan kepada 2,700 naskah - kerana dana tidak mencukupi.

Ini menimbulkan sedikit masalah kerana harga yang kami sebutkan (dan dipersetujui DBP) adalah berdasarkan kepada sebutharga pencetak (yang memberi sebutharga berdasarkan 5,000 naskah).

Bagaimana?

Mudah sebenarnya. Rezeki jalan ditolak. Musuh jangan dicari....

Rinduibu3

Ini untuk Edisi Khas Sasterawan Negara.




Cover_edisisantai
Dan ini untuk kami - Edisi Santai - yang akan dijual di pasaran dalam lingkungan harga antara RM12-15 (perlu lakukan perkiraan semula kos).



Itu jalan penyelesaian yang saya ambil. Cetak 5,000 naskah - 2,700 untuk DBP dan 2,300 untuk Wira Bukit. Bezanya cuma kulit. Isi sama. Kos cetak kekal seperti yang telah disebutkan pencetak. Tidak perlu saya menyusahkan DBP dan sakit kepala dengan kos tambahan jika dicetak hanya 2,700 naskah.

Kini, saya ada masa untuk masak (ya, saya boleh memasak), membaca, menulis, mencari peluang-peluang perniagaan dan seperti Ramadhan yang lalu, membaca terjemahan Al-Quran serta menambah - semampu dengan izinNya - bekalan masa hadapan.

Saya perlu bersyukur...terima kasih kepadaNya, DBP dan Dawama.

*Kelak saya ceritakan tentang resipi-resipi masakan saya...hehehe.

Salam Ramadhan.

Aku perlu...

Ramadhan ini aku perlu:

- tidak berbelanja ikut nafsu (terutama bila ke pasar Ramadhan):
- Tiada baju raya baru - gunakan yang lalu
- berhenti makan sebelum kenyang
- gandakan bekalan akhirat:
- beribadah
- bersedekah
- kurang bercakap - tambah ilmu
- potong rambut - lagi
- selesaikan OTI
- menjalin dan menyuburkan silatulrahim

Itu yang disemat dengan harapan yang "molek" itu sebati dalam jiwa...

Ramadhan

Sebaik meletakkan cawan kopi di meja, dia mengeluarkan buku nota dari dalam beg galasnya, menguak sedikit kerusi, duduk, mencapai pen di kocek bajunya dan mula memandang langit yang biru petang itu.

Langit yang kebiruan itu seakan memukau. Dia terlayang. Sepanjang ingatannya, Ramadhan bukanlah sesuatu yang dinantikannya. Dan ingatannya itu tidaklah jauh sangat; lebih kurang bila semuanya bermula. Semuanya itu bermula apabila Ramadhan hadir dua tahun yang lalu dan itulah sejauh mana kemampuannya mengingati apabila Ramadhan hadir dan ia bukanlah sesuatu yang dinantikannya.

Ia bukan mengenai makan, minum atau merokok. Ia tidak pernah mengenai perkara yang sebegini. Aku sudah biasa makan sekali sehari, malah sudah menjadi tabiatku untuk makan sekali sehari, andai melebihi, itu adalah satu hari yang agak mewah padaku. Rokok yang dikatakan mencuri dua mungkin tiga minit nyawaku ini juga tidaklah begitu memberi masalah. Ia tidak mengenai perkara sebegini setiap kali Ramadhan hadir. Tidak pernah.

Perasaan yang melanda menyatakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri ini. Dia terasa kehilangan. Tidak, dia amat merasai kehilangan. Dia rasa kekosongan itu. Kehilangan, kekosongan…kesepian. Dan kesepian itu setia benar bermaharajalela apabila tiba Ramadhan. Setiap kali Ramadhan hadir, dia mula merenung dirinya sendiri. Mencari dan cuba-cuba mahu meyakinkan diri. Bertanya, mengapa dirinya begitu? Merasai dan menguasai sekali dirinya itu. Dia merasakan dirinya itu seorang insan yang sensitif, terlalu!

Namun ia tidaklah seburuk yang disangkanya – dia sedar, setiap kali pertimbangannya normal. Dia tahu dia begitu kerana perasaannya yang nakal mengusik-usik saja. Tetapi, dia merasakan, itu seakan satu sumpahan baginya kerana setiap kali Ramadhan hadir, dia jadi begitu. Merasai Ramadhan itu dan kerana itu dia rasa begitu. Ramadhan adalah satu bulan yang ingin dielaknya – walaupun dia tahu, ia sesuatu yang mustahil. Dia disumpah! Ia nemesisnya! Jauh mendap dalam hatinya, dia tahu, itu haknya …dia harus menghadapinya walaupun hatinya itu amat berat sekali mahu menerima.

Hari itu cuaca mendung. Dia duduk bersandar disisi tiang katil merenung udara yang seakan melakarkan sesuatu. Mungkin saja dia dapat melihat angin yang agak lembut beralun berlalu. Mungkin juga dia sedang berkhayal memikirkan tentang sesuatu. Namun, dia seakan mengetahui, apa jua yang direnung atau fikirkannya itu bukanlah sesuatu yang ringan dan indah. Wajahnya itu menyatakan segalanya – ia sesuatu yang berat, mungkin meyakiti atau mungkin saja hidupnya tiada warna.

Berkali Jamal berulang-alik masuk dan keluar bilik melihat dia masih begitu. Jamal kebiasaan agak sibuk di hari sebegitu – hari isteri cuti – dengan memasak dan buat apa yang patut untuk berbuka puasa. Ingin dia bertanya, tetapi dia tidak mahu pertanyaannya itu menjadi satu perbualan yang akan terpaksa dirinya hentikan berulang kerana dia masih belum selesai dengan tugasannya. Lagipun mesin basuh itu akan selesai membasuh – buat kali ketiga dan terakhir – sebentar lagi dan dia harus pula menjemur apa yang dibasuhnya itu. Tapi, dia bertekad, setelah semuanya selesai, dia akan duduk disisi isterinya itu dan bertanya. Dia seakan tahu, itu kemahuan isterinya itu. Dan dia juga seakan tahu, isterinya itu juga berfikiran sepertinya; tidak mahu perbualan itu terganggu oleh kerja yang sedan di lakukannya itu.

Sudah tiga Ramadhan hadir semenjak hari itu. Sering lahir rasa penyesalan kerana Dia melakukan apa yang dilakukannya hari itu – duduk dan bertanya kepada isterinya itu. Satu kesilapan besar – itu yang dirasakannya. Dia tidak harus bertanya. Mungkin lebih baik andai hari itu dibiarkannya berlalu begitu saja. Siapa tahu, mungkin keesokan hari hati isterinya itu tidak seperti hari itu. Siapa tahu? Mungkin juga apa yang dia anjurkan pada isterinya itu memerangkap dirinya sendiri. Dia memerangkap dirinya sendiri! Apa lagi yang lebih buruk dari seorang lelaki yang memerangkap dirinya sendiri? Menggeleng perlahan…dia tidak mahu memikirkan tentangnya – dia tidak mahu menerima bahawa dialah yang menanam dirinya sendiri dari lubang yang galinya sendiri.

Infiniti…itulah yang rasakannya. Dia sering merasa begitu. Infiniti.

Dia kehilangan semuanya pada Ramadhan dua tahun yang lalu. Mungkin tidak kesemuanya, tetapi sekurangnya itulah yang dirasaikannya pada waktu itu. Tiada yang lebih buruk dari itu, sekurangnya itulah yang dirasai – pada waktu itu. Dia mengetahui dan melihat perkara sebegini berlaku di sekelilingnya, tetapi tidak pula mengerti mengapa ia boleh melanda dirinya dan sering bertanya pada entah siapa, “Kenapa aku dalam berjuta yang lain?” Hidupnya penuh dengan persoalan yang tidak mampu dijelaskannya. Persoalan yang tidak henti menyerang hati yang entah dari mana datangnya. Mungkin itulah yang dikatakan krisis pertengahan kehidupan – krisis yang mencetuskan seribu persoalan tanpa undangan dan sekeliling melihatnya seperti seorang yang kehilangan arah dan sesekali dia juga merasakan dirinya itu begitu – kehilangan akal. Lantas dia sering bersendirian. Melihat udara yang seakan melakarkan sesuatu untuknya. Begitu sepanjang waktu hingga dia tersedar, dia sebenarnya bukan sendirian. Dalam masa begitu, dia berdepan dengan seseorang. Yang termendap dalam hatinya itu semakin berani kerana tidak henti bertanya seakan menuntut penjelasan. Bertanya tanpa jemu dan walau apapun jawapan yang diluah atau terluah, dia tahu ia tidak menepati kerana selepas itu yang mendap itu tidak lagi mendap. Terulang pertanyaan itu dan ini. Perjalanan hidupnya menjadi songsang. Siang itu malam baginya. Apa yang benar itu kini salah dan dirinya itu hilang pertimbangan. Dan seperti yang telah diperkatakan, waktu sebegitu, dua tahun yang lalu, dia sedar, dirinya tidak keseorangan kerana dirinya sendiri mula menyoal dirinya sendiri. Mungkin dia terlalu terpesong akan erti kehidupan itu dan tidak mempercayai apa yang menimpa dirinya itu satu kenyataan. Bagaimana sesuatu yang teguh itu begitu rapuh? Dirinya berkata, “Apa yang kamu rasai dan lihat itu tidak menyatakan segalanya. Aku tahu kerana waktu sebegini dua tahun yang lalu aku melaluinya. Dan setelah beribu batu aku berjalan – selama dua tahun itu – aku merasakan hidup ini terlalu berat buatku. Aku rasa diriku ditipu. Masakan tidak, aku hanya menemui persimpangan yang sama setelah begitu lama berjalan mencari pengertian dari apa yang melanda. Dan kini, aku dipersimpangan yang sama apabila aku bermula dua tahun yang lalu. Apakah semuanya ini?”

Hari ini Syawal hadir. Takbir berkumandang dari semalam entah dari mana – mungkin televisyen, mungkin ada yang bertakbir melalui depan rumahnya atau mungkin itu hanya satu khayalan. Dia memandang sekeliling, dalam biliknya itu – tiada siapa. Anaknya tiada. Bekas isterinya menjemput anaknya semalam. Semalaman tidurnya resah walaupun penuh terisi dengan rasa kekosongan sehinggakan dia sendiri tidak pasti samada dirinya itu tidur atau hanya berkhayal. Tidurnya kerap terganggu oleh entah apa kerana dia kerap tersedar dan setiap kali begitu, dia merasai kekosongan yang menyelubungi dirinya itu. “Mungkinkah perasaan kekosongan mampu mengganggu tidurku?” dia tergeleng perlahan. Dia terpaksa menelan apa dirasai setiap kali tersedar – “Aku keseorangan di rumah ini dan takbir itu tidak henti seakan jarum-jarum menusuk-nusuk jiwaku ini.”

Dia tidak mengerti mengapa di hari itu dirasainya begitu. “Bukankah ia satu hari di mana kita harus bergembira? Mengapa aku berduka? Tidak…mengapa aku diletakkan dalam keadaan begini di hari yang sepatutnya kita gembira merayakan?” Jiwanya memberontak, menyatakan betapa dirinya itu tertekan, resah dan amat tidak berpuas hati terhadap ini semua. Dirinya dirasakan tidak diadili seadilnya. “ Tidak cukupkah dengan apa yang telah aku lalui sebelum ini? Mengapa aku?” Agak lama duduk termenung…di dalam masjid itu walaupun khutbah telah lama selesai. Akhirnya dia tersedar, tidak ramai yang ada. Dia juga sedar, pipinya basah. Dia merasa…hatinya itu diserang jarum-jarum. Tidak dia tahu mengapa dia. Tidak dia tahu adakah wajar dirinya diletakkan dalam keadaan itu. “Adakah aku berhak atas segala ini?”

Itu pertama kali dia menyambut Syawal keseorangan dalam hidupnya. Ya, pertama kali dalam hidupnya itu. Keseorangan di rumah, duduk di meja melihat kuih-kuih raya di dalam bekas yang tersusun ditengah meja sambil memakan ketupat dan rendang yang ditinggalkan sedikit oleh ibunya yang pergi ke Singapura bersama keseluruhan ahli keluarganya kecuali anaknya yang ada bersama bekas isterinya di rumah bekas emak mertuanya. “Mereka di sana dan aku di sini. Keseorangan…”.

Melihat budak-budak yang berlalu-lalang berkumpulan memberi salam di rumah-rumah berdekatan, dia yang berada di bilik sengaja menutup rapat pintu dan tingkap rumah. Sesekali mengintai dari celahan tingkap bilik. Dia tidak mahu melayan mereka. Dia rasa dia tidak mampu melayan mereka. Biarlah dirinya begitu. Keseorangan dan cuba merayakan hari itu sebagaimana yang mahu dia rayakan.

Kini dia diletakkan kembali dalam situasi yang dia alami setahun yang lalu. Ramadhan kembali dan segala yang dilaluinya pada Ramadhan yang lepas kembali menghantui. “Mengapa ia hadir semula dengan begitu cepat sekali?” Semakin tua Ramadhan itu, semakin terasa hirisan di hati melebar. Dia takut menghadapi hari itu. Hari di mana dia duduk sendirian di masjid, menunaikan sunat Aidilfitri, bertakbir, mendengar khutbah dan…

Jamal tidak tahu bagaimana akan dia hadapi semua itu lagi. Dirinya hampir kehilangan segalanya Ramadhan yang lalu dan keadaan masih begitu pada Ramadhan yang ini. Syawal itu adalah klimaks pada perasaannya. Ia benar sesuatu yang mendukakan. Walaupun hidupnya kini amat berlainan. Dia telah atasi kelukaan berpisah itu dan kini dirinya sudah ada pengganti. Namun dia tahu, Syawal ini, dia akan keseorangan lagi…

Dalam kehidupan ini, kita tidak terlepas dari dugaan. Aku mula memikirkan tentangnya - mungkin kerana kesempitan yang dilalui. Dan aku sedari, setiap kali aku bernafas, diri ini dikurniakan dengan dua perkara: Rezeki dan dugaan. Mungkin ada yang menyangkal, tapi itulah yang aku rasai sekurang pada waktu ini – ya, di Ramadhan ini. Tuhan itu Maha Berkuasa. Setiap kurniaannya pada kita pasti ada lawannya. Itu sifat kita – kita sebenarnya tiada jika tiada sifat berlawanan itu. Ia bukan tentang kau dan aku. Ia tentang aku dan aku dan kau dan kau. Aku yang ini dipandangan insan dan aku yang itu pada bisikan hati insan-insan itu – wujudlah aku ini, begitu juga sama dengan kau.

Ramadhan ini, aku sedar yang aku sebenarnya berhadapan dengan diriku sendiri. Hatiku ini banyak berkata, tapi kali ini dia berkata tanpa dibuai bisikan. Segala yang aku rasai adalah aku yang sebenarnya. Baikku adalah aku dan jahatku adalah aku…yang sebenarnya. Itulah kelebihan bulan ini. Tuhan memberi kita peluang untuk kita menilai siapa kita ini sebenarnya kerana di bulan ini, si pembisik itu tiada. Niat ini, rasa ini dan perbuatan ini adalah aku. Imanku jelas kelihatan dan aku agak sedih, masih terlalu banyak yang perlu aku lakukan dalam masa yang agak suntuk ini.

Ramadhan ini, aku berezeki kerana diberi peluang melihat tahap keimananku sejelas aku berdiri dihadapan cermin dengan pelbagai dugaan yang hadir. Maha Suci Allah yang Maha Mengasihani memberi kurniaan ini kerana sekali lagi memberiku peluang memperbaiki apa yang perlu dibaiki sebelum aku hadir sebagai Pengasih padanya dan bukan sebagai Pengkhianat. Di Ramadhan ini, aku ini adalah sebenarnya aku dan aku berdoa agar hatiku ini tidak dinodai…oleh diriku sendiri. Ahhh, aku benar rasa diri ini kecil, sekecil kuman yang tidak mungkin dapat aku lihat dengan mata kasarku. Sekarang andai aku sekecil kuman, masakan aku dapat melihatnya? Innalillah…

Jamal menutup buku notanya. Diselitkan pen di saku bajunya. Memandang langit yang jingga, “Esok lusa Ramadhan…,” hatinya berkata dan dia mengangguk perlahan dalam suasana yang aman.

*Antologi Cerpen - "Jamal"

CSRO

Membaca "Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus" adalah satu kesilapan - buat diri saya. Dalam saya "ralek" merenda OTI, CSRO muncul dan keralekan itu seperti belon yang ditusuk pin.

Kembara ke utara mahu saya isikan dengan menebas "lalang-lalang" serta semak OTI dan Nisah Haron perlu menghadiahkan sebuah buku terbitan sulung syarikatnya (Ujana Ilmu) dan itu benar merangut niat awal saya itu. Namun, saya berterima kasih kepadanya dan NYA kerana pustaka ilmu itu bertambah.

OTI harus bersabar dan disabarkan dan kini fikiran saya "nakal" melakar situasi Sangkuriang dan Oedipus berhadapan dalam sebuah gelanggang di atas sebuah gunung dengan tangan masing-masing menggenggam sebilah lading...ah indahnya akal yang dibiarkan melewati batasan kewarasan.

Antologi cerpen Nisah Haron - Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus - boleh dimiliki (dan dicabar membaca serta memahaminya) di www.ujanailmu.com.my.

Ok...Pinkie dan Nyai memerlukan saya kini..salam.

Mencari Wahah...

Sabtu lalu Pak Samad dan saya bertemu Lina di sebuah kafe di Subang Parade. Lina tidak segan minta bimbingan dan nasihat dan kami amat selesa dengannya kerana menganggapnya sebahagian dari keluarga kami.

Dia dalam kesulitan - sesuatu yang sebenarnya telah dijangka oleh kami. Dia patut berada dalam kesulitan. Setiap perniagaan seharusnya berintangan. Ia bukan tentang bagaimana perniagaan itu berjalan. Ia tentang bagaimana anda menjalankan perniagaan itu. Daya tahan dan kepercayaan itu penting. Saya tahu, empat tahun saya di "padang pasir" mencari wahah.

Sebuah syarikat penerbitan perlu ada koleksi buku-buku yang diterbitkannya. Penerbitan yang pertama seakan kita mencapai puncak pendakian dan mendapati ada lagi puncak yang perlu didaki. Dengan peralatan yang terhad, kepercayaan itu memainkan peranan agar kita tidak berputus asa.

Dan dalam perjalanan kita itu, sesekali terdengar suara-suara sumbang yang entah mengapa mencemuh usaha yang baik ini.

Saya terkilan dengan "Orang Besar" di DBP ini sebenarnya. Semenjak dilantik, sudah dua kali saya terasa dicemuh. Nasib juga pengalaman lalu mengajar dan saya menolaknya ketepi. Dia "terlupa" agaknya peranan dan tanggungjawabnya di DBP serta erti dan nilai persahabatan yang terjalin antara dia, arwah dan Pak Samad.

Kepada Kak Lina, saya harap bersabarnya. Inilah masanya untuk kita belajar tentang kehidupan - siapa kawan ketawa dan siapa (bukan lawan) kawan setia. Mana realiti dan mana halusinasi. Kak Lina perlu bersabar dan ini akan membina jatidiri untuk kita berjaya.

Seperti yang saya katakan, apa yang kau fikirkan tidak penting bagiku...jangan biarkan suara sumbang itu menyumbang...

Sukan

Dia menelefon saya hari itu! Perak bertemu Perlis! Bla bla bla...saya hanya mengiyakan hingga saya rasa dia sendiri bosan dengan bla bla blanya itu. Selepas beberapa purnama saya "aman" darinya, dia, entah mengapa rasa perlu menghubungi. Mungkin dia rasa yakin - terlalu agaknya. Mungkin malam sebelumnya dia bermimpi didatangi seorang tua yang rambut, misai dan janggutnya putih panjang mengurai memakai jersi Perak, topi Liverpool dan menaiki kereta Ferrari. Saya faham mengapa dia terlalu ghairah. Isterinya mungkin mengenali sukan dengan congkak, konda-kondi, bolajaring dan artis-artis AF berlumba dalam guni di sukan hari keluarga Astro.

Minggunya mungkin terubat sedikit dengan kemenangan Ferrari (MS umumkan persaraannya dalam dunia F1 akhir musim ini) setelah Perak bungkus dan Liverpool berkhayal memikirkan mereka masih gergasi dan sedang bermain dalam era 70-80an.

Sehingga saat ini, saya masih menanti kalau-kalau dia sudi menelefon atau sms saya, tetapi itu sebenarnya satu "angan-angan". Saya tahu, dia muram, tetapi saya harap dia sekurangnya tahu siapa pengurus pasukan sokongannya itu kini...

Kemuncak minggu sukan saya:

1. Perlis melangkah ke Final
2. Arsenal seri
3. Liverpool kalah 0-3 kepada Everton
4. ManU menang 1-0 dan bertahta di EPL
5. MS & Ferrari menang
6. MS umumkan persaraannya
7. Kimi Raikonen menggantikan MS musim hadapan
6. Sharapova juarai Terbuka US

Biarkan saya menikmati rasa "aman" minggu ini...

Biarkan aku...

Saya masih belum bangun dari dunia Redang. Sebenarnya saya enggan bangun. Tetapi setelah "bercuti" hampir lebih seminggu, dunia realiti (dunia ciptaan manusia) menggigit dan tersedar beberapa perkara:

1. Ansuran kereta
2. Servis Penting Kereta - 80,000km
3. Insuran dan Cukai Jalan Kereta
4. Yuran Semester Firdaus
5. Ramadhan dan Syawal

Melihat dompet, kocek, bawah bantal dan tilam, bawah kerusi kereta (saya terkadang menyimpan duit di tempat pelik) dan di bank, saya kira nombor 4 dalam senarai itu yang perlu saya usahakan.

Saya boleh "sorokkan" kereta dan sekaligus boleh lupakan seketika ansuran, servis, insuran dan cukai jalan (ah, macam tak biasa buat pula!). Lagipun semasa Ramadhan, aktiviti Pak Samad tidak banyak, kecuali menghadiri majlis-majlis berbuka puasa.

Dengan beberapa "projek" sedang berjalan, saya pasti (insyaAllah) Ramadhan itu sesuatu yang ranum dan Syawal itu manis rasanya.

Saya tidak mahu bangun dari dunia Redang, tetapi gigitan realiti kehidupan terlalu sakit saya rasai. Ini adalah salah satu hari Isnin yang "payah" sekali buat saya. Menyelak diari, berikut aktiviti minggu ini:

1. 13-14 Kangar Perlis
2. 15-17 Ipoh - Lantai T. Pinkie

Meter kereta 78900. Perjalanan pergi dan balik saya jangka dalam 1,200km. Agaknya (harapan!) penjualan buku-buku di LTP memberangsangkan.

Harapan Isnin depan:

1. Yuran semester Firdaus (kalau tidak maknyalah kena bayar...hehehe)
2. Servis kereta
3. Ansuran kereta
4. Insuran dan cukai jalan.

Ini memerlukan jualan buku melebihi 100 naskah dalam masa 3 hari...ah realiti benar menelanku semula...

Mencari Santiago Di Redang

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Namun, suasananya itu berdikit tersuluh bak terbitnyaR17 matahari hingga saya kerap terhayal dan saya menjumpai diri saya sendiri.

Ada sesuatu tentang laut. Isinya jika tersuluh cahaya memberi definasi sebenar erti warna itu. Dan saya sedar juga dasar dan isinya itu lebih berwarna. Dengan kegarangan warna-warnanya dari isinya itulah yang menghayalkan saya.

R33 Suasana laut dan pantai itu mempengaruhi. Saya terlupa erti keindahan itu sehingga saya terlihat jaluran warna biru yang menandakan sempadan kedalaman laut itu beserta dengan terbitnya sang suria yang berdikit mencorak-corakkan warna alam.

R21 Di Redang, saya merasai udara yang disedut. Saya menutup mata dan tergetar urat-urat tubuh yang membangkitkan rasa yang telah lama terlupa.

Inilah keindahan "sebenar" ciptaan yang Maha Esa. Sudah terlalu lama saya diracuni keindahan ciptaan manusia dan saya perlu kembali.R20

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Sebaliknya, saya bertemu diri saya sendiri...

*Santiago - The Old Man & The Sea.

Teman Yang Pergi...

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian seorang yang saya kenali. Kami pernah bersama dalam era 70an sewaktu keluarga kami sering bertemu. Sebaik terdengar beritanya yang dibunuh kejam, saya agak tergamam dan fikiran menyelak silam mencari bab-bab di mana kami pernah bersama.

Sewaktu mengikuti berita di TV3 pada sebelah malamnya, wajahnya langsung tidak saya kenali. Malah abang, ibu dan bapanya juga tidak begitu saya kenali. Memang terlalu lama sudah kami tidak bertemu. Saya kira hampir 30 tahun! namun, saya masih terkenang waktu-waktu kami bersama. Dia, abangnya dan saya sering "bermain" bersama bila keluarga kami bertemu. Kami dalam dunia kami sendiri sehingga tiba waktu untuk berpisah. Dan kali ini "perpisahan" itu termenterai setelah tergantung lama.

Saya tidak dapat meleraikan kekusutan di kepala - mengapa manusia begitu kejam. Bila nafsu mengatasi akal kita tercampak ke alam yang tercemar. Dan kita tergeleng tidak mempercayai manusia boleh melakukan perkara-perkara yang tidak terfikir selama ini - sekurangnya dalam masyarakat kita ini.

Selamat tinggal sahabatku...

Al-Fatihah buat Allahyarham Shahman Nasution - semoga dicucuri rahmat dan tergolong dalam mereka yang beruntung.

Nota K&A II

3 nov 06 - lewat malam dia berbicara dengan langit malam. Menyampai rasa hati dari sebuah jiwa yang tersiksa pada hiasan langit malam, bulan dan bintang-bintang. Setiap malam keluhan batinnya mendersik sesekali menderu, tetapi mendayu-dayu ke langit malam, mengadu pada bulan dan bintang-bintang kerana dia perlu didengari...

Satu hari bila keluhan mendersik yang sesekali menderu, tetapi mendayu-dayu itu tiada...jiwanya aman...akhirnya.