header-photo

Celupar

Saya pernah celupar dengan kenyataan, "Saya tidak menulis untuk menang dan andai karya saya memenangi apa-apa hadiah, akan saya tolak (dengan berbudi bahasa tentunya!)." Ini berlaku pada satu temuramah dengan akhbar Berita Harian beberapa tahun yang lalu dan sekaligus ada menimbulkan sedikit keresahan atau mungkin salah tafsiran akan kata hati saya waktu itu. Reaksi dari temuramah itu ada yang bising mempersoalkan bagaimana saya mendapat publisiti sedangkan karya-karya saya yang diterbitkan di media cetak boleh dibilang dengan jari (dari satu tangan dan anda pilih sendiri dari tangan belah mana).

Saya berhenti menghantar karya saya ke media cetak selepas itu.

Saya tidak mengerti mengapa perlu ada suara-suara yang sumbang (pada pendengaran dan pemahaman saya) itu dan sehingga kini walaupun sudah beribu kali memikirkan tentangnya, saya masih tidak mampu menghadam.

Sebenarnya, keceluparan saya itu adalah reaksi - saya terdengar beberapa rakan penulis yang berbincang tentang apa dan bagaimana perlu mereka berkarya untuk berpeluang memenangi hadiah dalam satu peraduan. Tidak, saya tidak sama sekali fikir itu menyalahi. Saya maklum dunia penulisan sastera Melayu sesuatu yang kompleks sehingga kompleksitinya mampu mengkomplikasikan minda pembaca dan kerana itu agaknya usaha yang dilakukan - menulis - tidak seimbang dengan hasilnya. Seorang anak kecil di satu belah dan seorang dewasa di belah berlawanan semasa menaiki jongkang-jongket, anda pasti tahu yang mana satu usaha dan yang mana satu hasil jika bercakap tentang sastera Melayu. Jadi, saya faham mengapa hadiah itu penting. Mana tahan makan ikan kering setiap hari? Sesekali hendak juga merasai daging atau ikan terubuk.

Saya faham juga memenangi sesebuah hadiah itu satu pengiktirafan akan kualiti sesebuah karya itu dan jika bernasib baik, kuantiti jualan buku juga akan naik - sedikit. Saya faham. Masalahnya, saya adalah saya. Memang saya dibesarkan begitu. Saya membawa pemahaman yang berlainan. Mungkin juga mula menulis pada usia lewat membentuk pemikiran saya sebegitu rupa...atau mungkin saja saya anak Sasterawan Negara dan merasai mustahil ada dua Sasterawan Negara dalam satu keluarga! (Tapi, maaf, saya berseloroh. Itu tidak mustahil kerana itu bukan hadiah, itu anugerah.)

Dalam kehidupan ini, terkadang tidak mampu saya menepis perasaan kecewa menjadi anak seorang Sasterawan Negara. Setiap karya yang saya lahirkan akan dibuat perbandingan. Malah saya sendiri terkadang tidak mampu menepis diri dan terperangkap dengan membuat perbandingan yang sama dan kerana itulah juga sehingga kini banyak karya-karya saya yang saya pendamkan dalam komputer saja. Sedangkan baru ditemuramah sudah bising ("Maklumlah anak SN, sebab itu dapat publisiti," kata mereka.) apalagi jika ada karya yang diterbitkan.

Saya seorang yang sentiasa positif.

Akhir-akhir ini saya merasai bahawa saya sudah bersedia. Saya sudah tiba di persimpangan dan saya pasti jalan sastera Melayu itu akan saya susuri.

Saya tidak akan menulis untuk menang dan saya tidak akan menerima hadiah andai menang - pendirian saya tentang itu mono - TIDAK.

Persoalannya kini, siapa pula yang hendak terbitkannya? Dan, bila bercakap tentang terbitkan karya sendiri ini saya terdengar pula, "Masuk bakul angkat sendiri..." Tapi, anda fikir saya peduli apa yang akan mereka fikirkan itu kini?

Saya hanya mahu menulis...

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

*Terima kasih pada anugerahNYA, isteri yang dipaksa memahami, anak yang sering memancarkan inspirasi, ibu dan bapa yang telah menatah satu tahap yang tinggi, sahabat-sahabat (penulis) yang menasihati dan merangsang, sahabat-sahabat yang setia melayani dan dunia sastera Melayu yang lesu tetapi aneh hebat mencabar diri.

Bukit Gantang

Sedang duduk santai menonton F1, fikiran saya melayang dan mencecah-cecah masa-masa yang silam.

Saya teringat kali pertama memandu ke Kangar. Jalan itu seakan tiada penghujungnya! Rasanya terlalu lama dan berkali terpaksa berhenti merehatkan otot-otot yang kelesuan. Dan kerana itu, masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kangar mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam.

Fikiran saya terlayang pula pada perjalanan yang baru saya tempuhi tadi. Lebuhraya agak sibuk. Mungkin kerana esoknya sekolah bermula dan seperti biasa semua mahu kembali ke destinasi masing-masing. Bertolak dari Kangar jam 11.55 pagi. Berhenti rehat 30 minit di Bukit Gantang ("Pit-Stop" pilihan) dan tiba di Kuala Lumpur 4.30 petang.

Empat jam tigapuluh lima minit! Itu bukan satu rekod kerana waktu tsunami melanda, saya pernah memandu dari Kuala Lumpur ke Kangar dalam masa empat jam (dengan mengekori "outrider" polis dari Rawang hingga Juru). Namun, kali ini lain sikit. Dengan lebuhraya agak sesak dan cuaca yang kerap bertukar, perjalanan kali ini sebenarnya mengambil masa empat jam lima minit selepas ditolak masa berhenti rehat.

Saya tergeleng. Lebih 550km... Saya juga tahu ada seorang rakan yang mengambil masa tiga setengah jam untuk perjalanan yang sama. Saya tergeleng lagi...

Saya terbayang, dalam kelajuan 160km tiba-tiba tayar depan meletup...

Saya terbayang isteri di sebelah, saya tergeleng tidak mampu memikirkan tentangnya.

Saya terfikir tentang anak...

Ingatan mencecah pada ibu, bapa...keluarga...dan saya perlu mengekang diri...

Saya tahu ajal datang dalam pelbagai bentuk dan cara, tapi kemalangan dan penyakit (yang berkait dengan nikotin dan tar) adalah bentuk dan cara yang mahu saya elakkan.

Saya perlu mengekang diri dari perkara-perkara bodoh seperti ini...saya perlu mengekang...

*Bila sudah menjadi kebiasaan, kita bisa saja "take things for granted".

**Maaf, saya tiada ide tajuk...

Dunia Synflex

Pagi ini saya terjaga dari tidur dengan sebelah urat-urat kepala saya dicengkam raksasa bernamaOlympus1_177_1 Migraine. Mahu saja menelan sebiji Synflex (550mg), melembabkan kepala dan muka dengan air, menutup tingkap-tingkap dengan langsir dari dimasuki cahaya dan berhibernat, tetapi hari ini ada satu perkara penting yang perlu diselesaikan dan terpaksalah saya lupakan hasrat dan memulakan hari saya - Ah...terkadang saya benci Isnin...tidak, saya benci hari-hari yang saya terjaga dari tidur bersama Migraine!

Olympus1_179 Sebaik membuka komputer, benda ini menarik perhatian. Ada sesiapa yang tahu bagaimana menggunakannya? Saya tahu ini "Switch" berjangka, tetapi saya terlalu malas mahu memikirkan tentang bagaimana mahu menggunakannya kerana telah berkali saya putar dan pulas tetapi ia bagai tidak menuruti kata atau kemahuan saya. Ada sesiapa yang tahu?

Olympus1_172 Dalam jemari sibuk menekan kekunci, saya seakan merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya rasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan saya. Melihat sekeliling, Velvet sedang tidur di kerusi kesayangannya dan Chloe di lantai bawah kerusi. Pandangan saya terhenti sebaik terpandangkannya...

Olympus1_173 Mengapa dia tidak mendengar kata saya? Bukankah telah saya larang? Meletakkan pokok pasu bunga di luar - diatur sederet kerana itu saja corak yang boleh, ah jika ada angin kuat yang bertiup dan ada anak-anak yang bermain di bawah - saya kira kita akan bangkrap disaman atau lebih buruk dihukum penjara!

Olympus1_174 Mengapa terkadang pasangan anda tidak mendengar kata? Lihat saja cermin itu yang kotor...tidak bolehkah dia sekurangnya membersihkan cermin kaca itu? Adakah dia fikir dengan membiarkan begitu, aku tidak nampak atau perasan? Ah, aku perlu sebiji lagi synflex...

*Saya mengangkat pasu-pasu itu dan meletaknya di balkoni - Saya tidak mencuci cermin yang kotor itu kerana saya gayat - Kami tinggal di tingkat 2 - Akhir ini Synflex seperti kacang bagiku - musim migraine telah tiba - Adakah ini tindakbalasnya kerana saya melarang dia meniru fesyen rambut Sharifah Aini?

SN - Seorang Insan Juga...

Beberapa hari yang lalu, saya sempat bersantai sebentar dengan Pak Samad di Kafe Kinokuniya. Selain dari berbincang tentang satu perkara yang agak menekan, aktiviti-aktiviti Pak Samad untukOlympus1_134_1 bulan Ogos juga diperbincangkan. Seperti biasa, Pak Samad akan membuka diarinya dan kami membincangkan tentangnya. Akhir-akhir ini saya tidak begitu "mengatur" aktivitinya kerana dibebani kerja-kerja Wira Bukit dan penilaian realiti diri yang sedang saya alami.

Satu perkara yang menjelekkan saya ialah bagaimana ada pihak-pihak yang mengeksploitasi dirinya. Kerap Pak Samad dijemput membaca puisi atau memberi ceramah percuma. Mereka fikir Pak Samad ini seorang jutawan atau milik rakyat. Saya sebenarnya amat kecewa dengan situasi ini. Pak Samad besar kemungkinan akan menjadi seorang jutawan sekiranya mereka-mereka ini ikhlas dan prihatin. Namun ini tidak terjadi, sekurangnya tidak pada Pak Samad.

Ada juga yang telah berjanji - seperti apa yang berlaku di Port Dickson dalam acara anjuran Olympus1_138 Kementerian Pendidikan beberapa bulan lepas - tetapi hingga kini, janji tinggal janji dan orangnya agak saya tamat kursus ilmu halimunan kerana sehingga kini hilang entah ke mana.

Perkara sebegini sering berlaku ke atas diri Pak Samad. Dan kerana itulah juga Pak Samad kini sering membawa buku-bukunya - terbitan Wira Bukit - dan menjualnya dengan harapan sekurangnya jika dirinya diputar dan dibelit, adalah sedikit wang hasil penjualan buku-buku yang dibawanya - itu pun Dawama "bising". Inilah nasib seorang SN...ramai menyanjungnya dan ramai juga "penyamun tarbus" pemutar alam. Ingatlah, dia juga seorang insan yang perlu makan dan menyara.

Hargailah sedikit dirinya itu...


*Dawama - jika buku TIDAK LAKU semasa Pak Samad ada, sila jangan salahkan Pak Samad. Dawama perlu tahu mengapa CERMIN itu penting.

Firasat II

Hatinya terhiris dan jiwanya gerhana
drakula berpesta darah di bumi Palestina

Dia terlalu selesa di sini
khayal kafeina dan nikotina
sedangkan di sana
peluru dan bom mesra menerjah
membakar apa saja di bumi Palestina
angkara nafsu drakula yang membara
yang mabuk darah
yang sedang berpesta.

Dia,
hanya melihat tangan anak-anak Palestina terkulai
memberi makna di sebalik timbunan batu-batu
dengan secawan kopi dan sebatang rokok
dengan sekeping hati yang kononnya terhiris
dengan sebentuk jiwa yang kononnya gerhana
dan sebuah minda yang sepatutnya berkisar
di alam yang seharusnya siuman ini.

Dia gila...
Kau bagaimana?

Firasat I

Secawan kopi,
sebatang rokok,
dan sebuah minda -
berkisar di alam siuman.
Namun dirinya,
dimakan dari dalam
di mana alamnya
tidak siuman.

"It will sound stupid, if I speak Malay"

'It will sound stupid if I speak Malay' daripada mulut Sharifah Amani selepas terima trofi Pelakon Wanita Terbaik undang kemarahan Datuk Seri Rais Yatim'


“Saya tidak menghina bahasa Melayu. Apa yang saya maksudkan lebih mudah untuk saya meluahkan rasa dalam bahasa Inggeris. Saya tidak mahu orang sakit hati mendengar kerana saya kurang fasih berbahasa Melayu.” - Sharifah Amani.

Dalam hal ini, saya tidak terkejut jika orang yang terkejut dan marah atas kenyataan tersebut lantas meluahkan kemarahannya itu akan dikatakan kolot. Malah, pasti ada yang menuduh kita terlalu sensitif hingga melatah kerananya - ini telah berulang saya alami.

Bagi saya, Sharifah Amani telah "mengejutkan" kita yang selama ini menganggap bahasa Melayu itu semulajadi dalam diri kita dan tidak begitu mengendahkannya, apalagi mendalami mempertajamkannya. Saya membayangkan kebun atau dusun yang terbiar dan tidak diendahkan, pastinya akan bersemak dan kalau tidak bernasib baik, ada sang harimau atau ular sawa yang melingkar... menanti, menerkam atau membelit dan memakan/menelan tuan punya kebun/dusun yang selama itu tidak buat apa-apa, tetapi bila musim buah rajin pula meredah semak. Bila ini terjadi, gempar di media (termasuk blog!) maka tercetuslah kesedaran lantas kebun-kebun dan dusun-dusun mula ditebas oleh tuan-tuan kebun/dusun - dan sang-sang harimau/ular-ular sawa pun merungut terpaksa berpindah ke dalam hutan berhampiran.

Saya sebenarnya berterima kasih kepada Sharifah Amani. Dia boleh saja sebagai pembuka kata menyatakan, "Maaf, saya berbahasa Inggeris..," tetapi tidak. Dia perlu menyatakan, ia akan kedengaran sumbang jika dia berbahasa Melayu. Dan kerana kenyataannya itu - serta seruan revolusi mencemar budaya - kita tercelik, "APA HAL?" jerit hati. Selama ini jika bahasa Melayu yang menjadi bahasa Kebangsaan - tetapi tidak kebanggaan - diperlekeh dengan tidak begitu diambil berat, kini sekurangnya ada menteri yang rasa terhina dan berdukacita. Saya harap juga YB menteri-menteri sedar ini bukan "jarum dalam timbunan rumput kering". Ini berleluasa - ramai bangsa Melayu menganut dan mengagungkan bahasa Inggeris dan menolak bahasa ibundanya sendiri. Buktinya mudah - It will sound stupid, if I speak Malay’.


* Saya tidak rentan, saya benar-benar berterima kasih kepada Sharifah Amani - "U Rawk babe!"

**Kini ego saya - menulis dalam bahasa Melayu sedangkan dalam kepala berbahasa Inggeris - terubat, sedikit...

Duit...

Hari ini saya terjaga agak awal - telefon bimbit tidak henti berbunyi. Fikiran masih entah di mana bila saya bercakap dengan seorang pegawai bank. Semalam dia faks surat bank yang menyatakan ada "discrepancies - late presentation" dan di para atas "our refusal of documents and in accordance bla bla bla". Saya menginyakan saja - LC ini benar memakan masa saya.

Selepas mandi, kafeina dan nikotina, saya mula merasai kewarasan itu berlabuh. "Our refusal..." tetapi, sejam selepas itu klien menelefon dan menyatakan mereka menerima "discrepancies of late presentation" dan mengarahkan bank mereka meneruskan transaksi - wang akan dikreditkan dalam akaun esok, lusa, siapa tahu apa pula selepas ini.

Ah duit...membuatkan kepalaku pusing...dan ia tak pernah mencukupi!

Pengantin Lelaki Itu Se Ekor Anjing...?

Saya pernah bercerita tentang minat saya membaca yang tercondong ke arah penulis-penulis Jepun. Saya masih condong ke arah itu dan pagi tadi sebaik terjaga, pandangan pertama adalah pada "Coin Locker Babies", sebuah karya Ryu Murakami yang berada di lantai tepi katil saya.

"Mengapa ya?" hati berbisik, tetapi urat-urat kepala masih santai dan saya bukanlah seorang yang mampu sangat berfikiran jauh dan "serious" sebelum kafeina dan nikotina menyusuri mengejut urat-urat yang sedang bersantai itu.Olympus1_099

Berfikiran jauh dan "serious"? Saya senyum dan tergeleng. Setelah Nescafe & beberapa batang rokok, nampaknya ini hanyalah satu persoalan yang remeh. Tidak mudah, tetapi remeh. Saya memandang sudut saya itu dan sekali lagi tersenyum dan tergeleng. Pemikiran saya begitu, seperti buku-buku yang berselerak itu. Terlalu banyak yang mahu saya lakukan dalam masa yang sesingkat ini. Ia seperti lebuhraya di Seremban setiap hari minggu - sesak! Dan buku-buku ini seakan memberi sedikit ruang bernafas.

Tetapi mengapa buku-buku Jepun? Saya kira penceritaan tentang kehidupan mereka itu menarik perhatian saya. Karya-karya seperti Ryu dan Haruki Murakami, Hitomi Kanehara, Yoko Tawada, Masahiko Shimada, Kyoji Kobayashi entah mengapa begitu mengikat - kecuali Kazuo Ishiguro yang karyanya "Never Let Me Go" sudah 4 bulan tidak habis saya baca.
Olympus1_100
"Monkey Brain Sushi", "69", "Coin Locker Babies", "Sputnik Sweetheart", "The Bridegroom Was A Dog", "Miso Soup", "Almost Transparent Blue", "Snakes & Earring" - maksud saya, tujuk-tajuk mereka ini pelik tapi menarik. Dengan jalan cerita yang mudah dan gaya penulisan yang "santai" (walaupun dialih bahasa) mereka ini membawa kisah masyarakat Jepun yang tidak terfikir oleh saya sebelum ini - "cult" (kultus?).

Namun, buku-buku ini tidaklah murah - kecuali karya-karya Haruki Murakami dan Hitomi Kanehara yang boleh dibeli sekitar RM32 ke atas, yang lain agak mahal - sekitar RM60-RM100. Ini mungkin kerana ia terpaksa diimport dan setahu saya dijual di Kinokuniya sahaja - tingkat 2 dalam Isetan.

Kalau diperhati, pasti nampak bahawa buku-buku Pak Hamka juga saya baca. Mengapa? Itu persoalanOlympus1_101 yang aneh...lain kali sajalah saya cuba kupas - persoalan aneh perlu nikotina + kafeina + suasana yang sesuai.

Isteri saya sudah faham benar perangai "menyepahkan" saya ini dan sudut ini satu kawasan yang dia tak "kacau"...



* Saya baca komik & buku Pak Habib juga.

** Rambut yang gugur juga saya biarkan di sudut ini.

*** Tajuk adalah translasi "The Bridegroom Was A Dog"...betulkah?

Rahmat Harun

Rahmat Harun

P7130005Semalam saya berjumpa dengan Rahmat dalam satu acara di MPH Mid-Valley. Seperti biasa, dia masih begitu, tidak berubah dengan rambutnya masih "reggae" - kusut dan berbau. Seperti biasa juga, dia tidak henti menakjubkan saya dengan pengetahuannya. Saya boleh duduk dengannya, sekotak rokok - perlu nikotin untuk melembutkan urat kepala - dan kami boleh bercakap tentang apa saja di bawah langit. Rahmat ini salah seorang insan yang rupanya tidak sekata dengan apa yang ada dalamnya - jika sekali imbas dan tidak mengenalinya - dan saya pasti ramai yang fikir dia tidak siuman. Terkadang hati ini nakal mahu saja mengoyakkan wajahnya dan melihat apa sebenarnya yang ada dalam dirinya itu kerana terkadang saya kategorikan diri saya tidak siuman juga. Namun, saya tahu jika berhierarki, dia di atas saya dan saya tidak mampu terinjak ke atas lagi kerana keadaan tidak membenarkan.

Dari Poe ke Machiavelli ke Freemason dan IMF, dia tidak henti mencabar fikiran saya. Niat sebenar saya hadir adalah untuk melihat perubahan pada dirinya. Saya pasti, satu hari kelak dia akan berubah, berevolusi...lagi.

Seorang yang berhaluan kiri dan terlibat dengan demonstrasi jalanan kini Rahmat lebih "sopan" dalam pendiriannya. Saya melihat dia beralih ke seorang insan yang lebih berfikiran dalam menafsirkan kehidupan. Dia lebih "senyap" dan lebih berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Ini terbukti apabila dia membaca puisi-puisinya pada acaraP7130009 yang di adakan. Saya kecewa. Dia seakan mengawal dirinya.

Semasa duduk bersama menikmati minuman di Dome, saya bertanya mengapa? "Suasana" jawabnya. Sekarang, sejak bila Rahmat memikirkan tentang suasana? Dia senyum. Saya lebih menafsirkan kejadian itu sebagai dirinya itu telah sampai ke satu paras yang lain. Mungkin usia mempengaruhi. Mungkin lantai dan dinding balai-balai polis yang amat di kenalinya tidak lagi mampu merangsang pemikirannya. Mungkin saja dia begitu kerana baru bangun tidur. Tetapi, Rahmat yang saya kenali adalah seorang insan yang begitu dalam pemikirannya, begitu luas pengetahuannya dan dia tidak segan meluahkannya secara zahir - bertindak! Pendiriannya teguh kerana dia tidak begitu menghiraukan "luaran" dan tapak tangannya sentiasa sejuk dan berpeluh...sejuk dan berpeluh?
P7130011_1 Ingat nama ini, Rahmat Harun...satu hari kelak saya percaya kehadirannya dalam dunia seni kreatif mencetus impak yang besar - itupun jika dia tidak dipesongkan oleh revolusi yang sentiasa lahir dalam jiwanya.

Mengapa tapak tangannya sejuk dan berpeluh? Entahlah, mungkin sesetengah perkara sememangnya tidak berubah...


Sedikit Rahmat di: rahmat1 dan rahmat2

Mengapa Wira Bukit?

Berkali sudah saya menyatakan bahawa kehadiran Wira Bukit dalam dunia penerbitan adalah untuk memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja. Dan berkali juga ditanya samada Wira Bukit ditubuhkan untuk "mengajar" pihak tertentu (ya, DBP, siapa lagi?) Tidak kurang juga ada yang merumuskan Pak Samad tidak puas hati - dengan siapa lagi? - lantas terlahirlah Wira Bukit. Mungkin ada kebenaran kerana jika Pak Samad tidak "merajuk" (entah berapa kali!) dengan DBP, pastinya Pak Samad selesa dan Wira Bukit tidak mungkin lahir.

Saya tidak mahu menyalahkan DBP dalam perkara ini. Malah, saya harus berterima-kasih kepada mereka. Apa yang terjadi antara Pak Samad dan DBP adalah sejarah. Dan saya bukannya seorang yang "menyimpan" sesuatu perasaan yang negatif. Lagipun bagaimana bisa kami "mengajar" jika kami masih belajar?

Penubuhan Wira Bukit adalah khusus memelihara karya-karya Pak Samad. Ini dilakukan dengan memberi nafas baru dari segi rekabentuk dan material yang digunakan dalam penghasilan karya-karya lama dan terkini. Dari segi rekabentuk, Pak Samad, saya dan Emila akan "memecah kepala" memberi ide masing-masing dalam proses menerbitkan sesuatu karya itu. Kami juga sering - sebenarnya Pak Samad dan saya - "bertekak" dalam perkara ini. Dia mahukan "begini", saya mahukan "begitu" dan Emila sabar menanti keputusan dan tidak kurang juga tekun berulang kali menghasilkan beberapa rekabentuk dan "mock-up" agar ide-ide kami itu dapat dilihat, dirasa dan dihadam.

Kami juga "membuang duit" dengan membeli buku-buku yang rekabentuknya menarik dan unik. Ini perlu. Buku-buku sastera Melayu kalau diletak bersebelahan dengan buku-buku sastera asing "kalah teruk" dari segi rekabentuk dan material yang digunakan. Kami melihat, membelek dengan jari-jemari merasa buku-buku tersebut dan lahirlah ide kasar bagaimana buku-buku terbitan seterusnya harus dizahirkan. Dalam proses penerbitan sesuatu buku, bab rekabentuk inilah selalunya memakan masa yang lama. Pada saya, karya-karya sudah tersedia, Pak Samad itu dengan sendirinya adalah jenama kami. Dia ikon dan dikenali ramai. Apa yang penting adalah bagaimana kita menzahirkan karya itu.


Rekabentuk penting dan jika ini diatasi, usaha menjual buku itu menjadi mudah sedikit. Ditambah dengan perancangan dan strategi yang baik, kami mampu "membersihkan" dalam 1,000 hingga 2,000 naskah dalam masa kurang 6 bulan. Ini terbukti dengan Lantai T. Pinkie yang terjual sebanyak 1,200 naskah dalam masa 2 bulan! Harus diingat, waktu itu buku Lantai T. Pinkie terbitan DBP tiba-tiba "terlambak" di pasaran dan kami terpaksa bersaing dengan harga jualan kami yang 2 kali ganda lebih mahal! Saya rumuskan ini terjadi kerana kami "lebih" memberi tumpuan kepada rekabentuk, material yang digunakan dan juga pemasaran. Siapa kata buku sastera Melayu tidak boleh "jual"? Perlu saya bercerita tentang "Rindu Ibu" yang akan dicetak untuk kali ke 4 dalam masa kurang 2 tahun? Perlu saya bercerita bahawa Wira Bukit adalah "2 man show" yang dibantu seorang pereka - yang dianugerahi bakat kreatif tinggi - dan pencetak - Harian Zulfadzli - yang tidak jemu melayani karenah kami? Perlu saya bercerita tentang sokongan pengedar kami - PTS - yang memahami, memberi kerjasama baik dan berjuang meletakkan buku-buku bahasa Melayu atas rak-rak kedai buku serta jualan melalui internet serta penat lelah sdri Nisah Haron dan suaminya sdra Shukri yang rajin menjelajah serata Malaysia melalui syarikat mereka - Ujana Ilmu?

Pasaran buku sastera Melayu itu sesuatu yang belum terukur. Mungkin saja tidak setanding padang buku-buku cinta remaja, kanak-kanak dan motivasi yang kini semakin kita ketahui agak besar dan menguntungkan. Tapi, siapa tahu? Mungkin saja ia setanding atau lebih besar? Apa yang saya tahu, ia tidaklah seburuk apa yang kita diberitahu. Mungkin cerita buku sastera Melayu tidak laku itu satu alasan mudah mencari jalan pintas setiap kali disoal mengapa ia amat susah dijual. Dan apabila ini berlaku berulang hingga berabad lamanya menjadilah ia satu mitos.

Kita perlu bekerjasama. Kehadiran Wira Bukit bukan satu masalah pada yang lain. Kita perlu bersaing dan pesaingan itu penting untuk tidak melekakan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada. Kita perlu meneroka dan membuka minda. Musuh kita adalah diri kita sendiri...

Mengapa Wira Bukit? Mudah, memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja.

*DBP sangat penting bagi saya. Mereka seakan "guru" dan "abang-abang" saya. Tidak mungkin dan tidak akan saya merendahkan atau memperlekehkan mereka.

** www.tongkatwarrant.com - www.emilayusof.com - www.ujanailmu.com.my - www.pts.com.my - http://ainonmohd.blogspot.com/ - http://annyss.blogspot.com/ - www.wirabukit.com

Kematian...

Aku ingin berbicara tentang kematian...


























Bisa saja aku teruskan, tetapi rasa seperti berbicara sendirian. Lebih baik bernoktah kini dan mungkin dalam mimpi-mimpi, kita bisa teruskan. Aku harap ada yang mengerti...

Rasa seperti semalam...

Semalam, seorang sahabat telah pergi. Lahir ke dunia yang sempit ini, memasuki alam luas. Janjinya ditepati dan aku tak mampu mengelak dari memikirkan tentangnya...

Apabila Hani Mohsen pergi secara mengejut, aku seakan terkejut. Aku tergamam. Fikiranku bercelaru. Hatiku berkecamuk. Walaupun aku tidak begitu mengenalinya, kecuali terserempak dua tiga kali di majlis-majlis, tetapi impaknya agak mendalam. Kali terakhir bertemu semasa dia menjadi "MC" majlis pelancaran buku terbaru Pak Samad di Arkib Negara tahun lalu. Kami bersalaman, senyum dan itu saja. Sehingga aku mencatatkan apa yang terkisar dalam diri ini , aku masih tercari-cari saat itu - cuba menggambarkan dengan jelas saat-saat pertemuan itu, namun tidak banyak yang dapat aku bayangkan walaupun entah mengapa, dia begitu dominan dalam kepalaku kini.

Aku juga masih ingat, keadaan anaknya semasa di hospital..aku terbayang akan Firdaus...entah mengapa juga...

Dan, semalam, aku ditarik masuk dalam ingatan beberapa tahun yang lalu di Mid-Valley, semasa aku berjumpa dengan sdr. Mohd Yusof dan keluarganya sambil aku menyampaikan beberapa buku sebagai hadiah...

Pakcikku, Dr. Ismail pun hadir...ibu mertua bapaku ada kini...nenek isteriku...anak sahabat karibku...Datuk Rashid...Datuk Said...satu per satu muncul...dan aku mengingati mereka-mereka yang telah berhijrah ini...

Apa maksudnya semua ini? Aku tidak tahu...tapi, yang pasti suatu hari nanti, bila sampai masanya, janjinya, kita semua akan pergi, berhijrah, ke satu alam yang telah dijanjikan...aku takut, bukan kerana apa yang ada di depan itu, tetapi akan apa yang akan dikumpulkan di belakang ini...cukupkah?

Al-Fatihah buat sdrku Mohd Yusof dan mereka yang kini hadir satu persatu dalam ingatanku. Semoga mereka berada dikalangan mereka yang beruntung...amin.

Aku yang terseliuh...

Sudah hampir 2 bulan aku memikirkan tentangnya. "Orang Tua Itu" rasanya terlalu peribadi dan buat masa ini aku tidak mampu mengolahnya. Mengapa? Hidupku kini berlainan sekali berbanding dengan waktu aku mula menulisnya. Aku "kehilangan" rasa itu. Aku kehilangan cara aku menulisnya. "Orang Tua Itu" ditulis waktu aku begitu kritikal. Hidup begitu tertekan. Sekelilingku negatif dan aku benar-benar seperti telur di hujung tanduk. Dan, kerana itulah setiap kali aku mencuba, siling, langit, pokok, burung, kenderaan dan apa saja yang ada di sekeliling menjadi perhatian - mencari "rasa" itu, mencari sesuatu yang mungkin aku hilang selamanya.

"Kau & Aku 1, 2 & 3" tercondong kearah "chic-lit". Waktu itu aku seakan dibuai oleh Tony Parsons, Nick Hornby dan Yann Martell. Siri "Kau & Aku" ini terlalu ringan dan "predictable" - dalam penilaian aku. Berkali sudah aku mengolah, namun semakin diolah semakin aku rasa bosan dan batinku tahu, karya sebegini hayatnya tidak panjang dan itu sesuatu yang harus dielakkan.

"SSN"...dalam semua karya-karya yang ada, aku rasa "SSN" mempunyai peluang yang terbaik untukku "merasmikan" kehadiranku dalam dunia penulisan kreatif ini. Namun, hingga kini aku tidak mampu "mengikat"nya. Ada sesuatu yang "kurang", atau mungkin saja ada sesuatu itu terlebih dan perlu dikurangkan.

Aku tidak suka menulis tentang sesuatu yang terlalu berat kerana aku bukannya seorang yang berfikiran berat. Pada aku hidup ini terlalu singkat kerana masa kita terlalu dipenuhi oleh perkara-perkara yang remeh. Pada aku kita - tanpa sengaja, mungkin - "memberatkan" hidup kita sendiri. Dan, kini aku cuba "mempermudahkan" hidupku dan dengan sendirinya itu mempengaruhi penulisanku.

Dan dalam blog, pada aku hanyalah taman di mana aku meleraikan rambutku dan menulis apa saja yang aku rasai, tanpa ada halangan, tanpa ada paksaan. Boleh dikatakan blog ini taman di mana aku bermain dan bereksperimen.

Jadinya, antara "Orang Tua Itu", "Kau Dan Aku" dan "SSN", aku rasa Secebis Syurga & Neraka paling cerah harapannya untuk diterbitkan, mungkin tahun hadapan. Doakan urat-urat kepalaku tidak terseliuh agar dapat aku "mengikat" karyaku ini.

Ah Mak Ni!!!

Pagi itu redup. Dia mendongak mencari mentari, namun hanya awan-awan kelabu mewarnai langit. "Nak hujan...," hatinya berkata dan dia meneruskan langkahannya menuju ke kereta. Sesekali terasa nyaman angin yang berlalu menyelimuti seketika diri yang sedikit peluh itu. Langkahannya dicepatkan. Dia terbayang dan impikan penyaman udara keretanya itu.
"Jalil!...Jalil!"
Terhenti, dia menoleh mencari...
"Jalil!"
"Aaa ya?" sebaik pandangannya mengenal pemanggil. Makcik Nah yang tinggal bersebelahan unit kondonya kelihatan berlari-lari anak kearahnya. Dia tersenyum.
"Boleh makcik tumpang?" agak termengah.
"Oh boleh. Makcik Nah nak ke mana?" sambil beriringan berjalan menuju ke keretanya.
"Kl," masih termengah dan terkadang terpaksa berlari anak.
Dia sedar langkahannya terlalu pantas buat Makcik Nah, "Kl besar makcik," sambil cuba memperlahankan langkahannya. "Kl kat mana makcik?"
"Errrr...errrr," menarik-narik selendangnya yang terlayang-layang tertiup angin. "Errrr...kat mana tu...alaaaa makcik lupa pulaaa.."
Dia terhenti seketika.
"Kau ni jalan cepat sangat!"
Senyum, "Maaf Makcik Nah."
"Haaaaaa...makcik nak pergi Astro!"
"Astro?" Aku terkejut.
"Haaa cepatlah! Apa kau tercegat tu?"
Tersentak, dia sedar Makcik Nah di hadapan. Dia melangkah semula dan bertanya sebaik seiringan dengan Makcik Nah, "Buat apa pergi Astro?" sambil menyeluk saku seluarnya mencari kunci kereta.
"Makcik nak beli tiket."
"Tiket apa makcik?"
"AF. Esok final. Takut habis nanti!"
"Haaaa?" terhenti.
Makcik Nah seakan terkejut dan berhenti juga. "Ha, kenapa kau Jalil?"
"Makcik nak pergi Astro beli tiket AF? Makcik nak pergi tengok konsert AF?"
"Ha ya lah. Kenapa?"
"Tiket jual kat Astro ke?"
"Ya lah...kat mana lagi? Eh apa kau tercegat tu Jalil. Cepatlah! Nanti habis pula tiket tu!"
Menggeleng, dia tersenyum. Sebaik sampai di keretanya, tangannya meraba-raba kocek seluarnya. "Alamakkkkkkk..."
"Ha kenapa Jalil?"
"Errrr...saya tertinggal kunci kereta!"
Pagi itu sepanjang perjalanan dia dileteri Makcik Nah tentang orang-orang muda zaman kini yang terlalu terkejar banyak perkara sehingga tercicir beberapa perkara yang lain. Pagi yang kelam itu membawa pelbagai rasa bagi dirinya. Terkadang mahu saja dia berhenti kereta dan mencekik Makcik Nah. Namun, apa yang mampu dilakukannya hanyalah membayangkan adengan itu. Dalam umur menjangkau 60an itu, tenaga Makcik Nah bercakap memang mengalahkan mereka yang sepertiga umurnya. Sesekali dia menyampuk bertanya. Sesekali dia senyum. Sesekali dia ketawa. Tetapi, banyak kali dia mahu saja memberhentikan keretanya. Namun, mengenangkan Alia, dia pendamkan saja niatnya itu.
Beberapa hari selepas itu, dia mendapat tahu Makcik Nah tidak dapat tiket. Dia tersenyum nakal. Entah mengapa dia rasa puas. "Padan muka!" kata hatinya.
"Assalamualaikum!" sebaik dia membuka pintu setelah mendengar loceng pintunya berbunyi.
"Wa'alaikumsalam. Oh makcik Nah...sila masuk."
"Tak apalah. Ni makcik nak cepat."
"Makcik nak pergi tengok AF ke?"
"Hishhhhh ko ni. Hari tu kau hantar aku kat tempat salah. Dorang kata mana ada jual tiket kat sana."
"Manalah saya tahu makcik. Lagipun makcik yang suruh..."
"Eh dah, dah macam orang tua berleterlah kau ni Jalil. Ni makcik nak bagi kad jemputan ni."
"Kad jemputan?"
"A'ah. Ni si Alia nak nikah bulan depan!"
"Haaaa?"
Waktu itu aku terdengar sesuatu membisik, "Padan muka!"

*Dedikasi kepada mak - Walaupun anakmu ini tidak suka AF, namun saya pasti mak tidak peduli...dan bila terfikirkan dia gembira, saya senyum, saya kalah dan ini satu kekalahan yang saya terima dengan hati yang senang.