header-photo

Rindu Masakan Rumah...

Salah satu perkara yang saya sangat "rindu" untuk melakukannya adalah memasak. Saya suka memasak dan menggunakan herba-herba dalam masakan saya. Saya teringatkan "lamb chop" atau "ribs". Saya juga terbayangkan teppanyaki salmon, "sandwich" daging salai, "omelette" keju, ayam goreng atau sambal belacan beserta dengan ikan singgang goreng ditambah nasi yang panas, ulam, ikan masin dan kicap.

Sudah lebih setahun dan akhir ini saya sangat teruja. Cuma tiada dapur untuk ubati kerinduan ini.

Dalam pada itu teringat pula sotong masak hitam mak...tak mengapalah, sekurangnya ada yang janji masakkan nasi lemak dengan sambal "ultimate"nya hujung minggu ini...dan bercakap tentang sambal, terliurlah pula dengan sambal roti paun Makcik Kiah...

Haha kemaruk betul saya ini...


Pencatat Kedai Kopi...

Saya seorang pencatat/penulis di kedai kopi. Saya lebih banyak berkarya di kedai kopi. Entah mengapa bila di kedai kopi saya begitu. Mungkin kaffeina itu. Mungkin nikotina. Campuran kedua - (kimia?) ini merangsang urat mencatat - agaknya. Mungkin juga suasana. Saya sangat selesa di beberapa kafe. Dan waktu ini kafe di Aeon AU2 menjadi pilihan.

Di satu sudut, dengan secangkir kopi hitam, tanpa gula mahupun susu/krim di sisi, saya mula memerhati sekeliling.  Dalam pemerhatian saya itu akan timbul watak-watak. Anak-anak yang berlari riang atau menangis menagih sesuatu mengingatkan saya tentang Ali. Tiga orang pakcik kulit putih (Amerika) yang berhijrah ke sini selepas pencen mengingatkan saya tentang Ray. Makcik yang terpaksa dipimpin - mak saya. Mamat "rugged" - Indie. Wanita tinggi lampai bertudung - ...

Saya mula menulis - rasa hati atau apa yang sudah terpendam di campur dengan suasana dan watak-watak. Di sini permulaan cerita-cerita saya. Tidak lama, sekitar 45 minit hingga satu satu jam. Saya akan pastikan apa saya yang ditulis/catat itu selesai. Semuanya berlalu pantas. Sesetengah sampai ke blog. Sesetengah lain saya simpan dan harapan kelak mungkin akan disambungkan/kaitkan antara satu sama lain dan menjadi catatan yang lebih besar. Saya suka mencatat/menulis cara begini - spontan.

Ada yang bertanya, jadinya di rumah buat apa? Ah, saya lebih banyak membaca sebenarnya. Membaca, membaca, membaca hingga resah dan lesu dan timbul rasa untuk kaffeina - mendapatkan rasa dan suasana yang ada di kafe. Begitulah kitaran santai saya.

Emila Yusof

Jika sedang santai cuba layari www.emilayusof.com



Selepas itu daftar diri anda dan undilah dia jika rasa dia layak.

Terima kasih :)

Ini Blog Saya - log kehidupan saya.

Peristiwa yang terjadi hari ini sesuatu yang telah lama saya jangkakan...

Menulis di blog atau status FB membawa pelbagai terjemahan kepada pembaca.

Tulisan-tulisan saya di blog majoritinya berkisar tentang kehidupan saya sendiri - log kehidupan. Tidak semua saya ceritakan, tetapi memadai untuk meredakan jiwa (saya) yang bergelora. Ia tentang diri saya sendiri. Benar, Ali banyak mendominasi, tetapi bukankah dia sebahagian dari saya - zahir dan batin?

Jadi harapan saya agar yang membaca tidak menterjemah lebih jauh dari apa yang saya tulis. Juga janganlah pula terasa kerana serasa saya, tiada satu tulang "jahat" pun dalam diri ini untuk menyatakan "kau jahat" atau "aku baik" atau "aku ini mangsa". Saya luah kerana saya bukan seorang penyimpan. Mungkin masa "muda" saya mampu, tetapi kini tidak lagi. Saya tiada kapasiti membawa rasa-rasa sebegitu. Hidup terlalu singkat. Kita kena tahu kemampuan sendiri.

Percayalah, niat saya menulis di sini mahupun di status mukabuku adalah luahan diri sendiri.Malah setiap  doa-doa saya tidak destruktif malah baik-baik saja. Jadi kepada pembaca yang membaca, ini hanyalah luahan diri saya menuju keluluhan fizikal yang abadi. Saya sahaja dan jika ada yang terasa - pahit atau mengenai dirinya sendiri, percayalah, sememangnya tiada niat langsung mahu jadinya begitu. Ini saya.

*Pos ini lahir kerana balas-membalas sms-sms "keras" tadi. Tekanan buatkan kita hanyut layari arus kemarahan hingga akhirnya tersedar kita jauh tersasar.

Wang Kertas/Polimer Baru...

Bank Negara Malaysia akan keluarkan wang kertas/polimer baru pada suku kedua tahun ini.

Selain desain baru dan warna yang lebih garang, saya tertarik dengan not wang RM20 yang diperkenalkan kembali.

Saya juga tertarik dengan not RM1 yang bukan di atas kertas lagi tetapi polimer - seperti not RM5.


Ali & Mahani...

Hari ini hari terakhirnya bersama Ali...

Mahani nama pembantu rumah yang menjaga Ali sebaik dia lahir. Esok petang dia kembali ke Indonesia. Tentu sekali Ali akan merasai kehilangannya. Saya juga begitu kerana selama ini saya sangat percaya dan rasa selamat bila Ali bersamanya. Sebahagian kelakuan Ali selama ini dibentuk olehnya tetapi aneh, Ali hanya berbahasa Melayu dan Inggeris. "Slang"nya lokal.

Saya sangat berterima kasih kepada Mahani kerana selama saya tiada, dialah yang mengambil alih banyak peranan dan kehadiran saya. Dan di satu masa pernah saya rasa dan ketahui, dalam senarai orang-orang penting hidupnya (Ali), saya nun jauh di bawah. Itu meluluhkan hati saya, tetapi saya faham dan terima.

Esok Mahani kembali dan tentu saja yang paling merasai kehilangannya adalah Ali. Hidup mereka berdua - Ali dan Mahani - akan berubah mulai esok. Mereka melangkah mulakan hidup baru tanpa kehadiran masing-masing di sisi.

Terima kasih Mahani!

Orang Tua Itu - Anak

Ally anak yang luarbiasa. Dia dipaksa keluar sebelum cukup masa kerana keadaan ibunya. Lebih seminggu dia didalam unit rawatan rapi untuk bayi. Setiap kali aku melihatnya, kakinya tidak henti menendang-nendang. Misi berkali terpaksa membetulkan wayar-wayar yang dicucuk dan dilekat di beberapa bahagian tubuhnya yang tersimpul atau tercabut. Aku waktu itu benar merasai jarum-jarum itu - mungkin kerana aku takutkan jarum. Dia nampak tidak selesa dan aku sering berbisik kepadanya, "Sabar ya nak. Ini sementara."

Itu lebih empat tahun yang lalu. Kini hampir semuanya sudah berubah. Dia tetap mempunyai ibu. Aku tetap bapanya. Cuma kini kami tidak bersama.

Setiap kali aku bersamanya, aku tidak terlepas dari merasai aku terlepas sesuatu dalam kehidupannya. Dia bijak dan aktif. Dia juga anak ADHD.

"Daddy, Ally nak go main ball..." dan ini akan diulanginya setiap beberapa saat hingga sampai ke tempat main "ball" - taman permainan mini di komplek beli-belah.
"Daddy, Ally nak go wash..." - Dia hendak main air.
"Daddy, Ally nak fries medona" - "fries" McD.
"Daddy, Ally nak naik Eli..." - tunggang Gajah.
"Daddy, masjid castle!" Sambil tersenyum memandangku - Masjid di Kota Damansara yang seperti "Castle" - sebenarnya dia usik diriku ini.

Dan setiap kali aku bersamanya, aku sedar,  Aku sebenarnya memerlukan dia lebih dari dia memerlukan diriku ini.

Sebaik tiba di rumahnya selepas perjumpaan "mini" kami dia akan berkata, "Bye Daddy. I love u. Assalamualaikum," dan dia meluru masuk ke dalam. Setiap kali itulah aku sebak dan terkadang, jika dilayan aku akan...

Aku benar mahu lakukan lebih banyak untuknya. Namun keadaan tidak begitu mengizinkan. Keadaan buat aku malu kepadanya. Dia anak luarbiasa dalam suasana yang luarbiasa. Dan aku ini walaupun bernama "Daddy", tetapi tidak berfungsi sebagaimana patutnya. Aku luluh...

Orang Tua Itu - Ibu.

Aku duduk di kafe itu, tetapi diri ini melayang-layang di tempat lain.

Aku terbayangkan anak. Sebak. Aku terbayangkan ibu. Sebak. Aku terbayangkan bapa. Sebak. Lantas terus saja aku cuba mencari bayangan-bayangan lain yang tidak menyebakkan. Diselak satu demi satu...sebak!

Kembali ke kafe itu. Bibir ini selesa menerima kopi yang tadinya panas. Pahit. Aku pandang sekeliling. Luas. Namun, dalam diri ini sendiri lain rasanya. Sempit.

Kembali melayang-layang...

Ibu yang sakit. Telah banyak yang dilaluinya. Tabah dan setia. Itu yang sering aku rasakan tentang dirinya itu. Teringat waktu dia terlantar di hospital. Dadanya berombak. Liar. Dalam dirinya seperti sedang berlaku satu peperangan yang besar. Mesin-mesin disekelilingnya agak riuh.. Aku duduk di sudut. Melihatnya. Berdoa. Mataku berair. Aku kenangkan dosa-dosa seorang anak terhadap ibunya. Setitik airmata membasahi pipiku. Aku anak lelakinya. Tunggal.

"Mir..."
Aku tersentak. Mendongak, tangan ibu nampak terkapai.
"Mir..."
Aku segera bangun. Menyambut tangannya itu,  "Ya, bu."
"Maafkan ibu ya..."

Aku hanya mengangguk. Jiwaku ribut. Apakah ini? Seorang ibu meminta maaf dari anaknya?

"Mir minta maaf bu. Ibu jangan risau."
"Mir, peluk ibu. Ibu rindu..."

Aku hentikan saja layanganku itu terhadap ibu. Seteguk kopi. Pahit dan hambar. Dirinya begitu besar sekali dan aku tidak mampu hadapinya. Aku anak yang paling banyak menyusahkannya. Mengkhianatinya. Merisaukannya. Namun, dia minta maaf kepadaku? Aku luluh...

Kehidupan & FB...

Agak terkejut apabila akaun FB saya dikunci sementara oleh FB. Saya tidak tahu mengapa dan juga setelah terus-menerus mencari bagaimana hendak menghubungi mereka, akhirnya saya sedar - FB tidak begitu penting sebenarnya. Dengan bertanyakan apakah huruf-huruf yang dipaparkan dan selepas itu nombor telefon untuk menghantar kod (ini satu fungsi yang tidak berfungsi - tiada kod setelah berapa kali diberi nombor telefon.) Benar, ia adalah rangkaian sosial yang baik, tetapi itu di alam maya dan saya benar berfikiran FB sebenarnya memerlukan pengguna lebih daripada pengguna memerlukan mereka.

Jadi setelah memasuki hari ketiga tanpa FB (ok, saya ada beberapa akaun lain, tapi akaun yang dikunci itu yang istimewa, jadi saya tidak sangat masuk - menggunakan akaun lain - kecuali memeriksa "fanpage" yang saya jaga), saya kini lebih banyak membaca dan menulis. Lebih banyak berhubungan dengan insan-insan di dunia nyata (kebanyakkan soal mencari dana Salina) dan akhirnya bertemu Ali tiga hari berturut-turut walaupun masalah belum selesai.

Cari dana Salina dengan menjual lukisan bukan satu perkara yang mudah. Saya beranggapan dan merasai bahawa dunia senilukis di sini lebih banyak pelukisnya dari pembeli. Peminat ramai, pembeli bak kata Pa' Blalang "Kadang, kadang" atau "Jarang, jarang." Namun, saya cuba dengan memberi harga yang menarik. Lukisan-lukisan tersebut sebenarnya telah dinilai lebih banyak dari harga yang saya jual. Saya mahu peminat Pak Samad memilikinya kerana pada saya peminat lebih menghargai dan akan menjaganya dengan baik. Saya hebahkan dan "tag" ramai individu. Terkejut juga kerana menerima respon dari mereka yang tidak begitu saya kenali. Yang tidak kenal langsung pun ada. Yang kenali, suam-suam dan ada yang tidak rasa pa-apa atau mungkin mereka beri doa...alhamdullillah.

Ali adalah anak yang istimewa. Sekolah pertamanya menolak Ali setelah dua hari. Dia terlalu hiper dan susah dikawal. Kini dia di sekolah kedua dia mana sejauh ini nampaknya dia semakin serasi. Tiga hari pertama dia tidak mahu memakai pakaian sekolahnya. Dia mahu baju dan seluar yang ada dinosor, gajah atau apa-apa binatang yang diminatinya. Kini dia sudah mula "ok". Pertuturannya agak ketinggalan, tetapi saya tidak risau malah jauh lebih bersemangat untuk "mendidik" dan menjadikannya seorang insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Tiada yang lebih menggembirakan selain melihat anak sendiri berjaya.

Anda tahu, melihat apa yang berlaku akhir ini, saya mula faham dan terima...setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jadi jika anda "tersadung" atau "ditimpa" sesuatu dalam kehidupan, tenang, selagi ada nyawa selagi itu anda ada harapan. Usaha dan terus usaha. Masa mungkin main peranan (macam saya, sudah lebih 3 tahun!), tetapi hidup ini perlu diwarnakan. Tidak semuanya berkenaan FB saja! Be "cool" atau "kewl" warga dunia maya!

Anak...

Sangat merinduinya. Sudah lebih tiga minggu tidak bertemu...
dan bukan kerana apa kecuali malunya seorang bapa kepada anaknya.
Namun, anak-anak saya ini tidak terlepas dalam setiap doa.

Lebih Masa...


Masa susah...
Boss: Malam ini kita kerja overtime!
Ramai sorak gembira.

Masa mewah...
Boss: Malam ini kita kerja overtime ya.
Ada yang mengeluh.


Masa-masa lain...
Pekerja: Tuan macam mana dengan claim overtime kita?
Boss mengeluh...


Masa-masa tambahan...
Isteri: Abang nak pergi mana tu?
Suami: Abang kena kerja overtimelah.

Mengapa...?

Sejak saya pos entri mengenai penjualan lukisan bapa saya, saya terima banyak reaksi. Banyak yang tampil penyokong, ada yang tidak.

Sedia maklum sudah lebih empat tahun WB tidak terbitkan buku baru. Saya terbuai sebenarnya waktu itu. Mengharap sesuatu jatuh dari langit. Memegang peluang-peluang yang hadir waktu itu.

Memang sesuatu jatuh dari langit - batu-batu agaknya kerana itu kini saya begini. Dan peluang-peluang yang hadir itu pun hilang bagai air di lopak padang - setiap hari disinari suria dan akhirnya kering dan kontang.

Dalam kepala saya waktu itu hanya WB dan penulis bawah naungannya. Saya tutup pejabat untuk berhenti tanggung kos menyelenggaraSaya bertemu kenalan di PTS dan urus soal penerbitan karya-karya agar karya itu tidak terpendam dan penulis sedikit sebanyak mendapat royalti semasa WB rawati sakitnya.

Batu-batu dari langit tidak terhenti di situ. Hal peribadi capai puncak dan dari situ hanya satu jalannya...ke bawah. Pemberi-pemberi semangat selama itu hilang bersama semangat saya. Rasanya seperti lampu ditutup. Saya teraba dan dalam itu terketuk sesuatu di kepala dan saya juga keliru dan bingung.

Saya dilahirkan untuk mandiri. Setiap manusia sebenarnya begitu. Cuma cara mandirinya lain-lain. Setahun hidup seorang bertemankan tiga ekor kucing yang diwarisi dan juga Rahmat - seorang insan yang banyak mengajar saya erti hidup walaupun tidak disedarinya. Dulu saya berkongsi udara dengan Ali. Sesekali mimpinya sama bergabung. Kini saya tiada mimpi lagi. Kali terakhir bermimpi seorang wanita berambut panjang menjerit di telinga saya selama tujuh hari berturut. Itu tujuh hari pertama di rumah ini. Selepas itu tiada lagi. Mungkin yang menjerit kehabisan suara. Mungkin juga dia putus asa melihat saya.

Tapi, saya tidak pernah putus asa. Mungkin mengambil masa (memang saya seorang yang lembab dan mengambil masa bertindak), tetapi saya tidak pernah lari dari tanggungjawab. Saya tidak pernah putus asa, walaupun ada yang kata saya malas.

Seorang penerbit kerjanya menerbit. Ini kepakaran saya dan ini yang perlu terus saya lakukan dan kerana itulah lahir soal menjual lukisan-lukisan bapa saya untuk menjana dana bagi bangkit semula. Saya bukannya meminta derma (dana percuma) mahupun "soft loan". Saya bukan mahu beli kondo mahupun kereta mewah. Saya cuma mahu mengisi tabung WB agar saya dapat terbitkan semula buku-buku. Saya mahu segarkan semula WB dan baiki kehidupan. Senario dunia kini memang berlainan - tidak sama dahulu. Saya tidak mahu simpati kerana simpati itu satu kelemahan yang akan menghancurkan diri sendiri. Saya memberi peluang kepada sesiapa yang mahu memiliki secebis karya seorang yang bernama A. Samad Said - kebetulan bapa saya. Ini pelaburan buat saya dan pembeli yang cintakan seni. Ini bukan soal politik atau sedekah. Saya boleh katakan lebih lagi, tetapi soal paling penting telah saya katakan. Itu mencukupi...tetapi jika masih samar, saya lakukan ini untuk "survival" WB, karya-karya bawah naungannya dan juga diri mereka sekeliling yang terlibat termasuk saya.

Dan jika itu sesuatu yang tidak baik, saya benar tidak tahu apa yang baik lagi.


*Lukisan-lukisan yang ditawarkan akan dipamerkan di http://kataluhur.blogspot.com/  sebelum minggu ini berakhir.