header-photo

Rasa...

Hari ini semasa dalam bas saya memerhatikan seorang budak lelaki yang duduk di hadapan saya. Pendek kata,  apa yang saya nampak sebenarnya adalah Ali. Dia begitu dominan dalam hati saya. Saya boleh menitiskan airmata hanya dengan mengingatinya - berkali terpaksa saya fikirkan perkara lain kerana sebak.  Bukan saya tiada akses, tetapi keadaan saya tidak membenarkan. Jadi akhir ini memang saya lebih senang duduk sendirian, mengerjakan OTI dan sesekali melihat gambarnya...
Saya benar merinduinya...

Hidup Atau Mati...

Sering kita dipaparkan dengan kenyataan ini terutama di filem atau drama:

"...tiada kena-mengena dengan yang hidup ataupun yang mati..."

Pada saya ini kenyataan hendak lepas tangan saja. Mana mungkin tidak ada kena-mengena...

OTI - #172125

Setelah hampir tiga hari tidak jenguk, rasa di hati tidak dapat dibendung lagi. Saya duduk meneliti dan pruf.
Juga bertimbang-timbang untuk menambah beberapa bab agar ia lebih kemas.

"Aku mencari seorang wanita yang menerima diriku ini seadanya. Bukan mengutip setiap kata-kata yang aku tulis dan mencetuskan masalah. Mengapa wanita begini? Mengapa mereka terlalu emosional? Mengapa mereka ambil apa saja yang ditulis oleh seseorang yang disayangi itu sebagai sesuatu yang peribadi walaupun apa yang ditulis itu untuk tontonal dunia? Ah, mereka ini terlalu istimewa?"

Ketinggalan Zaman...

Saya singgah di sebuah kedai makanan "mamak" di Bangsar selepas balik dari melawat emak. 
Kawan saya makan Mee Goreng Ayam Goreng.
Saya makan Nasi Beriani Bukhara Ayam Goreng.
Errrr sejak bila Mee Goreng Ayam Goreng lebih mahal dari Nasi Beriani Bukhara Ayam Goreng? Mungkin saya sudah ketinggalan zaman agaknya...

Tidak Kisah...

Adakah kita tidak nampak atau tidak kisah atau apa?
Atau sememangnya tempat-tempat letak kereta istimewa bagi OKU terlalu banyak?

Belah Terang...

Sudah beberapa minggu kereta saya rosak. Selama itu saya mula menaiki bas dan elarti. Saya mula dapat memerhati banyak yang tidak dapat saya perhati semasa memandu. Inilah hikmahnya, terutama apabila saya mula menulis semula.
Tidak semua yang nampaknya buruk itu sebenarnya buruk. Ia bergantung dengan cara penerimaan kita. Selalulah lihat pada belah yang terang dalam kehidupan.

Pretzel & Kopi...

 Sepanjang perjalanan balik dari PPUM - melawat emak - saya agak dibuai pelbagai perasaan.
Sedih dan kasihan melihat emak yang terlantar. Dalam elarti saya lebih memerhati warga-warga kota yang lesu setelah seharian bekerja. Perut saya mula mengadu. Baru sedar saya belum makan - seharian.
Saya mula terbayangkan pretzel yang disaluti gula kayu manis (cinnamon). Gandingannya, kopi!
Dan kenyataan ini sememangnya benar. Itu makan malam saya - pretzel dan kopi. Mungkin esok saya perlu bawa beberapa pretzel untuk emak yang tiada selera makan itu...

Hip[p]o...

Aku kata, "Hipokrit!"
"Hippopotamus," katanya.
"Hipokrit!"
"Hippopotamus!"
"Hipokrit!"
"Hippopotamus daddy..." senyum nakal.

Sejuk melihatnya. Mana mungkin aku menang...
*Fragmen "K & A #3"

Syukur Alhamdullillah & Terima Kasih...

Usia pasang, hayat surut. 

Saya beryukur kerana dikurniakan lagi masa untuk refleksi diri dan bertaubat. Semoga tidak disia-siakan peluang sebegini.
Terima kasih semua atas doa dan ucapan :)

Orang Tua Itu...

Ini mini novel saya yang pertama. Ditulis sekitar tahun 2000. Belum diterbitkan kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak habis. Kata lain, tidak lengkap. Ada sesuatu yang tidak cukup.

*“Aku resah. Perkahwinan kami patut bertahan. Tetapi, dia perlu meminta dan aku terpaksa melafazkannya di depan hakim yang aku kira sudah lali mendengarnya..." 
Beberapa tahun lalu saya cuba mencari dengan membaca dan mengeditnya. Tidak berjaya kerana kehidupan terlalu selesa tentu saja tidak dapat menjiwai sebuah cerita yang ditulis semasa lara. Saya simpan semula.

*"Salinger? Dia pelik padaku. Bersahaja, tapi sesekali mampu menawan. Watak Holden itu mengingatkan aku tentang…diriku sendiri. Cuma, mana dia Phoebe aku?"
Kini saya membukanya kembali. Saya suka dengan apa yang saya tulis dan sudah seminggu lebih saya membelek-belek membaca dengan jiwa membara dan cetusan-cetusan ide yang tidak terhenti. Tidak harus saya melepaskan peluang sebegini...

*"Dan, aku juga tahu, kesepian itu hanya ada pada hati yang sesat. "


*Cebisan OTI.

GPMS

Naskhah ini diterbitkan pada tahun 1965.
Keseluruhan hasil royaltinya didermakan kepada Tabung Pelajaran GPMS.
Itulah Pak Samad.
Saya juga terkedu dengan ini. Berusia dua tahun dan sudah ada dedikasi istimewa di sebuah karya.
Itulah bapa saya...

Hari aku tersenyum...

Sabtu lalu saya bersama Ali duduk di kafe, sesekali berbual tentang "Angry Bird" atau "Bola". Namun, dia sebenarnya lebih tertumpu kepada sesuatu. Ia sesuatu yang lama sudah tidak digunakannya - IPad. Saya tersenyum lihat cara dia menggendalikannya. Dengan jari kelenkengnya, dia menguis - menolak, menarik dan mengetuk. Akhirnya..."Daddy" sambil menunjukkan skrin IPad...
Kita berbual sebentar tentang karyanya itu. Dia lengkapkan hari saya :)
Seperti biasa..."cheeky"...

Romi & Juli 9.0...

Satu babak dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk
Dinda: Kanda, sedap tak?
Kanda: Siapa yang masak?
Adinda: Adindalah, siapa lagi?
Kanda: Itu pasallah tak sedap...

Satu babak dalam kehidupan Romi & Juli kini...
Juli: Awak, sedap tak?
Romi: Siapa yang masak?
Juli: I lah...
Romi: Sedappppp...
Juli: Tapi awak kenapa makan sikit saja?
Romi: Saya tadi dah makanlah awak.

Inilah yang dikatakan "pr" yang baik... ;)

Sungai Tekala...

Pagi tadi saya bersama "rombongan Cik Kiah" ke Hutan Rekreasi Sungai Tekala. Bagi warga kota (ehemm...seperti saya), suasana sebegini agak mententeramkan jiwa. Udaranya nyaman. Rimbunan hijau dan air sungai jernih mengalir dari perut bumi agak menyenangkan urat-urat badan terutama jantung dan otak. Ini laluan masuk (gateway) mudah dunia "hijau" bagi wargakota.

Walau bagaimana pun, bagi mereka yang datang perlulah berhati-hati, terutama yang membawa anak-anak. Kera-kera di sini cerdik dan batu-batu sekitar sungai agak licin.

Saya juga kira kawasan sekitar Hulu Langat ini adalah satu kawasan yang paling banyak kawasan-kawasan rekreasi sungai. Juga terdapat empangan tadahan air di sini. Memandu menyusuri jalan-jalan sekitar ini satu pengalaman yang menenangkan.
Kawasan-kawasan rekreasi di Hulu Langat ini sebenarnya tidak jauh bagi wargakota. Jika ada masa terluang, datanglah ke sini - yang tidak tahu jalan boleh jemput saya sebagai "tour guide" hehe.

*Nasi Lemak masakan Hajah sedap.
**Gambar-gambar ehsan Datin Sue.

Rindu Masakan Rumah...

Salah satu perkara yang saya sangat "rindu" untuk melakukannya adalah memasak. Saya suka memasak dan menggunakan herba-herba dalam masakan saya. Saya teringatkan "lamb chop" atau "ribs". Saya juga terbayangkan teppanyaki salmon, "sandwich" daging salai, "omelette" keju, ayam goreng atau sambal belacan beserta dengan ikan singgang goreng ditambah nasi yang panas, ulam, ikan masin dan kicap.

Sudah lebih setahun dan akhir ini saya sangat teruja. Cuma tiada dapur untuk ubati kerinduan ini.

Dalam pada itu teringat pula sotong masak hitam mak...tak mengapalah, sekurangnya ada yang janji masakkan nasi lemak dengan sambal "ultimate"nya hujung minggu ini...dan bercakap tentang sambal, terliurlah pula dengan sambal roti paun Makcik Kiah...

Haha kemaruk betul saya ini...


Pencatat Kedai Kopi...

Saya seorang pencatat/penulis di kedai kopi. Saya lebih banyak berkarya di kedai kopi. Entah mengapa bila di kedai kopi saya begitu. Mungkin kaffeina itu. Mungkin nikotina. Campuran kedua - (kimia?) ini merangsang urat mencatat - agaknya. Mungkin juga suasana. Saya sangat selesa di beberapa kafe. Dan waktu ini kafe di Aeon AU2 menjadi pilihan.

Di satu sudut, dengan secangkir kopi hitam, tanpa gula mahupun susu/krim di sisi, saya mula memerhati sekeliling.  Dalam pemerhatian saya itu akan timbul watak-watak. Anak-anak yang berlari riang atau menangis menagih sesuatu mengingatkan saya tentang Ali. Tiga orang pakcik kulit putih (Amerika) yang berhijrah ke sini selepas pencen mengingatkan saya tentang Ray. Makcik yang terpaksa dipimpin - mak saya. Mamat "rugged" - Indie. Wanita tinggi lampai bertudung - ...

Saya mula menulis - rasa hati atau apa yang sudah terpendam di campur dengan suasana dan watak-watak. Di sini permulaan cerita-cerita saya. Tidak lama, sekitar 45 minit hingga satu satu jam. Saya akan pastikan apa saya yang ditulis/catat itu selesai. Semuanya berlalu pantas. Sesetengah sampai ke blog. Sesetengah lain saya simpan dan harapan kelak mungkin akan disambungkan/kaitkan antara satu sama lain dan menjadi catatan yang lebih besar. Saya suka mencatat/menulis cara begini - spontan.

Ada yang bertanya, jadinya di rumah buat apa? Ah, saya lebih banyak membaca sebenarnya. Membaca, membaca, membaca hingga resah dan lesu dan timbul rasa untuk kaffeina - mendapatkan rasa dan suasana yang ada di kafe. Begitulah kitaran santai saya.

Emila Yusof

Jika sedang santai cuba layari www.emilayusof.com



Selepas itu daftar diri anda dan undilah dia jika rasa dia layak.

Terima kasih :)

Ini Blog Saya - log kehidupan saya.

Peristiwa yang terjadi hari ini sesuatu yang telah lama saya jangkakan...

Menulis di blog atau status FB membawa pelbagai terjemahan kepada pembaca.

Tulisan-tulisan saya di blog majoritinya berkisar tentang kehidupan saya sendiri - log kehidupan. Tidak semua saya ceritakan, tetapi memadai untuk meredakan jiwa (saya) yang bergelora. Ia tentang diri saya sendiri. Benar, Ali banyak mendominasi, tetapi bukankah dia sebahagian dari saya - zahir dan batin?

Jadi harapan saya agar yang membaca tidak menterjemah lebih jauh dari apa yang saya tulis. Juga janganlah pula terasa kerana serasa saya, tiada satu tulang "jahat" pun dalam diri ini untuk menyatakan "kau jahat" atau "aku baik" atau "aku ini mangsa". Saya luah kerana saya bukan seorang penyimpan. Mungkin masa "muda" saya mampu, tetapi kini tidak lagi. Saya tiada kapasiti membawa rasa-rasa sebegitu. Hidup terlalu singkat. Kita kena tahu kemampuan sendiri.

Percayalah, niat saya menulis di sini mahupun di status mukabuku adalah luahan diri sendiri.Malah setiap  doa-doa saya tidak destruktif malah baik-baik saja. Jadi kepada pembaca yang membaca, ini hanyalah luahan diri saya menuju keluluhan fizikal yang abadi. Saya sahaja dan jika ada yang terasa - pahit atau mengenai dirinya sendiri, percayalah, sememangnya tiada niat langsung mahu jadinya begitu. Ini saya.

*Pos ini lahir kerana balas-membalas sms-sms "keras" tadi. Tekanan buatkan kita hanyut layari arus kemarahan hingga akhirnya tersedar kita jauh tersasar.

Wang Kertas/Polimer Baru...

Bank Negara Malaysia akan keluarkan wang kertas/polimer baru pada suku kedua tahun ini.

Selain desain baru dan warna yang lebih garang, saya tertarik dengan not wang RM20 yang diperkenalkan kembali.

Saya juga tertarik dengan not RM1 yang bukan di atas kertas lagi tetapi polimer - seperti not RM5.


Ali & Mahani...

Hari ini hari terakhirnya bersama Ali...

Mahani nama pembantu rumah yang menjaga Ali sebaik dia lahir. Esok petang dia kembali ke Indonesia. Tentu sekali Ali akan merasai kehilangannya. Saya juga begitu kerana selama ini saya sangat percaya dan rasa selamat bila Ali bersamanya. Sebahagian kelakuan Ali selama ini dibentuk olehnya tetapi aneh, Ali hanya berbahasa Melayu dan Inggeris. "Slang"nya lokal.

Saya sangat berterima kasih kepada Mahani kerana selama saya tiada, dialah yang mengambil alih banyak peranan dan kehadiran saya. Dan di satu masa pernah saya rasa dan ketahui, dalam senarai orang-orang penting hidupnya (Ali), saya nun jauh di bawah. Itu meluluhkan hati saya, tetapi saya faham dan terima.

Esok Mahani kembali dan tentu saja yang paling merasai kehilangannya adalah Ali. Hidup mereka berdua - Ali dan Mahani - akan berubah mulai esok. Mereka melangkah mulakan hidup baru tanpa kehadiran masing-masing di sisi.

Terima kasih Mahani!