header-photo
Showing posts with label wbsb. Show all posts
Showing posts with label wbsb. Show all posts

Mengapa...?

Sejak saya pos entri mengenai penjualan lukisan bapa saya, saya terima banyak reaksi. Banyak yang tampil penyokong, ada yang tidak.

Sedia maklum sudah lebih empat tahun WB tidak terbitkan buku baru. Saya terbuai sebenarnya waktu itu. Mengharap sesuatu jatuh dari langit. Memegang peluang-peluang yang hadir waktu itu.

Memang sesuatu jatuh dari langit - batu-batu agaknya kerana itu kini saya begini. Dan peluang-peluang yang hadir itu pun hilang bagai air di lopak padang - setiap hari disinari suria dan akhirnya kering dan kontang.

Dalam kepala saya waktu itu hanya WB dan penulis bawah naungannya. Saya tutup pejabat untuk berhenti tanggung kos menyelenggara. Saya bertemu kenalan di PTS dan urus soal penerbitan karya-karya agar karya itu tidak terpendam dan penulis sedikit sebanyak mendapat royalti semasa WB rawati sakitnya.

Batu-batu dari langit tidak terhenti di situ. Hal peribadi capai puncak dan dari situ hanya satu jalannya...ke bawah. Pemberi-pemberi semangat selama itu hilang bersama semangat saya. Rasanya seperti lampu ditutup. Saya teraba dan dalam itu terketuk sesuatu di kepala dan saya juga keliru dan bingung.

Saya dilahirkan untuk mandiri. Setiap manusia sebenarnya begitu. Cuma cara mandirinya lain-lain. Setahun hidup seorang bertemankan tiga ekor kucing yang diwarisi dan juga Rahmat - seorang insan yang banyak mengajar saya erti hidup walaupun tidak disedarinya. Dulu saya berkongsi udara dengan Ali. Sesekali mimpinya sama bergabung. Kini saya tiada mimpi lagi. Kali terakhir bermimpi seorang wanita berambut panjang menjerit di telinga saya selama tujuh hari berturut. Itu tujuh hari pertama di rumah ini. Selepas itu tiada lagi. Mungkin yang menjerit kehabisan suara. Mungkin juga dia putus asa melihat saya.

Tapi, saya tidak pernah putus asa. Mungkin mengambil masa (memang saya seorang yang lembab dan mengambil masa bertindak), tetapi saya tidak pernah lari dari tanggungjawab. Saya tidak pernah putus asa, walaupun ada yang kata saya malas.

Seorang penerbit kerjanya menerbit. Ini kepakaran saya dan ini yang perlu terus saya lakukan dan kerana itulah lahir soal menjual lukisan-lukisan bapa saya untuk menjana dana bagi bangkit semula. Saya bukannya meminta derma (dana percuma) mahupun "soft loan". Saya bukan mahu beli kondo mahupun kereta mewah. Saya cuma mahu mengisi tabung WB agar saya dapat terbitkan semula buku-buku. Saya mahu segarkan semula WB dan baiki kehidupan. Senario dunia kini memang berlainan - tidak sama dahulu. Saya tidak mahu simpati kerana simpati itu satu kelemahan yang akan menghancurkan diri sendiri. Saya memberi peluang kepada sesiapa yang mahu memiliki secebis karya seorang yang bernama A. Samad Said - kebetulan bapa saya. Ini pelaburan buat saya dan pembeli yang cintakan seni. Ini bukan soal politik atau sedekah. Saya boleh katakan lebih lagi, tetapi soal paling penting telah saya katakan. Itu mencukupi...tetapi jika masih samar, saya lakukan ini untuk "survival" WB, karya-karya bawah naungannya dan juga diri mereka sekeliling yang terlibat termasuk saya.

Dan jika itu sesuatu yang tidak baik, saya benar tidak tahu apa yang baik lagi.


*Lukisan-lukisan yang ditawarkan akan dipamerkan di http://kataluhur.blogspot.com/  sebelum minggu ini berakhir.


Gendang Kacip 2004

Lakaran Pak Samad

1hb Oktober 2010...

Hari ini agak bersejarah bagi saya (dan Wira Bukit) kerana hari ini hari pertama kami beroperasi di pejabat yang baru...lagi.

Seperti yang diketahui sesetengah yang mengikuti perkembangan dunia penerbitan terkini, Wira Bukit telahpun bersetuju secara lisan bersetuju membenarkan pihak PTS menerbit dan mengedar karya-karya Pak Samad. Perjanjian akan ditandatangani selepas kami menyelesaikan perkara-perkara yang kecil.

Saya masih ingat sebab utama Wira Bukit ditubuhkan...

"Mengapa Wira Bukit? Mudah, memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja."

Dan saya kira dengan perkembangan ini, kami (PTS dan Wira Bukit) membawa karya-karya Pak Samad ke satu aras yang saya kira belum diterokai tetapi saya tahu ia sangat cerah, insyaAllah.

Oh ya, pejabat baru Wira Bukit adalah:

No. 12
Jalan DBP
Dolomite Business Park
68100 Batu Caves,
Selangor.

Ya, kami di PTS agar segalanya berjalan lancar dan WB boleh menerokai ruang-ruang yang lain.

Rindu Ibu...

Segmen #1
CD Lagu Puisi Rindu Ibu

Dapatkan di www.wirabukit.com

"Coffee Table"...

Terbitan pertama 2009 Wira Bukit
Sebuah buku "Coffee Table"
Himpunan puisi & lakaran Pak Samad
Cetakan pertama buku ini besar kemungkinan tidak dijual di kedai-kedai buku.
Ini kerana ia telah "dibeli" oleh sebuah korporat tempatan.
InsyaAllah, edisi umum akan dipasarkan pada suku tahun kedua 2009.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Wira Bukit Sdn. Bhd.
Lot 2088 & 2089
Dewan Tun Razak 2 (TR2)
Pusat Dagangan Antarabangsa Putra
Kuala Lumpur
4 - 13 April 2008

Berita lain: 1) Sila ke http://klbookfair.com/index.php/exhibitor/
dan lihat berapa banyak gerai WBSB!!!
2) Pak Samad akan berada di gerai WBSB sepanjang KLIBF insyaAllah.

Pesta Buku - Isnin 7/4

#1 - Hari ini saya ingat hendak santai, tetapi jadi sebaliknya. Agak sibuk walaupun pengunjung tidak ramai tetapi kuasa membeli itu ada - lebih lagi Pak Samad ada...

Saya ditanya semalam (Ahad) tentang kesan berada di TR2. Sebenarnya WBSB mendapat ruang di TR3, tetapi bersetuju bertukar dengan sebuah syarikat. Saya tahu TR2 tidak "seribut" TR3. Pastinya juga jualan akan terjejas. Mengapa? Mudah, WBSB menyertai KLIBF 2008 kerana ini penyertaan pertama kami. Kami hanya mahu buat satu "statement" - WBSB sebuah syarikat penerbitan dan kami sudah bersedia melangkah ke satu aras yang lebih tinggi dari yang lalu. Kami mahu "santai". Kami mahu memberikan perkhidmatan "personal" kepada pengunjung yang meminati karya-karya Pak Samad. Pengunjung akan dijemput duduk bersama Pak Samad dan dihidangkan minuman jika berkesempatan.

Jualan buku? Alhamdullillah. Saya sebenarnya terkejut dengan angka jualan kami. Buku terbaru Pak Samad "68 Soneta Pohon Ginkgo" setakat ini dijual melebihi 300 naskhah. Buku kanak-kanak Pak Samad - Rumah Rahsia, Yang Berat Sama Dipikul dan Bendera Di Atas Bukit - juga mendapat sambutan. Anehnya buku "Adik Datang" yang diterbitkan pada tahun 2002 juga masih "panas".

"Patutnya lebih banyak kalau WB kat atas," kata seorang sahabat.
"Mana kau tahu?" jawab saya.
"Atas tu ramai orang! Sini kurang," jawabnya.
Saya senyum saja..."Rezeki tangan Tuhan," bisik hati saya.

#2 - Alhamdullillah, saya bertemu ramai sahabat "blogger" dan mereka tidak ketinggalan bersantai dengan kami. Makcik Reen yang "tak reti" sangat dengan sastera pun beli buku Pak Samad! JR seperti biasa - saya tidak terkejut - ada dan sarat dengan buku-buku yang dibelinya. Puan Sharon sungguh ramah. Kang Jowo yang pinter (dan hensem) sedar dia ada peminat...bukan saya, tetapi KT yang ikut terjun buat blog - jangan risau, hanya satu Jowo Pinter pada saya! Dan ramai lagi...terima kasih sahabat!

"Antara bloggers dengan ahli politik, janji siapa lagi laku?" bualan saya dengan seorang rakan blogger...hahahaha kita semua tahu bukan?

*Gerai WBSB di TR2, no. 2088 & 2089. Selain buku-buku terbitan WB, buku-buku terbitan UA (Usman Awang) dan MPR pun ada.

Pesta Buku 5 April...

Hari ini agak sibuk! Tetapi, yang menarik perhatian saya ada dua perkara...kebetulan kedua-dua perkara itu melibatkan DBP...

Perkara pertama - Hari ini terdapat 13 pengunjung yang bertanyakan tentang novel "Salina"...tanya DBP, DBP suruh pergi Rhythm. Pergi Rhythm, mereka kata tak ada stok. Datang ke WBSB, kami kata DBP "penindas". Benar, saya benar-benar menceritakan tentang bagaimana Pengarah DBP menjelaskan tentang mengapa DBP tidak melepaskan hak penerbitan karya-karya Pak Samad yang masih di tangan DBP - jika melepaskan, penulis lain akan menuruti. Saya benar merasakan pembesar-pembesar DBP hanya mementingkan diri mereka. Lihat saja kenyataan Pengerusinya beberapa tahun yang lalu (kepada Lina Usman Awang & isteri Pak Samad) yang menyatakan karya-karya sastera Pak Samad dan Allahyarham Usman Awang tak laku. Dan juga saranannya kepada Ibu Ainon agar menerbitkan buku-buku BI kerana buku-buku BM bagai matahari terbenam. Persoalan, bagaimana boleh mereka ini menerajui DBP? Bukankah DBP harus memelihara dan menyuburkan bahasa dan sastera? Mengapa meletakkan mereka untuk memimpin jika mereka sendiri tidak ada kepercayaan? I know for a fact that both of you are selfish. If you want a fight, then let's fight...

Perkara kedua - Ini yang membuat saya ketawa...saya terbaca tentang Bengkel Hak Cipta pada 12hb April ini... menarik hingga saya melihat penganjurnya...DBP! Hahahahaha...memang kelakar!

Gerai WBSB - KLIBF 2008

Sebelum
Dan selepas...

Karya terkini Pak Samad

Bakal terbit April 2008.

Rumah Rahsia

Alhamdullillah, hari ini siap cetak - 2 versi - edisi terhad dan santai. Kedua-duanya kulit keras. Yang membezakannya adalah "jacket" dan kertas yang digunakan.

Kota Bharu...

Lebih 20 tahun berlalu, akhirnya saya tiba juga di KB...
Dan, terus bekerja...
Salah satu kedai makan yang sedap di KB...
Dan insyaAllah, suku kedua tahun 2008 WBSB akan buka cawangan pertamanya di Kota Bharu.

Persidangan...

Semalam saya menghadiri satu persidangan. Persidangan ini antara sahabat-sahabat sahaja - yang sudah merasai kegagalan dalam perniagaan.
Ujang terlalu selamba tetapi terkadang berhati-hati. Hadi terlalu "merindui" abangnya - Ujang - dan sering mengimbas kembali silam.
Apa yang kami sidangkan?
Tunggu...2008 tentunya menarik.

Perlu bantuan...

Salam.

Saya mohon rakan bloggers emel kepada saya nama dan alamat surat-menyurat. Ini adalah untuk membina "database" agar kelak dapat menyampaikan berita/jemputan/kad ucapan.

Emel: helmysamad@wirabukit.com

Terima kasih.

*Alamat dan nama alam nyata ya, bukan emel :)

Impian & realiti...

Impikan...
Mampukah?

Daerah Samad

Lukisan & lakaran...

Selain menerbitkan buku, WBSB juga menguruskan lukisan dan lakaran Pak Samad.
Ini sebahagian yang akan dipamerkan dalam "Daerah Samad" di Galeri Petronas 12 Jun - 15 Jul ini.

Pesta Buku 2007

Saya ke Pesta Buku tadi. Sebaik melangkah masuk, entah mengapa timbul rasa kecewa dan cemburu.

Saya rasa kecewa kerana WBSB tidak dapat menyertai pesta buku tahun ini disebabkan oleh beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Saya rasa cemburu kerana melihat penerbit dan pengedar buku mempamirkan produk mereka.

Saya sedar, berada di sini satu igauan buat saya.

Saya berterima kasih kepada PTS kerana dalam beribu produk, mereka beri ruang pada produk WBSB. "Bunting" produk 2007 WBSB pun mereka cetak sendiri.

Saya benar-benar rasa WBSB sepatutnya berada di sini! Ini satu kegagalan buat kami pada tahun ini...dan saya harap - dan berdoa - itu saja kegagalan kami sepanjang tahun ini.

Apapun, hidup tidak boleh statik. Tahun hadapan insyaAllah kami akan menyertainya. Kepala saya sedang berkira-kira dan sedang berangan menggambarkan bagaimana rupa gerai WBSB...