header-photo

Hantu Pokok Pisang...

Bermula Februari tahun ini saya mula gunakan pengangkutan awam. Dari tempat saya bertahta, jika hendak ke perhentian bas, jaraknya sekitar 2km. Ini saya anggap sebagai satu senaman. Dengan beg galas yang beratnya sekitar 7kg (ok saya "over" sebenarnya hampir 10kg), hampir setiap hari saya - cuba - ulang-alik mengikut laluan ini. Namun, ada satu bahagian yang agak-agak menduga saya setiap malam saya balik ke istana hinggap. Bahagian ini adalah bahagian kebun pisang. Ia di antara Masjid dan kawasan perumahan. Tidak panjang, hanya sekitar 150 meter sahaja. Di kiri dan kanan pokok pisang dan antara pokok-pokok pisang itu ada pokok-pokok yang melangit (tidak tahu namanya sebab malas bertanya).

Sudah lebih empat bulan saya lalui jalan ini tanpa masalah hingga akhir ini, saya sering diganggu. Pokok-pokok pisang ini digoncang-goncang kiri dan kanan dan bunyi seakan cengkerik agak kuat berbunyi di belakang. Ini sudah lima kali berlaku. Saya "tak angkat pot" sangat. Saya jalan saja dan berzikir hingga melepasinya. Saya cuma anggap ada anak-anak nakal yang ter"over excited".

Ini juga mengingatkan saya tentang sebuah filem - mungkin dua buah (filem Siam pun ada) - tentang hantu pokok pisang...lawa hantu ini jika mereka mahu lawa bukan?

Saya suka pisang - pisang berangan, pisang goreng, pengat pisang - dan jika ini melayakkan saya menerima gelaran Hantu Pisang, saya tidak kisah, tetapi jika satu malam kelak saya terjumpa hantu pokok pisang bagaimana? Perlukah saya terangkan saya memang hantu pisang agar dapat sedikit kelonggaran?

Saya tidak tahu apa yang akan berlaku jika ini berlaku...anda bagaimana :)

3 reaksi:

afza said...

Pelawa ia makan pisgor!

akusucikaukeji said...

lari tak cukup tanah

Helmy Samad said...

Hehehe :)