header-photo

Aku yang terseliuh...

Sudah hampir 2 bulan aku memikirkan tentangnya. "Orang Tua Itu" rasanya terlalu peribadi dan buat masa ini aku tidak mampu mengolahnya. Mengapa? Hidupku kini berlainan sekali berbanding dengan waktu aku mula menulisnya. Aku "kehilangan" rasa itu. Aku kehilangan cara aku menulisnya. "Orang Tua Itu" ditulis waktu aku begitu kritikal. Hidup begitu tertekan. Sekelilingku negatif dan aku benar-benar seperti telur di hujung tanduk. Dan, kerana itulah setiap kali aku mencuba, siling, langit, pokok, burung, kenderaan dan apa saja yang ada di sekeliling menjadi perhatian - mencari "rasa" itu, mencari sesuatu yang mungkin aku hilang selamanya.

"Kau & Aku 1, 2 & 3" tercondong kearah "chic-lit". Waktu itu aku seakan dibuai oleh Tony Parsons, Nick Hornby dan Yann Martell. Siri "Kau & Aku" ini terlalu ringan dan "predictable" - dalam penilaian aku. Berkali sudah aku mengolah, namun semakin diolah semakin aku rasa bosan dan batinku tahu, karya sebegini hayatnya tidak panjang dan itu sesuatu yang harus dielakkan.

"SSN"...dalam semua karya-karya yang ada, aku rasa "SSN" mempunyai peluang yang terbaik untukku "merasmikan" kehadiranku dalam dunia penulisan kreatif ini. Namun, hingga kini aku tidak mampu "mengikat"nya. Ada sesuatu yang "kurang", atau mungkin saja ada sesuatu itu terlebih dan perlu dikurangkan.

Aku tidak suka menulis tentang sesuatu yang terlalu berat kerana aku bukannya seorang yang berfikiran berat. Pada aku hidup ini terlalu singkat kerana masa kita terlalu dipenuhi oleh perkara-perkara yang remeh. Pada aku kita - tanpa sengaja, mungkin - "memberatkan" hidup kita sendiri. Dan, kini aku cuba "mempermudahkan" hidupku dan dengan sendirinya itu mempengaruhi penulisanku.

Dan dalam blog, pada aku hanyalah taman di mana aku meleraikan rambutku dan menulis apa saja yang aku rasai, tanpa ada halangan, tanpa ada paksaan. Boleh dikatakan blog ini taman di mana aku bermain dan bereksperimen.

Jadinya, antara "Orang Tua Itu", "Kau Dan Aku" dan "SSN", aku rasa Secebis Syurga & Neraka paling cerah harapannya untuk diterbitkan, mungkin tahun hadapan. Doakan urat-urat kepalaku tidak terseliuh agar dapat aku "mengikat" karyaku ini.

0 reaksi: