header-photo

Aku gembira jika...

Entah berapa kali memikirkan tentangnya...dan bila sekali lagi terfikirkannya tadi, aku sedar, dalam umur sebegini, mungkin telah beratus kali...mungkin saja beribu.

"Apa yang membuatku gembira?"

Persoalan sebegini melahirkan pelbagai jawapan bergantung kepada keadaan masa dan rasahati. Jika suasana agak tidak menyenangkan disebabkan oleh tekanan dalam permasalahan hidup, tentu saja jawapannya berkisar dalam penyelesaian permasalahan kehidupan itu sendiri. Andai suasana santai dan menyenangkan, tentu saja apa saja yang dilakukan waktu itu menyenangkan.

Hariku bermula agak lewat hari ini. Mungkin kerana tuntutan kerja atau mungkin saja aku tidur lewat kerana membaca, sebaik terjaga, seperti biasa akan aku capai telefon sel dan mendapati sudah hampir jam 11. Menyelak minda mencari jadual hari ini...ah, hari ini aku perlu pergi ke Jalan TAR bersama Daliey mencari dan membeli kain-kain untuk baju Hari Raya Emak, Mummy dan Papa...

Pengakuan: Pada mulanya aku rasa tertekan apabila semasa mandi dan bersiap berkali memikirkan tentang kesesakan manusia di Jalan TAR, namun sebaik aku tiba dan apabila semuanya selesai dalam masa satu jam, memeriksa realiti, aku sedar, aku sebenarnya terasa senang saja. Mengapa? Bukankah tadi sebelum kami mencari kain, kami membatalkan pesanan makanan di sebuah kedai makan di Jalan TAR kerana terpaksa menunggu lama? Ah, mungkin kerana aku mampu menghalang diriku dari membeli sesuatu untuk diriku sendiri agaknya...

Selepas itu kami ke Ampang Park untuk makan di Cozy House dan seperti biasa selepas makan Daliey dan Dila mahu...ah apalagi?

Namun, aku tidak rasa tertekan...mengapa? Mungkin sekali lagi aku mampu menahan dari membeli sesuatu...agaknya...

Tapi, apabila mak menerima kain yang kami hadiahkan itu...aku sedar...

Ah senang saja...

Apa yang membuatku gembira?

Aku gembira jika sekelilingku gembira - terutama insan-insan yang disayangi...30072006

Akhir-akhir ini sekelilingku ceria dan keceriaan mereka memancarkan sinarnya kepadaku...aku rasa ringan, aku rasa senang dan selangkah lagi pendakian aku dalam memahami makna-makna kehidupan ini...

Dan, aku sedar juga, makna-makna kehidupan ini bukan hanya tentang kegembiraan...

0 reaksi: