header-photo

Pukul 1.30 pagi...

Hari yang agak sibuk. Selain dari menyusuri jalan-jalan di Kuala Lumpur - karenah ASEAN - mengelak kesesakan dan mencari jalan pintas, aku sedar suspensi sebelah belakang keretaku sudah hampir tamat tarikh luputnya. Ini ketara apabila melalui jalan yang tidak rata dan semasa mengambil selekoh. Dengan kesesakan yang memaksa kereta membakar lebih petrol serta terkadang terpaksa mengambil jalan yang bertol, aku rasakan kita sebenarnya sengaja mencipta ini semua hanya untuk memancu ekonomi agar tidak melecet. Mengapa tidak mengadakan saja ASEAN itu di Putrajaya? Bukankah di sana ada kemudahan? Untuk apa bangunan bulat mengembang itu? Untuk apa kesesakan ini? Mengapa suspensi keretaku nazak dalam waktu sebegini?

Persoalan demi persoalan, maklumlah hati panas. Dan bila terlepas dari semua itu, akhirnya aku mencari Amy. Nak berehat seketika minum Nescafe tarik di canteen sambil berbincang tentang buku-buku dan juga projek-projek Wira Bukit. Namun, aku dikejutkan apabila Uncle yang berniaga itu sudah bertukar kulit. Bukan Uncle saja, malah mamat yang selama ini membuat Nescafe tarikku juga bertukar kulit...mamak? Apa hal?????

Jadinya disebelah petang selepas aku melalui satu hari yang bolehlah dikatakan "panas", aku dan Daliey pergi ke The Curve...dengan satu niat, aku mesti memiliki sebuah komputer riba kerana komputer riba yang ada sudah "koma". Adalah sedikit terubat hati yang panas kerana akhirnya aku mampu "beroperasi" kembali secara normal. Dan Daliey pun secara normalnya melawat Ace Hardware dan British Hindia yang sedang sale tu...normal juga dia keluar dari kedua kedai ini dengan "buah tangan" terutama semasa di Ace Hardware. Aku boleh lihat matanya bersinar dan tangannya terketar mencapai itu dan ini...saat itu terimbas di kepala filem "Nujum Pa' Blalang"..."Kau tengok tu, aku amik ini...aku amik itu, kau tengok ini...," yup, aku terasa seperti dia berkata begitu kepadaku waktu itu.

Dan dalam aku "menggodak" komputer riba, dari pukul 9 hingga 1 pagi, perut aku pula seperti tergodak...oleh angin yang seperti ombak beralun. 1.30 pagi dan aku lapar! Hendak ke 223 aku malas pula. Hendak ke restoran mamak dekat rumah aku tak berapa berkenan sangat dengan kari, maggi jauh sekali...aku perlu nasi! Akhirnya...aku masak nasik satu pot dan makan dengan serunding daging yang aku beli beberapa hari yang lalu di Tesco Damansara...ahhh inzalnya!P6260001_1

Peringatan: Serunding seperti ini sebenarnya perlu dalam masa darurat. Kalau malas masak nasi, boleh makan dengan roti.

Akhirnya terubat juga apa-apa saja yang menyakiti...ah lihat sebelah kiri gambar, memperkenalkan "Lion Toy" yang aku namakan Camelia...harap Daliey tidak cemburu apabila aku meribanya sambil jari-jemariku menyampai hasrat di jiwa...


Ah, aku teringat pula suspensi yang nazak tu...

0 reaksi: