header-photo

Jubah...

Saya sedar, di Ampang - tempat saya tinggal kini, ramai warga tempatan memakai jubah. Ini sangat ketara terutama selepas solat terawih di sekitar Ampang Point. Sedia maklum juga sekitar Ampang Point ini sudah menjadi "port" santai warga-warga Arab. Saya tidak tanya mengapa mereka hijrah ke sini, tetapi mereka nampak selesa. Kehadiran mereka jelas dengan kedai-kedai perniagaan mereka yang kini tumbuh segar seperti di Ampang Point, Bukit Bintang, Subang Jaya dan dengar cerita di Putrajaya juga.

Berbalik kepada jubah, bagi saya yang sudah biasa memakai "jeans", memakainya membuat saya rasa seperti pakai "skirt" pada permulaannya. Pergerakan agak terbatas. Langkahan perlu tidak besar sangat dan bila duduk perlu "adjust" beberapa kali. Itu permulaannya. Kini, saya kira saya ada sekitar 6-7 jubah - yang dihadiahkan dan juga yang dibeli dan saya mula selesa menggunakannya. Memakai jubah tidak membuat saya menjadi "arab". Samalah bila saya pakai "jeans" atau kot atau tali leher - ia tidak buat saya jadi orang barat. Saya tetap saya.

Apa yang cuba saya katakan di sini adalah kini lelaki ada satu lagi cabang dalam fesyen pakaian. Dahulu agak susah hendak cari dan membeli jubah ini. Kini sangat berlainan. Dahulu jubah dikaitkan dengan orang yang kuat beragama (di Malaysialah), kini lelaki seperti saya pun pakai...


..dan lagi satu yang menarik perhatian saya adalah wanita sangat suka apabila suami atau temannya berjubah. Mengapa ya?

*Jubah apa yang anda suka?

Siput Sedut...

Sudah hampir seminggu. Bila imbas kembali, memang saya begini setiap Ramadhan: Hilang selera. Berbuka dengan air dan kurma sahaja dan lewat malam baru tercari apa yang mahu dimakan - ini pun susah dan selalu berakhir makan yang bukan-bukan. Namun, saya adalah saya. Jadinya tiada apa yang aneh atau memeranjatkan.

Sebut tentang aneh, saya terperasan, semakin usia Ramadhan terhakis, semakin kerap saya lihat wanita-wanita mula memasak. Ini jelas jika kita layari mukabuku.  Mengapa? Banyak dalam kepala, tetapi apa dalam kepala lelaki tidak serumit wanita - pengakuan ikhlas. Anda boleh baca apa dalam kepala lelaki. Mudah! Wanita? Misteri.

Jadinya saya di sini duduk menulis entri ini. Sesekali hisap "straw" kopi ais. Selang hisap rokok. Dalam kepala mencari menu-menu yang boleh mendatangkan selera dan ini tidak dapat lari dalam pencarian itu: Siput Sedut Masak Cili Api.

Mana hendak cari?

Manusia...

Semalam satu hari yang menduga...

Maklum saya ada sedikit simpanan dan simpan melalui orang ketiga - saya sebenarnya tidak percaya kepada diri sendiri dalam soal wang. Oleh sebab terdesak kerana emak perlu untuk daftar pembedahan, saya meminta secara tergesa. Orang ketiga ini kata dia dalam kursus dan saya perlu tunggu hingga kursusnya tamat sekitar jam 5 petang. Dia juga kata wang yang dipinta tidak cukup dalam akaun banknya sebab dia sebenarnya simpan di Tabung Haji. Saya suruh dia pindahkan apa yang dia ada. Saya mahu cepat agar dapat tarikh yang sudah ditentukan.

Jam 5 lebih sedikit dia kata dia hendak berjumpa di Sentral dan hulurkan apa yang ada dahulu. Saya jawab tidak perlu kerana saya perlukan cepat. Lagipun terus dan terang saya hanya ada RM15 dan minyak kereta tidak cukup (agaknya kerana lampu minyak sudah menyala). Itu tidak dipedulikannya. Dia tetap mahu jumpa dan tentukan tempat.

Soal begini, saya sudah tawar hati dan tidak layan lagi. Jika kita tonton filem - tidak kisah Hollywood, Bollywood, Greenwood dll - saya kira mangsa sudah dipenggal atau ditembak mati kerana si pemberi wang berlengah/berdalih. Jadi saya kira memang tidak ada rezeki di situ dan saya senyap sahaja sedangkan dia tidak putus-putus ber"sms" - dia telefon saya tidak jawab. Pada saya ini soal mudah. Dia perlu:

1. Buka komputer dan pindahkan wang (saya tahu dia ada kemudahan ini) atau
2. Pergi ke bank dan pindahkan wang melalui mesin ATM.

Semudah itu....

Tetapi, ini tidak berakhir di situ. Saya kemudiannya menerima "sms" yang memaki saya - termasuklah makian seperti (saya terjemah) "anak haram" dalam bahasa Melayu. Jadinya senario bertukar. Saya kini jadi "orang jahat" hanya kerana tidak mahu berjumpa dan mengambil wang yang mahu diberikannya (padahal ini memang wang saya). Dia mungkin tidak lihat senario yang lebih besar - Emak saya atau duit saya atau duit dan minyak yang saya ada.

Hidup memang begini. Manusia fikir dia berkuasa bila dia ada sesuatu yang boleh digunakan atas manusia yang lain...walaupun apa yang digunakannya itu bukan miliknya. Jadinya saya kini "anak haram" dan akan masuk neraka dan dibakar - mengikut "sms" dialah - minta dijauhkan nauzubillah min zalik.

Hidup diteruskan. Dia sudah tiada tempat dalam hidup saya.

Realiti...

Sedang saya bakar sekeping lagi lukisan, saya menerima pesanan ringkas. Berhenti, saya membaca. Tiada reaksi sangat dari saya kerana waktu itu rasa di hati pada emak yang tidak sihat dan anak-anak. Telefon berbunyi lagi. Pesanan ringkas lagi dan saya tidak kisahkannya lagi.

Hidup ini terlalu pendek dengan manusia seperti saya mahu melakukan bermacam yang tentunya banyak jua akan tidak diterlakukan atau gagal. Banyak dalam kepala dan banyak juga tidak signifikan sebenarnya. Apa di depan mata saya waktu itu - lukisan - sudah hampir selesai apinya yang tadinya garang, tetapi kini menagih sesuatu untuknya sambung hidup. Saya kira kita pun begitu. Ada masa kita sangat lemah, masa kita mula belajar, masa kita garang dan di kemuncak dan tiba-tiba kita sedar masa kita sedang meluru laju menurun dan akhirnya masuk kubur.

Saya melihat emak dan berkali berfikir, "Adakah kita benar-benar manusia atau binatang yang bertopengkan wajah manusia?" Sudah agak lama dia begitu dan sudah beberapa kali dibedah dan beberapa kali pembedahannya gagal dan perlu dilakukan semula dan semua ini yang paling menyedihkan sangat bergantung kepada wang. Jadinya saya buka semula koleksi-koleksi lukisan pemberian bapak dan mula menawarkannya kepada umum. Itu tiga minggu yang lalu.

Kini saya melihat sekeping lagi lukisan menjadi abu. Sudah dua dan saya akan teruskan lagi minggu hadapan hingga tiada lagi. Tiada apa yang kekal dan saya tidak mahu apabila orangnya sudah tiada barulah masyarakat berebut-rebut memuji atau berlakun menghargainya dan karyanya.

Saya tidak risau kerana tiada apa yang kekal Cumanya saya sangat kecewa kerana emak yang begitu dan saya hanya mampu berdoa Tidak lebih. Tidak kurang....