header-photo

"It will sound stupid, if I speak Malay"

'It will sound stupid if I speak Malay' daripada mulut Sharifah Amani selepas terima trofi Pelakon Wanita Terbaik undang kemarahan Datuk Seri Rais Yatim'


“Saya tidak menghina bahasa Melayu. Apa yang saya maksudkan lebih mudah untuk saya meluahkan rasa dalam bahasa Inggeris. Saya tidak mahu orang sakit hati mendengar kerana saya kurang fasih berbahasa Melayu.” - Sharifah Amani.

Dalam hal ini, saya tidak terkejut jika orang yang terkejut dan marah atas kenyataan tersebut lantas meluahkan kemarahannya itu akan dikatakan kolot. Malah, pasti ada yang menuduh kita terlalu sensitif hingga melatah kerananya - ini telah berulang saya alami.

Bagi saya, Sharifah Amani telah "mengejutkan" kita yang selama ini menganggap bahasa Melayu itu semulajadi dalam diri kita dan tidak begitu mengendahkannya, apalagi mendalami mempertajamkannya. Saya membayangkan kebun atau dusun yang terbiar dan tidak diendahkan, pastinya akan bersemak dan kalau tidak bernasib baik, ada sang harimau atau ular sawa yang melingkar... menanti, menerkam atau membelit dan memakan/menelan tuan punya kebun/dusun yang selama itu tidak buat apa-apa, tetapi bila musim buah rajin pula meredah semak. Bila ini terjadi, gempar di media (termasuk blog!) maka tercetuslah kesedaran lantas kebun-kebun dan dusun-dusun mula ditebas oleh tuan-tuan kebun/dusun - dan sang-sang harimau/ular-ular sawa pun merungut terpaksa berpindah ke dalam hutan berhampiran.

Saya sebenarnya berterima kasih kepada Sharifah Amani. Dia boleh saja sebagai pembuka kata menyatakan, "Maaf, saya berbahasa Inggeris..," tetapi tidak. Dia perlu menyatakan, ia akan kedengaran sumbang jika dia berbahasa Melayu. Dan kerana kenyataannya itu - serta seruan revolusi mencemar budaya - kita tercelik, "APA HAL?" jerit hati. Selama ini jika bahasa Melayu yang menjadi bahasa Kebangsaan - tetapi tidak kebanggaan - diperlekeh dengan tidak begitu diambil berat, kini sekurangnya ada menteri yang rasa terhina dan berdukacita. Saya harap juga YB menteri-menteri sedar ini bukan "jarum dalam timbunan rumput kering". Ini berleluasa - ramai bangsa Melayu menganut dan mengagungkan bahasa Inggeris dan menolak bahasa ibundanya sendiri. Buktinya mudah - It will sound stupid, if I speak Malay’.


* Saya tidak rentan, saya benar-benar berterima kasih kepada Sharifah Amani - "U Rawk babe!"

**Kini ego saya - menulis dalam bahasa Melayu sedangkan dalam kepala berbahasa Inggeris - terubat, sedikit...

0 reaksi: