Mengimbas silam, saya tidak dapat lari dari mengingati saat saya menjejak kami ke dalam alam maya - internet. Sebelum itu hampir setengah hidup saya berkisar dengan alam komputer. Selepas SPM, semasa menanti keputusan, entah mengapa sebuah papan kekunci, peti telivisyen dan perakam kaset menarik perhatian. Ini sesuatu yang baru! Dan, saya - dengan sedikit pujuk rayu kepada bapa - mengambil kursus komputer - BASIC - di sebuah pusat pengajian komputer di Bangsar. Dari situ bermulalah hidup saya dalam alam komputer. Untuk pengetahuan, kenalkah anda kepada komputer-komputer berikut:
1. Tandy TRS-80
2. Sinclair ZX-80
3. Apple: II, IIc, IIe, Lisa...
4. And those compatibles yang gunakan "Microprocessor" atau "CPU" Z-80, Motorola 6502 & Intel 8088.
Kebanyakkan anda belum lahir lagi waktu itu agaknya...
Saya mula bekerja selepas itu di Yow Chuan Plaza. Itupun selepas hampir tiap-tiap hari melangut & menyibuk di sebuah kedai komputer - Numeron Computers - dan mungkin kerana itu, tuan punya kedai itu menawarkan pekerjaan dan itu seperti sebuah impian menjadi kenyataan. Selain menjual komputer, saya juga belajar memasangnya. Masa berlalu dan saya berhijrah dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain - tentu saja dengan tawaran yang lebih menarik. Akhirnya, berkeyakinan, saya menubuhkan sebuah syarikat menjual komputer dan "network". Masa itu Interl baru memperkenalkan "processor" 486nya. Sekali lagi masa berlalu dan syarikat itu mengembang hingga 1996. Tertipu, saya terpaksa menggulung tikar. Saya tidak sempat tumbang oleh kemelesetan 1997!
Selama dua tahun saya agak "takut" menyentuh komputer hingga ada sebuah kaunter berkotak dengan sebuah komputer dan dipaparkan diatasnya "Internet" yang terletak di bawah eskalator di Subang Parade menarik perhatian. Anda perlu membeli kad prabayar untuk menggunakannya - RM6 satu jam. Dan dalam satu sesi internet di sebuah kafe, saya terjumpa seorang dengan nama samaran "AntuTafe".
Jika tidak silap, pada mulanya kami bertengkar tetapi akhirnya duduk bersama menikmati teh tarek di satu gerai di SS15 Subang Jaya. Bersama, kami lalui banyak cabaran. Saya menyukainya kerana sifatnya yang tegas, degil dan selalunya orang bersifat begini pintar.
Terlalu banyak yang dilalui selama lapan tahun ini. Dia melihat bagaimana hidup saya hampir musnah dan terbina semula dan saya melihat bagaimana dia tercari arah dalam hidupnya dan akhirnya menemui apa yang dicitanya. Dan terkadang kami tersangkak oleh perbalahan, namun akhirnya terserlah nilai sebenar persahabatan itu.
Menoleh silam, saya tersenyum. Trs-80, Sinclair, 6502, 8088 membawa aku ke jalan di mana kita bertemu di satu persimpangan. Banyak yang telah kita lalui dan 22hb ini, akhirnya dia akan mengakhiri zaman bujangnya.
Saya hanya mahu dia mengetahui betapa persahabatannya itu sangat saya hargai dan sanjungi. Saya tidak mampu menggambarkan erti persahabatan selain dari apa yang saya jalin dengannya.
Ini masamu Madd, cuba jangan ulangi kesilapan sahabatmu ini...
Selamat Pengantin Baru Madd & Ateen...hidupmu baru bermula!
0 reaksi:
Post a Comment