Terfikir sesuatu yang menarik selepas menerima panggilan dari seorang teman semasa memandu pulang setelah seharian ke hulu dan hilir serata lembah kelang.
Akhir ini semakin ramai penulis yang menerbitkan sendiri karya mereka. Mengapa? Setahu saya, Sdr. Faisal Tehrani, Ayahanda Shahnon Ahmad, Sdri Lina Usman Awang dan yang terbaru Sdri Nisah Haron (kecuali Lina yang hampir menghasilkan penerbitan syarikatnya yang pertama - Tulang2 Berserakan - sebuah novel karya Allahyarham Ayahanda Usman Awang) menerjuni alam yang baru ini. Mengapa?
Setelah agak lama terbuai, saya sedar itu bukan persoalannya. Yang penting pada saya adalah "survival" mereka ini. Menerbitkan buku satu hal. Memasarkannya, satu hal yang lain. Selain bahan yang perlu sentiasa diadakan bagi menjana penerbitan, pemasaran yang baik diperlukan agar penerbitan bahan-bahan yang tersedia menanti untuk diterbitkan itu tidak terencat oleh kekurangan dana.
Saya berdoa akan kejayaan mereka ini - dan tentunya kejayaan Wira Bukit juga. Mereka inilah yang mengombakkan kembali lautan sastera yang selama ini tenang sahaja. Lautan yang berombak pastinya akan menerkam-nerkam pantai dan membawa perubahan bentuk rupa.
Dan dalam situasi ini, pastinya dunia buku sastera Melayu sedang mengalami suatu perubahan...
Persoalannya, adakah kita kembali menenangkan lautan setelah kita selesa?
0 reaksi:
Post a Comment