header-photo

Solidariti...

Awal pagi saya baca sebuah kisah tentang nasib karya seorang sasterawan yang mungkin tergadai. Ini sebenarnya menjadi pengajaran paling besar buat saya. Apabila saya mula menerbitkan karya-karya Bapak, saya hadapi pelbagai rintangan kerana tiada ilmu langsung dalam bidang penerbitan buku. Banyak kali saya terajar. Ini proses berterusan hingga akhir hayat

Berhadapan dengan keadaan di mana sesebuah karya itu bakal bertukar pemiliknya, itu sesuatu yang tidak terbayangkan oleh saya. Dan, saya tidak mahu berada dalam keadaan itu. Pastinya dengan tersiarnya berita tersebut, akan bergelora - sekurangnya - dunia sastera kita. Dunianya kecil sebenarnya, tetapi berjiwa besar.

Saya kini tahu betapa besarnya risiko yang terpaksa diambil bila "ditugaskan" untuk memelihara dan menyuburkan karya-karya Bapak. Saya juga sebenarnya agak bernasib baik kerana Bapak masih ada dan setiap usaha itu akan diteliti dan dinasihatinya. Banyak juga yang dibantah dan dipaksa henti atau batal.

Umumnya memang masyarakat tidak akan memahami 100% apa yang dihadapi oleh anak-anak pengkarya yang mahu memelihara dan menyuburkan karya-karya bapanya. Nampak hebat dan beruntung. Memang ini saya akui, tetapi tentu sahaja yang hebat dan lumayan itu ada kelemahan-kelemahannya. Saya mula susah, senang dan susah. Ini laluan hasil dari tindakan-tindakan saya sendiri. Erti lain, saya buat, saya tanggung. Namun, tidak semestinya begini. Besar kemungkinan ditangan orang lain ini tidak akan terjadi. Pastinya mewah. Pastinya karya-karya itu sangat subur kini. Namun, di tangan anak-anak pengkarya soal lain, yang tidak mungkin dikira dan ternampak masyarakat adalah nyala rasa (passion). Jadi kita ini ada kecatatan. Ada kelemahan. Baca: saya bukan seorang yang pandai berniaga.

Kak Lyna telah membuat jalannya sendiri dan dia perlu melalui jalan itu. Saya kenalinya semenjak kami sama-sama himpun di DBP lewat 60an (mungkin awal 70an). Kerjaya kami hampir serupa, tetapi cara-cara melakukannya ada yang sama, ada tidak. Dia kini berhadapan sesuatu yang besar dan mungkin saja akan mengubah terus hidupnya - perkara biasa sebenarnya kerana kita pun berubah laluan kehidupan berkali. Walau apa pun dia di mata kita, saya tetap akan berada dan mengiringi dia sedaya mampu saya. Ini kerana dia bagai kakak pada saya dan nyala rasa kami serupa.
Sebenarnya ini bukan soal yang besar (apalah sangat sebuah karya bukan?), tetapi memerlukan keberanian untuk menghadapinya dan anehnya keberanian itu bukan sangat menghadapi situasi kehilangan itu, tetapi pandangan-pandangan dan percaturan sekeliling. Saya doa agar terima dengan terbuka dan tidak negatif. Kita telah mulakan dan kita perlu terus hingga penutupnya. 

*Tulisan ini tiada niat terseliuh. Cuma saya nyatakan solidariti saya :)

0 reaksi: