header-photo

Sedetik dalam sejarah...

Dia dan saya pernah bersama mencari dan cuba melengkapkan cita.

Bersama dihadiahkan tahi merpati di Trafargar Square dan Marble Arch, kaki bengkak kerana berjalan dari pagi hingga pagi di kota sejuk ini, dikejar pengemis (ya, di sini ada pengemis!) dari Edgware hingga Oxford, melihat saja Eye of London dari sisinya kerana gayat dan dihukumi rakan yang niatnya terseliuh, saya kira cita itu tidak lengkap namun memadai.
Saya melihatnya. Dia juga sama.

Dalam hati kita saling bertanya, "Bila nak pergi lagi?"

Pendakian...

Sudah beberapa kali saya mendaki untuk mencapai sesuatu.

Dan berkali apabila dipuncak, apa yang dilihat adalah gurun saja di sebelah sana.

Saya akur, setiap pendakian dalam kehidupan tidak semestinya mendatangkan harapan bila sudah dipuncak. Namun saya perlu konsisten dan tidak berputus asa dalam pencariannya.
"Selagi bernafas, selagi itu ada rezeki," bisik hati yang tidak mahu mengalah.

Diri terus melangkah walau lesu...

Merpati...

Saya melihat merpati putih yang terbang di awan biru.

Bebas...dan lahir rasa, "Alangkah enak jika aku sepertinya."
Dalam tekun sesekali khayal melihat merpati putih itu terbang, tiba-tiba ia disambar helang dan hilang dibawa jauh bersama rasahati sebelum ini...

Dunia tidak boleh indah 100%...

Terajar...

Dulu menjadi ritual saya membeli nasi lemak dengan sepasang suami dan isteri yang menjaja dengan kereta buruknya di SS18 Subang Jaya setiap pagi sebelum ke pejabat.

Dia banyak mengajar saya secara tidak langsung...

Nasi lemaknya laris dan jika datang selepas pukul 9 pagi alamat kempunan.

Salah satu pengajaran...

Satu hari saya lewat ke pejabat kerana uruskan anak (Firdaus) ke sekolah. Waktu itu juga hujan. Jalan sesak walaupun sudah pukul 10 lebih. Dari jauh saya nampak kereta buruk pakcik itu masih ada. Saya berhenti dan bergegas dengan payung...

"Wah banyak lagi!" Sambil melihat lauk-lauk dalam periuk.
"Macam biasa encik?"
"Ya...," sambil terlihat berbungkus nasi di atas meja. "Banyak orang pesan pakcik?"
"Oh bukan. Ini nak sedekah."
"Sedekah?"
"Ya. Hari ini tak ramai orang beli. Mungkin sebab hujan."
"Rugi ya Pakcik..."
"Tidak, encik, tidak rugi bila bersedekah..."

Saya terajar...

Masih...keliru...

Sering menyelak majalah...

Dan sering juga terpegun melihat keanggunan model yang memperaga fesyen...terutama yang berpandukan Islam.

Saya terpegun...cantiknya...lawanya...

Aneh bukan interpretasi dan apa boleh kita lakukan atas nama agama dalam dunia sekarang?

Sedar...

Saya sedar saya sudah berumur bila tenaga yang ada tidak mampu menandingi tenaganya...
Dia akan berlari...panjat...lari...panjat...hingga selalunya lelah...
Dan dalam lelah, dia mampu lagi begini...

Terkadang...

Terkadang lebih mudah menyalahkan yang lain...

Namun, nun jauh di lubuk hati...aku di sini, begini, "terbina" selama ini atas niat dan perbuatan aku sendiri...dengan izin Allah.

Kelak bila cukup masa semuanya mesti dijawab...

Kalau ditanya samada saya takut...

...tentu!

Imbasan...

Aku duduk di bangku ini, melihat tupai-tupai berkeliaran dalam suhu hampir beku, berfikir, mencari rasional...

Kota ini terbina dari penjajahan, penindasan dan perompakan berabad.
Dan aku hanya boleh duduk di bangku ini melihat tupai-tupai itu...

Allah.

Saya keliru mulanya.

Berdikit saya sedar, mahkamah yang buat keputusan berdasarkan undang-undang ciptaan manusia.

Namun jika dibiarkan, mungkin satu hari kelak akan nampak pelekat di kenderaan-kenderaan, poster, segala jenis media dan perbualan...(Astaghfirullah)"Isa anak Allah"...bagaimana?

Saya hormat agama lain, tetapi saya kira hal ini satu penghinaan besar terhadap saya. Di serata dunia sedang hebat dan lebat memperlekehkan agama saya, kini akhirnya berlabuh juga penghinaan itu di tanah air saya ini terang-terangan - depan mata, dalam hati.

Tidak perlu tanya apa pendirian saya...

Tidak perlu tanya apa perlu saya lakukan...

Baca juga Faisal Tehrani - Allah (lagi).

Emila Yusof...

Saya tidak terkejut dia mula menerima pengiktirafan . Memang dia mempunyai bakat semulajadi. Dia juga seorang yang tidak kenal erti penat cerewet, teliti dan tidak pernah puas dengan hasil kerjanya.

Hampir 99% rekabentuk terbitan WB dihasilkan olehnya. (Klik sini)

Tahniah buat Emila!

Baca juga ini!

Anak...

Dia sungguh tenang waktu itu. Sesekali dia terkekek - mungkin mengigau kerana harinya sentiasa aktif. Dan saya senyum menyambut setiap kekekannya itu.

Ini biasa berlaku hampir 20 tahun yang lalu. Suasana aman itu meredakan jiwa.

Saya selalu soal diri sendiri tentang kemampuan saya menjalankan amanah seorang bapa. Hingga hari ini saya masih kecewa dengan diri saya sendiri.

Walaupun berkali diberitahu tentang batas kemampuan, namun kekecewaan itu sudah terpahat. Tentu saja anak berhak mendapat sesuatu jauh lebih baik dari seorang bapa - didikan ilmu dan kekayaan, zahir dan batin. Itu rasa saya...

31hb...

Apa yang pasti, malam 31hb akan datang, saya akan duduk diam di rumah kerana malam itu menjanjikan pelbagai "keributan" yang sertai warna-warna cahaya bunga api...

Macam menyambut kemenangan besar bukan?

3 Jumaat...

Bermula Maal Hijrah Jumaat ini (esok) hingga dua lagi selepas esok Jumaat kita cuti. Campur semua Jumaat, Sabtu dan Ahad x 3 = 9 hari! Campur habiskan cuti tahunan dan mc...buat sendiri kiraan. Campur bonus (kalau ada)...

Semuanya dalam masa lebih kurang 2 minggu! Wah berapa hari kerja?

9 hari cuti + cuti tahunan (kalau ada) + mc (kalau mahu) + bonus = banyak masa. Apa yang sering terdengar kini adalah...

1. "Nak cuti di mana?"
2. "Nak shopping kat mana?"
3. "Nak tengok wayang apa?"

Selain,

Enjoy, parti, konsert...bestnya hujung tahun!!!

Persoalan: Itulah kehidupan yang saya kenal kini...tetapi, kenapa saya risau, kacau dan sedih?

Majlis II...

Sesuatu tentang majlis seperti ini...

Saya sedar betapa masa berlalu dengan pantas apabila bertemu saudara mara dan sahabat di majlis seperti ini. Kehidupan yang pantas di kota seperti melalaikan saya tentang masa. Setiap kali bertemu pasti masing-masing terkejut. Ini bukan wajah yang saya ingat - ya, wajah itu sudah dimakan masa.

Jadi bermulalah proses potong dan tampal (cut and paste) dalam minda ini. Wajah dulu diganti wajah terkini.

Diakhir majlis, duduk sendirian dengan segelas teh tarik saya tersenyum sendiri. Saya rasa syukur ditemukan dan disegarkan kembali ingatan tentang mereka ini. Ia seakan satu proses pemulihan (ingatan) dan penyuburan (silatulrahim).

Fikiran saya juga membisik...mungkinkah kita bertemu lagi?

Majlis...

Pagi Sabtu.
Segalanya selamat. Adik saya selamat bernikah di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya.

Petang Sabtu.
Segalanya selamat juga. Majlis di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya selamat dijalankan.

Pagi Ahad.
Selalunya santai dan memang santai sehingga...

Ada ramai juga saudara dan sahabat yang disedari tidak dijemput...

Saya minta maaf. Dalam keributan urusan-urusan seharian (baik yang bersangkut paut dengan majlis ini dan peribadi), ada nama-nama yang tertinggal. Saya kecewa.

Tentu sekali yang tidak dijemput rasa lebih kecewa...

Anak Angkat...

Badrul seorang anak angkat semenjak dia bayi lagi. Kini dia 18.

Dua tahun lalu ibu angkatnya meninggal dunia. Sebaik ibu angkatnya meninggal dunia, keluarga sebelah ibunya tuntut hampir segala harta yang ada. Nasib rumah yang diduduki bersama ayah angkatnya masih ada.

Kini dia selalu termenung hingga satu hari dia bertanya kepada seorang kawan karibnya, "Kelak kalau aku tumpang rumah kau boleh?"

Saya faham. Ayah angkatnya sedang sakit. Dia seakan tahu dia akan kehilangan tempat tinggalnya tidak lama lagi.

Manusia memang boleh dibeli dengan harta...

Tuala wanita...

Masa benar sudah berubah...

Dulu, sekitar 70an, saya kerap berbasikal ke kedai. Mak suruh beli sesuatu.

Tokey berbangsa Cina itu akan bungkus kotak tersebut dengan kertas surat khabar. Cara beli pun agak berhati. Suara perlahan kerana seakan ada rasa malu sedikit.

Tapi itu semua sudah berubah. Kini selalunya ambil dan letak dalam troli. Sudah selesai, bayar. Tiada nak sembunyi-sembunyi lagi.

Iklan di TV pun sudah berlambak...

Rasanya seperti sesuatu dari diri kita terhakis berdikit oleh masa tanpa disedari.

Selingan...

Dua jam...
atas meja ada lima gelas kosong dan mamak (sekoh) ni setiap dua minit datang tanya samada aku nak pesan apa-apa - sungguh cekap dan efisyen (nak suruh blah).

Dua jam satu minit...
tekak aku dah loya dengan teh tarik. Rokok pun sama. Dan dalam aku loya dan mula sakit kepala, mamak (sekoh) ni datang lagi. Aku senyum dan menggeleng. Dia blah.

Dua jam tiga minit...
telefon aku berbunyi...

Dia: Dude, sorry. Aku tak dapat datang. Sangkut kat office. Ada dateline.
Aku: Errr ok...
Dia: Ok, catch you some other time. Salam.
Aku: Salam.

Dua jam empat minit...
Aku: Salam. G kau ada mana?
G: KD...
Aku: Jomlah teh tarik!
G: Kat mana?
Aku: Biasa.
G: Ok, 5 minit.

Aku lega. Tersenyum. Sebenarnya aku datang kedai mamak ni tak bawa duit...

Anak...

Benar, mendidik anak bukan satu tugas senang. Ia satu amanah pada saya. Saya bertanggungjawab atas pembentukannya.
Terkadang "letih" juga melayan karenahnya terutama apabila dia berkali sengaja menduga tahap kesabaran saya.
Saya ingat saya tahu segalanya tentang anak.
Namun, anak memang tidak henti menyuluh ruang gelap dan melahirkan rasa baru tentang kehidupan yang selama ini tidak terlihat dan terasa oleh saya.

Membaca...

Siapa yang biasa ke rumah kami pasti terkejut melihat buku-buku dan majalah menghiasi hampir segenap ruang rumah...malah dalam tandas pun terkadang ada majalah dan buku!

Saya tidak tahu berapa banyak buku yang telah saya baca, tetapi sehingga kini sudah menjadi rutin - harus membaca bila sedang santai, sebelum tidur dan semasa dalam tandas rumah...hehe.

Terima kasih kepada bapak yang menerap minat membaca dan mengajar agar tidak "lokek" berbelanja membeli buku.