header-photo

Soalan Awal Pagi...

Saya sedang baring, santai dengan buku Norwegian Wood terbuka 3/4 tertiarap di dada dan berfikir, "Mengapa aku blog?"
Jawapan paling ikhlas sebenarnya kerana saya suka menulis - dan membaca. Saya blog juga untuk lepaskan apa yang berbuku di hati. Saya bukan seorang penyimpan - saya suka kongsi, pengalaman. Dan tentu sekali apa yang saya tulis itu tentang diri saya - log diri sendiri yang tentunya ditapis.
Tentu ada yang perasan saya obses dengan Ali dan kafe (saya juga obses dengan anak sulung saya Firdaus, tetapi dia sudah dewasa, saya perlu jaga privasinya). Ada juga yang terbaca saya ini penagih cinta - siapa bisa hidup tanpa cinta? Saya cuba elak politik. Terkadang terajar oleh kejadian-kejadian. Berkali terlanggar tembok limunan agama lantas menyedarkan. Ada-ada masa terpaksa berpihak kerana tiba di simpang tiga. Dan macam-macamlah rasa diri pada sesuatu masa dalam perjalanan hidup saya ini - banyak rasa luka sebenarnya akhir ini.
"So tell me, why do you blog?" tanya seorang rakan.
"I don't have anything better to do actually. I can't talk to myself at cafes or in public can I? So I blog."
"You are weird dude."
Saya senyum.
Inilah ekspresi yang menzahirkan rasa hati.

Kata Luhur...

Untuk

Langkah Lestari...

Saya sokong Himpunan Hijau kerana mahukan kesejahteraan dalam kehidupan.

Saya tahu apa yang terjadi di Bukit Merah dan saya juga tahu bahawa banyak peralatan yang kita gunakan kini dihasilkan oleh kilang-kilang seperti yang terbina di Gebeng. Jadinya sebab itu ia selamat, kita patut sokong dan terima kasih? Saya terfikir, bolehkah peralatan-peralatan yang menggunakan bahan-bahan proses ini akan menjadi lebih murah untuk rakyat sekiranya ia diproses di sini? 12 tahun pelepasan cukai dari RM8 billion pendapatan yang dianggarkan setiap tahun. 350 pekerja. Lokasinya yang berhampiran penempatan penduduk. Ada pemindahan teknologi? Anda kiralah sendiri, apa yang menguntungkan dari segi material? Apa yang kita dapat? Yang saya dengar dengan kilang proses nadir bumi ini,  monopoli negara China akan terlerai. Saya juga terfikir, ini sebenarnya lebih menarik...jika ia sangat selamat, mengapa tidak dibina saja di negaranya? Bahan mentah yang di keluarkan di Mount Weld tidak perlu menggembara 5,000km untuk di proses di sini. Penggembaraan sebegitu jauh perlu bahan api. Berapa banyak bahan api yang dibakar? Bukan itu menambah kos? Dan yang terhebat sekali, kerajaan Australia dilaporkan tidak akan menerima bahan buangan beradioaktif ini. Jadi apa? Buang di mana? Mana pelan pembuangannya?

Kilang ini selamat kata mereka jika dikawal selia dengan baik. Selamat dan jika. Lihat jika. Ada jika. Jika tidak? Bagaimana? Kita ini "superhuman" sangatkah? Bagaimana jika ada "human error"? Bagaimana jika ada bencana alam? Kita lihat apa terjadi dengan Jepun. Kita juga tahu Chrischurch di New Zealand dilanda gempa bumi yang terhasil dari "new fault line". Sesuatu yang baru bukan? Sesuatu yang dulunya kita tidak tahu sehingga ia berlaku - "new fault line". Juga lihat mengapa Akzonobel (pembekal resin) menarik dari.

Dan akhir sekali, salahkah dan "lekeh" sangatkah diri saya ini kerana risau akan kesejahteraan kehidupan ini?  Salahkah saya menyokong Himpunan Hijau ini atas rasa-rasa saya ini? Salahkah saya risau tentang hal alam sekitar ini? Bukankah kita ini dipertanggungjawabkan untuk memelihara bumi?

Juga baca http://motherjones.com/environment/2012/02/rare-earths-lynas-malaysia

Joni Kater...

Ali: Daddy, Ali nak see Joni Kater...
Saya: Hah? Joni...
Ali: Ali nak see Joni Kater...
Saya: Joni Kater?
Ali: Joni Kater Daddy...
Saya hanya mengangguk...Joni Kater?

Semasa sedang tonton tv dengannya malam itu...

Ali: Daddy, Joni Kater!
Saya: OoooooooOOOooooo...

Joni Kater adalah John Carter. Bagaimana jadi Joni saya pun tidak tahu.

Bacalah...

Saya sering mengeluh bila mengalami kesusahan atau tertimpa sesuatu yang buruk. Saya juga mengaku sering saja tersenyum dan rasa riang dan terkadang megah apabila mengalami sesuatu yang indah atau tertimpa sesuatu yang baik.

Ini yang sedang mahu saya elakkan. Apa yang sering saya lakukan dalam kedua-dua situasi ini menggambarkan betapa saya ini jahil. Ini bukan sengaja. Ini spontan. Jarang sekali saya ucap syukur atau mengingatiNya, walaupun sering terdetik dalam hati rasa saya itu menyalahi.

Saya sedang membaca tadi waktu menanti seseorang. Ini terjemahan dan ini menyedarkan...

Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar. - Al-Baqarah ayat 153.

Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. - Al-Baqarah ayat 155.

(Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un". - Al-Baqarah ayat 156.

Ini sekadar ingatan buat saya...





Poyo...

Bersama seorang kawan...

Kawan: Betul bang...orangnya berilmu. Jalan dalam hujan tak basah!
Saya: Biar betul?
Kawan: Betul bang!
Saya: Kau nampak ke?
Kawan: Nampak bang!
Saya: Cuba cerita...
Kawan: Hari tu kat Ampang Point hujan lebat. Saya nampak dia sedang tunggu nak lintas jalan. Nak ke kereta dia kot. Dia pun buka payung dan jalan dalam hujan bang!
Saya: Huh!
Dia ketawa...
Kawan: Betullah bang. Orang ada ilmu guna payung bila nak jalan dalam hujan. Orang gila je jalan dalam hujan tanpa apa-apa perlindungan...
Saya: Perli akulah tu yang basah ni! Kau ni poyo laaaa...

Gaji...

Saya sedar, kita jadi ceria atau lebih ceria setiap kali gaji masuk.

Itulah nikmat hasil usaha kita. Jadi jangan membazir dan hargai hasil titik peluh kita.

Mesej ini disampaikan oleh orang yang tidak ada gaji...hehe.

Stress...

Kita dilahirkan tanpa ada apa-apa kecuali ikatan keluarga dan janji. Dari segi material memang tidak ada. Itulah yang saya rumuskan.

Dalam kehidupan, selain membina dan mengumpul perkara-perkara yang kita tidak nampak (contoh: dosa, pahala, silatulrahim), kita juga bina dan kumpul benda yang fizikal - harta dan wang.

Kita manusia biasa dan kerana itu kita paling takut hilang benda-benda fizikal ini. Ramai percaya, wang dan harta sandaran terbaik pada kuasa dan pengaruh. Ini terbukti dengan kehilangan kawan ataupun fitnah-fitnah yang lahir jika seseorang itu "jatuh".

Itulah keduniaan.

Saya semakin kerap kehilangan material-material sebegini. Mulanya saya memang stress. Hilang BB stress. Hilang komputer stress. Hilang jam stress. Hilang wang stress. Hilang kereta stress...semua stress. Bila stress, semua "tak jalan"...bayangkan betapa lemahnya saya. Hanya kehilangan sebegini saya sudah lumpuh?

Allah itu hebat. Dia Maha Penyayang. Dan saya rasa beruntung kerana dalam pada saya stress atas sebab-sebab begini, saya mampu berfikir. Dia lahirkan logik dalam pemikiran saya. Saya beruntung. Kehilangan material yang tercipta oleh manusia mana mungkin sama atas kehilangan seperti silatulrahim? Erti lain, putus hubungan antara ibu, bapa, isteri, suami, anak, sahabat dan kenalan mana boleh disamakan dengan kehilangan material? Pernah terfikir putus hubungan kepada nabi dan rasulnya? Agama? Dan Allah? Nauzubillah...

Apa yang ingin saya katakan adalah, sabarlah jika anda jatuh. Itu sudah termaktub. Siapalah kita hendak menyoal atas kemahuanNya? Dia lebih mengetahui. Ada hikmahnya. Yang penting kita ingat hal-hal yang tidak kita nampak, seperti iman. Teruskan usaha dan jalani kehidupan anda. Jangan putus asa.

Jadi kini saya sangat stress kerana saya begitu jahil.

Jahil...

Saya ini memang jahil. Itu saya sedar. Banyak yang saya tidak tahu. Contoh, saya pernah tanya teman saya bagaimana hendak solat sunat tasbih. Jadi kerana kejahilan ini, saya banyak ikuti kuliah ustaz-ustaz atau ulama-ulama di alam maya dan bila berkesempatan di alam nyata. Salah seorangnya UAI dan kini mula ikuti Mufti Ismail Menk. Syukur alhamdullillah, kini timbul ramai ustaz-ustaz dan ulama-ulama yang "cool". Saya perasan ramai anak-anak muda ikuti mereka ini - alhamdullillah.
Ini hadiah dari Mufti Ismail Menk. Dia dari Zimbabwe. Dia melawat Malaysia dan saya berkesempatan menemuinya semalam. Dia "ccol" dan dia benar menghidupkan urat-urat tubuh saya. Di penghujung pertemuan, dia berikan hadiah pula. 

Vandalism...

"Vandalism" - terlalu saya rasakan...
Siapakah gerangan yang senang-senang menconteng hati dan jiwaku ini?

Rasa...

Hari ini semasa dalam bas saya memerhatikan seorang budak lelaki yang duduk di hadapan saya. Pendek kata,  apa yang saya nampak sebenarnya adalah Ali. Dia begitu dominan dalam hati saya. Saya boleh menitiskan airmata hanya dengan mengingatinya - berkali terpaksa saya fikirkan perkara lain kerana sebak.  Bukan saya tiada akses, tetapi keadaan saya tidak membenarkan. Jadi akhir ini memang saya lebih senang duduk sendirian, mengerjakan OTI dan sesekali melihat gambarnya...
Saya benar merinduinya...

Hidup Atau Mati...

Sering kita dipaparkan dengan kenyataan ini terutama di filem atau drama:

"...tiada kena-mengena dengan yang hidup ataupun yang mati..."

Pada saya ini kenyataan hendak lepas tangan saja. Mana mungkin tidak ada kena-mengena...

OTI - #172125

Setelah hampir tiga hari tidak jenguk, rasa di hati tidak dapat dibendung lagi. Saya duduk meneliti dan pruf.
Juga bertimbang-timbang untuk menambah beberapa bab agar ia lebih kemas.

"Aku mencari seorang wanita yang menerima diriku ini seadanya. Bukan mengutip setiap kata-kata yang aku tulis dan mencetuskan masalah. Mengapa wanita begini? Mengapa mereka terlalu emosional? Mengapa mereka ambil apa saja yang ditulis oleh seseorang yang disayangi itu sebagai sesuatu yang peribadi walaupun apa yang ditulis itu untuk tontonal dunia? Ah, mereka ini terlalu istimewa?"

Ketinggalan Zaman...

Saya singgah di sebuah kedai makanan "mamak" di Bangsar selepas balik dari melawat emak. 
Kawan saya makan Mee Goreng Ayam Goreng.
Saya makan Nasi Beriani Bukhara Ayam Goreng.
Errrr sejak bila Mee Goreng Ayam Goreng lebih mahal dari Nasi Beriani Bukhara Ayam Goreng? Mungkin saya sudah ketinggalan zaman agaknya...

Tidak Kisah...

Adakah kita tidak nampak atau tidak kisah atau apa?
Atau sememangnya tempat-tempat letak kereta istimewa bagi OKU terlalu banyak?

Belah Terang...

Sudah beberapa minggu kereta saya rosak. Selama itu saya mula menaiki bas dan elarti. Saya mula dapat memerhati banyak yang tidak dapat saya perhati semasa memandu. Inilah hikmahnya, terutama apabila saya mula menulis semula.
Tidak semua yang nampaknya buruk itu sebenarnya buruk. Ia bergantung dengan cara penerimaan kita. Selalulah lihat pada belah yang terang dalam kehidupan.

Pretzel & Kopi...

 Sepanjang perjalanan balik dari PPUM - melawat emak - saya agak dibuai pelbagai perasaan.
Sedih dan kasihan melihat emak yang terlantar. Dalam elarti saya lebih memerhati warga-warga kota yang lesu setelah seharian bekerja. Perut saya mula mengadu. Baru sedar saya belum makan - seharian.
Saya mula terbayangkan pretzel yang disaluti gula kayu manis (cinnamon). Gandingannya, kopi!
Dan kenyataan ini sememangnya benar. Itu makan malam saya - pretzel dan kopi. Mungkin esok saya perlu bawa beberapa pretzel untuk emak yang tiada selera makan itu...

Hip[p]o...

Aku kata, "Hipokrit!"
"Hippopotamus," katanya.
"Hipokrit!"
"Hippopotamus!"
"Hipokrit!"
"Hippopotamus daddy..." senyum nakal.

Sejuk melihatnya. Mana mungkin aku menang...
*Fragmen "K & A #3"

Syukur Alhamdullillah & Terima Kasih...

Usia pasang, hayat surut. 

Saya beryukur kerana dikurniakan lagi masa untuk refleksi diri dan bertaubat. Semoga tidak disia-siakan peluang sebegini.
Terima kasih semua atas doa dan ucapan :)

Orang Tua Itu...

Ini mini novel saya yang pertama. Ditulis sekitar tahun 2000. Belum diterbitkan kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak habis. Kata lain, tidak lengkap. Ada sesuatu yang tidak cukup.

*“Aku resah. Perkahwinan kami patut bertahan. Tetapi, dia perlu meminta dan aku terpaksa melafazkannya di depan hakim yang aku kira sudah lali mendengarnya..." 
Beberapa tahun lalu saya cuba mencari dengan membaca dan mengeditnya. Tidak berjaya kerana kehidupan terlalu selesa tentu saja tidak dapat menjiwai sebuah cerita yang ditulis semasa lara. Saya simpan semula.

*"Salinger? Dia pelik padaku. Bersahaja, tapi sesekali mampu menawan. Watak Holden itu mengingatkan aku tentang…diriku sendiri. Cuma, mana dia Phoebe aku?"
Kini saya membukanya kembali. Saya suka dengan apa yang saya tulis dan sudah seminggu lebih saya membelek-belek membaca dengan jiwa membara dan cetusan-cetusan ide yang tidak terhenti. Tidak harus saya melepaskan peluang sebegini...

*"Dan, aku juga tahu, kesepian itu hanya ada pada hati yang sesat. "


*Cebisan OTI.

GPMS

Naskhah ini diterbitkan pada tahun 1965.
Keseluruhan hasil royaltinya didermakan kepada Tabung Pelajaran GPMS.
Itulah Pak Samad.
Saya juga terkedu dengan ini. Berusia dua tahun dan sudah ada dedikasi istimewa di sebuah karya.
Itulah bapa saya...

Hari aku tersenyum...

Sabtu lalu saya bersama Ali duduk di kafe, sesekali berbual tentang "Angry Bird" atau "Bola". Namun, dia sebenarnya lebih tertumpu kepada sesuatu. Ia sesuatu yang lama sudah tidak digunakannya - IPad. Saya tersenyum lihat cara dia menggendalikannya. Dengan jari kelenkengnya, dia menguis - menolak, menarik dan mengetuk. Akhirnya..."Daddy" sambil menunjukkan skrin IPad...
Kita berbual sebentar tentang karyanya itu. Dia lengkapkan hari saya :)
Seperti biasa..."cheeky"...

Romi & Juli 9.0...

Satu babak dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk
Dinda: Kanda, sedap tak?
Kanda: Siapa yang masak?
Adinda: Adindalah, siapa lagi?
Kanda: Itu pasallah tak sedap...

Satu babak dalam kehidupan Romi & Juli kini...
Juli: Awak, sedap tak?
Romi: Siapa yang masak?
Juli: I lah...
Romi: Sedappppp...
Juli: Tapi awak kenapa makan sikit saja?
Romi: Saya tadi dah makanlah awak.

Inilah yang dikatakan "pr" yang baik... ;)

Sungai Tekala...

Pagi tadi saya bersama "rombongan Cik Kiah" ke Hutan Rekreasi Sungai Tekala. Bagi warga kota (ehemm...seperti saya), suasana sebegini agak mententeramkan jiwa. Udaranya nyaman. Rimbunan hijau dan air sungai jernih mengalir dari perut bumi agak menyenangkan urat-urat badan terutama jantung dan otak. Ini laluan masuk (gateway) mudah dunia "hijau" bagi wargakota.

Walau bagaimana pun, bagi mereka yang datang perlulah berhati-hati, terutama yang membawa anak-anak. Kera-kera di sini cerdik dan batu-batu sekitar sungai agak licin.

Saya juga kira kawasan sekitar Hulu Langat ini adalah satu kawasan yang paling banyak kawasan-kawasan rekreasi sungai. Juga terdapat empangan tadahan air di sini. Memandu menyusuri jalan-jalan sekitar ini satu pengalaman yang menenangkan.
Kawasan-kawasan rekreasi di Hulu Langat ini sebenarnya tidak jauh bagi wargakota. Jika ada masa terluang, datanglah ke sini - yang tidak tahu jalan boleh jemput saya sebagai "tour guide" hehe.

*Nasi Lemak masakan Hajah sedap.
**Gambar-gambar ehsan Datin Sue.

Rindu Masakan Rumah...

Salah satu perkara yang saya sangat "rindu" untuk melakukannya adalah memasak. Saya suka memasak dan menggunakan herba-herba dalam masakan saya. Saya teringatkan "lamb chop" atau "ribs". Saya juga terbayangkan teppanyaki salmon, "sandwich" daging salai, "omelette" keju, ayam goreng atau sambal belacan beserta dengan ikan singgang goreng ditambah nasi yang panas, ulam, ikan masin dan kicap.

Sudah lebih setahun dan akhir ini saya sangat teruja. Cuma tiada dapur untuk ubati kerinduan ini.

Dalam pada itu teringat pula sotong masak hitam mak...tak mengapalah, sekurangnya ada yang janji masakkan nasi lemak dengan sambal "ultimate"nya hujung minggu ini...dan bercakap tentang sambal, terliurlah pula dengan sambal roti paun Makcik Kiah...

Haha kemaruk betul saya ini...


Pencatat Kedai Kopi...

Saya seorang pencatat/penulis di kedai kopi. Saya lebih banyak berkarya di kedai kopi. Entah mengapa bila di kedai kopi saya begitu. Mungkin kaffeina itu. Mungkin nikotina. Campuran kedua - (kimia?) ini merangsang urat mencatat - agaknya. Mungkin juga suasana. Saya sangat selesa di beberapa kafe. Dan waktu ini kafe di Aeon AU2 menjadi pilihan.

Di satu sudut, dengan secangkir kopi hitam, tanpa gula mahupun susu/krim di sisi, saya mula memerhati sekeliling.  Dalam pemerhatian saya itu akan timbul watak-watak. Anak-anak yang berlari riang atau menangis menagih sesuatu mengingatkan saya tentang Ali. Tiga orang pakcik kulit putih (Amerika) yang berhijrah ke sini selepas pencen mengingatkan saya tentang Ray. Makcik yang terpaksa dipimpin - mak saya. Mamat "rugged" - Indie. Wanita tinggi lampai bertudung - ...

Saya mula menulis - rasa hati atau apa yang sudah terpendam di campur dengan suasana dan watak-watak. Di sini permulaan cerita-cerita saya. Tidak lama, sekitar 45 minit hingga satu satu jam. Saya akan pastikan apa saya yang ditulis/catat itu selesai. Semuanya berlalu pantas. Sesetengah sampai ke blog. Sesetengah lain saya simpan dan harapan kelak mungkin akan disambungkan/kaitkan antara satu sama lain dan menjadi catatan yang lebih besar. Saya suka mencatat/menulis cara begini - spontan.

Ada yang bertanya, jadinya di rumah buat apa? Ah, saya lebih banyak membaca sebenarnya. Membaca, membaca, membaca hingga resah dan lesu dan timbul rasa untuk kaffeina - mendapatkan rasa dan suasana yang ada di kafe. Begitulah kitaran santai saya.

Emila Yusof

Jika sedang santai cuba layari www.emilayusof.com



Selepas itu daftar diri anda dan undilah dia jika rasa dia layak.

Terima kasih :)

Ini Blog Saya - log kehidupan saya.

Peristiwa yang terjadi hari ini sesuatu yang telah lama saya jangkakan...

Menulis di blog atau status FB membawa pelbagai terjemahan kepada pembaca.

Tulisan-tulisan saya di blog majoritinya berkisar tentang kehidupan saya sendiri - log kehidupan. Tidak semua saya ceritakan, tetapi memadai untuk meredakan jiwa (saya) yang bergelora. Ia tentang diri saya sendiri. Benar, Ali banyak mendominasi, tetapi bukankah dia sebahagian dari saya - zahir dan batin?

Jadi harapan saya agar yang membaca tidak menterjemah lebih jauh dari apa yang saya tulis. Juga janganlah pula terasa kerana serasa saya, tiada satu tulang "jahat" pun dalam diri ini untuk menyatakan "kau jahat" atau "aku baik" atau "aku ini mangsa". Saya luah kerana saya bukan seorang penyimpan. Mungkin masa "muda" saya mampu, tetapi kini tidak lagi. Saya tiada kapasiti membawa rasa-rasa sebegitu. Hidup terlalu singkat. Kita kena tahu kemampuan sendiri.

Percayalah, niat saya menulis di sini mahupun di status mukabuku adalah luahan diri sendiri.Malah setiap  doa-doa saya tidak destruktif malah baik-baik saja. Jadi kepada pembaca yang membaca, ini hanyalah luahan diri saya menuju keluluhan fizikal yang abadi. Saya sahaja dan jika ada yang terasa - pahit atau mengenai dirinya sendiri, percayalah, sememangnya tiada niat langsung mahu jadinya begitu. Ini saya.

*Pos ini lahir kerana balas-membalas sms-sms "keras" tadi. Tekanan buatkan kita hanyut layari arus kemarahan hingga akhirnya tersedar kita jauh tersasar.

Wang Kertas/Polimer Baru...

Bank Negara Malaysia akan keluarkan wang kertas/polimer baru pada suku kedua tahun ini.

Selain desain baru dan warna yang lebih garang, saya tertarik dengan not wang RM20 yang diperkenalkan kembali.

Saya juga tertarik dengan not RM1 yang bukan di atas kertas lagi tetapi polimer - seperti not RM5.


Ali & Mahani...

Hari ini hari terakhirnya bersama Ali...

Mahani nama pembantu rumah yang menjaga Ali sebaik dia lahir. Esok petang dia kembali ke Indonesia. Tentu sekali Ali akan merasai kehilangannya. Saya juga begitu kerana selama ini saya sangat percaya dan rasa selamat bila Ali bersamanya. Sebahagian kelakuan Ali selama ini dibentuk olehnya tetapi aneh, Ali hanya berbahasa Melayu dan Inggeris. "Slang"nya lokal.

Saya sangat berterima kasih kepada Mahani kerana selama saya tiada, dialah yang mengambil alih banyak peranan dan kehadiran saya. Dan di satu masa pernah saya rasa dan ketahui, dalam senarai orang-orang penting hidupnya (Ali), saya nun jauh di bawah. Itu meluluhkan hati saya, tetapi saya faham dan terima.

Esok Mahani kembali dan tentu saja yang paling merasai kehilangannya adalah Ali. Hidup mereka berdua - Ali dan Mahani - akan berubah mulai esok. Mereka melangkah mulakan hidup baru tanpa kehadiran masing-masing di sisi.

Terima kasih Mahani!

Orang Tua Itu - Anak

Ally anak yang luarbiasa. Dia dipaksa keluar sebelum cukup masa kerana keadaan ibunya. Lebih seminggu dia didalam unit rawatan rapi untuk bayi. Setiap kali aku melihatnya, kakinya tidak henti menendang-nendang. Misi berkali terpaksa membetulkan wayar-wayar yang dicucuk dan dilekat di beberapa bahagian tubuhnya yang tersimpul atau tercabut. Aku waktu itu benar merasai jarum-jarum itu - mungkin kerana aku takutkan jarum. Dia nampak tidak selesa dan aku sering berbisik kepadanya, "Sabar ya nak. Ini sementara."

Itu lebih empat tahun yang lalu. Kini hampir semuanya sudah berubah. Dia tetap mempunyai ibu. Aku tetap bapanya. Cuma kini kami tidak bersama.

Setiap kali aku bersamanya, aku tidak terlepas dari merasai aku terlepas sesuatu dalam kehidupannya. Dia bijak dan aktif. Dia juga anak ADHD.

"Daddy, Ally nak go main ball..." dan ini akan diulanginya setiap beberapa saat hingga sampai ke tempat main "ball" - taman permainan mini di komplek beli-belah.
"Daddy, Ally nak go wash..." - Dia hendak main air.
"Daddy, Ally nak fries medona" - "fries" McD.
"Daddy, Ally nak naik Eli..." - tunggang Gajah.
"Daddy, masjid castle!" Sambil tersenyum memandangku - Masjid di Kota Damansara yang seperti "Castle" - sebenarnya dia usik diriku ini.

Dan setiap kali aku bersamanya, aku sedar,  Aku sebenarnya memerlukan dia lebih dari dia memerlukan diriku ini.

Sebaik tiba di rumahnya selepas perjumpaan "mini" kami dia akan berkata, "Bye Daddy. I love u. Assalamualaikum," dan dia meluru masuk ke dalam. Setiap kali itulah aku sebak dan terkadang, jika dilayan aku akan...

Aku benar mahu lakukan lebih banyak untuknya. Namun keadaan tidak begitu mengizinkan. Keadaan buat aku malu kepadanya. Dia anak luarbiasa dalam suasana yang luarbiasa. Dan aku ini walaupun bernama "Daddy", tetapi tidak berfungsi sebagaimana patutnya. Aku luluh...

Orang Tua Itu - Ibu.

Aku duduk di kafe itu, tetapi diri ini melayang-layang di tempat lain.

Aku terbayangkan anak. Sebak. Aku terbayangkan ibu. Sebak. Aku terbayangkan bapa. Sebak. Lantas terus saja aku cuba mencari bayangan-bayangan lain yang tidak menyebakkan. Diselak satu demi satu...sebak!

Kembali ke kafe itu. Bibir ini selesa menerima kopi yang tadinya panas. Pahit. Aku pandang sekeliling. Luas. Namun, dalam diri ini sendiri lain rasanya. Sempit.

Kembali melayang-layang...

Ibu yang sakit. Telah banyak yang dilaluinya. Tabah dan setia. Itu yang sering aku rasakan tentang dirinya itu. Teringat waktu dia terlantar di hospital. Dadanya berombak. Liar. Dalam dirinya seperti sedang berlaku satu peperangan yang besar. Mesin-mesin disekelilingnya agak riuh.. Aku duduk di sudut. Melihatnya. Berdoa. Mataku berair. Aku kenangkan dosa-dosa seorang anak terhadap ibunya. Setitik airmata membasahi pipiku. Aku anak lelakinya. Tunggal.

"Mir..."
Aku tersentak. Mendongak, tangan ibu nampak terkapai.
"Mir..."
Aku segera bangun. Menyambut tangannya itu,  "Ya, bu."
"Maafkan ibu ya..."

Aku hanya mengangguk. Jiwaku ribut. Apakah ini? Seorang ibu meminta maaf dari anaknya?

"Mir minta maaf bu. Ibu jangan risau."
"Mir, peluk ibu. Ibu rindu..."

Aku hentikan saja layanganku itu terhadap ibu. Seteguk kopi. Pahit dan hambar. Dirinya begitu besar sekali dan aku tidak mampu hadapinya. Aku anak yang paling banyak menyusahkannya. Mengkhianatinya. Merisaukannya. Namun, dia minta maaf kepadaku? Aku luluh...

Kehidupan & FB...

Agak terkejut apabila akaun FB saya dikunci sementara oleh FB. Saya tidak tahu mengapa dan juga setelah terus-menerus mencari bagaimana hendak menghubungi mereka, akhirnya saya sedar - FB tidak begitu penting sebenarnya. Dengan bertanyakan apakah huruf-huruf yang dipaparkan dan selepas itu nombor telefon untuk menghantar kod (ini satu fungsi yang tidak berfungsi - tiada kod setelah berapa kali diberi nombor telefon.) Benar, ia adalah rangkaian sosial yang baik, tetapi itu di alam maya dan saya benar berfikiran FB sebenarnya memerlukan pengguna lebih daripada pengguna memerlukan mereka.

Jadi setelah memasuki hari ketiga tanpa FB (ok, saya ada beberapa akaun lain, tapi akaun yang dikunci itu yang istimewa, jadi saya tidak sangat masuk - menggunakan akaun lain - kecuali memeriksa "fanpage" yang saya jaga), saya kini lebih banyak membaca dan menulis. Lebih banyak berhubungan dengan insan-insan di dunia nyata (kebanyakkan soal mencari dana Salina) dan akhirnya bertemu Ali tiga hari berturut-turut walaupun masalah belum selesai.

Cari dana Salina dengan menjual lukisan bukan satu perkara yang mudah. Saya beranggapan dan merasai bahawa dunia senilukis di sini lebih banyak pelukisnya dari pembeli. Peminat ramai, pembeli bak kata Pa' Blalang "Kadang, kadang" atau "Jarang, jarang." Namun, saya cuba dengan memberi harga yang menarik. Lukisan-lukisan tersebut sebenarnya telah dinilai lebih banyak dari harga yang saya jual. Saya mahu peminat Pak Samad memilikinya kerana pada saya peminat lebih menghargai dan akan menjaganya dengan baik. Saya hebahkan dan "tag" ramai individu. Terkejut juga kerana menerima respon dari mereka yang tidak begitu saya kenali. Yang tidak kenal langsung pun ada. Yang kenali, suam-suam dan ada yang tidak rasa pa-apa atau mungkin mereka beri doa...alhamdullillah.

Ali adalah anak yang istimewa. Sekolah pertamanya menolak Ali setelah dua hari. Dia terlalu hiper dan susah dikawal. Kini dia di sekolah kedua dia mana sejauh ini nampaknya dia semakin serasi. Tiga hari pertama dia tidak mahu memakai pakaian sekolahnya. Dia mahu baju dan seluar yang ada dinosor, gajah atau apa-apa binatang yang diminatinya. Kini dia sudah mula "ok". Pertuturannya agak ketinggalan, tetapi saya tidak risau malah jauh lebih bersemangat untuk "mendidik" dan menjadikannya seorang insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Tiada yang lebih menggembirakan selain melihat anak sendiri berjaya.

Anda tahu, melihat apa yang berlaku akhir ini, saya mula faham dan terima...setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jadi jika anda "tersadung" atau "ditimpa" sesuatu dalam kehidupan, tenang, selagi ada nyawa selagi itu anda ada harapan. Usaha dan terus usaha. Masa mungkin main peranan (macam saya, sudah lebih 3 tahun!), tetapi hidup ini perlu diwarnakan. Tidak semuanya berkenaan FB saja! Be "cool" atau "kewl" warga dunia maya!

Anak...

Sangat merinduinya. Sudah lebih tiga minggu tidak bertemu...
dan bukan kerana apa kecuali malunya seorang bapa kepada anaknya.
Namun, anak-anak saya ini tidak terlepas dalam setiap doa.

Lebih Masa...


Masa susah...
Boss: Malam ini kita kerja overtime!
Ramai sorak gembira.

Masa mewah...
Boss: Malam ini kita kerja overtime ya.
Ada yang mengeluh.


Masa-masa lain...
Pekerja: Tuan macam mana dengan claim overtime kita?
Boss mengeluh...


Masa-masa tambahan...
Isteri: Abang nak pergi mana tu?
Suami: Abang kena kerja overtimelah.

Mengapa...?

Sejak saya pos entri mengenai penjualan lukisan bapa saya, saya terima banyak reaksi. Banyak yang tampil penyokong, ada yang tidak.

Sedia maklum sudah lebih empat tahun WB tidak terbitkan buku baru. Saya terbuai sebenarnya waktu itu. Mengharap sesuatu jatuh dari langit. Memegang peluang-peluang yang hadir waktu itu.

Memang sesuatu jatuh dari langit - batu-batu agaknya kerana itu kini saya begini. Dan peluang-peluang yang hadir itu pun hilang bagai air di lopak padang - setiap hari disinari suria dan akhirnya kering dan kontang.

Dalam kepala saya waktu itu hanya WB dan penulis bawah naungannya. Saya tutup pejabat untuk berhenti tanggung kos menyelenggaraSaya bertemu kenalan di PTS dan urus soal penerbitan karya-karya agar karya itu tidak terpendam dan penulis sedikit sebanyak mendapat royalti semasa WB rawati sakitnya.

Batu-batu dari langit tidak terhenti di situ. Hal peribadi capai puncak dan dari situ hanya satu jalannya...ke bawah. Pemberi-pemberi semangat selama itu hilang bersama semangat saya. Rasanya seperti lampu ditutup. Saya teraba dan dalam itu terketuk sesuatu di kepala dan saya juga keliru dan bingung.

Saya dilahirkan untuk mandiri. Setiap manusia sebenarnya begitu. Cuma cara mandirinya lain-lain. Setahun hidup seorang bertemankan tiga ekor kucing yang diwarisi dan juga Rahmat - seorang insan yang banyak mengajar saya erti hidup walaupun tidak disedarinya. Dulu saya berkongsi udara dengan Ali. Sesekali mimpinya sama bergabung. Kini saya tiada mimpi lagi. Kali terakhir bermimpi seorang wanita berambut panjang menjerit di telinga saya selama tujuh hari berturut. Itu tujuh hari pertama di rumah ini. Selepas itu tiada lagi. Mungkin yang menjerit kehabisan suara. Mungkin juga dia putus asa melihat saya.

Tapi, saya tidak pernah putus asa. Mungkin mengambil masa (memang saya seorang yang lembab dan mengambil masa bertindak), tetapi saya tidak pernah lari dari tanggungjawab. Saya tidak pernah putus asa, walaupun ada yang kata saya malas.

Seorang penerbit kerjanya menerbit. Ini kepakaran saya dan ini yang perlu terus saya lakukan dan kerana itulah lahir soal menjual lukisan-lukisan bapa saya untuk menjana dana bagi bangkit semula. Saya bukannya meminta derma (dana percuma) mahupun "soft loan". Saya bukan mahu beli kondo mahupun kereta mewah. Saya cuma mahu mengisi tabung WB agar saya dapat terbitkan semula buku-buku. Saya mahu segarkan semula WB dan baiki kehidupan. Senario dunia kini memang berlainan - tidak sama dahulu. Saya tidak mahu simpati kerana simpati itu satu kelemahan yang akan menghancurkan diri sendiri. Saya memberi peluang kepada sesiapa yang mahu memiliki secebis karya seorang yang bernama A. Samad Said - kebetulan bapa saya. Ini pelaburan buat saya dan pembeli yang cintakan seni. Ini bukan soal politik atau sedekah. Saya boleh katakan lebih lagi, tetapi soal paling penting telah saya katakan. Itu mencukupi...tetapi jika masih samar, saya lakukan ini untuk "survival" WB, karya-karya bawah naungannya dan juga diri mereka sekeliling yang terlibat termasuk saya.

Dan jika itu sesuatu yang tidak baik, saya benar tidak tahu apa yang baik lagi.


*Lukisan-lukisan yang ditawarkan akan dipamerkan di http://kataluhur.blogspot.com/  sebelum minggu ini berakhir.


Angka...

Jika ada makna bagi angka, 2011 tentunya saja angka-angka pada tahun yang mahu saya lupakan. 

Semoga angka-angka yang akan datang lebih bermakna dan memberi kesejahteraan.

Kepada yang menyambut tahun baru, Selamat Menyambut 2012.

Lelaki...

Lelaki lewat 40'an...

Bila kena belanja selalu kata...

"Aku dah tua pun korang nak pau!"

Bila soal wanita...

"Alaaa apa ingat aku tua sangat ke?..."

Rindu...

Kerinduan ini
tidak akan terubat
kerana kau
terpahat di hatiku ini.

Bual Kafe...

Santai mengopi dengan beberapa sahabat, saya tertarik dengan perbualan ini...

A: Aku bukannya apa bro, yang belah tu pun bukannya betul sangat. Mereka pun sama.

B: Persoalan, adakah kita biarkan saja rasuah dengan makan duit rakyat dan ketidakadilan yang berlaku ini? Jika kita biarkan saja, ia akan terus-menerus dan makin berleluasa. Kelak di "sana" kita akan disoal. Apa yang belum berlaku itu bukan soal kita. Yang penting kita bangkit perangi...dan jika perkara sama berlaku selepas itu, kita bangkit lagi dan perangi.

Saya agak setuju dengan Bro B... :)

Durian...

2011 adalah tahun durian pada saya. Musimnya seakan sepanjang tahun dan mempunyai rakan-rakan yang sama menyukainya, saya sering terselit dalam aktiviti-aktiviti makan durian mereka. Syukur, alhamdullillah...
Bagi warga kota, jika mahukan durian yang sedap dan berpatutan, silalah ke kawasan Hulu Langat :)

Matahari...

Melihat matahari terbit bagai lahirnya harapan.
Melihat matahari terbenam bagai peringatan bahawa satu hari kelak, bila tiba masanya, kita akan pergi...
*Photo ehsan Puan Datin Sue Asuhara. Lokasi: Haven di Look Out Point Ampang.

Sebongkah Batu Di Kuala Berang...


Sehingga saya pos entri ini, saya masih tidak tahu mengapa buku Sebongkah Batu Di Kuala Berang karya Tuan Faisal Tehrani diharamkan.

Ada sesuatu yang tidak kena sebenarnya. Saya anjurkan agar pihak berwajib nyatakan sebab-sebabnya bila bertindak. Ini kerana terlalu banyak tindakan-tindakan yang dilakukan dahulu dan bila didesak barulah hendak jelaskan. Dan, bila hendak dijelaskan, kita dapat pelbagai versi dari A, B, C dan seterusnya. Akhirnya rakyat keliru sebab ada pelbagai versi dari pelbagai pihak berwajib. Kata lain, jangan dahului pistol (don't jump the gunlah!)

Sebongkah Batu Di Kuala Berang ini dikhabarkan fikyen dengan diselitkan unsur sejarah. Jika ada yang salah, mengapa tidak diperbetulkan? Susah sangatkah panggil penulisnya dan bertanya dan bermuzakarah? Jika fahamannya salah, betulkan.

Tunggu...saya sudah bacakah buku ini?

Belum, tetapi kini sedang berusaha keras untuk memilikinya. Saya hendak baca. Moga saya tidak "sesat" atas alasan mengapa ia diharamkan.

Errr apa alasan ia diharamkan?

Apapun, doa saya baik-baik saja buat penerbitnya, penulisnya, pembacanya dan pihak yang mengharamkannya. Sejahtera buat semua!

Hindustan...

Antara RA-One (Shahrukh Khan) dan Bodyguard (Salman Khan), saya lebih suka Bodyguard. Aksi-aksi kedua filem ini tidaklah setanding filem Hollywood, tetapi ada sesuatu tentang filem-filem hindustan yang Hollywood tidak dapat tanding...perasaan hati - anda boleh menangis sedih atau riang dan meninggalkan rasa yang baik
(feel good). Juga pasti ada lagu yang "catchy" dengan aksi tarian yang buat anda tersenyum.

Namun, selepas tonton kedua-dua filem ini, Kareena Kapoor paling "kewl" - dia heroin kedua-dua filem ini.

Ok, saya hendak cari dan tonton filem tamil pula. Ada cadangan?

Kehidupan...

Apapun yang saya alami dan hadapi...
...saya sayang pada kehidupan ini.

Kompromi...

Terkadang kita kompromi dengan pendirian kita hanya kerana mahu diterima oleh seseorang atau kumpulan...
Satu kesilapan...

Luluhkan Hatiku...

Sesuatu yang tidak patut saya fikirkan...

"Terkadang saya rasa mengapa saya bersusah hingga nafas tersekat dan hidup begini untuk memenuhi keperluan orang lain. Saya sebenarnya sudah letih - amat. Saya perlu fikirkan tentang diri saya ini dan bukan mereka. Benar, saya tertolak ke gaung ini kerana kelemahan diri sendiri. Tapi, saya tahu, ia sepatutnya tidak begini - boleh jadi lebih baik lagi. Saya letih - amat..."

Namun,

"Ini yang terakhir. Saya akan melakukannya walaupun ia sesuatu yang sangat memalukan buat diri saya ini. Demi yang lain, ini yang terakhir. Selepas ini jika ada masa hadapan, saya akan lakukan sesuatu untuk diri saya sendiri...bukan kau...bukan dia...bukan mereka..."

Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku. Berikan aku kekuatan. Berikan aku kelapangan.

Amin.

Doa...

Doa buat bapak dan mereka, semoga terpelihara, sejahtera dan baik-baik saja...

UMNO...

Saya sebenarnya sayang parti ini. Namun banyak sudah berubah - pada parti inilah.

Duduk berbual dengan seorang ahlinya di kafe, dia bertanya kenapa saya anti partinya?

Saya minta maaf kepadanya. Saya tidak anti kepada UMNO. Malah saya sayang UMNO. Lantas sebab itulah saya mahukan perubahan. Saya mahu UMNO pulih dari sakitnya. Saya mahu mereka yang teraju UMNO duduk sebentar dan cerminkan diri mereka. Mereka tidak boleh bersikap defensif dan terus menyalahkan orang lain (atau parti lain). Masalah yang mereka hadapi kini punca dari kepimpinan yang lemah. Ini sudah lama berlaku. Lama-lama orang marah. Lama-lama orang "cemuih".

Saya impikan ahli-ahli politik yang tahu dia hanya seorang insan dan bertanggungjawab. Saya mahu ahli-ahli politik yang meminta maaf kepada rakyat bila perlu. Saya mahu ahli-ahli politik yang bermoral. Ini tidak berlaku. Malah apa yang terjadi adalah mereka salahkan orang lain dan timbulkan situasi yang "mungkin" seperti Melayu akan dihenyak, Islam akan terancam...rasis...tunggu, jika kita benar-benar lihat dan rasa, itu telahpun berlaku. Aneh, ia berlaku di masa mereka memegang kuasa bukan?

Permainan wang rakyat perlu dihentikan. Lembu duduknya di kandang, bukan kondo...ini terbaru.

PM perlu lakukan sesuatu yang "takut" dilakukan oleh mereka yang lepas - cantas mana-mana yang sudah lama dan rosak. Mereka ini liabiliti. Ini termasuklah mereka yang terlibat dengan "PR"nya. Saya tidak tahu di mana mereka belajar PR mereka kerana jika dilihat dari sudut orang "cemuih", ya tentu sekali mereka berjaya. Oh lupa, PR sepatutnya menaikkan imej bukan? Rakyat bukan bodoh. Perlu beri yang lebih baik.

Saya mahukan perubahan. Mungkinkah/mahukah mereka dengar?

*PR = Public Relations (Perhubungan Awam)

Manusia...

Saya tahu tentang satu perkara - berita baik - dan saya menanti...

Akhirnya saya sedar, sesuatu perkara yang dahulunya dikongsi bersama tidak semestinya mahu dikongsi kini.

Manusia namanya, begitulah.

Rezeki Halal...

Saya tidak dapat mengelak dari mendengar perbincangan mereka yang duduk bersebelahan meja saya - mereka sangat "loud".

Merka ini bincangkan soal projek. Projek apa saya tidak tahu. Dalam pada itu timbul pula soal rezeki yang halal.

"Bukan apa, kita cari rezeki yang halal".

Tunggu...

Sebelum ini bincangkan soal projek. Seorang kata dia kenal orang dalaman. Seorang lagi kenal Pak Menteri.  Selepas itu kata untung besar...10%...BMW X6...Bali...

Sepahit kopi yang saya minum ini, pahit lagi apa yang telinga saya dengar. Ada sesuatu yang tidak kena dengan manusia zaman sekarang bukan?

Gila...

Saya duduk di sini bersama Indie yang sangat bertenaga bercerita dan sesekali terimbas kepada seorang tua di yang berdiri mengarah lalu-lintas persimpangan Taman Kosas.

"Gila." bisik hatiku...

Dan dalam Indie bercerita tentang penulisan kreatif, saya disentak sesuatu yang tiba-tiba timbul...

Saya fikir dia gila, tetapi dia tidak fikir begitu. Waras, itu rasa dirinya itu.

Dan aku ini, jika diperhatinya...

"Ah dia tu gila..." katanya.

Agaknya...

Cinta, Kasih & Sayang Orang Biasa...

Orang biasa, cinta, kasih dan sayangnya biasa...

Hari ini saya sepatutnya bawa Ali ke satu tempat kegemarannya. Tuhan ada perancangannya sendiri...

Kereta saya rosak dan aneh, apa yang dalam jiwa saya bukanlah tentang masalah di depan mata (kereta), tetapi Ali.

Saya rasa sedih dan kesian kepadanya. Saya juga sedih tidak dapat bersamanya...

Ini agaknya cinta, kasih dan sayang orang biasa...

Lukisan Hati...

Akhir ini agak sibuk membingkaikan lukisan-lukisan Pak Samad. Ini salah satu usaha saya dalam membolehkan kita menerbitkan beberapa novel Pak Samad. Ada juga anjuran dan tawaran dana dari beberapa pihak tertentu, tetapi sebenarnya kami tidak mahu "terikat". Kami agak berhati-hati dalam perkara ini.
Saya hendak buat pameran sebenarnya...

A: Bila dan kat mana?
Saya: Errr bab itu belum buat...
A: Hah? Habis?
Saya: Saya memang begini. Saya sediakan dan selepas itu cuba cari ruang...
A: Kau ni peliklah!

Pameran ini santai. Tempatnya di AmpangVille...kini cari sesiapa yang ada senarai peminat lukisan negara...

Perasankah...

Perasankah anda?

1. Kadang-kadang kita setuju atau tidak setuju hanya kerana kita suka atau tidak suka akan seseorang.
2. Kita lebih senang membantu orang yang tidak kita kenal dari yang kita kenal.
3. Kita sokong kitar semula, tetapi pandang rendah pada orang-orang yang mengutip tin dan botol minuman.
4. Kita nasihat supaya orang berjimat, sedangkan kita membazir (ini politik hehehe).
5. Kita lebih hormat orang luar dari orang tempatan - juga barangan luar dari barangan tempatan.
6. Kita tidak pernah hendak mengaku dan buat "bodoh" bila kita kentut di dalam lif...
7. Bila orang marah pada kita, kita komplen kata tak ada tolak ansur langsung...tapi, jika kita marah pada orang?
8. Kebenaran itu sesuatu yang "menyakitkan"...kerana kita insan yang lemah dan banyak dosa   ;)

Ichi-Kyu-Hachi-Yon...

Karya terbaru Murakami ini buat saya sangat teruja dan agak susah berhenti membacanya...
Ia ada tiga bahagian dan 4 watak penting: Aomame, Komatsu, Tengo & Fukaeri.

Namun, saya sebenarnya lebih meminati Sputnik Sweetheart :)

Tanah Suci, Eropah & Jepun...

Seperkara yang sering bermain dalam kepala saya selama ini - saya mahu menggembara.

Bermula dari timur tengah, eropah dan asia pasifik.

Dalam kiraan, ia mengambil masa sekitar hampir lapan bulan dengan belanja...

Teruskan bermimpi Helmy...

Tintin & Immortals...

Antara Tintin & Immortals, saya pilih Tintin.

Immortals menggecewakan...