header-photo

Kisah Vagran I...

Tidak lama dahulu ada seorang kawan yang dengan sekelip mata menjadi vagran. Dia hilang hampir segalanya kecuali kereta dan akalnya - yang entah berapa kali meniti garisan antara waras dan tidak.

Dia bercerita, hari pertama dia menjadi vagran, dia tidur dalam keretanya berhampiran 7/11 sekitar kawasan perumahan kediamannya. Terkadang teresak mengenang nasib dan juga anak. Mencari di mana ia bermula dan juga bagaimana ia akan berakhir. Sebaik subuh, dia mencari masjid luar kariahnya (kerana tidak mahu dikenali), mandi dan selepas itu berjemaah.

Sebaik terbitnya matahari, dia pergi menemui anaknya. Tidak difahaminya kenapa dia begitu rindu kepada anaknya itu walaupun baru sehari tidak bertemu. Dan apabila tiba masanya, dia dengan berat hari pergi dan kitaran itu lengkap.

Ini berulang buat seketika hingga...

Dia pernah bertanya, berulang juga kenapa saat dia begitu insan-insan yang bernama kawan seakan tidak mengenalinya dan yang sedarah pula menganggap ia menyusahkan erti kata lain dia bagai seorang pariah atau berpenyakit yang berjangkit. Apa yang dimahukannya adalah sedikit "rasa" dan simpati untuk menguatkan api jiwa yang malap. Dia mahukan kata-kata yang meniupkan angin menyejukkan ruang yang rimas atau sinaran yang menyuluh kegelapannya itu. Itu tidak berlaku. Mereka seakan ingat dia itu tiada hati atau jiwa atau bukan manusia walhal dia merasai kesakitan pedih luka di jiwa dan hatinya itu.

Saya tersenyum tawar bila mengenang dan hanya mampu berdoa. Saya tidak tahu bagaimana ia berakhir kerana ia masih bercerita, tetapi saya pasti ia satu dua atau lebih pengajaran...

Rumah itu bagai syurga di dunia ini. Vagran?

Gratis...

Prolog manusia semuanya gratis - perlu usaha sendiri - hinggalah manusia belajar berdagang.

Ramadan...

Ramadan kali ini saya diduga lagi...

Dalam kekalutan, saya ditunjukkan satu persatu betapa manusia yang dibawah sentiasa akan dipandang rendah, dipersalahkan dan disuruh jadi anak yang jantan - perit tapi tepat.

Saya terima itu semua. Ini masalah saya. Saya yang meletakkan diri saya di sini walaupun suatu masa dahulu saya pernah dipinggir, dibiar setengah jalan semasa cuba mencari ilmu dan terpaksa melalui hidup ini dengan handikap. Membina kehidupan sebegini akan sentiasa dibayangi sebelah yang kabur itu (handikap), namun saya teruskan juga kerana kehidupan ini satu anugerah.

Benar rasa seperti dikhianati semua, namun saya tahu ini mainan rasa hati dari diri yang kecewa. Segala pengorbanan dan kesetiaan tidak bermakna. Ia hanya perlu ditelan oleh hanya satu kesilapan., dan kerana itulah juga saya sedar dan bersyukur: Antara sesama insan kita mampu saja melenyapkan segala pengorbanan dan kesetiaan itu dengan satu titik hitam, tetapi Allah tidak begitu.

Maha Sucinya Engkau...

Rupanya...patutlah...

"It's not what you know, it's who you know..."

Saya kira kata hikmah ini seakan memperlekehkan ilmu. Ia juga menyatakan ada jalan singkat - tidak perlu usaha yang keras. Tidak perlu berpeluh, kecuali jika memang kadar metabolik itu tinggi atau hawa dingin rosak pada hari yang panas.

Ramai yang saya temui atau terdengar di kafe-kafe (bab terdengar ini perlu saya kikis) menyatakan mereka langgani kata hikmah sebegini. Jika hendak kaya, pangkat atau capai cita duniawi anda perlu kenal seseorang yang penting - atau line baik. Tidak kira samada anda layak atau sebaliknya. Seseorang atau line itu menentukan nasib anda, sedangkan jauh dalam lubuk hati sudah ada terpahat ini tidak benar.

B: Susahlah sekarang. Bisnes lembab!
A: Itulah kau. Hendak bisnes tapi tak tahu bisnes. Kau kena ada line!
B: Kau tolonglah aku.
A: Ok, aku ada line, tapi bukan bisnes kau. Ini projek...
B: Tapi aku tak tahu apa tentang...
A: Jangan risau. Aku bagi details, kau buat kertas kerja. Kau pandailah pusing. Nanti aku uruskan. Aku kenal bla bla bla. Tak ada hal, tapi jangan lupa bahagian aku.
B: Cantik.
A: Ok begini...

Kotor...

Dunia terlalu kotor buat aku.

Begitu juga aku...terlalu kotor buatNya.

Gejala...

Tiga minggu lalu, kejadian pecah kereta berleluasa di kawasan perumahan saya di Kota Damansara. Ini membuat saya menyoal berita yang menyatakan kadar jenayah menurun. Mungkin lebih sepuluh tuan punya kereta yang dipecah masuk itu tidak melaporkan kepada polis (termasuk saya) kerana apa yang dicuri pemecah itu hanyalah wang syiling yang ada. Radio dan barangan lain (termasuk Tag dan Touch and Go) tidak disentuh langsung. Ini mungkin menyumbang kepada laporan kadar penurunan jenayah...salah saya.

Seminggu yang lalu entah mengapa, saya agak gelisah untuk tidur. Sekitar jam tiga pagi saya bangun dan meninjau kawasan padang berhadapan rumah dari tingkap bilik tidur. Ada empat "makluk" sedang berjalan-jalan menuju ke simpang jalan antara padang dan kawasan perumahan. Dua "makluk" berhenti di bawah tiang lampu - yang benderang. Dua lagi meneruskan perjalanan dan hilang dari peninjauan saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi kaca dipecahkan. Selang beberapa minit mereka lari menuju ke padang dan apabila tiba di kawasan yang agak gelap mereka baring. Saya pelik...tetapi rupanya motor pengawal sedang lalu buat rondaan. Selepas pengawal berlalu, mereka bangun dan kembali menuju ke tempat sebelumnya.

Saya turun, keluar dan hidupkan enjin kereta. Dua "makluk" yang berada di tiang lampu cuma memerhatikan dari jauh. Saya pusing dan terus menuju jalan keluar. Tiba di rumah pengawal, saya cerita.

Pagi itu kami berempat mengejar empat "makluk" itu. Mereka sebenarnya "anak-anak" remaja tidak lebih tujuhbelas tahun. Patutlah "ketot-ketot" saja. Malang, hampir, tetapi tidak dapat seorangpun. Mereka sungguh pantas dan licik lari masuk semak bersebelahan padang. Puas kami cari!

Dua kereta dipecah. Satu seperti biasa duit yang ada dalam kereta diambil dan satu lain tak sempat.

Persoalan saya, bagaimana anak-anak muda ini boleh keluar lewat sebegitu? Sekali lagi, mana ibu, bapa atau penjaga mereka? Nampak sangat ini "pengenalan" mereka kepada jenayah. Pecah kereta ambil duit. Tidak terkejut jika kelak dinaiktaraf mencuri radio...kereta...samun ataupun ragut jika tidak disedarkan atau dibantu dari awal.

Kawasan padang depan rumah saya kini sudah aman selepas jam duabelas malam. Jarang ada "makluk" yang duduk lepak sekitarnya kerana pihak polis dan pengawal akan "menghalau" mereka. Namun, sampai bilakah suasana aman sebegini bertahan?

0128271369...

Terbaru saya terima pesanan ringkas ini dari nombor di atas:

"TAHNIAH"
Sim Card Anda
B'jaya menangi,
RM10,000. dri
CBTN BATUAH
POWER-ROOT
sdn bhd.pin2547
Sila Call Office:
012-864xxxx
Mohmt ASiS bin
Sulaiman.

Pesanan ringkas seperti ini sering saya terima. Kali ini sengaja saya letak nombor telefon si penghantar - jika anda boleh mengganggu dengan niat hendak menipu, saya juga boleh "mengganggu" dengan menyiarkan nombor telefon anda di alam maya.

Hati-hatilah dengan helah manusia zaman kini - baik di telefon bimbit mahupun emel.

Ali @ 3...

Sudah lama tidak bercerita tentang Ali. Syukur dia suka menelaah buku-buku yang kami belikan untuknya.
Dan sering juga dia mengejek bila kami bertanya tentang apa yang ditelaahnya itu.

Sesuatu tentangnya, dia tidak suka gula-gula dan jika ke kompleks beli-belah dia lebih menjurus ke MPH dari Toys R' Us.
Namun, setiap petang dia tidak akan melepaskan peluang untuk bermain dan berlari di padang berhadapan rumah hingga dia lelah. Ali, kini sudah tiga tahun dan saya merenungi apa yang bakal dihidangkannya untuk masa hadapan.

Esok Dia berlepas...

Esok 24hb April Sdr. Hadi berlepas dari Sri Pentas jam 9.00 pagi. Doakan kesejahteraan perjalanannya.

Sumbangan dialukan:

Maybank – Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien 164052375275
Paypal: abdulhadialattas@gmail.com

Kapcai...

Saya ada seorang sahabat yang hendak ke UK menunggang "Kapcai" dari KL. Namanya Syed Abdul Hadi. Mungkin ada yang masih ingat si Syed ini dulu hampir saja mengelilingi dunia dengan sebuah pesawat ringan, tetapi insiden 9/11 menghancurkan impiannya itu.

Pasca insiden itu, dia melibatkan diri dengan pelbagai kerja amal.

Kini dia mahu menggembara - dari Kuala Lumpur ke London dengan menaiki "kapcai". Pelbagai agensi dia temui untuk bantuan, namun setakat ini dia tidak dilayan. Mungkin perlu "nama besar" atau "Pak Menteri" untuk berkata "Malaysia Boleh" (erti kata lain, sokonganlah), baru ada yang mahu bantu (kira Pak-Pak Turutlah).

Saya dapat bayangkan beberapa bulan dari sekarang dia turun feri dengan "Kapcai"nya di Dover dari Calais...dan mungkinlah waktu itu ada yang "sibuk" tumpang publisiti dengan bendera, kain rentang dan baju 1Malaysia...tipikal!

Baca dan ikutilah penggembaraan sahabat saya ini di www.iamalaysian.com.
Hadi mulakan penggembaraannya 24hb April ini. Doa saya buat kesejahteraannya.

Kelibat...

Ini pun sekali-sekala timbul...

Minggu lalu ketika saya menonton bola di rumah, saya ternampak dari sisi mata ada sesuatu yang menjenguk dari balik dinding bersebelahan. Saya fikir Ali, tetapi ini terlalu lewat buatnya. Saya bangun dan pergi lihat sebalik dinding. Tiada apa. Saya naik ke bilik, Ali tidur. Saya turun dan sambung menonton bola.

Dia jenguk lagi selepas lima minit! Saya bagi salam. Senyap.

Saya: Kalau nak tengok bola marilah duduk kat kerusi. Tak payah jenguk-jenguk gitu.

Senyap dan selepas itu tiada lagi...

Saya tertanya, "dia" ni "Hantu Bola" ke?

Lagi Hantu...

Beberapa hari yang lalu saya jumpa "hantu"...

Hantu: Sir, I see your temple there's a light. It's good luck...
Saya: Ok, thanks.
Hantu: Your life is good, but can be better...
Saya: Ok, thanks.
Hantu: Can I see you palm?
Saya hulur tangan kanan saya...
Hantu: You see this line?
Saya angguk...
Hantu: This is good luck. I can tell you how to unlock your good luck...
Saya: If I have good luck, why should I unlock my goodluck?
Hantu: You need to know what to do...
Saya: What am I supposed to do?
Hantu: For 50 dollar I can tell you sir...
Saya senyum. Ini sudah terlalu biasa...
Hantu: Ok sir?
Saya: If I give you 50 dollar, then my good luck go to you...
Hantu: *Dengan muka hairan* Why is that sir?
Saya: You get 50, I lose 50...
Hantu: No no no...you will get more after I tell you...

Haha...jaga-jaga jika ada Pak Singh mula puji-puji anda ya...

Hantu...

Dia: apa yang kau cakap tu betul. Memang banyak hantu sekarang. Macam dorang dah tak kisah lagi dan tonjolkan diri dorang.
Saya: Betul ke?
Dia: Betul bang! Kat memana kita pergi mesti jumpa punya...
Saya: Ishhh kau biar benar...
Dia: Bang, kat kedai nombor ekor ada...tu antu nombor...kat atas jalan raya ada, mat rempit dan kaki buli...tu lom kira antu makan duit projek sana-sini...
Saya: Hahaha tu antu kepala hitam!
Dia: Taklah bang. Sekarang kepala gondol pun ada...

UFO...

Benarkah ada UFO...terutama di Kota Damansara?

Saya akan sentiasa mendongak di langit mulai sekarang!

Guli...

Terbaca dalam akhbar semalam tentang bunyi guli yang dijatuhkan tengah malam.

Saya pernah alami perkara sebegini. Di tengah malam bila suasana sunyi dan sepi tiba-tiba terdengar bunyi guli di lantai unit atas. Ini berlaku terutamanya bila saya keseorangan.

Bila kerap berlaku, akhirnya saya ambil keputusan untuk pergi ke unit atas dan menegur jiran saya itu.

Sekitar jam 2 pagi waktu itu. Saya menekan suis loceng unit atas. Menanti. Menekan. Tiba-tiba jiran bersebelahan membuka pintu dan berkata bahawa unit itu kosong. Saya rasa bulu tengkuk rasa meremang.

Sekembali di unit saya, sebaik melabuhkan diri di tilam, tiba-tiba terdengar bunyi banyak guli yang dijatuhkan. Rasa seperti diperli pula.

Namun, kini saya tahu, hantu suka main guli...

The Biggest Loser - Asia...

Semalam tonton rancangan ini?

Pemenangnya Encik David Gurnani dari Indonesia. Tahniah!

Namun, dia kelihatan sungguh "pale". Macam tak cukup makan.

Mungkin strategi.

Di kafe...

Dia: Kau tengok The Biggest Loser semalam?
Saya: Tengok...
Dia: Sarimah looks good kan?
Saya: Hahaha kau tengok Sarimah rupanya!
Dia: Hahaha...Maya juga looks good!
Saya: Apa kena mengena Maya dengan Biggest Loser?

*Dia - seorang duda yang saya kira sedang hangat darahnya...

Pokok Kurma...

Saya sedang cari tanah.

Cita saya hendak tanam pokok Kurma - ya, di Malaysia. Tetapi, tanah susah hendak cari. Semua hendak jual. Tidak ada yang hendak "jv" setakat ini. Saya bukannya ada duit.

Ada cadangan bagaimana saya hendak laksanakan cita saya ini?

Kurma di Malaysia...kenapa? Tak percaya?

Hehehe...

Perniagaan satu permainan...

Sering terdengar dan terbaca di media tentang:

Pemain-pemain dalam industri sekian dan sekian...

Ahli korporat pun ada kata begitu..."Kami mahu jadi pemain utama dalam suku tahun kedua bla bla bla..."

Rasa macam kita sebenarnya "bermain" bila dalam dunia perniagaan bukan?

Perniagaan satu permainan?

Anda beritahu saya...

Ketagih...

Satu berita dari Korea Selatan mengejutkan saya. Sepasang suami dan isteri ditangkap kerana menyebabkan kematian bayi mereka yang berusia 3 bulan - kematian atas sebab kelaparan!

Mereka menghabiskan masa di internet kafe bermain permainan atas talian. Permainan ini adalah permainan memelihara dan membesarkan seorang watak. Ya, lagi senang jaga "anak internet" dari anak sendiri.

Anak-anak kecil semakin mendapat liputan media atas sebab-sebab yang mendukacitakan...

Berita lanjut klik sini.

Petrol...

Tidak tahu apa hendak kata. Selama berbulan kita dipaksa berfikir tentangnya. CC enjin, mykad, subsidi...tetapi, bila tiba masanya...

Penstrukturan semula sistem subsidi petroleum dibatalkan.

Rasa seperti telah buang masa saja...