header-photo

Daisi Putih di Laman Maya

Resah. Entah mengapa dirinya resah. Hatinya tidak mengenali dan keliru dengan apa yang dirasakannya. Dua setengah pagi dan dia masih segar, tapi resah sedangkan petang tadi merasai dirinya lesu - hanya tilam di biliknya itu yang dapat difikirkannya - dan matanya hampir-hampir saja tertutup semasa kedua tangannya memegang stering, menanti dalam kesesakan yang setia menantinya setiap petang. Bunyi hon dari kereta-kereta dibelakang mengejutkannya. Sepanjang perjalanan, dia bertekad; menyerah diri pada tilamnya itu sebaik tiba di rumah.

Disambut Sarah dan Hakim, dia agak berhati membuka pintu keretanya kerana mereka tidak henti melompat-lompat bertepuk, berteriak riang ditepi luar pintu keretanya. Lesu dan tilam itu direntap pergi oleh mereka. Senyum dan menggeleng, kedua anak buahnya itu terlalu dominan dalam hidupnya. Anak-anak kecil secomel itu mampu menukar rasanya yang tadi bertekad rapi diikat rantai besi.

“Kak Farah! Nak aiskrim!” Hakim berkata riang sambil masih berlompat-lompat, bertepuk dan sesekali berlanggaran bahunya dengan adiknya Sarah yang masih tercari-cari rentak mahu lompatan dan tepukannya itu serentak dengan abangnya itu.

Sesuatu tentang kanak-kanak yang Farah sedari; mereka begitu lantang dan senang menyuarakan keinginan mereka. Tidak berlindung sebalik kiasan kata atau perbuatan. Dia pernah begitu, dahulu. Entah bila dan di mana, sifat itu hilang. “Kematangan agaknya,” bisik hatinya. Pelik, kematangan mengajar dia mengalas kata dan menghias lakunya. Kematangan seakan langsir yang menutupi sifat sebenar diri.

Senyum sambil membuka luas kedua tangannya mahu menyerah rasa kasihnya dan menerima rasa kasih mereka, hatinya menyambung membisik sewaktu berpelukan, “Ya, kamu berdua juga akan matang dan semua ini akan berakhir.”

*****

“Kau nak kawin ke Farah?”

Tersentak, spontan memandang Nita yang tersenyum nakal mengusik. “Aku? Kawin?” Ketawa kecil, “Aku?”

“Ya.”

“Beritahu aku, bagaimana kau sampai pada pertanyaan itu?”

“Tidaklah, kebelakangan ini kau tidak macam dulu. Asyik terperap saja kat rumah. Kau simpan duit ya?”

“Aku terperap kat rumah kerana aku mahu simpan duit untuk kawin?” Ketawa. “Oh pleaseeee, bukankah itu kerja lelaki.” Mereka berdua ketawa.

“Kalau begitu, kau mesti ada masalah. Ceritalah...”

Dia yang tadinya ketawa, beransur senyum dan kata-kata Nita itu terus saja mematikan senyuman itu. Nita senyum, menanti.

Tengahari itu entah mengapa dan bagaimana, dirinya bagai empangan yang pecah. Dia tidak mampu mengawal dirinya dari bercerita walaupun berulang dia sedar dan cuba untuk tidak begitu. Namun entah mengapa, mulut dan hatinya tidak mengendah kemahuan akalnya. Mungkin Nita cekap mencungkil – dia seorang peguam – atau mungkin juga dirinya tidak mampu lagi menampung apa yang bergolak dalam dirinya itu, tapi benar, tengahari itu Nita mengetahui tentang kehidupan lain yang dijalaninya: Dia penagih Internet. Dan, dirinya tidak henti menyumpah – dirinya sendiri – sepanjang petang itu di pejabat.

White Daisy? Hahahaha...,” terngiang di telinga. Kesal, malu, marah - semua itu bergaul sama bermain dalam hatinya. “White Daisy? Hahahaha...,” lagi.

“Sial!”

“Huh?”

Mata mereka bertentang. Tan kelihatan terpinga tercengang. “Huh? Sorry...” Mengalih pandangannya, mereka disekelilingnya sedang memandang padanya. “Sorry...rough day,” katanya mahu meyakinkan mereka seakan terpinga, terkejut dan tidak percaya dengan kata sedemikian yang keluar dari mulut seorang sepertinya.

Masalahnya bila kemarahan melanda, apa disekeliling bagai tidak wujud. Api kemarahan itu julang membakar, mata terasa sakit, kerongkong seakan ada tulang, hati terasa dicucuk pisau yang pulas dan akal keliru tidak mampu mengenal, apalagi meleraikan. Malu hilang dan diluahkan apa saja yang membelengu. Anehnya, sebaik diluahkan, api itu padam. Sedar, anda tidak keseorangan. Mata-mata seolah terpaku pada diri sendiri. Masing-masing mahu tahu, siapakah yang bergelar “Sial” itu. Dan petang itu – di pejabat – Farah benar-benar merasakan dirinya begitu kecil sekali.

“Ya, saya dengar tentang itu,” senyum sambil jari-jari tangan kirinya bermain mengusap janggut rapinya itu dan jari-jari tangan kanannya mengetuk-getuk berirama di meja. Dia menanti dan Farah tidak tahu di mana dan bagaimana untuk memulakannya. Dia juga diam dan membiarkan saja suasana begitu. Akhirnya, “Saya juga sebenarnya sudah lama memikirkan tentangnya. Melihat pada fail kamu ini, saya sebenarnya kagum. Prestasi kerja kamu baik...tidak, lebih dari itu. Tiga tahun dan tidak seharipun kamu lewat atau mengambil cuti sakit...”

Kata-kata itu membosankannya. Resah, dia mahu saja memotong dan terus bertanya tentang permohonan cutinya itu. Tetapi, di depannya itu ketuanya dan dia tidak boleh berbuat demikian. Dia harus berlakun, mendengar apa saja yang dikatanya – walaupun dia tahu 99% karut dan 1% itu kemungkinan saja – dan menanti di manakah arah tujuan ketuanya itu. Semua ketua begini agaknya; mereka berlakun seolah tahu segala hal pekerja mereka. Mahu meyakinkan bahawa mereka mengambil berat, mereka “ketua” yang wibawa, boleh dipercayai, baik...dan Farah terasa ada sesuatu ditekaknya. Itu semua karut. Mereka berlakun juga! Failnya diatas meja itu, dia tahu ketuanya itu sudah menelitinya. Seperkara tentang mereka ini; mereka mengenali dan tahu mencari data-data yang penting. Tidak semuanya dibaca – fail setebal itu, dia memerlukan beberapa hari untuk membacanya.

“Saya tidak luluskan permohonan kamu ini. Kamu tidak perlukan cuti seminggu. Kamu perlukan lebih dari itu. Dua minggu...saya beri kamu dua minggu! Kamu berhak!” Katanya sambil menghentak meja dengan tangan kanannya, senyum, menanti reaksi Farah.

Bull!” bisik hati Farah. Dia sengaja berbuat begitu. Kononnya dia seorang ketua yang baik. Tetapi, niatnya itu tidak ikhlas! Dia mahu aku berterima kasih padanya! Dua minggu? Hah! Selepas dia malukan dirinya sendiri baru ketuanya sedar? Sememangnya dia berhak! Siapa agaknya yang meletakkan ketuanya itu dalam kereta mewah itu? Siapa yang biayai isteri kedua, ketiga dan lain-lain wanita yang diperlukannya itu? Siapa hantar anaknya belajar di luar negara walaupun keputusan SPM bagai lepas nyawa ikan? Memang dia berhak! Cumanya, ketuanya itu tidak sedar tentang itu. Dia kira apa yang diberikannya itu satu budi atau hadiah dari seorang ketua yang prihatin dan baik hati, yang perlu dibalas. “Bull!”, tapi dia senyum, mengangguk, bersalam – dia akan terus ke bilik air dan basuh tangannya itu – dan keluar. “Jahanam...kamu perlu buka fail aku untuk memberikan cuti!” Bisik hatinya. Tekaknya masih sakit, dia tidak percaya lakunannya lebih wibawa berbanding ketuanya itu. “Ya, aku akan menjadi seorang ketua yang lebih baik dari kamu!”

*****

WhiteDaisy : Hello. Apa khabar?

MayaMulisha : Baik. Kau?

WhiteDaisy : Entahlah.

MayaMulisha : Macam bermasalah saja. Cuba cerita sikit...

WhiteDaisy : Berapa lama kau kenal aku?

MayaMulisha : Mmm...setahun kot? Kenapa?

WhiteDaisy : Saja mahu tahu bila aku mula internet.

MayaMulisha : Itu yang mengganggu?

WhiteDaisy : Tidak. Aku saja mahu tahu.

MayaMulisha : Habis kenapa bertanya tentang itu? Sekurangnya tentu berkaitan.

WhiteDaisy : Entahlah.

MayaMulisha : Beritahulah. Mungkin aku boleh membantu.

WhiteDaisy : Ehehe, nick kau menyatakannya...kau Maya ;)

MayaMulisha : Bergurau pula. Cik adik, saya di sini dan kamu di sana. Beribu batu merentas lautan dan kita sedang berbual. Waktu ini!

WhiteDaisy : Benar, tapi benarkah aku berbual dengan kau? Maksud aku, kewujudan kau hanya di alam maya.

MayaMulisha : Kewujudan kau juga serupa wahai Daisy putih yang keliru :p

WhiteDaisy : Itu yang aku persoalkan. Aku tidak mahu meluahkan apa yang di dalam diri aku ini kepada seseorang yang kewujudannya hanya di alam maya.

MayaMulisha : Apa yang sedang kita lakukan kini? Berbual bukan? Pertanyaan dan jawapan dari kedua pihak. Itu bukti kewujudan. Ada respon dari setiap pertanyaan baik dari kau ataupun aku.

WhiteDaisy : Maksud aku, aku tidak mengenali kau, secara fizikal.

MayaMulisha : Jadi, kau perlukan kehadiran aku secara fizikal bagi memastikan kewujudan aku? Kau perlu lihat dan rasa untuk percaya? Hello, kau ingat kau sedang berbual dengan siapa? Komputer artificial intelligence ke?

WhiteDaisy : Aku tahu. Tapi, realitinya tidak begitu. Kewujudan itu perlu bukti. Bukti itu perlu nyata. Nampak, boleh disentuh, rasa, bereaksi...

MayaMulisha : Ehehe. Kau ini peliklah. Terjuling mata I membaca apa yang kau taip. Malah aku dapat rasakan bahawa ada urat-urat otak aku yang terseliuh mahu memahami!

WhiteDaisy : Kita luahkan dan dia mengejek pulak. Tak apalah.

MayaMulisha : Ishhh merajuk pula. Wahai Cik Daisy, kau percaya pada Tuhan?

WhiteDaisy : Sudah tentu!

MayaMulisha : Jadi kewujudannya tidak perlukan apa yang kamu syaratkan itu.

WhiteDaisy : Kau bukan Tuhan ok! Bye.

Lantas menutup komputernya. Agak marah. Entah mengapa kebelakangan ini kemarahannya itu semakin menjadi-jadi. Perbagai persoalan menerjah fikirannya – pening! Menutup matanya cuba mencari ketenangan, dia sedar cara dia menutup komputernya tadi bercanggah dengan apa yang diingatkan dalam manual pengguna. Remeh.

Dengan peti emelnya yang agak padat, rakan-rakan siber di Messenger, ICQ dan IRC, dia begitu didodoi, khayal, lantas tidak menyedari bahawa masanya dimakan dengan lahap sekali. Dia menemui sesuatu yang baru. Berinteraksi dengan seseorang yang entah di mana seakan membuka pintu pada dunia yang tidak pernah dia ketahui ada. Berkomuniti di alam maya...dunianya kini!

*****

“Aku rasa lemah tidak bermaya.”

Burnout dear,” selamba Nita menjawab.

“Mungkin.”

Seperti biasa, Nita adalah Nita dan malam itu agaknya habis peti khazanah yang menyimpan cerita hidup Farah diselongkarnya. Dia senyum – sinis. Menggeleng seakan tidak mahu berhenti, “Kau harus kembali sayang.”

“Kembali?”

“Dunia realiti.”

“Huh?”

“Kau abaikan dunia ini. Dunia maya itu memakan duniamu ini. Kau faham?”

“Maksud kau?”

“Kau habiskan terlalu banyak masa di sana. Kau harus kembali. Ini duniamu. Ini yang realiti.”

“Habis, bagaimana dengan kawan-kawanku?”

“Oh, jadi kau di sana kerana ingin menjaga hati kawan-kawan yang entah siapa? Hello, kau nampak tak aku ni? Pegang mukaku ini. Kau dapat rasakan?” Sambil memegang-megang pipinya, “Ini realiti. Bukan yang itu ok!”

*****

Hampir dua minggu berlalu dan aku begitu berat sekali untuk kembali kepada apa yang telah aku tinggalkan – kerja dan internet. Aku pasti tugasanku berlambak menanti menyambut kepulanganku. Aku juga pasti mereka tertanya-tanya tentang kehilanganku dari dunia itu - inbox emelku juga pasti berlambak melimpahi. Disebalik perasaan yang berat itu, aku rasa begitu ringan sekali di kepala - tiada yang berselerak, tiada yang mengusutkan dan tiada ikatan. Aku seolah terlepas dari sesuatu yang...tidak, ianya bukan sesuatu yang buruk, tetapi dunia yang aku temui semula ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Tiada deadlines, tiada janji atau komitmen pada entah siapa yang aku sendiri tidak kenal secara fizikal ataupun pada ketua yang berfikiran kolot, membawa fahaman bahawa dialah seorang ketua yang bertimbang-rasa, mengambil-berat dan apa-apa saja yang dikelompokkan sebagai baik terhadap pekerjanya – sedangkan selama ini aku tahu, hasil titik-peluh pekerjanya itulah yang sebenar-benarnya bertimbang-rasa, mengambil-berat dan apa-apa saja yang dikelompokkan sebaik baik terhadap seorang ketua yang menjadi kolot bila berjaya.

Di sini, aku menemui sesuatu yang tidak pernah aku sedar akan kehadirannya. Aku merasai angin yang berlalu itu – nyaman dan membuat kerongkong atau hidungku gatal – kerongkong dan hidungku agaknya tidak biasa dengan udara sebegini. Aku dapat memijak merasai tanah-tanah, pasir dan rumput - yang mempunyai rasa mereka sendiri - dalam setiap langkahanku, tanpa perlu ada perasaan takut bahawa ianya kepunyaan seorang tauke atau ahli ‘keparat’ atau siapa saja yang akan mengherdik menghalau atau meminta sewa kerana itu kepunyaannya. Aku bertemankan alam semulajadi tanpa diganggu atau belengu kebendaan – ya, tanpa komitmen yang bersandar kehendak. Ringan, aman dan senang sekali. Namun, aku tahu, hidup tidak sebegitu jalannya. Komitmen yang lahir dari jiwa yang bernafsu akan berulang berlabuh pada hati yang lemah. Bezanya kini, aku sedar dan akan berusaha mengingatkan diriku sendiri supaya tahu bagaimana dan bila untuk ‘berkomit’ dan tidak saja-saja terjun tanpa tahu apa isi, rasa dan jerat yang menanti. Hidup perlu imbangan yang tidak berat sebelah.”

Di Chenang ini, bangau-bangau itu berantaian terbang mengisi langit petang yang luas dan aku pasti, esoknya aku masih di sini – seperti mereka- dan cuba memanjangkan rasa yang aku temui ini dengan mengutus surat – mungkin emel saja – kepada si ketua kolot itu dengan menyatakan bahawa dia perlu lebih sedar tentang kehidupan dan mereka yang menghidupkannya dan tidak bergantung pada perasaan dan fahaman yang kolot itu. Ah, tidak, aku mahukan begitu, tetapi lebih senang dengan hanya mengutus dan memberitahu tentang keputusanku: Aku perlu lebih masa. Tidak perlu aku meluahkan apa yang aku fikirkan tentangnya itu. Dia tidak berhak dinasihati – dia terlalu tinggi untuk dinasihati oleh aku yang dibawah. Dia perlu sedar sendiri – diajar oleh yang lebih tinggi darinya. Bukahkah orang sepertinya itu terlalu dibuai kedudukan hingga merasakan bahawa dialah yang “memberi” kepada yang dibawah. Mana mungkin aku mampu menasihatinya. Biarkanlah. Biar Tuhan mengajar dengan caranya sendiri. Itu sebaik nasihat, pengajaran dengan harapan mendapat kesedaran – sepertiku.

Di Chenang ini, berkali teringat akan rakan-rakan internet yang pasti tertanya mengapa aku menyepi sebegini lama. KLue, MayaMulisha, Kursk, Bender, Siantan, Vision, Madd, Zant, Rupert...ah, aku rindu sebenarnya pada mereka. Aku harap mereka memahami; aku perlu ‘pergi’ sebentar mencari diriku sendiri. Aku perlu mencari identitiku. Aku disedut dan diulik ke dalam dunia dimana kelamaan aku tidak lagi mengenali diriku sendiri. Aku berlakun di dunia nyata, tetapi menjadi sebaliknya di dunia maya itu. Mengapa?

Usikan sinis Maya dan Rupert, Bender dan Madd yang sibuk bertelagah dengan pasukan EPL mereka, Siantan dan Vision yang kerap menasihati dan berpuitis dan mereka yang lain dengan keperibadian mereka sendiri, aku sedar kami sebenarnya anak-anak seperti Sarah dan Hakim – begitu dahagakan kelantangan suara diri yang sebenar, senang tanpa perlu berlakun untuk menyuarakan keinginan atau ketidakpuasan dan tidak perlu menyogok untuk mendapatkan apa yang tidak kekal itu. Berbanding dunia nyata ini, kami terpaksa berlakun; nyaring berdendang menyanyikan lagu hasrat hati yang mengejar cita-cita tidak berpagar untuk diri yang terlalu mengagungkan materialistik. Pelik, kami menjadi diri kami yang sebenar bila di alam maya dan berlakun di alam nyata ini...pelik, sekurangnya itu yang aku rasai. Terlalu banyak yang meneroka dunia ini sedar akan kemampuannya dan menggunakannya sebagai alat untuk memenuhi nafsu mereka. Rumahtangga yang hancur kerana suami atau isteri atau keduanya main kayu tiga kerap terjadi. Mengapa? Aku kira mereka adalah mereka yang sebenar. Mereka yang bernama manusia. Manusia yang bernafsu. Kehadiran sesuatu seperti internet yang batas sempadannya tidak wujud memberi seakan kuasa kepada penggunanya. Dan kuasa, bila ditangan manusia adalah seperti telur dihujung tanduk. Kesedaranku tentang kehidupan lahir dari pembabitanku dalam dunia maya ini. Aku diajar dalam dunia maya ini! Apa yang kita cari? Apa yang sedang kita lakukan? Bila ini ditanya, jawapannya sesuatu yang objektif kerana hati itu mempunyai pelbagai citarasa.

Aku perlu kembali. Kembali kepada realiti. Realiti kehidupan. Tiada lakunan untuk “membeli”, hanya perlu mempersembahkan diriku yang sebenar. Terlalu sudah kekeliruan pada diri ini. Aku perlu kembali. Keluar dari minda yang korup, hati yang hangus terbakar...

*****

MayaMulisha : Heyyy, mana kau menghilang? Kawin kaaa?

WhiteDaisy : Hai Maya. Taklah. Takan kawin tak jemput kau?

MayaMulisha : Manalah tahu. Habis tu kau menghilang ke mana?

WhiteDaisy : Aku saja-saja, jalan-jalan...

MayaMulisha : Huh? Saja-saja? Jalan-jalan? Cari makan? Kat mana?

WhiteDaisy : Ehehe...jalan-jalan mencari diri sendiri.

MayaMulisha : Jadi, dah jumpa dah?

WhiteDaisy : Apa fikiran kau?

MayaMulisha : Aku kau suruh fikir? Aduhhhhh...asal bercakap dengan kau urat-urat otak aku pasti sakit terseliuh!

WhiteDaisy : Hahaha...kau ni masih begitu. Suka menyakat, tapi aku suka begitu. Kau adalah diri kau yang sebenarnya di sini.

MayaMulisha : Haaa? Apa tu? Falsafah yang kau jumpa masa kau jalan-jalan cari diri kau?

WhiteDaisy: Mungkin, tapi kenyataan. Aku tidak fikir kau berkelakuan begini apabila kau diluar sana. Betul tak?

MayaMulisha: Aku tak faham.

WhiteDaisy: Maksud aku, adakah kau bercakap begini semasa kau diluar sana?

MayaMulisha: Gila kau! Mak aku piat telinga aku kalau dia tahu perangai aku begini.

WhiteDaisy: Jadi, perangai kau lain bila disini dan diluar sana...

MayaMulisha: Mmm...itu sesuatu yang aku tidak sedar selama ini.

WhiteDaisy: Kita terlalu materialistik hingga perlu berlakun dalam menyatakan siapa diri kita.

MayaMulisha: Tapi kat dunia ini pun terlalu banyak yang berlakun untuk diri mereka sendiri.

WhiteDaisy: Benar, tapi aku tidak. Kau?

MayaMulisha: Ehehehe, kau ni peliklah Daisy, tapi aku gembira kau kembali.

WhiteDaisy: Kau tidak menjawab pertanyaanku itu.

MayaMulisha: Entahlah. Dalam dunia ini manusia menilai dari segi material, bukan hati, seperti apa yang kau katakan itu. Aku kira, aku pun kadangkala terbuai juga.

WhiteDaisy: Itu yang aku jumpa selama pemergianku.

MayaMulisha: Ooooo...burnout eh?

WhiteDaisy: Ya. Semuanya bercelaru. Kini aku fikir aku dah ok.

MayaMulisha: Fikir? Bunyi macam kau tak pasti saja.

WhiteDaisy: Tiada kepastian dalam dunia ini...

MayaMulisha: Kecuali mati...tapi, sikap manusia dan internet. Bukankah itu satu subjek yang menarik?

WhiteDaisy: Ya. Aku diajar tentangnya di sini.

MayaMulisha: Manusia diajar dimana-mana saja Daisy, tapi aku gembira kau sudah kembali.

WhiteDaisy : Aku juga begitu. Aku gembira aku kembali...dalam dunia realiti ini.

0 reaksi: