header-photo

Teman Yang Pergi...

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian seorang yang saya kenali. Kami pernah bersama dalam era 70an sewaktu keluarga kami sering bertemu. Sebaik terdengar beritanya yang dibunuh kejam, saya agak tergamam dan fikiran menyelak silam mencari bab-bab di mana kami pernah bersama.

Sewaktu mengikuti berita di TV3 pada sebelah malamnya, wajahnya langsung tidak saya kenali. Malah abang, ibu dan bapanya juga tidak begitu saya kenali. Memang terlalu lama sudah kami tidak bertemu. Saya kira hampir 30 tahun! namun, saya masih terkenang waktu-waktu kami bersama. Dia, abangnya dan saya sering "bermain" bersama bila keluarga kami bertemu. Kami dalam dunia kami sendiri sehingga tiba waktu untuk berpisah. Dan kali ini "perpisahan" itu termenterai setelah tergantung lama.

Saya tidak dapat meleraikan kekusutan di kepala - mengapa manusia begitu kejam. Bila nafsu mengatasi akal kita tercampak ke alam yang tercemar. Dan kita tergeleng tidak mempercayai manusia boleh melakukan perkara-perkara yang tidak terfikir selama ini - sekurangnya dalam masyarakat kita ini.

Selamat tinggal sahabatku...

Al-Fatihah buat Allahyarham Shahman Nasution - semoga dicucuri rahmat dan tergolong dalam mereka yang beruntung.

1 reaksi:

Anonymous said...

Pertama sekali Al Fatihah kepada Allahyarham Shahman Nasution. Saya terkejut apabila mendengar berita kematiannya di TV3. Ketika itu saya berada di kampung sempena cuti kemerdekaan. Walaupun kami jarang berjumpa, saya berasa begitu sedih dgn cara kematiannya. Saya terfikir bagaimana seksanya dia menghadapi saat2 kematian. Hanya manusia kejam berhati binatang sahaja yang sanggup melakukan begitu.

Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada hujung tahun 2005. Dia banyak menceritakan kekecewaan hidup kepada saya, masalah perniagaan dan perancangan masa depannya. Dia pernah memberitahu bahawa segala beban yang ditanggung pada masa itu mungkin berakhir apabila dia mati. Saya tidak sangka dia meninggal dunia tidak lama selepas itu. Saya begitu sedih dengan cara kematiannya yang begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saya mengikuti perkembangan kesnya di suratkhabar selama seminggu tetapi tiada kesimpulan terhadap kesnya. Walau apa pun, marilah kita menyedekahkan Al Fatihah kepadanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.