header-photo
Showing posts with label wirabukit. Show all posts
Showing posts with label wirabukit. Show all posts

Kulit: Salina Draf Awal...

Ini draf awal...
Proses oleh perekanya di http://emilayusof.com/2011/06/salina/

Salina...

Antara lebih 65 karya Pak Samad, saya tidak henti ditanya mengenai Salina.

"Bila Wira Bukit hendak terbitkan?"

Menerbitkan novel Pak Samad ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sememangnya Salina menjadi keutamaan Wira Bukit semenjak hak penerbitannya dikembalikan. Novel yang menghampiri usia 50 tahun ini sedang menjalani kerja awal penerbitannya.
Salah satu rintangan yang saya kira besar adalah rekabentuk kulitnya.

Apapun, saya jangkakan Salina akan kembali ke pasaran selewatnya April ini, insyaAllah.

Doakan agar usaha ini dipermudahkan.

DBP...

Akhirnya Pak Samad terima surat rasmi pengembalian hakcipta buku dari Dewan Bahasa dan Pustaka (bertarikh 7hb Ogos 2009).

Saya ucapkan syukur dan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Juga terima kasih kepada mereka yang menyokong - terutama yang terlibat dalam menandatangani memorandum lebih setahun yang lalu.

Perjalanan mendaki kini baru bermula...

Lagi Bisik Warna...

Bisik Warna selamat dicetak pada 23 April lalu...
Buku yang terisi lakaran dan kata mutiara oleh Pak Samad ini setebal 108 mukasurat, kulit keras dengan jaket dan diterbitkan dalam dwi bahasa.
Ini adalah usahasama sulung antara ITNM dan Wira Bukit dan dilancarkan pada 26hb April di Pesta Buku Antarabangsa yang lalu.
Harga senaskhah RM40.00.
Boleh dapatkannya di ITNM, kedai-kedai buku dan Wira Bukit.

Penerbitan-penerbitan 2009/10

Wira Bukit dalam perancangan akhir dalam usaha menerbitkan lima buku. Ini termasuk novel baru Pak Samad yang di jangka siap pada suku tahun pertama 2010.

Kami juga terlibat dalam beberapa "projek" dan sedang mengemaskinikan syarikat.

Dalam usaha-usaha ini kami terpaksa "mengorbankan" beberapa "harta" syarikat seperti set lukisan-lukisan dalam Bisik Warna, manuskrip-manuskrip, koleksi buku peribadi dan juga usahasama dengan beberapa badan yang lain - termasuk di luar negara.

Saya cuma terkilan kerana pihak-pihak di luar negara seakan lebih menghargai set lukisan-lukisan dalam buku Bisik Warna dan juga manuskrip-manuskrip. Besar kemungkinan set lukisan ini akan terlepas ke sana kerana suasana di sini "suam" sahaja.

Saya tahu kelak ini akan dipersoalkan, tetapi demi "survival" syarikat, ini dengan berat hati terpaksa dilakukan. Saya juga sebenarnya kecewa kerana sifat "tidak tahu apa yang kita ada sehingga ianya tiada" itu berleluasa - erti kata lain, seni - terutama dalam dunia sastera - tidak begitu dihargai.
Kami lebih banyak menerima "feedback" dan pertanyaan dari luar berbanding dalam "halaman" kami sendiri. Walaupun ada usaha beberapa pihak (seperti ITNM), tetapi itu tidak mencukupi. Kami perlu terus melangkah ke hadapan dan ke puncak. Kami tidak boleh statik.

Dan kerana itulah, demi untuk terus maju dan bertapak, sesetengah perkara harus kami korbankan.

Terbitan 2009/10:

1. Salina
2. Dari Kabus ke Kabus
3. Bisik Warna (Bahasa Melayu) - Edisi Santai
4. Daerah Zeni
5. Sungai Mengalir Lesu
6. Wira Bukit
7. *Novel baru Pak Samad.

Bisik Warna dan ITNM

Bisik Warna lahir akhir tahun 2008. Urusan penerbitannya merangkak dan tersangkak oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya benar gelisah dan kecewa. Beberapa perkara yang tidak terduga berlaku menghimpit Wira Bukit.

Dalam golakkan, saya teringatkan ITNM. Lantas saudara Anuar Manshor saya hubungi - melalui Facebook. Kini Bisik Warna sedang dicetak - cuma saya kecewa sedikit kerana bertindak lewat.

Kalau ada satu badan kerajaan yang terlibat dengan dunia penerbitan buku, ITNM adalah sebuah badan yang paling efektif - buat masa ini, pada saya.

Mengapa? Senang. Berurusan dengan ITNM seperti jalan bersantai di taman. Mereka tidak banyak karenah dan berkira - kata lain, "red tape" kalau wujudpun tidak saya sedari. Sebagai sebuah syarikat penerbitan yang kecil, jalan yang dibuat dan ambil oleh ITNM ini bagai sinaran yang menyuburkan dan memberi harapan.

Saya sedar, ini semua bergantung kepada orang yang menerajuinya. Saya berterima kasih kepada Encik Mohd Khair dan anak-anak buahnya dalam usaha mereka dalam perkara ini.

Saya tidak sabar untuk meneruskan kerjasama dengan mereka lagi. Saya juga tidak sabar untuk menguji jalan-jalan yang dibuat dan diambil oleh badan-badan lain seperti...DBP.

Ingat lagi?

Masih ingatkah lagi Salmi Manja?
Karya-karyanya akan diterbitkan oleh Wira Bukit bermula tahun ini...

Selepas 6 tahun...

Selama ini kami beroperasi dari BPR (Bawah Pohon Rendang menurut Pak Samad) dan rumah.
Inilah sebahagian idaman kami.
Pejabat urusan Wira Bukit.
Akan dibuka 1hb Jun 2008.
Doakan kesejahteraan buat kami...

68 Soneta Pohon Ginkgo


Karya baru Pak Samad

Buku ini laku sebanyak 483 naskhah semasa KLIBF 2008!

Penerbitan Segmen Pertama...

Akan terbit March 2008
Jumpa di Pesta Buku 2008!

Strategi apa ini?

Saya diberitahu seorang rakan, saya gila kerana meletakkan harga RM40.00 senaskhah untuk tiga buah judul Edisi Seni Warisan Melaka untuk tahun 2007. Ini kerana;

1. Kos cetak "DSKLP" hampir RM10
2. Kos cetak "Cinta Fansuri" hampir RM12
3. Kos cetak "Keledang" hampir RM14

Ini tidak termasuk kos bayaran pereka bentuk, royalti penulis dan kos-kos lain.

Ketiga-tiga buku ini (dan 3 buku edisi SWM 2006) menggunakan kertas yang istimewa yang harus ditempah 2-3 minggu sebelum boleh cetak - itupun kalau ada stok!

Untuk mendapat harga jualan, formula paling cepat dan selamat adalah kos x 4.

Tapi, tidak mengapa. Kos buku-buku edisi SWM didanai oleh PERZIM. Dan hanya 500 naskhah - setiap judul - dijual di pasaran terbuka. Antara 500-1,000 naskhah lagi diedarkan secara percuma/derma ke sekolah-sekolah yang dipilih setiap tahun melalui pusat sumber negeri, institusi-institusi, individu-individu tertentu dan lain-lain program - termasuk 300 naskhah setiap judul yang diberi kepada PERZIM.

Ini penjelasan bagi yang meragui. Harga buku-buku bawah edisi SWM yang dicetak pertama kali sebenarnya disubsidi. Jika diulang cetak dengan jenis kertas yang sama, tidak mungkin akan dijual dengan harga RM40...kecuali dengan jumlah yang banyak...berapa banyak? Anda beritahulah saya ;)

Ya, mungkin saya gila, tapi saya yakin senario sastera negara tidak akan berubah sekelip mata. Saya hanya cuba menanam benih...

Koperasi Gergasi...


Julai 2006, saya dihubungi oleh satu koperasi yang mahu memasarkan buku-buku Pak Samad terbitan WBSB. Sebenarnya saya tidak menaruh harapan yang besar kerana setelah berulang ke kedai buku koperasi beberapa kali, saya agak "kecil hati" dengan sikap pekerjanya - mereka lebih banyak duduk berborak sesama mereka, tidak melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat apabila ditanya (selalu bila terdesak akan memberi jawapan buku ada di stor/gudang/kilang - sila ke sana!) dan terkadang tidak berminat langsung melayan pelanggan!

Setelah berbincang, mereka bersetuju mengambil 5 naskhah setiap judul. Sebenarnya mereka mahukan atas "consignment basis" - yakni, akan bayar jika terjual, tetapi saya tidak menjalankan perniagaan begini dan menyuruh mereka menghubungi PTS (pengedar kami). Entah mengapa, mendengar PTS mereka terus bersetuju mengambil terus dari WBSB secara tunai.

Itu dalam bulan Julai 2006. Tadi saya suruh pekerja saya ke sana dan mengambil semula buku-buku kami. Satu perkara yang amat susah saya "tolerate" adalah tidak menepati janji.

Sesetengah perkara tidak pernah berubah...mereka masih fikir mereka gergasi...