header-photo

Miguel...

Baru ini saya jumpa seorang teman dari Sepanyol. Dia fasih berbahasa Melayu. Kami duduk berbual di sebuah kafe sambil menikmati teh tarik...

Miguel: Saya peliklah Helmy...
Saya: Pelik?
Miguel: Ya, pelik.
Saya: Pelik kenapa?
Miguel: Saya lihat di sini kalau orang bertutur bahasa Inggeris yang tidak betul mereka akan ditertawakan. Diejek atau dipandang rendah.
Saya: *Senyum*
Miguel: Tetapi...jika bertutur bahasa Melayu, orang tak kisah walau betapa bercelaru atau salah. Mengapa?
Saya: Pembangunan...

Sedap tak...

Terdengar di restoran...

Pelayan: Nak makan apa cik?
Pelanggan: Mee rebus ada?
Pelayan: Ada.
Pelanggan: Sedap tak?
Pelayan: Errr...

Potong Q...

Senario potong "que" sememangnya sudah menjadi perkara biasa di Lembah Kelang. Sememangnya penggemar memotong jalan, barisan atau giliran adalah satu spesis yang istimewa. Mereka ada "lesen" untuk berbuat begitu. Mereka seolah tiada apa-apa rasa bila berbuat demikian. Mereka fikir tentang diri mereka sendiri (kecuali yang benar-benar tersilap laluan).

Selain dari memotong "que", jika kita memandu terutamanya sekitar lebuhraya, sering juga kita lihat betapa golongan istimewa ini menggunakan laluan kecemasan kalau berlaku kesesakan. Mereka ada "lesen", tetapi tiada rasa atau kesedaran.

Beberapa minggu yang lalu, saya ke sebuah restoran makanan segera di Kota Damansara. Saya ke laluan pandu lalu. Barisan agak panjang (adalah dalam 7-8 kenderaan di hadapan). Dalam menanti giliran untuk memesan makanan, tiba-tiba saya terkejut! Ada juga orang seperti ini! Ya, ada sebuah kereta hendak memotong "que" di hadapan! Beberapa kenderaan di hadapan membunyikan hon - marah, tetapi kereta itu "mati-mati" hendak potong "que" juga. Seorang pemandu selang sekenderaan depan saya buka pintu dan pergi ke pemandu yang mahu potong "que" itu...

Pemandu A: Hello, kat sini pun nak potong "Q"?
Pemandu B: Saya nak cepat. Darurat...
Pemandu A: Semua di dini yang berbaris pun nak cepat...
Pemandu B: Saya tahu tapi saya emergency ni...
Pemandu A: Beli xxxxxxxxx pun emergency?
Pemandu B: Takpelah...tak ada hati perut langsung!

Dan dia berlalu...

Persoalan, siapa yang tak ada hati perut?

Panas...

Musim panas kali ini berlainan sekali. Kipas yang berpusing bagai nak tercabut di ruang tamu tidak banyak membantu. Saya jamin bil elektrik kali ini pasti tinggi kerana kegunaan kipas dan pendingin yang lebih dari biasa. Bilangan pengambilan air juga bertambah kerana lebih kerap mandi dan minum. Sekurangnya ada yang "untung" dalam suasana sebegini.

Namun, saya agak terkejut kerana masih ada yang mahu memakan durian dalam suasana cuaca begini?

Ah...sememangnya durian itu raja buah...

Al Amin...

Saya agak terkejut dengan kejadian yang menimpa Tuan Muhammad Ghozali Abd Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK dan keluarganya. Tidak dapat bayangkan saat getir yang mereka lalui. Kita tidak tahu apa yang ada dalam kepala tiga penyamun tersebut. Dalam beberapa kejadian, ada saja yang dicederakan atau dibunuh semasa merompak. Saya bersyukur dia sekeluarga selamat.

Namun, apa yang memeranjatkan saya adalah tindakan penyamun tersebut. Meraka ambil terjemahan manuskrip al Amin. Terjemahan puisi kehidupan Rasullullah dari Bahasa Melayu ke Inggeris ini bukannya sesuatu kerja yang mudah. Tentu saja Tuan Muhammad terkilan dan kecewa.

Saya terimbas kisah penyamun masuk ke rumah kosong Pak Samad di Ampang. Terdapat banyak manuskrip, lukisan dan buku yang tersimpan di sana. Namun, penyamun tersebut tidak menyentuhpun barangan tersebut. Mereka hanya potong besi, punggah surat khabar lama dan barang-barang elektrik.

Berbalik kepada kisah Tuan Muhammad, mungkin penyamun ambil apa saja yang tercapai. Saya tidak nampak atau terkesan sebab mengapa mereka mengambil manuskrip tersebut selain dari "mencapai" apa saja (dalam suasana getir) atau mungkin untuk meminta wang tebusan kelak atau mungkin saja mereka minat hasil karya Pak Samad?

Berita penyamun klik sini.

Jam 3 pagi...

Saya melihat jam di dinding. Pukul 3 pagi. Mereka masih di situ. Menyanyi,bergitar, gelak ketawa. Mereka tidaklah begitu bising hingga mengganggu. Namun, jam 3 pagi jika berbual biasapun boleh didengari jauh. Dan jam 3 pagi bukanlah sesuatu waktu yang biasa kita lihat anak-anak muda berlepak di taman. Jam 3 pagi menimbulkan keraguan dan persoalan.

Rumah saya berhadapan padang yang agak luas. Saya senang dengan suasana sebegini. Selain depan rumah yang luas, berangin dan senang beriadah, memakirkan kenderaan juga senang. Tidak seperti rumah yang berhadapan antara satu sama lain.

Berbalik kepada anak-anak muda yang berlepak jam 3 pagi. Persoalan dalam kepala saya, "Mak bapa mereka mana?"

Ini anak-anak remaja...

Semalam saya siasat...ini salah satu aktiviti tersembunyi mereka...

Surat kepada ibu...

Saya benar tidak tahu betapa bahasa Melayu itu telah tercemar sehingga saya menonton berita semalam.

Seorang anak (perempuan) lari bersama sang kekasih meninggalkan keluarga dan sepucuk surat.

Saya rasa sedih kerana seorang anak yang dibesarkan ibu dan bapa sepanjang hidupnya lebih mempercayai seorang yang baru dikenalinya setahun atau dua. Cinta...semuanya bisa berlaku.

Namun lebih memeranjatkan saya adalah surat yang ditulis remaja itu kepada keluarganya. Saya faham jika kita berbahasa pasar atau berslanga, tapi sehingga ejaan itu terbawa dalam surat kepada ibu dan bapa?

Cinta, semuanya bisa berlaku bukan?

Teori Konspirasi...

Lanjutan...

Zul: Abang tau kenapa tak lama lagi kita akan dipantau semasa beli petrol?
Saya: Pantau?
Zul: Yalah. Setiap kali nak beli petrol kita kena masukkan IC untuk dapatkan harga subsidi.
Saya: Sudah tu?
Zul: Gomen taulah kat mana lokasi kita sepanjang masa!
Saya: Itu sesuatu yang burukkah?
Zul: Melanggar hak.
Saya: Jika itu yang gomen lakukan, tetapi selama ini pun kalau nak pantau individu tidak payah isi petrol Zul.
Zul: Bagaimana?
Saya: Tu henfon...
Zul: Ye tak ye jugak...

*Moral: Dunia semakin mengecil...

Usia...

Saya ditanya sebentar tadi...

Zul: Apa rasa semakin tua?
Saya: Kesedaran...
Zul: Kesedaran?
Saya: Ya...
Zul: Kesedaran apa?
Saya: Masa semakin hampir...
Zul: Hampir?
Saya: Yup.
Zul: Abang ni peliklah.
Saya: *Senyum*

Satu hari kelak insyaAllah akan tahu maksud saya...

Salina...

Antara lebih 65 karya Pak Samad, saya tidak henti ditanya mengenai Salina.

"Bila Wira Bukit hendak terbitkan?"

Menerbitkan novel Pak Samad ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sememangnya Salina menjadi keutamaan Wira Bukit semenjak hak penerbitannya dikembalikan. Novel yang menghampiri usia 50 tahun ini sedang menjalani kerja awal penerbitannya.
Salah satu rintangan yang saya kira besar adalah rekabentuk kulitnya.

Apapun, saya jangkakan Salina akan kembali ke pasaran selewatnya April ini, insyaAllah.

Doakan agar usaha ini dipermudahkan.

Refleksi...

Saya sering melihat refleksi diri saya sendiri. Memang tidak terkira kelemahan yang ada.

Dan hasil darinya, setiap satu kegagalan yang dialami, saya tempuhi dengan semangat yang lahir - saya diajar dan perlu belajar agar tidak mengulangi.

Dan kerana itu saya tidak mengambil masa yang agak lama melayani apa yang berlaku - baik duka ataupun suka. Saya tidak akan benarkan diri melara atas apa yang berlaku. Selagi bernyawa, setiap langkah itu satu perjalanan ke hadapan buat saya. Satu masa dan hari yang baru. Satu tekad dan perlu nekad.

Hidup perlu diteruskan...saya sudah melangkah. Tiada masa untuk beremeh. Dan saya doakan anda juga begitu kerana kehidupan ini singkat.

Sedetik dalam sejarah...

Dia dan saya pernah bersama mencari dan cuba melengkapkan cita.

Bersama dihadiahkan tahi merpati di Trafargar Square dan Marble Arch, kaki bengkak kerana berjalan dari pagi hingga pagi di kota sejuk ini, dikejar pengemis (ya, di sini ada pengemis!) dari Edgware hingga Oxford, melihat saja Eye of London dari sisinya kerana gayat dan dihukumi rakan yang niatnya terseliuh, saya kira cita itu tidak lengkap namun memadai.
Saya melihatnya. Dia juga sama.

Dalam hati kita saling bertanya, "Bila nak pergi lagi?"

Pendakian...

Sudah beberapa kali saya mendaki untuk mencapai sesuatu.

Dan berkali apabila dipuncak, apa yang dilihat adalah gurun saja di sebelah sana.

Saya akur, setiap pendakian dalam kehidupan tidak semestinya mendatangkan harapan bila sudah dipuncak. Namun saya perlu konsisten dan tidak berputus asa dalam pencariannya.
"Selagi bernafas, selagi itu ada rezeki," bisik hati yang tidak mahu mengalah.

Diri terus melangkah walau lesu...

Merpati...

Saya melihat merpati putih yang terbang di awan biru.

Bebas...dan lahir rasa, "Alangkah enak jika aku sepertinya."
Dalam tekun sesekali khayal melihat merpati putih itu terbang, tiba-tiba ia disambar helang dan hilang dibawa jauh bersama rasahati sebelum ini...

Dunia tidak boleh indah 100%...

Terajar...

Dulu menjadi ritual saya membeli nasi lemak dengan sepasang suami dan isteri yang menjaja dengan kereta buruknya di SS18 Subang Jaya setiap pagi sebelum ke pejabat.

Dia banyak mengajar saya secara tidak langsung...

Nasi lemaknya laris dan jika datang selepas pukul 9 pagi alamat kempunan.

Salah satu pengajaran...

Satu hari saya lewat ke pejabat kerana uruskan anak (Firdaus) ke sekolah. Waktu itu juga hujan. Jalan sesak walaupun sudah pukul 10 lebih. Dari jauh saya nampak kereta buruk pakcik itu masih ada. Saya berhenti dan bergegas dengan payung...

"Wah banyak lagi!" Sambil melihat lauk-lauk dalam periuk.
"Macam biasa encik?"
"Ya...," sambil terlihat berbungkus nasi di atas meja. "Banyak orang pesan pakcik?"
"Oh bukan. Ini nak sedekah."
"Sedekah?"
"Ya. Hari ini tak ramai orang beli. Mungkin sebab hujan."
"Rugi ya Pakcik..."
"Tidak, encik, tidak rugi bila bersedekah..."

Saya terajar...

Masih...keliru...

Sering menyelak majalah...

Dan sering juga terpegun melihat keanggunan model yang memperaga fesyen...terutama yang berpandukan Islam.

Saya terpegun...cantiknya...lawanya...

Aneh bukan interpretasi dan apa boleh kita lakukan atas nama agama dalam dunia sekarang?

Sedar...

Saya sedar saya sudah berumur bila tenaga yang ada tidak mampu menandingi tenaganya...
Dia akan berlari...panjat...lari...panjat...hingga selalunya lelah...
Dan dalam lelah, dia mampu lagi begini...

Terkadang...

Terkadang lebih mudah menyalahkan yang lain...

Namun, nun jauh di lubuk hati...aku di sini, begini, "terbina" selama ini atas niat dan perbuatan aku sendiri...dengan izin Allah.

Kelak bila cukup masa semuanya mesti dijawab...

Kalau ditanya samada saya takut...

...tentu!

Imbasan...

Aku duduk di bangku ini, melihat tupai-tupai berkeliaran dalam suhu hampir beku, berfikir, mencari rasional...

Kota ini terbina dari penjajahan, penindasan dan perompakan berabad.
Dan aku hanya boleh duduk di bangku ini melihat tupai-tupai itu...

Allah.

Saya keliru mulanya.

Berdikit saya sedar, mahkamah yang buat keputusan berdasarkan undang-undang ciptaan manusia.

Namun jika dibiarkan, mungkin satu hari kelak akan nampak pelekat di kenderaan-kenderaan, poster, segala jenis media dan perbualan...(Astaghfirullah)"Isa anak Allah"...bagaimana?

Saya hormat agama lain, tetapi saya kira hal ini satu penghinaan besar terhadap saya. Di serata dunia sedang hebat dan lebat memperlekehkan agama saya, kini akhirnya berlabuh juga penghinaan itu di tanah air saya ini terang-terangan - depan mata, dalam hati.

Tidak perlu tanya apa pendirian saya...

Tidak perlu tanya apa perlu saya lakukan...

Baca juga Faisal Tehrani - Allah (lagi).