header-photo

Mengapa Wira Bukit?

Berkali sudah saya menyatakan bahawa kehadiran Wira Bukit dalam dunia penerbitan adalah untuk memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja. Dan berkali juga ditanya samada Wira Bukit ditubuhkan untuk "mengajar" pihak tertentu (ya, DBP, siapa lagi?) Tidak kurang juga ada yang merumuskan Pak Samad tidak puas hati - dengan siapa lagi? - lantas terlahirlah Wira Bukit. Mungkin ada kebenaran kerana jika Pak Samad tidak "merajuk" (entah berapa kali!) dengan DBP, pastinya Pak Samad selesa dan Wira Bukit tidak mungkin lahir.

Saya tidak mahu menyalahkan DBP dalam perkara ini. Malah, saya harus berterima-kasih kepada mereka. Apa yang terjadi antara Pak Samad dan DBP adalah sejarah. Dan saya bukannya seorang yang "menyimpan" sesuatu perasaan yang negatif. Lagipun bagaimana bisa kami "mengajar" jika kami masih belajar?

Penubuhan Wira Bukit adalah khusus memelihara karya-karya Pak Samad. Ini dilakukan dengan memberi nafas baru dari segi rekabentuk dan material yang digunakan dalam penghasilan karya-karya lama dan terkini. Dari segi rekabentuk, Pak Samad, saya dan Emila akan "memecah kepala" memberi ide masing-masing dalam proses menerbitkan sesuatu karya itu. Kami juga sering - sebenarnya Pak Samad dan saya - "bertekak" dalam perkara ini. Dia mahukan "begini", saya mahukan "begitu" dan Emila sabar menanti keputusan dan tidak kurang juga tekun berulang kali menghasilkan beberapa rekabentuk dan "mock-up" agar ide-ide kami itu dapat dilihat, dirasa dan dihadam.

Kami juga "membuang duit" dengan membeli buku-buku yang rekabentuknya menarik dan unik. Ini perlu. Buku-buku sastera Melayu kalau diletak bersebelahan dengan buku-buku sastera asing "kalah teruk" dari segi rekabentuk dan material yang digunakan. Kami melihat, membelek dengan jari-jemari merasa buku-buku tersebut dan lahirlah ide kasar bagaimana buku-buku terbitan seterusnya harus dizahirkan. Dalam proses penerbitan sesuatu buku, bab rekabentuk inilah selalunya memakan masa yang lama. Pada saya, karya-karya sudah tersedia, Pak Samad itu dengan sendirinya adalah jenama kami. Dia ikon dan dikenali ramai. Apa yang penting adalah bagaimana kita menzahirkan karya itu.


Rekabentuk penting dan jika ini diatasi, usaha menjual buku itu menjadi mudah sedikit. Ditambah dengan perancangan dan strategi yang baik, kami mampu "membersihkan" dalam 1,000 hingga 2,000 naskah dalam masa kurang 6 bulan. Ini terbukti dengan Lantai T. Pinkie yang terjual sebanyak 1,200 naskah dalam masa 2 bulan! Harus diingat, waktu itu buku Lantai T. Pinkie terbitan DBP tiba-tiba "terlambak" di pasaran dan kami terpaksa bersaing dengan harga jualan kami yang 2 kali ganda lebih mahal! Saya rumuskan ini terjadi kerana kami "lebih" memberi tumpuan kepada rekabentuk, material yang digunakan dan juga pemasaran. Siapa kata buku sastera Melayu tidak boleh "jual"? Perlu saya bercerita tentang "Rindu Ibu" yang akan dicetak untuk kali ke 4 dalam masa kurang 2 tahun? Perlu saya bercerita bahawa Wira Bukit adalah "2 man show" yang dibantu seorang pereka - yang dianugerahi bakat kreatif tinggi - dan pencetak - Harian Zulfadzli - yang tidak jemu melayani karenah kami? Perlu saya bercerita tentang sokongan pengedar kami - PTS - yang memahami, memberi kerjasama baik dan berjuang meletakkan buku-buku bahasa Melayu atas rak-rak kedai buku serta jualan melalui internet serta penat lelah sdri Nisah Haron dan suaminya sdra Shukri yang rajin menjelajah serata Malaysia melalui syarikat mereka - Ujana Ilmu?

Pasaran buku sastera Melayu itu sesuatu yang belum terukur. Mungkin saja tidak setanding padang buku-buku cinta remaja, kanak-kanak dan motivasi yang kini semakin kita ketahui agak besar dan menguntungkan. Tapi, siapa tahu? Mungkin saja ia setanding atau lebih besar? Apa yang saya tahu, ia tidaklah seburuk apa yang kita diberitahu. Mungkin cerita buku sastera Melayu tidak laku itu satu alasan mudah mencari jalan pintas setiap kali disoal mengapa ia amat susah dijual. Dan apabila ini berlaku berulang hingga berabad lamanya menjadilah ia satu mitos.

Kita perlu bekerjasama. Kehadiran Wira Bukit bukan satu masalah pada yang lain. Kita perlu bersaing dan pesaingan itu penting untuk tidak melekakan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada. Kita perlu meneroka dan membuka minda. Musuh kita adalah diri kita sendiri...

Mengapa Wira Bukit? Mudah, memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja.

*DBP sangat penting bagi saya. Mereka seakan "guru" dan "abang-abang" saya. Tidak mungkin dan tidak akan saya merendahkan atau memperlekehkan mereka.

** www.tongkatwarrant.com - www.emilayusof.com - www.ujanailmu.com.my - www.pts.com.my - http://ainonmohd.blogspot.com/ - http://annyss.blogspot.com/ - www.wirabukit.com

0 reaksi: