Beberapa hari yang lalu, saya sempat bersantai sebentar dengan Pak Samad di Kafe Kinokuniya. Selain dari berbincang tentang satu perkara yang agak menekan, aktiviti-aktiviti Pak Samad untuk bulan Ogos juga diperbincangkan. Seperti biasa, Pak Samad akan membuka diarinya dan kami membincangkan tentangnya. Akhir-akhir ini saya tidak begitu "mengatur" aktivitinya kerana dibebani kerja-kerja Wira Bukit dan penilaian realiti diri yang sedang saya alami.
Satu perkara yang menjelekkan saya ialah bagaimana ada pihak-pihak yang mengeksploitasi dirinya. Kerap Pak Samad dijemput membaca puisi atau memberi ceramah percuma. Mereka fikir Pak Samad ini seorang jutawan atau milik rakyat. Saya sebenarnya amat kecewa dengan situasi ini. Pak Samad besar kemungkinan akan menjadi seorang jutawan sekiranya mereka-mereka ini ikhlas dan prihatin. Namun ini tidak terjadi, sekurangnya tidak pada Pak Samad.
Ada juga yang telah berjanji - seperti apa yang berlaku di Port Dickson dalam acara anjuran Kementerian Pendidikan beberapa bulan lepas - tetapi hingga kini, janji tinggal janji dan orangnya agak saya tamat kursus ilmu halimunan kerana sehingga kini hilang entah ke mana.
Perkara sebegini sering berlaku ke atas diri Pak Samad. Dan kerana itulah juga Pak Samad kini sering membawa buku-bukunya - terbitan Wira Bukit - dan menjualnya dengan harapan sekurangnya jika dirinya diputar dan dibelit, adalah sedikit wang hasil penjualan buku-buku yang dibawanya - itu pun Dawama "bising". Inilah nasib seorang SN...ramai menyanjungnya dan ramai juga "penyamun tarbus" pemutar alam. Ingatlah, dia juga seorang insan yang perlu makan dan menyara.
Hargailah sedikit dirinya itu...
*Dawama - jika buku TIDAK LAKU semasa Pak Samad ada, sila jangan salahkan Pak Samad. Dawama perlu tahu mengapa CERMIN itu penting.
0 reaksi:
Post a Comment