Saya suka berangan...
Saya sedang duduk santai di sebuah kafe. Seperti biasa menikmati secawan kopi, menghisap rokok (Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: Merokok membahayakan kesihatan) dan fikiran mula melayang...
Di tangan sepucuk warkah - bukan dari eropah ya. Membaca kandungannya, saya jadi sedikit keliru dengan saranan "...kerjasama dapat dikekalkan dengan semangat muhibah dan silatulrahim serta semangat menghormati perjanjian yang telah ditandatangani" yang dianjurkan oleh seorang Ketua Bahagian Hak Cipta. Ya, "perjanjian" itu dihitamkan semahu mungkin...agaknya mesin pencetaknya rosak kot?
Dalam kekeliruan, rasa aneh pula mula hadir. Setahu saya, ada buku tercetak olehnya tanpa perjanjian. Ada buku-buku yang diterbit bersama dengan syarikat lain tanpa berbincang dahulu. Ada buku-buku yang tidak diulang cetak lebih sepuluh tahun, tetapi tiba-tiba diulang cetak (dengan kulit lama) hanya selepas beberapa bulan sebelumnya diminta kembali haknya.
Terimbas saya beberapa tahun yang lalu...saya diberitahu depan muka saya oleh seorang pegawai hak cipta bahawa "walaupun dia sudah tiada, kami masih memegang hak ciptanya untuk 50 tahun..." Astagaaaa...dia memperkatakan tentang bapa saya! Depan muka saya! Tidak pergi sekolah PR ke pegawai muda ini? Atau sememangnya dia atau bahagiannya itu sombong dan angkuh? Bahasa Jiwa Bangsa...dia ni bangsa apa hah?
Mana semangat muhibah yang dianjurkan?
Fikiran saya melayang lagi - maaf ya, fikiran saya begitu, mungkin sebab saya suka berangan. Kali ini kepada satu siaran tv...Petrocelli. Ini cerita naik turun mahkamah tahun 70an. Saya mati-mati ingat bahawa setiap perjanjian ada jangka masanya. Tetapi aneh, ini tidak berlaku dengan perjanjian hak cipta yang telah bapa saya tandatangan itu. Aneh, saya tidak ingat bila masa pula bapa saya "menjual" hak cipta karyanya sehingga andai dia tiada hari ini, keluarganya terpaksa "melopong" selama 50 tahun.
Saya rasa jiwa bergelora. Memberontak! Mengapa perlu saya toleran lagi? Saya perlu bertindak! Dulu saya ikut resmi Hang Tuah, entah mengapa kini mengidam nak jadi Hang Jebat (walaupun sebenarnya sesuai dengan watak Hang Cangkul). Dulu (baru sebentar tadi sebenarnya) saya suka sangat dengan "yang baik itu budi, yang indah itu bahasa", tapi kini, entah mengapa, "lawan tetap lawan!!!" terngiang dalam kepala!
Perlukan saya cuba berhenti berangan?
Ah, saya perlu lebih kafeina dan nikotina...
2035 BMW Motorrad R18 range updated, now Euro 5+
16 minutes ago