header-photo

Apa yang mungkin tidak anda ketahui - II

Saya suka berangan...

Saya sedang duduk santai di sebuah kafe. Seperti biasa menikmati secawan kopi, menghisap rokok (Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: Merokok membahayakan kesihatan) dan fikiran mula melayang...

Di tangan sepucuk warkah - bukan dari eropah ya. Membaca kandungannya, saya jadi sedikit keliru dengan saranan "...kerjasama dapat dikekalkan dengan semangat muhibah dan silatulrahim serta semangat menghormati perjanjian yang telah ditandatangani" yang dianjurkan oleh seorang Ketua Bahagian Hak Cipta. Ya, "perjanjian" itu dihitamkan semahu mungkin...agaknya mesin pencetaknya rosak kot?

Dalam kekeliruan, rasa aneh pula mula hadir. Setahu saya, ada buku tercetak olehnya tanpa perjanjian. Ada buku-buku yang diterbit bersama dengan syarikat lain tanpa berbincang dahulu. Ada buku-buku yang tidak diulang cetak lebih sepuluh tahun, tetapi tiba-tiba diulang cetak (dengan kulit lama) hanya selepas beberapa bulan sebelumnya diminta kembali haknya.

Terimbas saya beberapa tahun yang lalu...saya diberitahu depan muka saya oleh seorang pegawai hak cipta bahawa "walaupun dia sudah tiada, kami masih memegang hak ciptanya untuk 50 tahun..." Astagaaaa...dia memperkatakan tentang bapa saya! Depan muka saya! Tidak pergi sekolah PR ke pegawai muda ini? Atau sememangnya dia atau bahagiannya itu sombong dan angkuh? Bahasa Jiwa Bangsa...dia ni bangsa apa hah?

Mana semangat muhibah yang dianjurkan?

Fikiran saya melayang lagi - maaf ya, fikiran saya begitu, mungkin sebab saya suka berangan. Kali ini kepada satu siaran tv...Petrocelli. Ini cerita naik turun mahkamah tahun 70an. Saya mati-mati ingat bahawa setiap perjanjian ada jangka masanya. Tetapi aneh, ini tidak berlaku dengan perjanjian hak cipta yang telah bapa saya tandatangan itu. Aneh, saya tidak ingat bila masa pula bapa saya "menjual" hak cipta karyanya sehingga andai dia tiada hari ini, keluarganya terpaksa "melopong" selama 50 tahun.

Saya rasa jiwa bergelora. Memberontak! Mengapa perlu saya toleran lagi? Saya perlu bertindak! Dulu saya ikut resmi Hang Tuah, entah mengapa kini mengidam nak jadi Hang Jebat (walaupun sebenarnya sesuai dengan watak Hang Cangkul). Dulu (baru sebentar tadi sebenarnya) saya suka sangat dengan "yang baik itu budi, yang indah itu bahasa", tapi kini, entah mengapa, "lawan tetap lawan!!!" terngiang dalam kepala!

Perlukan saya cuba berhenti berangan?

Ah, saya perlu lebih kafeina dan nikotina...

Apa yang mungkin tidak anda ketahui - I

Cetak dulu, jual dulu dan apabila ditanya, baru sampai surat perjanjian...sehingga hari ini surat perjanjian tidak ditangani, tiada surat rasmi mohon maaf ataupun penjelasan. Itulah nasib pengarang yang akhirnya memberi satu surat "kesian" atas sifat kemanusiaan.
Bila pula DBP akan ada sifat kemanusiaan?

Koperasi Gergasi...


Julai 2006, saya dihubungi oleh satu koperasi yang mahu memasarkan buku-buku Pak Samad terbitan WBSB. Sebenarnya saya tidak menaruh harapan yang besar kerana setelah berulang ke kedai buku koperasi beberapa kali, saya agak "kecil hati" dengan sikap pekerjanya - mereka lebih banyak duduk berborak sesama mereka, tidak melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat apabila ditanya (selalu bila terdesak akan memberi jawapan buku ada di stor/gudang/kilang - sila ke sana!) dan terkadang tidak berminat langsung melayan pelanggan!

Setelah berbincang, mereka bersetuju mengambil 5 naskhah setiap judul. Sebenarnya mereka mahukan atas "consignment basis" - yakni, akan bayar jika terjual, tetapi saya tidak menjalankan perniagaan begini dan menyuruh mereka menghubungi PTS (pengedar kami). Entah mengapa, mendengar PTS mereka terus bersetuju mengambil terus dari WBSB secara tunai.

Itu dalam bulan Julai 2006. Tadi saya suruh pekerja saya ke sana dan mengambil semula buku-buku kami. Satu perkara yang amat susah saya "tolerate" adalah tidak menepati janji.

Sesetengah perkara tidak pernah berubah...mereka masih fikir mereka gergasi...

rojak

Makan rojak tengah malam. Makan asam. Sakit pinggang. Mual. Muntah...
Isteri yang mengandung, aku pula yang mengalami ini semua?
Samada aku sayang isteri atau aku sudah tua?

Amaran: Blogger kena penjara!

Rempit...

Bagaimana mereka yang selama ini tak guna akal dan melanggar undang-undang diberi insentif untuk menjalankan undang-undang...
Klik sini!

Dan ini apa pula?
Klik Sini!

Astagaaa serabut...

John

Ini John. Dia "alpha male". Dia berperanan. Dia diperlukan. Maksud saya bakanya.

Walaupun dia seekor kambing, rezekinya sungguh melimpah!

"Isteri-isteri"nya buat masa ini ada seramai 15 dan tuannya sedang mencari lagi 10 untuknya.

Ini rumah "John". Walaupun beristeri 15 (tidak lama lagi tambah 10), dia tiada masalah. Semuanya tinggal sebumbung.

Kadang-kadang beruntung jadi kambing!

Tiada siapa perlu dipujuk rayu
Tiada borang nak isi
tempat tinggal tersedia
makan minum terjaga
zuriatnya bertambah
tuannya tersenyum
dan aku...

Aku suka makan "lamb chop"!

Karnival Gerak Baca 2007

Sudah tiga hari Pak Samad menghadiri Karnival Gerak Baca 2007 anjuran MBKM, KPM, PNM dan KeKKWa.

Hari pertama dan kedua Pak Samad memenuhi jemputan rasmi - dia sempat membisikkan tentang buku-buku sastera Melayu dan mendapat respon "positif" dari Pak Menteri dan mereka yang bertanggungjawab.

Saya berdoa ini benar-benar "positif"...

Hari ketiga lebih merupakan acara "santai" di mana Pak Samad bersantai di ruang PTS yang menjadi pengedar buku-bukunya yang diterbitkan oleh Wirabukit.

Sambutan menggalakkan dan perancangan awal untuk bersantai selama sejam dua berakhir setelah lebih tiga jam. Pak Samad "tersedar" apabila perutnya merungut.

Maaf Pak, saya sengaja membiarkan sehingga bapak "sedar"...

Selain menandatangani buku-buku dan bergambar dengan peminat, dia sempat berbual dengan orang kuat PTS - Encik Arief dan Encik Zaharin. Banyak juga input positif yang diterima.

Dalam perjalanan pulang, dia mengingatkan saya, "Jaga mereka dan beri kerjasama yang termampu...".

InsyaAllah!

Kopi Susu


Saya ke PTS petang tadi dengan dua bekas "cafe latte".

Tujuan, merapatkan lagi silaturahim, mengenalkan produk baru WBSB, mencari maklumat yang berguna dan menimba ilmu.

Saya tidak pernah kecewa (lagi) apabila duduk bersama Encik Zaharin selama ini. Dan, rupanya dengan sebekas "Cafe Latte" (ini kopi susu saja kalau di gerai mamak) Encik Zaharin lebih bertenaga (mungkin dirangsang kafeina) dan banyak maklumat berguna serta "tips" yang saya perolehi.

Melihat PTS, saya bangga dan kagum ada sebuah syarikat penerbitan Bumiputera sebegitu. Ia bagai sebuah ladang yang dahulunya dibuka dan kini tumbuhannya (saya bayangkan durian!) sedang membuahkan hasil. Ini balasan "mereka" yang benar ikhlas dalam usahanya! Anehnya, mereka tidak lokek ilmu, mahu berkongsi maklumat dan mereka terus berkembang - ya, saya lihat stor yang ditambah nilai ruangnya itu!

Saya seorang yang suka berangan dan saya sudah dapat bayangkan bagaimana PTS sepuluh tahun dari sekarang...saya doakan apa yang saya bayangkan itu menjadi realiti. Amin...

Oh ya, saya dapat membekalkan buku DSKLP kepada PTS dan akan/sedang bekerjasama dalam beberapa projek buku...bawa dua bekas "cafe latte", dibalas sebegitu lumayan...alhamdulillah!

Nota: Ini bukan "kipas" (lagipun mereka tidak memerlukannya), ini entri hasil kunjungan-kunjungan saya ke PTS selama ini dan mungkin juga "cafe latte" tadi merangsang...

Salam Y. Bhg Dato' dan Datuk...


"Dari Salina ke Langit Petang" selamat diterbitkan - alhamdullillah. Inilah proses penerbitan yang paling mencabar buat Wirabukit (setakat ini). Bermula dengan pemilihan judul-judul, input bahan-bahan ke dalam komputer, rekabentuk grafik, urusan ISBN dan data pengkatalogan (proses menjadi panjang dan memakan masa - tidak mengapalah, asal mereka mencapai ISO), pemilihan kertas (diimport dari...ya, mana lagi jika tidak Singapura) dan pemasaran, saya benar tidak sedar kita kini di penghujung Januari 2007!

Rancangan menerbitkan 8 judul untuk tahun 2007 adalah satu usaha mengukuhkan kedudukan Wirabukit. Ia juga satu penyataan - "Kami serius!"

Dan kerana itu kami sengaja memilih "Dari Salina ke Langit Petang" sebagai buku kami yang pertama untuk 2007. Tentu ada yang tertanya kedudukan hakciptanya kerana DSKLP ada dijual dalam bentuk "e-buku" di sebuah laman web. Saya tidak kisah sebenarnya tentang implikasi ini. Pada saya DBP telah menyenaraikan 18 judul (yang hak penerbitan dipegang oleh mereka) dan 11 darinya "dikembalikan" kepada Pak Samad. DBP juga menyenaraikan 7 judul yang tidak mampu mereka "pulangkan" lagi oleh sebab-sebab tertentu (sehingga hari ini Pak Samad tidak tahu sebabnya walaupun berkali ditanya dan berkali dijawab "akan diberitahu kelak" - sudah lama sangat kerana saya sudah 3 kali potong rambut!). Apa yang saya rasakan adalah pihak DBP harus tidak memikirkan tentang implikasi negatif ke atasnya kerana "memulangkan" hak penerbitan saki-baki judul karya Pak Samad. DBP harus memikirkan apakah implikasi negatif ke atas Pak Samad jika mereka tidak "pulangkan". Seorang penulis seperti Pak Samad perlu hidup. Royalti buku penting! Jika karyanya tidak tercetak dan mengharapkan stok terjual dengan penumpuan jualan gudang setiap akhir tahun, itu satu penganiayaan. Soal "tidak laku" sebenarnya satu mitos. Stok buku-buku Pak Samad terbitan Wirabukit untuk tahun 2006 habis! Malah "Rindu Ibu" yang diterbitkan tahun 2004 dan diberi nafas baru pada 2006 telah diulangcetak 5 kali!

Dan berbalik ke implikasi yang "mungkin" timbul hasil dari penerbitan "DSKLP" oleh Wirabukit...aneh bukan, "DSKLP" tidak tersenarai dalam 18 judul dalam surat rasmi DBP itu...mungkinkah mereka tidak tahu tentang kewujudan "DSKLP"? Tetapi, mengapa pula ada dijual secara e-buku?

Harapan saya, DBP "kembalikanlah" kesemua judul-judul yang masih di tangan mereka. Mereka patut berasa bangga ada pihak (ya, WBSB) yang sanggup memikul tanggungjawab memelihara dan menyuburkan karya-karya Pak Samad. Implikasinya positif jika benar DBP berwibawa dalam usahanya memelihara dan menyuburkan dunia sastera negara.

Apakata pembesar DBP? Y. Bhg Dato' Dr. Pengarah, Y. Bhg Datuk Pengerusi, bolehlah...

Kata hati...

Agak jauh bersama Ka dalam kesejukan salji Kars apabila berita seorang penulis/wartawan Turki berbangsa Armenia ditembak mati...nasib Ka juga begitu...dan Kars dengan kubu Seljuk abad ke 12 masih berdiri teguh dalam salji, masih bercerita tentang silam yang tidak henti menghantui...

Kita terhukum sebaik dilabel - tidak kira samada label itu sesuatu yang baik atau sebaliknya. Bagaimana pula dengan pelabel? Adakah dia perlu bertanggungjawab atas apa yang dilabelnya (tidak kira samada ia benar atau sebaliknya)?

Kita berdiri atas apa yang kita percaya, mati dengannya...atau kerananya.

Bagaimana dengan aku?

*Bersantai di kafe tidak semestinya menenangkan fikiran...

Masa

Setelah beberapa minggu terikat, akhirnya ikatan terlerai..sedikit, lantas dengan sebuah buku, jiwa gelora saya menuju ke The Curve. Duduk santai di sebuah kafe, kopi masih panas, Ka baru tiba dan digigit kesejukan di Kars, tangan mahu mencapai kotak rokok di kocek bila aku disapa, "Assalamualaikum Helmy!".....kroni - bercita menjadi penulis, sudah melahirkan beberapa karya, tetapi masih tidak puas hati (erti kata lain, TAKUT!). Kami satu sekolah dulu.

Dari satu topik ke satu topik, perbualan lancar hingga...

"Kau tak baca ke?"
"Perlukah aku?"
"Galak sangat. Tak henti dia."
"Jadi?"
"Kau nak diam saja?"
"Mengapa tidak?"
"Aku tak fahamlah kau. Aku yang tak ada kena-mengena pun sakit hati."
"Dude, biarlah dia. Apa yang dia kata adalah apa yang dia rasa. Dia nak kata orang itu dan ini biarkanlah."
"Habis kau tak marah?"
"Perlukah aku?"
"Ah kau ni. Dari dulu hingga kini sama! Kekadang aku rasa macam aku bercakap dengan tugu!"
"Hahahhaa, dah tahu mengapa kau terus galak bercakap? Bukankah bercakap dengan tugu itu satu perbuatan yang gila?"

Salji turun dengan lebatnya di Kars, tapi jiwa Ka hangat tergelora. Aku tergeleng. Kotak rokok sudah kosong. Kopi sudah sejuk. Hari sudah suntuk. Dan, aku terikat kembali.

Masa...

Untungnya menerbitkan karya-karyanya...

Setiap kali memulakan urusan penerbitan sesebuah buku, saya rasa teruja. Selain dapat membaca karya yang akan diterbitkan itu, saya sempat juga mempersembahkan pemahaman saya dan menerima maklum balas daripada pengarangnya.

Memahami apa yang cuba disampaikan Pak Samad dalam karyanya bukanlah mudah. Terlibatnya saya dalam urusan penerbitan karya-karyanya satu anugerah – saya lebih memahami dirinya kini.

Saya cuba bayangkan silam...40an...50an...60an...namun, mengetahui tidak sama dengan mengalaminya. Kita dilahirkan dalam satu zaman yang berbeza. Mana mungkin kita tahu erti sebenar “kesusahan kehidupan” zaman dijajah. Pernah kita lari dikejar peluru-peluru dan dihujani bom? Pernah kita mencari makanan dalam longkang dan sungai? Setiap kali saya bertanya tentang perang, dia tergeleng. Dia diam seperti ada sesuatu yang menyentap jiwanya dan selalunya dia menukar topik perbualan.

Tapi, di suatu hari entah mengapa dia bercerita...

Tergeleng lagi... “Elakkan perang. Ia bukan sesuatu yang kau perlukan...”

Saya terlontar memikirkan jejak hidupnya. Dia bukan seorang yang “mudah” buat saya dan tentunya tidak mudah bagi mereka yang tidak benar-benar mengenalinya hingga ada yang melabelkannya angkuh, sombong, bongkak dan kagum dengan dirinya sendiri. Namun, saya tahu keikhlasan dirinya itu.

“Helmy tahu, perbuatan yang lahir dari keikhlasan selalunya disalah erti.”
Saya tidak ternganga, tetapi terkerut dahi.
Dia tersenyum, “Bapak pernah dan selalu kata orang yang menolak ilmu itu bodoh. Ingat apa yang bapak dapat?”
Saya terangguk. “Mengapa bapak tidak jelaskan?”
Senyum lagi, “Kalau keihklasan semudah itu yang bapak luahkan tidak difahami dan diterima, malah dicerca dan dilabel, fikirkanlah sendiri.”
“Habis, bapak diam saja.”
“Ya, mengapa tidak?”
“Tapi...”
“Helmy, jangan masuk gelanggang mereka yang tidak ikhlas. Jangan masuk gelanggang mereka yang akalnya pendek. Kelak kita jadi bodoh dan tidak ikhlas. Kita akan dikuasai nafsu. Jika itu berlaku, Helmy fikir kita mampu ikhlas?”

Dulu saya pernah begitu...saya, anaknya, melabelkannya dengan pelbagai label (buruk) hanya kerana saya tidak mengenali dirinya yang sebenar. Perasaan sebegini menetap dalam jiwa selama hampir 20 tahun sehingga saya melalui satu masa yang saya kira “susah”. Dia hadir semula, menghulur tangannya dan kini berdikit gambaran kabur tentang dirinya itu menjadi nyata.

Seperkara menjurus ke seperkara yang lain...itulah untungnya saya menerbitkan karya-karyanya...saya dapat membaca, meneliti, menyoal dan mula memahami seorang insan bernama “Bapak” ini.

KBMM

Sedikit mengenai KBMM

Penubuhan Kampung Buku Malaysia (Melaka) ini adalah sebagai salah satu komponen Taman Botanikal - produk pelancongan Negeri Melaka.

KBMM mahu di jadikan "One Stop Book Center" - bertaraf antarabangsa - di mana ia menjadi pusat pengumpulan buku-buku lama dan baru dari pelbagai bahasa yang meliputi pelbagai tajuk dan perkara.

Pada peringkat awal, lapan penerbit dan pembekal yang terpilih akan dijemput untuk menjayakannya - ada lapan ruang - menjual buku-buku terpakai dan baru. Mereka yang terpilih perlu membayar sewa.

Luas ruang dari 44mp hingga 53.70mp. Kadar sewa RM17.50mp. Bil Elektrik dan air tanggungan penyewa.

Waktu operasi:
Isnin - Jumaat: 9.00 pagi - 6 petang
Sabtu - Ahad: 9.00 pagi - 2 petang


Sepintas lalu memang menarik...

Saya memikirkan tentang:

Lokasi
Lokasi yang terletak jauh di dalam Taman Botanikal (dulunya Hutan Rekreasi). Pak Samad dan saya sengaja berjalan kaki masuk ke dalam - percayalah, dari tempat letak kereta hingga ke lokasi pastinya berpeluh. Jalannya berliku dan kecil.

Walaupun pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya (dimiliki Kerajaan Negeri dan bertanggung jawab atas KBMM) telah menyatakan bahawa jalan akan dibesarkan dan tempat letak kereta dan bas yang mencukupi akan disediakan, semasa melawat tidak nampak lagi kerja-kerja dijalankan kecuali bangunan KBMM yang hampir siap. Dan mereka perlu menebang sejumlah besar pokok-pokok untuk membesarkan jalan dan menyediakan tempat letak kereta.

Hak Milik
Hak milik bertindih. Walaupun dinyatakan KBMM dibawah Perbadanan, tetapi kawasan saya kira masih milik Perhilitan. Tentu saja pihak perhilitan mementingkan persekitaran kerana ia bertanggungjawab memeliharanya. Pihak Perbadanan tentu saja memandangnya dari sudut pemasaran.

Sewa
Saya lebih memikirkan ini satu pengorbanan kepada nusa dan bangsa oleh pembekal dan penerbit yang terpilih. KBMM adalah satu komponen pelancongan Kerajaan Negeri - lebih mempromosi Melaka dan bukannya pembekal atau penerbit. Bukan mudah menjual buku "dalam hutan".

Sewa ruang, gaji pekerja dan kos-kos lain akan membebankan mereka yang terpilih. Harus ingat, kami ini syarikat. Keuntungan perlu untuk "survival". Selagi KBMM belum mencipta nama dan terkenal, selagi itulah kami akan rugi. Walaupun disenaraikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 2007 bagi mempromosi KBMM, tetapi ini hanya rancangan. Sedia maklum, merancang mudah dan bagi menjayakan sesuatu yang mahu dijayakan, pastinya senarai itu akan di"perbesar-besarkan" bagi menarik pelabur untuk melabur.

Saya kira pihak Kerjaan Negeri perlu memberi keistimewaan kepada mereka yang terpilih - tidak payahlah mengenakan sewa untuk satu jangka masa sehingga KBMM benar terbukti berjaya. Jika mereka boleh membelanjakan berjuta RM untuk projek ini, apalah sangat RM80,000 sewa setahun untuk lapan penerbit dan pembekal? Lagipun ini projek pelancongan - lihat sajalah masa lawatan - tidak logik langsung bagi hujung minggu. Berilah sedikit insentif. Kelak yang dapat nama pun bukannya penerbit atau pembekal, tetapi Kerajaan negeri. Wang membayar sewa itu boleh digunakan pembekal dan penerbit untuk menjalankan aktiviti/promosi mereka sendiri.

Aktiviti promosi penerbit dan pembekal penting kerana mereka lebih mengetahui bagaimana cara menjual buku. Lagipun kalau kira lokasi, saya pasti Langkawi lebih "komersil" berbanding Taman Rekreasi di Melaka ini. Aktiviti promosi perlu teratur, berterusan dan menemui sasaran.

Akhir sekali, apa yang akan membezakan KBMM ini dengan KBML? Apakah ada jaminan perkara sama tidak akan berulang jika tampuk kepimpinan bertukar tangan?



Omar

Ini Omar.
Kacukan Parsi + "Tabby". Berumur hampir 3 bulan. Isteri saya ternampaknya di sebuah kedai peliharaan haiwan di Kota Damansara dan terus membelinya...matanya biru dan juling air. Saya tidak mampu membantah...isteri saya hamil, mana mungkin saya menolak?

Omar dalam sangkar semasa kami tidur atau tiada di rumah - terpaksa kerana dia masih kecil dan harus membiasakan diri dengan persekitaran dan tentu saja, Velvet & Chloe pada mulanya membantah.
Kini sudah 2 minggu dia bersama kami. Tak lama lagi kami harus berpindahlah...

Hikmah...

Apabila menerima surat PNM yang menyatakan dua buah judul terbitan WBSB terpilih untuk dibekalkan kepada Perpustakaan Desa seluruh negara, saya tersenyum lebar. Ini bagai bonus akhir tahun!

Terdapat 1039 buah (setakat ini) Perpustakaan Desa di seluruh negara dan setiapnya dibekalkan 2 naskah setiap judul.

Dan kerana ghairah, saya "terajar" sekali lagi dalam lapangan penerbitan ini.

Ketetapan harga pembekal - saya melakukan kesilapan memberi harga yang agak rendah - diskaun lebih 55%. Saya masih untung, alhamdullillah, tetapi "margin" tidak memberi saya ruang untuk rundingan lain seperti kredit dan penghantaran.

Ramai pembekal tidak "mampu" membayar tunai untuk buku-buku yang dipesan - modal kecil. Ini melewatkan pembelian dan pembekalan. Saya mahu membantu, tetapi diskaun yang tinggi itu menghalang.

Petang tadi saya berjumpa dengan pengurus pemasaran di PTS - Encik Zaharin - yang tidak lokek memberi pandangan dan nasihat - sebaiknya saya melantik Pengedar untuk kes sebegini. Ini memudahkan urusan kerana saya hanya perlu berurusan dengan sebuah syarikat sahaja dan bukannya 160 seperti apa yang saya alami kini. Biar pengedar tersebut berurusan dengan pembekal-pembekal. Saya hanya perlu mencetak buku dan berurusan dengan Pengedar.

Buat masa ini hal pembekalan ini membuat saya kelam-kabut. WBSB hanya ada dua tenaga kerja - Pak Samad dan saya. Operasi hanya saya seorang. Saya perlu jawab panggilan, sediakan sebutharga, proforma invois, invoice, nota hantaran, ambil buku di pencetak, menghantar buku dan pungut pembayaran. Benar, saya rasa letih, tetapi lebih baik letih kerja dari letih tak ada kerja! Ini proses saya belajar dan saya perlu melaluinya untuk masa hadapan WBSB.

Dalam kelam-kabut saya ini, nasihat Sifu PTS - Puan Ainon (seorang insan yang ikhlas mahu memandaikan bangsa melalui penulisan dan penerbitan - semoga Allah memberkati dan memelihara diri dan syarikatnya) masih dalam kepala saya. InsyaAllah Sifu, itu sedang diusahakan.

Dan tidak pelik rakan-rakan lain seperti Nisah, Faisal, Zaid dan "bloggers" lain juga membantu dalam pembelajaran saya ini. Saya berterima kasih, bersyukur dan bangga melintasi, mengenali dan duduk bersama jaluran mereka ini.

Saya perlu lebih kerap belajar dan diajar supaya tidak kecundang akibat "kurang ajar" - erti kata lain, ilmu penting dan sifatnya tidak pernah mencukupi. Teruskan mencari dan rela belajar kerana kita "mati" sebaik kita rasa kita ini pandai.

Sementara itu biarlah saya melepaskan keresahan..."Arghhhhhhhhhhhhh..."

Kampung Buku Malaysia - Melaka

Atas inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dan dengan kerjasama Yayasan Kampung Buku Malaysia, akhirnya Kampung Buku Malaysia dihidupkan semula - kali ini di Taman Botanikal Ayer Keroh, Melaka.

Sedia maklum dahulu Kampung Buku Malaysia ini di Langkawi, Kedah, tetapi atas sesuatu sebab - hanya mereka yang terlibat mengetahui - ia ditutup.

Perkara ini seingat saya telah diperbincangkan semenjak lewat 2005 lagi. Waktu itu beberapa pegawai Perbadanan Muzium Melaka meminta pandangan Pak Samad mengenainya. Tentu saja, apa-apa yang melibatkan buku akan merangsangkan Pak Samad. Beberapa bulan selepas itu, Pak Samad dijemput ke Langkawi dan sekali lagi hal mengenai Kampung Buku ini dibincangkan dengan orang-orang Langkawi. Harapan dan semangat Pak Samad yang tinggi di makan masa - selepas itu tiada apa-apa berita lagi. Saya kesian melihatnya yang sering bertanya kepada saya tentang hal ini. Berita terbaru ini pasti akan menggembirakannya!

Saya tidak tahu siapa di belakang Yayasan Kampung Buku Malaysia ini. Mungkin orang-orang Langkawi bergabung dengan orang-orang Melaka. Mungkin juga ada persatuan-persatuan penulis tempatan yang terlibat. Namun, apa yang pasti, pada 5 Disember ini persoalan ini akan terjawab dalam mesyuarat penerangan kepada semua pembekal dan penerbit yang dijemput untuk menyertai Kampung Buku Malaysia di Melaka ini. Kalau tidak terjawab pun tidak apa, asalkan yang terlibat itu ikhlas dalam usaha mereka ini.

Banyak persoalan timbul dalam hal ini. Namun, saya lebih melihat hal ini dengan positif. Saya doakan Kampung Buku Malaysia yang dihidupkan semula di Melaka kali ini berjaya.

ISBN

Tiap-tiap buku yang nak ISBN kena sertakan dahulu salinan kulit buku...betulkah???

Pitamlah saya kena berulang setiap kali nak terbitkan buku. Ingat nak kurangkan "red-tape", kini kena tambah pula...buang masa...buang duit turun naik...letak kereta...tol...minyak...jalan sesak...ishhhh...andai betul "unde-unde" baru itu, ada tak penerbit-penerbit yang nak buat surat bantahan? Kalau ada saya nak "join".

Mungkin sebab ini: PANTAU

Teksi...


Bila bercakap tentang pengangkutan awam di KL, teksi sering saya bayangkan. Saya terbaca promosi "VMY 2007" yang dilakukan Kem Pelancongan di London. Banyak belanjanya dan beruntung teksi-teksi London.

Ada sahabat beri komen...

"Teksi-teksi di London promosi Malaysia, teksi-teksi di Malaysia busukkan..."

Selasa lalu di The Curve dua makcik dari luar negara tahan teksi hendak ke One Utama. Tambang yang dipinta RM50! Yang menariknya, teksi-teksi yang ada di situ semua seakan sepakat, RM50 dari The Curve ke One Utama...

Tidak semua pemandu teksi cekik darah, tetapi semakin hari semakin kurang pemandu yang benar-benar ikhlas dalam tugasnya...mencari nafkah halal agaknya sesuatu yang kuno kini...

Nota: Makcik-makcik itu dari Manchester. Bila jemu dan jenuh dengan karenah pemandu teksi, mereka pergi ke kafe di mana saya sedang duduk minum kopi. Mereka duduk di meja sebelah saya dan saya (ya, chloe macam saya!) bertanya tentang kisah mereka dan teksi-teksi itu. Oh ya, saya hantar mereka ke One Utama - percuma tau!

Mengapa Kami Bantah!

Klik imej untuk muat turun "eBuku" percuma ini


Permainan Rakyat di Angkasa & Masalah Mental

Akhirnya sampai juga permainan rakyat kita ke angkasa - baca SINI


13.7% remaja di Malaysia menghadapi masalah mental
10% rakyat Malaysia sakit mental
Purata 7 kes bunuh diri setiap hari di Malaysia

Baca SINI