header-photo

Gejala...

Tiga minggu lalu, kejadian pecah kereta berleluasa di kawasan perumahan saya di Kota Damansara. Ini membuat saya menyoal berita yang menyatakan kadar jenayah menurun. Mungkin lebih sepuluh tuan punya kereta yang dipecah masuk itu tidak melaporkan kepada polis (termasuk saya) kerana apa yang dicuri pemecah itu hanyalah wang syiling yang ada. Radio dan barangan lain (termasuk Tag dan Touch and Go) tidak disentuh langsung. Ini mungkin menyumbang kepada laporan kadar penurunan jenayah...salah saya.

Seminggu yang lalu entah mengapa, saya agak gelisah untuk tidur. Sekitar jam tiga pagi saya bangun dan meninjau kawasan padang berhadapan rumah dari tingkap bilik tidur. Ada empat "makluk" sedang berjalan-jalan menuju ke simpang jalan antara padang dan kawasan perumahan. Dua "makluk" berhenti di bawah tiang lampu - yang benderang. Dua lagi meneruskan perjalanan dan hilang dari peninjauan saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi kaca dipecahkan. Selang beberapa minit mereka lari menuju ke padang dan apabila tiba di kawasan yang agak gelap mereka baring. Saya pelik...tetapi rupanya motor pengawal sedang lalu buat rondaan. Selepas pengawal berlalu, mereka bangun dan kembali menuju ke tempat sebelumnya.

Saya turun, keluar dan hidupkan enjin kereta. Dua "makluk" yang berada di tiang lampu cuma memerhatikan dari jauh. Saya pusing dan terus menuju jalan keluar. Tiba di rumah pengawal, saya cerita.

Pagi itu kami berempat mengejar empat "makluk" itu. Mereka sebenarnya "anak-anak" remaja tidak lebih tujuhbelas tahun. Patutlah "ketot-ketot" saja. Malang, hampir, tetapi tidak dapat seorangpun. Mereka sungguh pantas dan licik lari masuk semak bersebelahan padang. Puas kami cari!

Dua kereta dipecah. Satu seperti biasa duit yang ada dalam kereta diambil dan satu lain tak sempat.

Persoalan saya, bagaimana anak-anak muda ini boleh keluar lewat sebegitu? Sekali lagi, mana ibu, bapa atau penjaga mereka? Nampak sangat ini "pengenalan" mereka kepada jenayah. Pecah kereta ambil duit. Tidak terkejut jika kelak dinaiktaraf mencuri radio...kereta...samun ataupun ragut jika tidak disedarkan atau dibantu dari awal.

Kawasan padang depan rumah saya kini sudah aman selepas jam duabelas malam. Jarang ada "makluk" yang duduk lepak sekitarnya kerana pihak polis dan pengawal akan "menghalau" mereka. Namun, sampai bilakah suasana aman sebegini bertahan?

1 reaksi:

Anonymous said...

Memang tak ada tajuk ke entri ni?