header-photo

Salam Y. Bhg Dato' dan Datuk...


"Dari Salina ke Langit Petang" selamat diterbitkan - alhamdullillah. Inilah proses penerbitan yang paling mencabar buat Wirabukit (setakat ini). Bermula dengan pemilihan judul-judul, input bahan-bahan ke dalam komputer, rekabentuk grafik, urusan ISBN dan data pengkatalogan (proses menjadi panjang dan memakan masa - tidak mengapalah, asal mereka mencapai ISO), pemilihan kertas (diimport dari...ya, mana lagi jika tidak Singapura) dan pemasaran, saya benar tidak sedar kita kini di penghujung Januari 2007!

Rancangan menerbitkan 8 judul untuk tahun 2007 adalah satu usaha mengukuhkan kedudukan Wirabukit. Ia juga satu penyataan - "Kami serius!"

Dan kerana itu kami sengaja memilih "Dari Salina ke Langit Petang" sebagai buku kami yang pertama untuk 2007. Tentu ada yang tertanya kedudukan hakciptanya kerana DSKLP ada dijual dalam bentuk "e-buku" di sebuah laman web. Saya tidak kisah sebenarnya tentang implikasi ini. Pada saya DBP telah menyenaraikan 18 judul (yang hak penerbitan dipegang oleh mereka) dan 11 darinya "dikembalikan" kepada Pak Samad. DBP juga menyenaraikan 7 judul yang tidak mampu mereka "pulangkan" lagi oleh sebab-sebab tertentu (sehingga hari ini Pak Samad tidak tahu sebabnya walaupun berkali ditanya dan berkali dijawab "akan diberitahu kelak" - sudah lama sangat kerana saya sudah 3 kali potong rambut!). Apa yang saya rasakan adalah pihak DBP harus tidak memikirkan tentang implikasi negatif ke atasnya kerana "memulangkan" hak penerbitan saki-baki judul karya Pak Samad. DBP harus memikirkan apakah implikasi negatif ke atas Pak Samad jika mereka tidak "pulangkan". Seorang penulis seperti Pak Samad perlu hidup. Royalti buku penting! Jika karyanya tidak tercetak dan mengharapkan stok terjual dengan penumpuan jualan gudang setiap akhir tahun, itu satu penganiayaan. Soal "tidak laku" sebenarnya satu mitos. Stok buku-buku Pak Samad terbitan Wirabukit untuk tahun 2006 habis! Malah "Rindu Ibu" yang diterbitkan tahun 2004 dan diberi nafas baru pada 2006 telah diulangcetak 5 kali!

Dan berbalik ke implikasi yang "mungkin" timbul hasil dari penerbitan "DSKLP" oleh Wirabukit...aneh bukan, "DSKLP" tidak tersenarai dalam 18 judul dalam surat rasmi DBP itu...mungkinkah mereka tidak tahu tentang kewujudan "DSKLP"? Tetapi, mengapa pula ada dijual secara e-buku?

Harapan saya, DBP "kembalikanlah" kesemua judul-judul yang masih di tangan mereka. Mereka patut berasa bangga ada pihak (ya, WBSB) yang sanggup memikul tanggungjawab memelihara dan menyuburkan karya-karya Pak Samad. Implikasinya positif jika benar DBP berwibawa dalam usahanya memelihara dan menyuburkan dunia sastera negara.

Apakata pembesar DBP? Y. Bhg Dato' Dr. Pengarah, Y. Bhg Datuk Pengerusi, bolehlah...

Kata hati...

Agak jauh bersama Ka dalam kesejukan salji Kars apabila berita seorang penulis/wartawan Turki berbangsa Armenia ditembak mati...nasib Ka juga begitu...dan Kars dengan kubu Seljuk abad ke 12 masih berdiri teguh dalam salji, masih bercerita tentang silam yang tidak henti menghantui...

Kita terhukum sebaik dilabel - tidak kira samada label itu sesuatu yang baik atau sebaliknya. Bagaimana pula dengan pelabel? Adakah dia perlu bertanggungjawab atas apa yang dilabelnya (tidak kira samada ia benar atau sebaliknya)?

Kita berdiri atas apa yang kita percaya, mati dengannya...atau kerananya.

Bagaimana dengan aku?

*Bersantai di kafe tidak semestinya menenangkan fikiran...

Masa

Setelah beberapa minggu terikat, akhirnya ikatan terlerai..sedikit, lantas dengan sebuah buku, jiwa gelora saya menuju ke The Curve. Duduk santai di sebuah kafe, kopi masih panas, Ka baru tiba dan digigit kesejukan di Kars, tangan mahu mencapai kotak rokok di kocek bila aku disapa, "Assalamualaikum Helmy!".....kroni - bercita menjadi penulis, sudah melahirkan beberapa karya, tetapi masih tidak puas hati (erti kata lain, TAKUT!). Kami satu sekolah dulu.

Dari satu topik ke satu topik, perbualan lancar hingga...

"Kau tak baca ke?"
"Perlukah aku?"
"Galak sangat. Tak henti dia."
"Jadi?"
"Kau nak diam saja?"
"Mengapa tidak?"
"Aku tak fahamlah kau. Aku yang tak ada kena-mengena pun sakit hati."
"Dude, biarlah dia. Apa yang dia kata adalah apa yang dia rasa. Dia nak kata orang itu dan ini biarkanlah."
"Habis kau tak marah?"
"Perlukah aku?"
"Ah kau ni. Dari dulu hingga kini sama! Kekadang aku rasa macam aku bercakap dengan tugu!"
"Hahahhaa, dah tahu mengapa kau terus galak bercakap? Bukankah bercakap dengan tugu itu satu perbuatan yang gila?"

Salji turun dengan lebatnya di Kars, tapi jiwa Ka hangat tergelora. Aku tergeleng. Kotak rokok sudah kosong. Kopi sudah sejuk. Hari sudah suntuk. Dan, aku terikat kembali.

Masa...