header-photo

Flu...

Akhirnya saya kecundang juga setelah beberapa hari meredah beberapa hujan di beberapa tempat.

Selain banyak minum air suam, saya juga pastikan pemakanan vitamin C mencukupi. Sop ayam yang panas juga menjadi menu pilihan.

Doktor kata "Rehat, rehat dan rehat". Namun, saya resah tidak buat apa dalam bilik ini. Niat hendak keluar membara, tetapi terfikir juga jika saya akan menyebarkan "flu" ini. Jadi buat sementara, kopi dan blog ini menjadi tempat santai saya :)

Appolo 18...

Saya menonton filem Appolo 18 baru ini. Filem ini bagai dokumentari, namun sangat menarik (ala-ala Blair Witch Project).

Saya terfikir, jika betul batu-batu di bulan itu "hidup", kita bermasalah...

Romi & Juli 7.0...

Di akhir perbualan melalui telefon...

Romi: Ok, take care...
Juli: Take care...
Romi: Love u...
Juli: Love u too...

Diam...

Romi: Awak...
Juli: Ya...
Romi: Letak laaa...
Juli: Awak dulu laaa...
Romi: Awak laaa...
Juli: Awak letak laaa...
Romi: Awak laaa...
Juli: Awak letak laaa...

Syarikat telekomunikasi mesti suka bukan?

Bonceng...

Tiada banyak yang boleh saya kata kecuali saya akan elak menonton filem tempatan yang sebegini...

Bagaimana Terbit Buku?

"Bagaimana hendak terbit buku?"

Ini soalan yang sering diajukan kepada saya. Jawapan saya dari dulu hingga kini, "Duit, duit dan duit."

"Tapi kena ada karya, baru boleh terbit bukan?"

"Duit, duit dan duit." jawab saya lagi.

Anda mungkin ada banyak karya, tetapi karya itu tidak akan terbit jika tiada duit. Tentu saja boleh terbit di dunia maya, tetapi bil langganan dunia maya juga perlu dibayar bukan? Ok, anda guna wifi di kafe - percuma, tetapi jika anda seorang penerbit, anda perlu bayar apa yang diterbitkan itu juga bukan? Ok, karya itu karya anda. Anda hendak terbit karya anda sendiri di laman maya. Percuma saja...bukan?  Tidak juga. Ingat, masa itu emas - duit.

Namun, saya bercakap tentang karya yang mahu diterbitkan secara fizikal - buku. Dan jika ini mahu dilakukan, anda perlu...ya, duit, duit dan duit ;)

Proses Penerbitan Salina...

Salina merupakan karya Pak Samad yang paling terkenal setahu saya. Di mana saja (*hingga ke London) orang bertanya tentangnya.  Jadi menerbitkannya satu proses yang tidak mudah, terutama bagi Wira Bukit yang lebih dua tahun menyepi. Ada yang kata sepi itu indah. Saya sedikit sebanyak setuju. Pahit dan susah dua perkataan yang membawa maksud tidak baik. Namun, selama dua tahun, saya sangat-sangat memikirkan hala tujuan WB. Juga apa sebenarnya yang berlaku hingga kami menyepi. Banyak insiden sebenarnya, tetapi yang pahit dah susah itu menjadi seakan pendorong untuk berjaya. Saya percaya bahawa manusia tercipta untuk perkara sebegini. Mereka berkemampuan dan sebenarnya boleh mengharungi dan mengatasi masalah yang dihadapinya.

Dari WB mahu dibeli oleh beberapa pihak hingga ke fitnah bahawa WB dapat projek berjuta dari kerajaan Melaka, semua ini sedikit sebanyak lebih mendorong. Saya bersyukur kami tidak mengharapkan kontrak kecil-kecilan mahupun besar-besaran untuk mandiri. Kami sepi, tetapi kami sebenarnya berhibernat. Menanti masa yang sesuai untuk bangkit melangkah.

Proses penerbitan Salina sebenarnya bermula awal tahun, tetapi agak merangkak. Sebaik Julai, kerja-kerja menaipnya hampir selesai dan bermulalah proses mengedit. Proses edit ini dilakukan hampir 100% oleh Pak Samad. Dengan kesibukan Pak Samad, ini memakan masa lagi. Dengan kekangan modal, saya tidak terkejut penerbitan Salina sebegini lembab. Anda tidak mahu tahu betapa kami lakukan ini dengan hampir tiada kos. Yang ada hanyalah usaha dan kepercayaan mereka yang terlibat. Kami percaya ada pelangi buat kami di penghujung jalan.

Sementara itu proses desain buku dimulakan. Bahagian ini dilakukan oleh Emila Yusof.

Berikut desain-desain yang lahir hingga ke draf #4. Saya kira tinggal lima atau 6 draf saja lagi hingga kami benar-benar selesa.
 

Soalan cepumasnya adalah, "Bila akan berada di pasaran?"

Selepas tertangguh dari Ogos ke September, saya lebih senang letakkan November sebagai tarikhnya.

Doakan kejayaannya serta nantikanlah dengan sabar ya.

Nota: Proses penerbitan Hujan Pagi & Sungai Mengalir Lesu sudah bermula juga. Jangka terbit suku pertama 2012.

“Dah keling perangai macam keling”

“Dah keling perangai macam keling” 


Sms yang diterima oleh seorang kawan (sudah macam adik-beradik) yang berbangsa India dari seorang yang berbangsa Melayu - yang "bengang" sebab ditanya mengapa dia tidak bayar rolayti kepada penulis yang karya mereka terpilih masuk sekolah...

Saya lihat dari sudut begini: Jika ada orang kata saya, "Dah Melayu perangai macam Melayu." Saya bangga. Memang pun saya Melayu. Masalahnya di sini kawan saya itu berbangsa India...


Atau...


Adakah semangat perkauman kita semakin menebal akhir ini?

Selamat...

Kepada yang balik kampung atau melancong dengan memandu, sila pandu dengan berhemah dan pastikan kenderaan anda "sihat".

Semoga semua - baik kenalan mahupun yang lompat-lompat blog - selamat, sejahtera dan dimurahi rezeki.  Amin.

Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin.

Fitrah jangan lupa bayar :)