Dahulu saya nyatakan betapa proses penerbitan novel Adik Datang - terbitan pertama WB - adalah yang mencabar sekali. Tiada banyak rintangan sebenarnya. Cuma itu usaha pertama dalam bidang yang saya tidak tahu langsung dan terperangkap dalam sawang bayaran yang dikenakan oleh yang menguruskannya - saya masih rasa bayaran itu SANGAT tinggi. Apa yang berlaku, saya biarkan berlalu dan jadikan pengajaran dan peringatan.
Semuanya berlalu dengan pantas sekali dan lebih 12 buku berlalu selepas itu - saya tahu kami ini bersifat "siput" dalam penerbitan kerana misi utama menerbitkan semula karya-karya Bapak sahaja - dan peluang menerbitkan novel Salina hadir. Ini satu proses yang panjang dan perit. Ini adalah proses penerbitan yang paling mencabar buat saya, waktu itu, sehingga saya temui Sungai Mengalir Lesu.
Dari penyediaan dana yang memakan masa berbulan hingga ke pereka bentuk yang bertukar berkali kerana yang asalnya "merajuk" - tetapi terima bayaran juga (halal) - tidak bertepi, proses editorial yang mahu lupuskan terus masalah kesilapan pada Salina, kembali ke dana, terus ke masalah pereka bentuk lagi, dana, pereka bentuk dan seterusnya. Ini bukan mudah. Ini seperti gunung yang perlu didaki walaupun ia hanya sebuah novel bermuka surat 160, bersaiz 5" x 8" dan berkulit keras. Novel ini juga agak perit mencari pengedar kerana - pada rasa dan pengalaman saya - kedudukan Bapak yang dianggap kiri dan kedai buku lebih suka jual buku yang pelik judulnya dengan kaver yang "hip". Tiada masalah dalam bab ini. Saya sambut cabaran memasarkannya.
Jadinya kini saya tiba di penghujung SML. In shaa Allah minggu ini mula cetak dan alhamdullillah walaupun hanya 1000 naskhah (saya mahu cetak 3000, tetapi tidak cukup dana), ia hampir habis dijual. Dalam padang tugasan, ada beberapa tugas yang sedang berjalan seperti penerbitan 5 buku Salmi Manja, sebuah antologi Puisi Bapak dan saya timbang-timbang antara Hujan Pagi, Langit Petang dan Lazri Meon. Dalam gelora badai yang melanda dunia penerbitan saya sebelum ini, saya harap ia menjadi sedikit tenang. Namun, saya bersedia juga kerana tidak semua perkara harusnya begitu.
Saya sebenarnya amat rindu untuk menulis semula...
*Naskhah SML boleh dibeli dengan menghubungi: helmysamad@gmail.com - harga RM40 Semenanjung / RM45 Sabah atau Sarawak. Kulit keras, 160ms dan ditandatangani Pak Samad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 reaksi:
Post a Comment