Saya pernah celupar dengan kenyataan, "Saya tidak menulis untuk menang dan andai karya saya memenangi apa-apa hadiah, akan saya tolak (dengan berbudi bahasa tentunya!)." Ini berlaku pada satu temuramah dengan akhbar Berita Harian beberapa tahun yang lalu dan sekaligus ada menimbulkan sedikit keresahan atau mungkin salah tafsiran akan kata hati saya waktu itu. Reaksi dari temuramah itu ada yang bising mempersoalkan bagaimana saya mendapat publisiti sedangkan karya-karya saya yang diterbitkan di media cetak boleh dibilang dengan jari (dari satu tangan dan anda pilih sendiri dari tangan belah mana).
Saya berhenti menghantar karya saya ke media cetak selepas itu.
Saya tidak mengerti mengapa perlu ada suara-suara yang sumbang (pada pendengaran dan pemahaman saya) itu dan sehingga kini walaupun sudah beribu kali memikirkan tentangnya, saya masih tidak mampu menghadam.
Sebenarnya, keceluparan saya itu adalah reaksi - saya terdengar beberapa rakan penulis yang berbincang tentang apa dan bagaimana perlu mereka berkarya untuk berpeluang memenangi hadiah dalam satu peraduan. Tidak, saya tidak sama sekali fikir itu menyalahi. Saya maklum dunia penulisan sastera Melayu sesuatu yang kompleks sehingga kompleksitinya mampu mengkomplikasikan minda pembaca dan kerana itu agaknya usaha yang dilakukan - menulis - tidak seimbang dengan hasilnya. Seorang anak kecil di satu belah dan seorang dewasa di belah berlawanan semasa menaiki jongkang-jongket, anda pasti tahu yang mana satu usaha dan yang mana satu hasil jika bercakap tentang sastera Melayu. Jadi, saya faham mengapa hadiah itu penting. Mana tahan makan ikan kering setiap hari? Sesekali hendak juga merasai daging atau ikan terubuk.
Saya faham juga memenangi sesebuah hadiah itu satu pengiktirafan akan kualiti sesebuah karya itu dan jika bernasib baik, kuantiti jualan buku juga akan naik - sedikit. Saya faham. Masalahnya, saya adalah saya. Memang saya dibesarkan begitu. Saya membawa pemahaman yang berlainan. Mungkin juga mula menulis pada usia lewat membentuk pemikiran saya sebegitu rupa...atau mungkin saja saya anak Sasterawan Negara dan merasai mustahil ada dua Sasterawan Negara dalam satu keluarga! (Tapi, maaf, saya berseloroh. Itu tidak mustahil kerana itu bukan hadiah, itu anugerah.)
Dalam kehidupan ini, terkadang tidak mampu saya menepis perasaan kecewa menjadi anak seorang Sasterawan Negara. Setiap karya yang saya lahirkan akan dibuat perbandingan. Malah saya sendiri terkadang tidak mampu menepis diri dan terperangkap dengan membuat perbandingan yang sama dan kerana itulah juga sehingga kini banyak karya-karya saya yang saya pendamkan dalam komputer saja. Sedangkan baru ditemuramah sudah bising ("Maklumlah anak SN, sebab itu dapat publisiti," kata mereka.) apalagi jika ada karya yang diterbitkan.
Saya seorang yang sentiasa positif.
Akhir-akhir ini saya merasai bahawa saya sudah bersedia. Saya sudah tiba di persimpangan dan saya pasti jalan sastera Melayu itu akan saya susuri.
Saya tidak akan menulis untuk menang dan saya tidak akan menerima hadiah andai menang - pendirian saya tentang itu mono - TIDAK.
Persoalannya kini, siapa pula yang hendak terbitkannya? Dan, bila bercakap tentang terbitkan karya sendiri ini saya terdengar pula, "Masuk bakul angkat sendiri..." Tapi, anda fikir saya peduli apa yang akan mereka fikirkan itu kini?
Saya hanya mahu menulis...
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
*Terima kasih pada anugerahNYA, isteri yang dipaksa memahami, anak yang sering memancarkan inspirasi, ibu dan bapa yang telah menatah satu tahap yang tinggi, sahabat-sahabat (penulis) yang menasihati dan merangsang, sahabat-sahabat yang setia melayani dan dunia sastera Melayu yang lesu tetapi aneh hebat mencabar diri.