header-photo

Kisah Vagran I...

Tidak lama dahulu ada seorang kawan yang dengan sekelip mata menjadi vagran. Dia hilang hampir segalanya kecuali kereta dan akalnya - yang entah berapa kali meniti garisan antara waras dan tidak.

Dia bercerita, hari pertama dia menjadi vagran, dia tidur dalam keretanya berhampiran 7/11 sekitar kawasan perumahan kediamannya. Terkadang teresak mengenang nasib dan juga anak. Mencari di mana ia bermula dan juga bagaimana ia akan berakhir. Sebaik subuh, dia mencari masjid luar kariahnya (kerana tidak mahu dikenali), mandi dan selepas itu berjemaah.

Sebaik terbitnya matahari, dia pergi menemui anaknya. Tidak difahaminya kenapa dia begitu rindu kepada anaknya itu walaupun baru sehari tidak bertemu. Dan apabila tiba masanya, dia dengan berat hari pergi dan kitaran itu lengkap.

Ini berulang buat seketika hingga...

Dia pernah bertanya, berulang juga kenapa saat dia begitu insan-insan yang bernama kawan seakan tidak mengenalinya dan yang sedarah pula menganggap ia menyusahkan erti kata lain dia bagai seorang pariah atau berpenyakit yang berjangkit. Apa yang dimahukannya adalah sedikit "rasa" dan simpati untuk menguatkan api jiwa yang malap. Dia mahukan kata-kata yang meniupkan angin menyejukkan ruang yang rimas atau sinaran yang menyuluh kegelapannya itu. Itu tidak berlaku. Mereka seakan ingat dia itu tiada hati atau jiwa atau bukan manusia walhal dia merasai kesakitan pedih luka di jiwa dan hatinya itu.

Saya tersenyum tawar bila mengenang dan hanya mampu berdoa. Saya tidak tahu bagaimana ia berakhir kerana ia masih bercerita, tetapi saya pasti ia satu dua atau lebih pengajaran...

Rumah itu bagai syurga di dunia ini. Vagran?

0 reaksi: