header-photo

Gambar...

Gambar ini jauh lebih tenang dan aman dari gambar kpop...
Banyak ceritanya - positif dan negatif. Tetapi, seperti kata saya, gambar ini memberi ketenangan buat saya ;)

Empat Segi...

Jadi akhirnya saya buang akaun "Empat Segi" yang memberitahu di mana saya berada dan apa saya buat. Ini salah satu usaha mengurangkan masa saya berinternet. Saya tidak mahu applikasi seperti ini menuntut masa saya. Begitu juga dengan applikasi "Kicau" yang jarang benar saya berkicau kini. Saya hanya mahu beri lebih tumpuan kepada perkara-perkara lain di dunia yang nyata ini.

Apalagi selepas ini...Mukabuku?

Sentral...

Jika kita di Sentral dan mahu pergi ke stesyen monorail, kita terpaksa melalui sebuah jalan yang kini seakan terowong. Saya kira ini jalan yang sangat membahayakan kesihatan kerana asap-asap bas dan juga debu-debu yang berterbangan hasil projek pembinaan yang rancak. Saya tertanya, adakah ini harga pembangunan? Mana dia pemantauan? Mana dia penguatkuasaan?

Di pengakhiran jalan, saya terpaksa pam sebab lelah. Projek berjuta dan hebat, tetapi bab alam sekitar langsung tidak ambil peduli...

Ice Lemon Tea...

Saya memang sering ke Old Town White Coffee. Ini kerana Ali sangat suka salah satu makanannya. Saya juga sering pesan Ice Lemon Tea...


Saya: Ice Lemon Tea satu...
Pelayan: Ice or hot?
Saya: Hmmmm...

Hampir setiap kali ke sini, jika tidak tulis pesanannya, saya akan ditanya sama ada saya mahu yang panas atau sejuk walaupun sudah saya katakan "Ice Lemon Tea" atau "Hot Lemon Tea"...Mungkin lain kali saya perlu kata, "Lemon Tea satu, ice ya." Apapun Ice Lemon Tea baik untuk redakan panas badan selain Barley.

Perlumbaan Drag...

Banyak yang telah diperkatakan tentang kemalangan yang berlaku pada tengah malam perlumbaan "drag" di Putrajaya. Semestinya setiap yang berlaku itu ada sebab dan hikmahnya. Saya lebih berasa bahawa dalam keghairahan kita lalai. Itu berulang berlaku. Baik kejadian kecil hingga ke trajedi pelbagai skala. Kita pun tidak terlepas darinya. Saya ingat bagaimana saya memandu dan terpaksa brek cemas hingga anak melantun langgar cermin depan kereta hingga retak. Saya lalai seketika. Penumpuan saya hilang sedetik, saya sedar. Saya tidak boleh bayangkan jika cermin itu cermin biasa atau satu lapisan sahaja. Tentu sekali dia akan tercampak terus keluar jalan. Saya juga tahu betapa memakai tali pinggang keledar perlu. Kita hanya manusia yang lemah dan tidak terlepas dari kelalaian. Ia cuma ambil sedetik kelalaian. untuk sesuatu berlaku. Ini semua kejadian tamsilan yang perlu kita teliti jika sesuatu berlaku.

Mari kita fikirkan yang baik-baik sahaja dan doakan kesejahteraan untuk mereka yang terlibat kerana itulah yang kita sangat-sangat perlu jika sesuatu musibah berlaku ke atas diri kita sendiri.

Mengaji...

Mula saya tersenyum, kemudian sayu melanda melihat gambar ini. Anak yang agak susah penumpuannya, tetapi berusaha juga mengaji dengan usaha Ustaz dan mereka yang ada.
Ya Allah, jadikanlah anak-anakku sebaik-baik manusia dan beruntung di dunia serta akhirat.
Amin.

Pengisian Rohani...

Ada pelbagai cara "pengisian rohani" ini, tetapi yang paling terbaru saya kira adalah dengan konsert K-Pop.

Hebat negaraku ini...

UAI...

Ada orang tanya, bagaimana hendak duduk depan sekali ketika UAI beri tazkirah. Saya tanya tazkirah di mana?

Orang: Itu: "Masjid Negeri..."
Saya: "Oh, senang saja."
Orang Itu: "Senang? Bang tiap acara dia packed. Tiap kali saya pergi saya dok nun jauh kat belakang sana."
Saya: "Itulah, kau tak tahu. Nak duduk depan sekali senang saja."
Orang Itu: "Senang? Bagaimana?"
Saya: "Acara mula pukul berapa?"
Orang Itu: "Maghrib."
Saya: "Ok, kau datang dan solat asar di sana. Lepas itu dok la beramal hingga Maghrib."
Orang Itu: "Ishhh kalau begitu baik saya datang masa subuh sekali!"
Saya: "Ok juga tu. Sekurangnya lengkap lima waktu. Alhamdullillah."

Dia sengih.

Ali...

Ada bertanya, "Tidak rindukah pada Ali?"
Mana mungkin tidak rindu jika ada dalam hati, tetapi tidak dapat disentuhi. Namun, asal dia gembira, saya turut tumpang sama.
Jaga diri Ali. Jadi anak yang baik :)

*Ali balik kampung seminggu - cuti sekolah.

Desperado...

Ada nota tentangnya di sini: https://www.facebook.com/notes/helmy-samad/desperado/4008853859775

Dinosor...

Beberapa hari lalu Ali melawat Pusat Sains Negara. Dia temui sesuatu yang dia sangat minati (selain gajah)...
Cuti sekolah telah tiba. Ini salah satu tempat yang patut kita bawa anak-anak!
Pusat Sains Negara terletak berdekatan Bukit Kiara. Lawat: http://www.psn.gov.my

Catur...

Seorang sahabat pernah berkata, "Hidup umpama permainan catur...kalau reti mainlah."
Dan saya pun berfikir...apakah gerakan-gerakan dan pengorbanan-pengorbanan yang perlu dilakukan...

Angry Birds...

Akhir ini memang "mood" saya tidak baik sedikit. Agak banyak perancangan tidak menepati apa yang dirancangkan. Terkadang saya terlontar ke lembah kemarahan. Salahkan orang lain. Rasa hendak demo buat tarian sebegini...tetapi, kepada siapa?

Rasa "bengang" hingga ada yang menegur, "Tak apa bengang bro, jangan bangang". Ya, memang bila bengang itu reda terasa pula ia satu rasa yang bangang. Sekali lagi tahun ini saya terpaksa duduk memikirkan tentang  masa hadapan. Saya akur saya hanya boleh merancang dan berusaha, tetapi jadi atau tidak bukan dalam tangan saya. Ada sebab mengapa ia begitu. "Adalah silap di mana-mana," hati saya berkata.
Jadi saya cubalah biarkan rasa marah itu pada burung-burung sahaja. Hidup diteruskan. Oh ya, ada sesiapa yang boleh ajar saya menunggang motor? Saya hendak naik motor pula :)


Sehala...

Ada masanya dalam kehidupan, tiada jalan lain kecuali jalan sehala yang perlu kita tempuhi...
...untuk lengkapkan perjalanan kita ini.
Ebony & Ivory?

Ayam Goreng...

Nasi lemaknya boleh tahan, tetapi ayam gorengnya yang paling sedap di Lembah Kelang!
Terletak di Taman Kosas, Ampang.

Cermin...

"Sudah beberapa minggu saya cuba menelaah diri sendiri," katanya sambil mengusap-usap janggut kambingnya itu. Saya tidak boleh baca wajahnya itu.

"Mencari mana silap atau salah yang telah aku lakukan," sambungnya. Masih mengusap janggut kambingnya itu.
"Bro, aku faham apa yang kau hadapi. Sabarlah."
"Sabar? Hmmmm memang itu yang sedang aku kawal. Sesekali rasa itu berontak dan aku tercampak ke dunia lain, tetapi nasib aku masih waras dan kembali meredakan."

Sahabat saya ini sedang bergelut dalam kehidupannya. Sudah lebih setahun dia sendirian. Dia hilang hampir segalanya...kecuali kewarasannya. Pada mulanya dia agak santai. Nampak tenang. Macam dalam kawalan. Namun akhir ini tidak. Dia lebih menyendiri. Menyoal dirinya sendiri.

"Kau tahu apa rasa aku setiap kali melihat atau memikirkan tentang anakku itu?"
Aku menggeleng - perlahan.
"Mana mungkin kau tahu. Kau ada anak, tetapi tidak pernah kehilangannya. Aku ada anak, tetapi aku rasa anak aku tidak tahu aku bapanya lagi. Kau faham?"
Aku angguk - perlahan.
"Aku pernah ceritakan kepada kau tentang malam-malam yang sunyi di mana aku dengar jeritan dan tangisan batinku sendiri."
"Ya..."
"Masih. Aku masih begitu, tetapi kali ini lain. Dulu aku begitu kerana rindu. Kini aku begitu kerana rindu dan kecewa. Jangan salah faham. Tiada siapa salah selain aku."
"Sebab itu kau cuba menelaah diri kau sendiri? Cari mana silapnya?"
"Ya, lebih kurang begitu."
"Boleh aku cakap sesuatu?"
"Sila," menoleh memandangku.

Aku cuba senyum, tetapi rasa tawar. Aku tahu dia berhadapan dengan sesuatu yang besar. Mungkin terlalu bear padanya, tetapi banyak masalah besar sebenarnya memerlukan penyelesaian yang mudah. Musuh utama diri kita sendiri.

"Aku lihat masalah kau ini cuma satu saja penyelesaian."
"Apa?"

Aku diam. Dia di hadapanku. Aku kenal rupanya itu. Dia sangat kacau! Kini baru aku terbaca wajahnya itu. Matanya nampak tua, mungkin lesu. Makin merah. Makin berair dan akhirnya aku mengelap mataku sebelum airmata itu mengalir. Aku tidak mampu lagi dan menoleh pergi dari cermin ini.

Mungkin esok aku lebih bertenaga menghadapinya...


*Cermin adalah novel yang sedang ditulis. Tidak tahu mana dan bagaimana ia akan berakhir. Saya tulis ini secara spontan dan mungkin saja ia akan bertemu OTI jika ditakdirkan bertemu di persimpangan.

Ujian...


Awal pagi tadi - sekitar jam 3 pagi saya terjaga. Badan berpeluh walaupun kipas ligat. Dengan rambut yang panjang ini saya rasa sangat rimas. Saya bangun, capai gunting dan pencukur dan terus ke bilik mandi. Dihadapan cermin saya mula menggenggam rambut. Gunting sudah tersedia...hujan. Saya berhenti. Berfikir. Hujan? Ya, hujan!
Begini rupa saya jika botak. Ini gambar 2008. Saya kira, kini kalau saya botakkan kepala, pasti lebih "handsome", tetapi biarkanlah dahulu. Masanya belum tiba lagi. Lagipun saya kira ada sebab mengapa saya terjaga ;)

Guru...

Pada saya, guru-gurulah yang patut dianugerahkan gelaran-gelaran tertinggi negara kerana peranan mereka mendidik kita.

Tetapi, berapa ramaikah yang terima "Dato, Datuk. Datuk Seri, Tan Sri"? Yang saya ketahui memang ada, tetapi itu selepas mereka menjadi orang politik atau peniaga yang berjaya.

Setiap kerjaya seperti doktor, jurutera mahupun guru itu bermula dengan guru. Tanggungjawab mereka sangat besar dan berat. Dan sering juga kita lupai.

Kepada setiap guru, pengorbanan kamu sangat besar. Hanya doa-doa dan rasa berterima kasih sahaja yang mampu saya berikan selain menulis sekali-sekala tentang kamu. Semoga suatu hari kelak kita menjadi waras dan lebih menghormati serta meletakkan kamu semua di tempat yang sepatutnya. Amin.

Santai...

Ada beberapa perkara yang saya baru sedar...

- Buah durian lebih mahal dari buah "pear". Saya beli 5 biji buah "pear" RM5. Saya beli buah durian satu kilo RM8. Timbangan ini termasuk kulit yang tidak boleh dimakan...

- Cokelat seperti Sneakers semakin mahal walaupun nilai matawang kita agak baik berbanding US kebelakangan ini.


- Daging tempatan jauh lebih mahal dari daging impot...malah banyak juga produk/hasil tempatan yang lebih mahal dari impot.


- Apa yang murah di sini adalah...sila isi sendiri :)

PRPM...

Ada kawan berbangsa Cina tanya saya apa maksud "H**** J****".

Saya buka laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu, taip ayat itu dan...

"Aiyoooo betulkah?"

Saya hanya senyum kerana saya pasti kadang-kadang memang wujud orang yang sebenarnya tidak faham bahasanya sendiri ;)

Laman PRPM di sini http://prpm.dbp.gov.my/default.aspx - berguna untuk cari maksud sebenar.

Ilham...

Ini ilham-ilham semasa migrain...

Harapan sesuatu yang tidak boleh kita letakkan dalam tangan insan lain selain diri sendiri dan Tuhan.

Doa perlulah yang baik-baik sahaja kerana kita meminta dari Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ego perlu dalam diri, bukannya di luar.

Cinta itu suci.

Hati perlu jernih agar Nur itu dapat menerangi perjalanan kita.






Satu hari tak makan...

Sedang santai menikmati kopi dan roti Perancis...

A: Bang, tolong, saya satu hari tak makan...
Saya seluk kocek dan beri sedikit duit.

Beberapa jam kemudian...
A: Bang, tolong, saya satu hari tak makan...

Apa yang akan anda lakukan?

Blogger vs Blogger...

Terbaca tentang blogger "tertembung" sesama blogger atas sebab sesuatu pertandingan. Sudah namanya "tertembung", jadi didoakan agar selepas kejadian ini terbinalah pula silatulrahim yang lebih kukuh kerana ini semua pengalaman. Kita perlu belajar agar tidak bersangka buruk. Kita perlu tahu dalam dunia maya ini memang agak senang tersalah sangka dan terdedah oleh anasir-anasir yang sentiasa ada untuk "menyucuk"...

Jika kita berani masuk alam maya dan menulis, saya kira kita harus berani juga terima kesan-kesan negatif yang sememangnya akan tertarik kepada apa yang positif. Lumrah. Sekurangnya itu pendirian saya.

Spam...

Ini beberapa spam yang saya terima dalam inbox e-mel saya hari ini...

1. CONGRATULATION YOU HAVE WON!!! 
2TERBARU SELUAR DALAM AJAIB UNTUK LELAKI POWER
3. TREAT AS URGENT AND IMPORTANT
4. HOT !! HEBAT !! Herba 100% Perkasa Batin..!! Kehebatan Terserlah, Lihat TESTIMONI
5. Fw: FROM MS SUSAN SHABANGU,PLEASE OPEN THE FILE FOR A BUSINESS PROPOSAL AND GET BACK TO ME
6. EXTENZE..SEMUA LELAKI IDAMKAN..TERLARIS
7. FUND FINAL PAYMENT BOARD


Rasanya kini memang musim lelaki lemah dan perlukan bantuan bukan? Hehe...


Gas...

Hari itu saya di dalam bas Rapid. Selesa walau ramai penumpang. Cuaca panas di luar. Dalam bas saya rasa lega dan selesa. Dalam keselesaan saya, tiba-tiba di gas. Sangat kuat! Berkali saya cuba tahan nafas. Berkali juga apabila terpaksa menarik nafas saya rasa sesak.

Bagaimana kita hendak elak daripada orang kentut dalam bas berhawa dingin atau lif?