header-photo

Hasbunallahu Wa Ni'mal Wakeel...

Malam ini saya duduk mendoakan yang baik-baik buat semua. Pasrah. Selagi saya hidup, saya tidak dapat lari dari merasai jiwa yang kacau. Teringat anak-anak. Teringat emak dan bapa. Teringat arwah datuk-datuk dan nenek-nenek. Teringat mereka-mereka yang pernah sama dalam hidup ini. tidak kurang kepada mereka yang sedang sama dalam kehidupan kini. Semua ini saya teringat, terimbas dan memohon kepada Allah kesejahteraan buat semua.

Dalam malam yang penuh magis ini, saya berserah kepada yang Satu. Doa agar jika masanya sudah tiba buat saya, agar Dia pelihara mereka semua ini. Diberi hidayah dan kehidupan yang penuh erti membawa ke jalanNya. Saya seorang yang tidak banyak kemampuan duniawi selain doa-doa buat mereka.

Dalam malam yang diselimuti keberkatannya, "Hasbunallahu Wa Ni'mal Wakeel"

Benar, Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.


Ramadan ini...

Ramadan yang berlabuh membawa pelbagai makna dan pengajaran. "Perangai" manusia terserlah dan itulah yang sebenar-benarnya "kita" kerana ia tanpa campur tangan luar. Ambil saja peristiwa-peristiwa yang berlaku seharian. Manusia berlaga sesamanya. Masing-masing fikir apa yang mereka rasa. Rasa ini seperti biasa bersandarkan dialah yang lebih benar. Dialah yang lebih berkuasa. Dialah yang lebih berhak. Tidak dialah yang salah, dialah yang tiada kuasa atau dialah tidak berhak.

Ramadan kali ini, saya (seperti biasa) tidak terlepas dari pencarian makna dan pengajaran kehidupan. Ini kerap berlaku semasa Ramadan. Mungkin ini hanya perasaan, tetapi perasaan ini benar dan apa yang saya lalui benar sangat "menekan" jiwa. Sekeliling seakan mengembang dan ini menekan saya yang ditengahnya. Inilah yang saya rasa. Saya mahukan pemahaman dan kelonggaran, tetapi ini agak mustahil (agaknya) kerana sememangnya beginilah senario yang tersedia untuk saya. Saya diperlukan berfikir secara sendirian (tanpa gangguan si pengkhianat yang dipenjara) dan apa saja yang saya lakukan, ini adalah atas saya 100%. Tiada alasan lain. jadinya saya terima. Saya tidak harapkan pemahaman pihak lain akan keadaan saya. Mana mungkin mereka tahu 100%. Penghijrahan kehidupan bukan sesuatu yang mudah. Untuk membiasakan diri dengan suasana baru dengan pelbagai tanggungjawab yang bertambah satu cabaran. Untuk "survival" saya perlu berdoa dan berusaha. Saya yakin apa yang tersedia buat saya adalah yang terbaik buat saya. Jadinya saya perlu pendam apa saja yang menekan, berusaha lebih keras kerana doa-doa telah saya lafazkan dilafazkan. Dan melihat semua ini dengan hati yang tenang, saya sedar juga, dugaan-dugaan ini satu yang berhikmah - untuk kebaikan saya juga.

Jadinya Ramadan ini, seperti Ramadan-ramadan yang lalu, pengajaran saya tentang kehidupan ini berlanjutan. Cerminan diri penting bagi saya. Jadi maafkan saya jika saya salah. Syukur Allah menyayangi saya. Alhamdullillah. Ini benar rasa saya.

Manuskrip...

Akhirnya, saya berkeputusan untuk melepaskan beberapa manuskrip proses penciptaan beberapa puisi Pak Samad (A. Samad Said).
Usaha ini adalah untuk dana penerbitan buku.
Naskhah-naskhah yang mahu diterbitkan adalah...
Hujan Pagi, Langit Petang, Warkah Kepada Salmi Manja, Daun-Daun Berguguran, Daerah Zeni, Lazri Meon dan beberapa naskhah penulis lain.
Sudah ada beberapa pihak yang berminat, tetapi saya menanti untuk melihat dan merasai siapa yang saya fikir akan benar menjaganya.
Sesiapa yang berminat boleh e-mel saya: helmysamad@gmail.com
Keputusan sebelum Aidilfitri. Terbitan naskhah-naskhah ini sebaik selepasnya.
Selamat menyambut Ramadhan Mubarak.