header-photo

Ramadhan

Sebaik meletakkan cawan kopi di meja, dia mengeluarkan buku nota dari dalam beg galasnya, menguak sedikit kerusi, duduk, mencapai pen di kocek bajunya dan mula memandang langit yang biru petang itu.

Langit yang kebiruan itu seakan memukau. Dia terlayang. Sepanjang ingatannya, Ramadhan bukanlah sesuatu yang dinantikannya. Dan ingatannya itu tidaklah jauh sangat; lebih kurang bila semuanya bermula. Semuanya itu bermula apabila Ramadhan hadir dua tahun yang lalu dan itulah sejauh mana kemampuannya mengingati apabila Ramadhan hadir dan ia bukanlah sesuatu yang dinantikannya.

Ia bukan mengenai makan, minum atau merokok. Ia tidak pernah mengenai perkara yang sebegini. Aku sudah biasa makan sekali sehari, malah sudah menjadi tabiatku untuk makan sekali sehari, andai melebihi, itu adalah satu hari yang agak mewah padaku. Rokok yang dikatakan mencuri dua mungkin tiga minit nyawaku ini juga tidaklah begitu memberi masalah. Ia tidak mengenai perkara sebegini setiap kali Ramadhan hadir. Tidak pernah.

Perasaan yang melanda menyatakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri ini. Dia terasa kehilangan. Tidak, dia amat merasai kehilangan. Dia rasa kekosongan itu. Kehilangan, kekosongan…kesepian. Dan kesepian itu setia benar bermaharajalela apabila tiba Ramadhan. Setiap kali Ramadhan hadir, dia mula merenung dirinya sendiri. Mencari dan cuba-cuba mahu meyakinkan diri. Bertanya, mengapa dirinya begitu? Merasai dan menguasai sekali dirinya itu. Dia merasakan dirinya itu seorang insan yang sensitif, terlalu!

Namun ia tidaklah seburuk yang disangkanya – dia sedar, setiap kali pertimbangannya normal. Dia tahu dia begitu kerana perasaannya yang nakal mengusik-usik saja. Tetapi, dia merasakan, itu seakan satu sumpahan baginya kerana setiap kali Ramadhan hadir, dia jadi begitu. Merasai Ramadhan itu dan kerana itu dia rasa begitu. Ramadhan adalah satu bulan yang ingin dielaknya – walaupun dia tahu, ia sesuatu yang mustahil. Dia disumpah! Ia nemesisnya! Jauh mendap dalam hatinya, dia tahu, itu haknya …dia harus menghadapinya walaupun hatinya itu amat berat sekali mahu menerima.

Hari itu cuaca mendung. Dia duduk bersandar disisi tiang katil merenung udara yang seakan melakarkan sesuatu. Mungkin saja dia dapat melihat angin yang agak lembut beralun berlalu. Mungkin juga dia sedang berkhayal memikirkan tentang sesuatu. Namun, dia seakan mengetahui, apa jua yang direnung atau fikirkannya itu bukanlah sesuatu yang ringan dan indah. Wajahnya itu menyatakan segalanya – ia sesuatu yang berat, mungkin meyakiti atau mungkin saja hidupnya tiada warna.

Berkali Jamal berulang-alik masuk dan keluar bilik melihat dia masih begitu. Jamal kebiasaan agak sibuk di hari sebegitu – hari isteri cuti – dengan memasak dan buat apa yang patut untuk berbuka puasa. Ingin dia bertanya, tetapi dia tidak mahu pertanyaannya itu menjadi satu perbualan yang akan terpaksa dirinya hentikan berulang kerana dia masih belum selesai dengan tugasannya. Lagipun mesin basuh itu akan selesai membasuh – buat kali ketiga dan terakhir – sebentar lagi dan dia harus pula menjemur apa yang dibasuhnya itu. Tapi, dia bertekad, setelah semuanya selesai, dia akan duduk disisi isterinya itu dan bertanya. Dia seakan tahu, itu kemahuan isterinya itu. Dan dia juga seakan tahu, isterinya itu juga berfikiran sepertinya; tidak mahu perbualan itu terganggu oleh kerja yang sedan di lakukannya itu.

Sudah tiga Ramadhan hadir semenjak hari itu. Sering lahir rasa penyesalan kerana Dia melakukan apa yang dilakukannya hari itu – duduk dan bertanya kepada isterinya itu. Satu kesilapan besar – itu yang dirasakannya. Dia tidak harus bertanya. Mungkin lebih baik andai hari itu dibiarkannya berlalu begitu saja. Siapa tahu, mungkin keesokan hari hati isterinya itu tidak seperti hari itu. Siapa tahu? Mungkin juga apa yang dia anjurkan pada isterinya itu memerangkap dirinya sendiri. Dia memerangkap dirinya sendiri! Apa lagi yang lebih buruk dari seorang lelaki yang memerangkap dirinya sendiri? Menggeleng perlahan…dia tidak mahu memikirkan tentangnya – dia tidak mahu menerima bahawa dialah yang menanam dirinya sendiri dari lubang yang galinya sendiri.

Infiniti…itulah yang rasakannya. Dia sering merasa begitu. Infiniti.

Dia kehilangan semuanya pada Ramadhan dua tahun yang lalu. Mungkin tidak kesemuanya, tetapi sekurangnya itulah yang dirasaikannya pada waktu itu. Tiada yang lebih buruk dari itu, sekurangnya itulah yang dirasai – pada waktu itu. Dia mengetahui dan melihat perkara sebegini berlaku di sekelilingnya, tetapi tidak pula mengerti mengapa ia boleh melanda dirinya dan sering bertanya pada entah siapa, “Kenapa aku dalam berjuta yang lain?” Hidupnya penuh dengan persoalan yang tidak mampu dijelaskannya. Persoalan yang tidak henti menyerang hati yang entah dari mana datangnya. Mungkin itulah yang dikatakan krisis pertengahan kehidupan – krisis yang mencetuskan seribu persoalan tanpa undangan dan sekeliling melihatnya seperti seorang yang kehilangan arah dan sesekali dia juga merasakan dirinya itu begitu – kehilangan akal. Lantas dia sering bersendirian. Melihat udara yang seakan melakarkan sesuatu untuknya. Begitu sepanjang waktu hingga dia tersedar, dia sebenarnya bukan sendirian. Dalam masa begitu, dia berdepan dengan seseorang. Yang termendap dalam hatinya itu semakin berani kerana tidak henti bertanya seakan menuntut penjelasan. Bertanya tanpa jemu dan walau apapun jawapan yang diluah atau terluah, dia tahu ia tidak menepati kerana selepas itu yang mendap itu tidak lagi mendap. Terulang pertanyaan itu dan ini. Perjalanan hidupnya menjadi songsang. Siang itu malam baginya. Apa yang benar itu kini salah dan dirinya itu hilang pertimbangan. Dan seperti yang telah diperkatakan, waktu sebegitu, dua tahun yang lalu, dia sedar, dirinya tidak keseorangan kerana dirinya sendiri mula menyoal dirinya sendiri. Mungkin dia terlalu terpesong akan erti kehidupan itu dan tidak mempercayai apa yang menimpa dirinya itu satu kenyataan. Bagaimana sesuatu yang teguh itu begitu rapuh? Dirinya berkata, “Apa yang kamu rasai dan lihat itu tidak menyatakan segalanya. Aku tahu kerana waktu sebegini dua tahun yang lalu aku melaluinya. Dan setelah beribu batu aku berjalan – selama dua tahun itu – aku merasakan hidup ini terlalu berat buatku. Aku rasa diriku ditipu. Masakan tidak, aku hanya menemui persimpangan yang sama setelah begitu lama berjalan mencari pengertian dari apa yang melanda. Dan kini, aku dipersimpangan yang sama apabila aku bermula dua tahun yang lalu. Apakah semuanya ini?”

Hari ini Syawal hadir. Takbir berkumandang dari semalam entah dari mana – mungkin televisyen, mungkin ada yang bertakbir melalui depan rumahnya atau mungkin itu hanya satu khayalan. Dia memandang sekeliling, dalam biliknya itu – tiada siapa. Anaknya tiada. Bekas isterinya menjemput anaknya semalam. Semalaman tidurnya resah walaupun penuh terisi dengan rasa kekosongan sehinggakan dia sendiri tidak pasti samada dirinya itu tidur atau hanya berkhayal. Tidurnya kerap terganggu oleh entah apa kerana dia kerap tersedar dan setiap kali begitu, dia merasai kekosongan yang menyelubungi dirinya itu. “Mungkinkah perasaan kekosongan mampu mengganggu tidurku?” dia tergeleng perlahan. Dia terpaksa menelan apa dirasai setiap kali tersedar – “Aku keseorangan di rumah ini dan takbir itu tidak henti seakan jarum-jarum menusuk-nusuk jiwaku ini.”

Dia tidak mengerti mengapa di hari itu dirasainya begitu. “Bukankah ia satu hari di mana kita harus bergembira? Mengapa aku berduka? Tidak…mengapa aku diletakkan dalam keadaan begini di hari yang sepatutnya kita gembira merayakan?” Jiwanya memberontak, menyatakan betapa dirinya itu tertekan, resah dan amat tidak berpuas hati terhadap ini semua. Dirinya dirasakan tidak diadili seadilnya. “ Tidak cukupkah dengan apa yang telah aku lalui sebelum ini? Mengapa aku?” Agak lama duduk termenung…di dalam masjid itu walaupun khutbah telah lama selesai. Akhirnya dia tersedar, tidak ramai yang ada. Dia juga sedar, pipinya basah. Dia merasa…hatinya itu diserang jarum-jarum. Tidak dia tahu mengapa dia. Tidak dia tahu adakah wajar dirinya diletakkan dalam keadaan itu. “Adakah aku berhak atas segala ini?”

Itu pertama kali dia menyambut Syawal keseorangan dalam hidupnya. Ya, pertama kali dalam hidupnya itu. Keseorangan di rumah, duduk di meja melihat kuih-kuih raya di dalam bekas yang tersusun ditengah meja sambil memakan ketupat dan rendang yang ditinggalkan sedikit oleh ibunya yang pergi ke Singapura bersama keseluruhan ahli keluarganya kecuali anaknya yang ada bersama bekas isterinya di rumah bekas emak mertuanya. “Mereka di sana dan aku di sini. Keseorangan…”.

Melihat budak-budak yang berlalu-lalang berkumpulan memberi salam di rumah-rumah berdekatan, dia yang berada di bilik sengaja menutup rapat pintu dan tingkap rumah. Sesekali mengintai dari celahan tingkap bilik. Dia tidak mahu melayan mereka. Dia rasa dia tidak mampu melayan mereka. Biarlah dirinya begitu. Keseorangan dan cuba merayakan hari itu sebagaimana yang mahu dia rayakan.

Kini dia diletakkan kembali dalam situasi yang dia alami setahun yang lalu. Ramadhan kembali dan segala yang dilaluinya pada Ramadhan yang lepas kembali menghantui. “Mengapa ia hadir semula dengan begitu cepat sekali?” Semakin tua Ramadhan itu, semakin terasa hirisan di hati melebar. Dia takut menghadapi hari itu. Hari di mana dia duduk sendirian di masjid, menunaikan sunat Aidilfitri, bertakbir, mendengar khutbah dan…

Jamal tidak tahu bagaimana akan dia hadapi semua itu lagi. Dirinya hampir kehilangan segalanya Ramadhan yang lalu dan keadaan masih begitu pada Ramadhan yang ini. Syawal itu adalah klimaks pada perasaannya. Ia benar sesuatu yang mendukakan. Walaupun hidupnya kini amat berlainan. Dia telah atasi kelukaan berpisah itu dan kini dirinya sudah ada pengganti. Namun dia tahu, Syawal ini, dia akan keseorangan lagi…

Dalam kehidupan ini, kita tidak terlepas dari dugaan. Aku mula memikirkan tentangnya - mungkin kerana kesempitan yang dilalui. Dan aku sedari, setiap kali aku bernafas, diri ini dikurniakan dengan dua perkara: Rezeki dan dugaan. Mungkin ada yang menyangkal, tapi itulah yang aku rasai sekurang pada waktu ini – ya, di Ramadhan ini. Tuhan itu Maha Berkuasa. Setiap kurniaannya pada kita pasti ada lawannya. Itu sifat kita – kita sebenarnya tiada jika tiada sifat berlawanan itu. Ia bukan tentang kau dan aku. Ia tentang aku dan aku dan kau dan kau. Aku yang ini dipandangan insan dan aku yang itu pada bisikan hati insan-insan itu – wujudlah aku ini, begitu juga sama dengan kau.

Ramadhan ini, aku sedar yang aku sebenarnya berhadapan dengan diriku sendiri. Hatiku ini banyak berkata, tapi kali ini dia berkata tanpa dibuai bisikan. Segala yang aku rasai adalah aku yang sebenarnya. Baikku adalah aku dan jahatku adalah aku…yang sebenarnya. Itulah kelebihan bulan ini. Tuhan memberi kita peluang untuk kita menilai siapa kita ini sebenarnya kerana di bulan ini, si pembisik itu tiada. Niat ini, rasa ini dan perbuatan ini adalah aku. Imanku jelas kelihatan dan aku agak sedih, masih terlalu banyak yang perlu aku lakukan dalam masa yang agak suntuk ini.

Ramadhan ini, aku berezeki kerana diberi peluang melihat tahap keimananku sejelas aku berdiri dihadapan cermin dengan pelbagai dugaan yang hadir. Maha Suci Allah yang Maha Mengasihani memberi kurniaan ini kerana sekali lagi memberiku peluang memperbaiki apa yang perlu dibaiki sebelum aku hadir sebagai Pengasih padanya dan bukan sebagai Pengkhianat. Di Ramadhan ini, aku ini adalah sebenarnya aku dan aku berdoa agar hatiku ini tidak dinodai…oleh diriku sendiri. Ahhh, aku benar rasa diri ini kecil, sekecil kuman yang tidak mungkin dapat aku lihat dengan mata kasarku. Sekarang andai aku sekecil kuman, masakan aku dapat melihatnya? Innalillah…

Jamal menutup buku notanya. Diselitkan pen di saku bajunya. Memandang langit yang jingga, “Esok lusa Ramadhan…,” hatinya berkata dan dia mengangguk perlahan dalam suasana yang aman.

*Antologi Cerpen - "Jamal"

0 reaksi: