header-photo

Terima kasih...

Saya kira Ramadhan kali ini tidak banyaknya bezanya dengan yang lalu - masa agak lapang dan saya perlu tercari-cari cara mengisinya agar tidak rugi.

Projek buku kerjasama dengan DBP dalam peringkat akhir. Saya hanya perlu tunggu buku siap dicetak, menghantarnya ke Dawama untuk diedarkan dan (ini dugaan) menanti bayaran dari DBP.

Pada awalnya, DBP mahu mencetak antologi cerpen "Dosa Pejuang" sebagai Edisi Khas Sasterawan Negara yang akan diedarkan ke sekolah-sekolah. Bersama dengan karya-karya terpilih (dan tentunya dari penerbitan DBP) lapan Sasterawan Negara yang lain, pihak DBP mahu menggunakan dana yang tersedia ada. Perancangan mereka terhalang sedikit kerana Pak Samad menolak. Pak Samad menyuarakan rasa lukanya kerana DBP tidak memaklumkan penerbitan "Dosa Pejuang" yang tiba-tiba didapatinya sudah berada di rak-rak kedai buku dan yang anehnya beberapa bulan selepas itu baru kontrak sampai untuk ditandatangani.

("Dosa Pejuang" yang terdapat di pasaran sebenarnya sehingga kini kontraknya tidak ditandatangani dan TIDAK AKAN ditandatangani oleh Pak Samad. PaK Samad cuma mengutuskan sepucuk surat menyatakan rasa hati dan pendiriannya bersama kontrak yang tidak ditandatanganinya. Namun, dalam surat tersebut, Pak Samad membenarkan juga penerbitan itu (dengan beberapa syarat) atas sifat setiakawan.)

Selepas beberapa pertemuan, akhirnya mereka bersetuju dengan saranan kami: "Rindu Ibu". Buku yang pada mulanya dipersetujui jumlah cetakannya sebanyak 5,000 naskah akhirnya terpaksa dikurangkan kepada 2,700 naskah - kerana dana tidak mencukupi.

Ini menimbulkan sedikit masalah kerana harga yang kami sebutkan (dan dipersetujui DBP) adalah berdasarkan kepada sebutharga pencetak (yang memberi sebutharga berdasarkan 5,000 naskah).

Bagaimana?

Mudah sebenarnya. Rezeki jalan ditolak. Musuh jangan dicari....

Rinduibu3

Ini untuk Edisi Khas Sasterawan Negara.




Cover_edisisantai
Dan ini untuk kami - Edisi Santai - yang akan dijual di pasaran dalam lingkungan harga antara RM12-15 (perlu lakukan perkiraan semula kos).



Itu jalan penyelesaian yang saya ambil. Cetak 5,000 naskah - 2,700 untuk DBP dan 2,300 untuk Wira Bukit. Bezanya cuma kulit. Isi sama. Kos cetak kekal seperti yang telah disebutkan pencetak. Tidak perlu saya menyusahkan DBP dan sakit kepala dengan kos tambahan jika dicetak hanya 2,700 naskah.

Kini, saya ada masa untuk masak (ya, saya boleh memasak), membaca, menulis, mencari peluang-peluang perniagaan dan seperti Ramadhan yang lalu, membaca terjemahan Al-Quran serta menambah - semampu dengan izinNya - bekalan masa hadapan.

Saya perlu bersyukur...terima kasih kepadaNya, DBP dan Dawama.

*Kelak saya ceritakan tentang resipi-resipi masakan saya...hehehe.

Salam Ramadhan.

4 reaksi:

Jiwa Rasa said...

Buku Rindu Ibu sudah beberapa kali saya belek sewaktu ke MPH. Harganya lebih dari sekeping not biru.

Mungkin nanti saya beli bersekali dengan OTI. Eh... bila tu? :)

Helmy said...

Salam.

Saya minta maaf atas apa yang saya labelkan kesilapan di pihak Wira Bukit.

Pada awalnya, kami terikat dengan beberapa perkara seperti kos cetak dan kertas yang digunakan agak mahal. Kami juga terikat atas sesuatu yang tidak mungkin saya nyatakan di sini.

Saya sebenarnya kecewa - dengan diri saya sendiri. Saya beranggapan buku itu akan dijual dengan harga RM40-45 tetapi itu tidak terjadi. Ini padah jika kita berandaian dalam sesuatu.

Saya akan ceritakan senario sebenar perkara ini dan betapa hijaunya saya sebagai penerbit.

Matlamat saya: Buku berkualiti - Kulit keras, kertas kitar semula dan rekabentuk terkini, tetapi dijual bawah RM40 - InsyaAllah.

OTI ditulis semasa saya 'bujang'. Banyak adengan yang terpaksa saya 'sejukkan'. InsyaAllah, 2007 akan saya terbitkan bersama antologi cerpen 'Jamal'.

mxypltk said...

OTI tu akronim untuk apa?

Helmy said...

OTI = Orang Tua Itu - Novel sulung saya yang tak pernah siap...