header-photo

Kau & Aku II

Terkadang, ada detik-detiknya dalam kehidupan ini, aku rasa terperangkap, terhimpit, sesak, lemas, tiada jalan keluar, tiada apa...dan, terus terang aku katakan, aku tidak tahu kemana arah tujuan hidup ini dan di mana ia akan berakhir...aku benar-benar tidak tahu. Terkadang juga, terdengar suara-suara bertanya, “Tahukah arah tujuan kau? Gembirakah engkau dengan kehidupan yang ada ini? Tahukah? Gembirakah?” Kebingungan...hanya mampu diam, tidak menjawab, diam walaupun mahu saja aku menjawab..."Aku tidak tahu...aku rasa, tiada apa, tiada jalan keluar. Aku rasa lemas, sesak, terhimpit, terperangkap...," terkadang, ini tercetus dalam satu detik kehidupanku...

Kafe...

Seperti kebiasaan, petang sebegini, aku di kafe, menikmati kopi dan memulakan hariku. Dua hari lalu, pasukan bolasepak yang aku sokong – Manchester United – tewas ditangan Real Madrid dan terkeluar dari Piala Liga Juara. Dua hari lalu juga aku sedar bahawa duniaku sedang menjalani proses evolusi – lagi dan aku semakin percaya mungkin ini bukan evolusi, tetapi revolusi. Kekalahan Manchester United tidak begitu lama dirasai walaupun aku tahu, kelak apabila perlawanan akhir itu diadakan di Old Trafford, sedikit sebanyak akan membuka semula luka dua hari yang lalu. Dalam kepalaku waktu ini lebih kepada Muhammad – PAFA dan PMR – dan aku – proses evolusi…mungkin revolusi.

Hujan yang agak lebat turun seakan merangsang aku untuk melayani apa yang kini mula bermain dalam kepalaku. Sekelilingku yang agak pantas berlalu – hujan yang semakin lebat, orang-orang yang bergegas berlari mahu mengelak hujan, tempias, angin dan kenderaan-kenderaan yang meluncur laju agaknya mahu mengelak kesesakan yang bakal berlaku sebentar lagi…semuanya seakan berebut-rebut akan sesuatu. Nampak ribut dan berserabut! Semuanya seakan mahu tiba ke destinasi mereka tanpa terlibat dengan apa saja yang berkait dengan hujan ini. Begitu juga dengan aku dan apa yang kini rancak bermain dalam kepalaku ini. Berebut-rebut Muhammad, dengan PAFA dan PMR. Beribut-ributan aku dan evolusiku...mungkin revolusi! Semuanya sekaligus mahu perhatian, pemahaman dan penyelesaian dan aku mula dapat merasai urat di kepalaku mula tersumbat. Masih ingat tentang manusia kurang upaya itu? Migraine mula melanda. Serabut!

Berusaha menolak, tetapi penolakan bererti sesuatu yang akan berpanjangan. Ini pemahamanku. Ini sesuatu yang aku percaya. Menolak sesuatu tidak menyelesaikan apa-apa. Aku perlu menahan sebentar segala yang pantas ini – dalam kepala dan juga disekeliling – dan apabila ia terhenti, aku mampu melihat dengan lebih jelas, memilih mana satu yang perlu aku fikirkan, fahamkan, selesaikan dan memulakan proses itu sekali lagi pada masalah yang lain. Biar aku mulakan...

Menutup mataku...mencari ketenangan...cuba menggambarkan masalah-masalah yang ada...dan...

“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikum salam,” spontan dan membuka mata, “Ustaz...sila.”
“Tak apa. Saya ada hal. Nampak Samad masa nak masuk.”
Mengangguk dan senyum, “Minum sebentar Ustaz.”
“Lain kali saja. Saya betul ada hal...nak beli susu anak. Lain kali saja ya.”
“Baiklah.”
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikum salam.”

Ustaz Ahmad, guru yang mengajar aku mengaji semasa aku remaja. Menutup semula mataku...cuba mencari semula ketenangan dan mengulangi apa yang perlu...

Ringgggggggg....ringgggg…telefom bimbit berbunyi...
“Hello...”
“Hi Samad...how are you?”
Camelia telefon. Aku sedar, masalahku semakin berat...evolusi, mungkin saja revolusi!

Santai...

Sudah dua bulan lebih semenjak hari itu. Hari di mana aku duduk bersama Muhammad di kafe menikmati minuman kegemaran masing-masing dan berbual-bual tentang apa yang lebih senang aku namakan, kehidupan. Kehidupan aku dan dia, aku dan sesiapa saja yang agak rapat, dia dan sesiapa saja yang rapat dengannya dan akhirnya seseorang yang seharusnya rapat dengan kami menelefon. Panggilan itu tidak muramkan hari yang agak ceria bagi kami – seorang bapa dan anak lelaki remajanya. Pelik, ia juga tidak menambahkan lagi ceriaannya hari itu. Itu masalahnya. Aku sedang menikmati apa yang dinamakan “masa kualiti” bersama seorang anak dan hanya dengan sebuah panggilan, aku terlontar semula dalam daerah kekeliruan itu semula. Hari itu, hari yang sepatutnya menjadi hari seorang bapa dan anak - “masa kualiti”, aku terpinga-pinga mahu menterjemahkan maksud dari panggilan itu...

“Assalamualaikum...”
“Wa’alaikum salam, Samad?”
“Ya, saya. Siapa tu?”
“Mak Aisha.”
Senyap seketika.
“Hello...”
“Errr...ya...ya makcik.”
“Auntie akan berada di KL esok. Auntie nak jumpa Samad.”
“Errr esok?”
“Ya.”
“Di mana?”
“KLCC.”
“Pukul berapa?”
“Tiga.”
“KLCC di mana Auntie?”
“Telefon Auntie bila sudah sampai KLCC.”
“Ok...Sa...,” dia sudah memutuskan talian.
Terpinga sebentar...
“Siapa call?”
“Huh?” Menoleh memandang Muhammad.
“Siapa telefon?”
“Oh...errrrr...Mak Aisha.”
“Mak Aisha? Dia nak apa?”
“Nak jumpa bapak.”
“Bila?”
“Esok.”
“Good-luck,” tersenyum.

Senyumannya itu agak nakal. Dia tahu aku dalam dilema. Aku membalas senyumannya itu dan walaupun aku mencuba, aku tahu senyumanku itu tawar dan ada rasa kepahitan, tidak banyak, sedikit saja.

Dia masih tersenyum.
“Dude, let’s go,” kataku sambil mencapai beg-galasku.
“Pergi mana bapak?”
“Errrr...jom tengok wayang.”
“Cerita apa?”
“Apa saja...”
“Mana?”
“KLCC.”
“Jom...”

Aku sedar, esok, KLCC dan mak Aisha, walau semahu mana aku cuba menolak dan tidak mahu memikirkan tentangnya, ia degil. Berselang-selang ia hadir dalam kepalaku semasa kami menikmati masa kualiti kami. Hari itu sepatutnya menjadi satu hari yang sempurna. Satu hari di mana jika diimbas kembali 20-30 tahun kemudian, hari itu pasti salah satu kenangan yang manis. Namun, aku rasa ia tidaklah seburuk mana – maksudku hari itu. Memikirkan...aku menghabiskan masa bersama anakku dan panggilan itu...ia hanya sebuah panggilan. Aku tidak tahu apa isi pertemuan esok. Ia mungkin sesuatu yang baik. Ia juga mungkin sesuatu yang buruk. Objektif...dua pilihan: Baik atau buruk. Mengapa harus aku merundungkan hari ini? Sesenang itu aku cuba menyakinkan diri. Berkali, mungkin berjuta kali, namun seperti aku katakan, ia berselang hadir dalam kepala. Seketika mahu esok itu hadir waktu itu juga. Seketika, aku rasa elok saja matahari tidak terbit esok. Macam aku kata, aku tak tahu apa rasaku waktu itu...

Itu dua bulan yang lalu. Kini...



bersambung...

2 reaksi:

afna-z said...

salam..
bang..masih kena marah lagi tak dengan mak Salmi pasal rambut yang bergerondolan??

Helmy said...

Salam.

Kasih seorang ibu tiada penghujung...ya masih. Dimarahi ibu tentang perkara-perkara sebegini sebenarnya seakan satu "leteran" yang sangat-sangat saya alukan - saya merasai kasih sayangnya.