header-photo

Apa yang mungkin tidak anda ketahui - II

Saya suka berangan...

Saya sedang duduk santai di sebuah kafe. Seperti biasa menikmati secawan kopi, menghisap rokok (Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: Merokok membahayakan kesihatan) dan fikiran mula melayang...

Di tangan sepucuk warkah - bukan dari eropah ya. Membaca kandungannya, saya jadi sedikit keliru dengan saranan "...kerjasama dapat dikekalkan dengan semangat muhibah dan silatulrahim serta semangat menghormati perjanjian yang telah ditandatangani" yang dianjurkan oleh seorang Ketua Bahagian Hak Cipta. Ya, "perjanjian" itu dihitamkan semahu mungkin...agaknya mesin pencetaknya rosak kot?

Dalam kekeliruan, rasa aneh pula mula hadir. Setahu saya, ada buku tercetak olehnya tanpa perjanjian. Ada buku-buku yang diterbit bersama dengan syarikat lain tanpa berbincang dahulu. Ada buku-buku yang tidak diulang cetak lebih sepuluh tahun, tetapi tiba-tiba diulang cetak (dengan kulit lama) hanya selepas beberapa bulan sebelumnya diminta kembali haknya.

Terimbas saya beberapa tahun yang lalu...saya diberitahu depan muka saya oleh seorang pegawai hak cipta bahawa "walaupun dia sudah tiada, kami masih memegang hak ciptanya untuk 50 tahun..." Astagaaaa...dia memperkatakan tentang bapa saya! Depan muka saya! Tidak pergi sekolah PR ke pegawai muda ini? Atau sememangnya dia atau bahagiannya itu sombong dan angkuh? Bahasa Jiwa Bangsa...dia ni bangsa apa hah?

Mana semangat muhibah yang dianjurkan?

Fikiran saya melayang lagi - maaf ya, fikiran saya begitu, mungkin sebab saya suka berangan. Kali ini kepada satu siaran tv...Petrocelli. Ini cerita naik turun mahkamah tahun 70an. Saya mati-mati ingat bahawa setiap perjanjian ada jangka masanya. Tetapi aneh, ini tidak berlaku dengan perjanjian hak cipta yang telah bapa saya tandatangan itu. Aneh, saya tidak ingat bila masa pula bapa saya "menjual" hak cipta karyanya sehingga andai dia tiada hari ini, keluarganya terpaksa "melopong" selama 50 tahun.

Saya rasa jiwa bergelora. Memberontak! Mengapa perlu saya toleran lagi? Saya perlu bertindak! Dulu saya ikut resmi Hang Tuah, entah mengapa kini mengidam nak jadi Hang Jebat (walaupun sebenarnya sesuai dengan watak Hang Cangkul). Dulu (baru sebentar tadi sebenarnya) saya suka sangat dengan "yang baik itu budi, yang indah itu bahasa", tapi kini, entah mengapa, "lawan tetap lawan!!!" terngiang dalam kepala!

Perlukan saya cuba berhenti berangan?

Ah, saya perlu lebih kafeina dan nikotina...

Apa yang mungkin tidak anda ketahui - I

Cetak dulu, jual dulu dan apabila ditanya, baru sampai surat perjanjian...sehingga hari ini surat perjanjian tidak ditangani, tiada surat rasmi mohon maaf ataupun penjelasan. Itulah nasib pengarang yang akhirnya memberi satu surat "kesian" atas sifat kemanusiaan.
Bila pula DBP akan ada sifat kemanusiaan?

Koperasi Gergasi...


Julai 2006, saya dihubungi oleh satu koperasi yang mahu memasarkan buku-buku Pak Samad terbitan WBSB. Sebenarnya saya tidak menaruh harapan yang besar kerana setelah berulang ke kedai buku koperasi beberapa kali, saya agak "kecil hati" dengan sikap pekerjanya - mereka lebih banyak duduk berborak sesama mereka, tidak melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat apabila ditanya (selalu bila terdesak akan memberi jawapan buku ada di stor/gudang/kilang - sila ke sana!) dan terkadang tidak berminat langsung melayan pelanggan!

Setelah berbincang, mereka bersetuju mengambil 5 naskhah setiap judul. Sebenarnya mereka mahukan atas "consignment basis" - yakni, akan bayar jika terjual, tetapi saya tidak menjalankan perniagaan begini dan menyuruh mereka menghubungi PTS (pengedar kami). Entah mengapa, mendengar PTS mereka terus bersetuju mengambil terus dari WBSB secara tunai.

Itu dalam bulan Julai 2006. Tadi saya suruh pekerja saya ke sana dan mengambil semula buku-buku kami. Satu perkara yang amat susah saya "tolerate" adalah tidak menepati janji.

Sesetengah perkara tidak pernah berubah...mereka masih fikir mereka gergasi...

rojak

Makan rojak tengah malam. Makan asam. Sakit pinggang. Mual. Muntah...
Isteri yang mengandung, aku pula yang mengalami ini semua?
Samada aku sayang isteri atau aku sudah tua?

Amaran: Blogger kena penjara!

Rempit...

Bagaimana mereka yang selama ini tak guna akal dan melanggar undang-undang diberi insentif untuk menjalankan undang-undang...
Klik sini!

Dan ini apa pula?
Klik Sini!

Astagaaa serabut...

John

Ini John. Dia "alpha male". Dia berperanan. Dia diperlukan. Maksud saya bakanya.

Walaupun dia seekor kambing, rezekinya sungguh melimpah!

"Isteri-isteri"nya buat masa ini ada seramai 15 dan tuannya sedang mencari lagi 10 untuknya.

Ini rumah "John". Walaupun beristeri 15 (tidak lama lagi tambah 10), dia tiada masalah. Semuanya tinggal sebumbung.

Kadang-kadang beruntung jadi kambing!

Tiada siapa perlu dipujuk rayu
Tiada borang nak isi
tempat tinggal tersedia
makan minum terjaga
zuriatnya bertambah
tuannya tersenyum
dan aku...

Aku suka makan "lamb chop"!

Karnival Gerak Baca 2007

Sudah tiga hari Pak Samad menghadiri Karnival Gerak Baca 2007 anjuran MBKM, KPM, PNM dan KeKKWa.

Hari pertama dan kedua Pak Samad memenuhi jemputan rasmi - dia sempat membisikkan tentang buku-buku sastera Melayu dan mendapat respon "positif" dari Pak Menteri dan mereka yang bertanggungjawab.

Saya berdoa ini benar-benar "positif"...

Hari ketiga lebih merupakan acara "santai" di mana Pak Samad bersantai di ruang PTS yang menjadi pengedar buku-bukunya yang diterbitkan oleh Wirabukit.

Sambutan menggalakkan dan perancangan awal untuk bersantai selama sejam dua berakhir setelah lebih tiga jam. Pak Samad "tersedar" apabila perutnya merungut.

Maaf Pak, saya sengaja membiarkan sehingga bapak "sedar"...

Selain menandatangani buku-buku dan bergambar dengan peminat, dia sempat berbual dengan orang kuat PTS - Encik Arief dan Encik Zaharin. Banyak juga input positif yang diterima.

Dalam perjalanan pulang, dia mengingatkan saya, "Jaga mereka dan beri kerjasama yang termampu...".

InsyaAllah!

Kopi Susu


Saya ke PTS petang tadi dengan dua bekas "cafe latte".

Tujuan, merapatkan lagi silaturahim, mengenalkan produk baru WBSB, mencari maklumat yang berguna dan menimba ilmu.

Saya tidak pernah kecewa (lagi) apabila duduk bersama Encik Zaharin selama ini. Dan, rupanya dengan sebekas "Cafe Latte" (ini kopi susu saja kalau di gerai mamak) Encik Zaharin lebih bertenaga (mungkin dirangsang kafeina) dan banyak maklumat berguna serta "tips" yang saya perolehi.

Melihat PTS, saya bangga dan kagum ada sebuah syarikat penerbitan Bumiputera sebegitu. Ia bagai sebuah ladang yang dahulunya dibuka dan kini tumbuhannya (saya bayangkan durian!) sedang membuahkan hasil. Ini balasan "mereka" yang benar ikhlas dalam usahanya! Anehnya, mereka tidak lokek ilmu, mahu berkongsi maklumat dan mereka terus berkembang - ya, saya lihat stor yang ditambah nilai ruangnya itu!

Saya seorang yang suka berangan dan saya sudah dapat bayangkan bagaimana PTS sepuluh tahun dari sekarang...saya doakan apa yang saya bayangkan itu menjadi realiti. Amin...

Oh ya, saya dapat membekalkan buku DSKLP kepada PTS dan akan/sedang bekerjasama dalam beberapa projek buku...bawa dua bekas "cafe latte", dibalas sebegitu lumayan...alhamdulillah!

Nota: Ini bukan "kipas" (lagipun mereka tidak memerlukannya), ini entri hasil kunjungan-kunjungan saya ke PTS selama ini dan mungkin juga "cafe latte" tadi merangsang...