header-photo

Apa yang mungkin tidak anda ketahui - II

Saya suka berangan...

Saya sedang duduk santai di sebuah kafe. Seperti biasa menikmati secawan kopi, menghisap rokok (Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: Merokok membahayakan kesihatan) dan fikiran mula melayang...

Di tangan sepucuk warkah - bukan dari eropah ya. Membaca kandungannya, saya jadi sedikit keliru dengan saranan "...kerjasama dapat dikekalkan dengan semangat muhibah dan silatulrahim serta semangat menghormati perjanjian yang telah ditandatangani" yang dianjurkan oleh seorang Ketua Bahagian Hak Cipta. Ya, "perjanjian" itu dihitamkan semahu mungkin...agaknya mesin pencetaknya rosak kot?

Dalam kekeliruan, rasa aneh pula mula hadir. Setahu saya, ada buku tercetak olehnya tanpa perjanjian. Ada buku-buku yang diterbit bersama dengan syarikat lain tanpa berbincang dahulu. Ada buku-buku yang tidak diulang cetak lebih sepuluh tahun, tetapi tiba-tiba diulang cetak (dengan kulit lama) hanya selepas beberapa bulan sebelumnya diminta kembali haknya.

Terimbas saya beberapa tahun yang lalu...saya diberitahu depan muka saya oleh seorang pegawai hak cipta bahawa "walaupun dia sudah tiada, kami masih memegang hak ciptanya untuk 50 tahun..." Astagaaaa...dia memperkatakan tentang bapa saya! Depan muka saya! Tidak pergi sekolah PR ke pegawai muda ini? Atau sememangnya dia atau bahagiannya itu sombong dan angkuh? Bahasa Jiwa Bangsa...dia ni bangsa apa hah?

Mana semangat muhibah yang dianjurkan?

Fikiran saya melayang lagi - maaf ya, fikiran saya begitu, mungkin sebab saya suka berangan. Kali ini kepada satu siaran tv...Petrocelli. Ini cerita naik turun mahkamah tahun 70an. Saya mati-mati ingat bahawa setiap perjanjian ada jangka masanya. Tetapi aneh, ini tidak berlaku dengan perjanjian hak cipta yang telah bapa saya tandatangan itu. Aneh, saya tidak ingat bila masa pula bapa saya "menjual" hak cipta karyanya sehingga andai dia tiada hari ini, keluarganya terpaksa "melopong" selama 50 tahun.

Saya rasa jiwa bergelora. Memberontak! Mengapa perlu saya toleran lagi? Saya perlu bertindak! Dulu saya ikut resmi Hang Tuah, entah mengapa kini mengidam nak jadi Hang Jebat (walaupun sebenarnya sesuai dengan watak Hang Cangkul). Dulu (baru sebentar tadi sebenarnya) saya suka sangat dengan "yang baik itu budi, yang indah itu bahasa", tapi kini, entah mengapa, "lawan tetap lawan!!!" terngiang dalam kepala!

Perlukan saya cuba berhenti berangan?

Ah, saya perlu lebih kafeina dan nikotina...

3 reaksi:

Ainon said...

Sdr Helmy,

Perjanjian yang tidak menyebut tarikh ataupun tempoh tamat perjanjian adalah TIDAK SAH! (Tanya peguam!)

annyss said...

Belum ada mahkamah yang sahkan sama ada perjanjian penerbitan yang tiada tempoh tidak sah. Tapi ini kerana, tiada penulis yang berani ambil tindakan ke mahkamah. Namun, undang-undang kontrak jelas dalam hal tempoh masa perjanjian.

A contract can be voidable by virtue of uncertainty.

Pak Samad patut saman pihak yang berkenaan. Ini sudah keterlaluan. Pegawai muda DBP tu memang patut kena ganyang dengan cili padi. Dahlah tak kenal sasterawan negara lepas tu undang-undang hak cipta pun tak paham.

Nasib baik dia tidak berkata di hadapan saya. Kalau tidak tentu nahas pegawai tu!

Helmy Samad said...

Salam.

Sabar Nisah...hehehhe