header-photo

Pembantu rumah...

Agak lama menghilang - hampir dua minggu tidak di laman maya. Ini gara berpindah rumah. Syukur alhamdullillah hampir semuanya beres.

Saya tertarik dengan satu isu yang timbul akhir ini: Pembantu rumah - khususnya dari Indonesia. Entah mengapa seperti ada berbalas tembakan antara pemimpin sini dan sana. Juga media sini dan sana. Ini mengeruhkan lagi suasana.

Saya tiada masalah dengan pembantu rumah saya. Mahani yang umurnya sering bertukar - saya rasa dia dalam 40an, tetapi dia tidak mengaku. Mungkin saja saya salah dan sebenarnya saya tidak kisah - tidak banyak karenah dan pandai menjaga Ali. Tentunya terkadang dia melawan - kerana umurnya itu, mungkin - tetapi itu sesuatu yang baik bagi saya - respon. Saya tidak faham mengapa ada kes-kes seperti yang dilaporkan di akhbar. Maksud saya bagaimana kita sanggup melakukan perkara-perkara sebegitu sesama insan. Apakah kita saja ada hati dan perasaan? Adakah RM300 sebulan itu menidakkan haknya sebagai seorang insan? Mengapa semakin kita "maju", ada yang rasa mereka lebih besar atau tinggi darjat dan berhak mengganyang pembantu rumah yang mereka rasa lembab, bodoh dan sering melakukan kesilapan? Mungkinkah kerana terlalu tertekan dengan kehidupan sehingga sanggup "melepaskannya" kepada pembantu rumah?

Saya sering mengingatkan diri bahawa Mahani seorang insan. Ada hati. Ada rasa. Ada had kemampuannya dan perlu dihormati. Saya anggap dia sebagai sebahagian dari keluarga saya sendiri. Ada juga menganggap saya "manjakannya". Namun, aneh dalam "manjaan" saya itu setakat ini segala tugas yang diamanahkan kepadanya terlaksana. Tiada apa lagi yang boleh saya harapkan.

Hormatilah sesama insan.

7 reaksi:

Khemy said...

Mahani ada member tak? Susah betul nak cari pembantu rumah sekarang, mereka lebih suka kerja kedai makan atau kilang, sebab malam-malam mereka boleh merewang pergi dangdut dan keluar dating.

drbubbles said...

Salam Abang Helmy,

Insya Allah, pada hari Sabtu ini (27 Jun 2009) saya dan rakan-rakan sukarelawan Islamic Relief akan tubuhkan perpustakaan di rumah anak yatim Darul Hikmah,Gopeng.

Sempena dengan penubuhan perpustakaan itu, kami ingin mohon izin mengabadikan puisi Pak Samad yang bertajuk, "Merindu Buku" di dinding perpustakaan sebagai tanda terima kasih kami kepada sokongan beliau dan Wira Bukit selama ini.

Anonymous said...

Pembantu rumah tu ada haknya juga.

Saya dibawa besar oleh pembantu indonesia.. Setiap kali bertukar pembantu rumah sebab kontrak habis, rasa sedih tak terhingga saya kerana berat hati kena berpisah.

Mereka juga ada ahli keluarga, ada anak anak yang mereka rindu, ada suami, ibu, bapa yang mereka kena sara dengan gaji bulanan sekadar 300 ringgit. Bagi kita, 300ringgit tidaklah sebesar mana; mungkin habis guna mengepam petrol sebulan, tetapi bagi meraka, 300ringgit itu adalah untuk pendidikan anak mereka, ubat ubat untuk ibubapa yang makin tua...


harap harap setiap keluarga yang menggaji pembantu rumah berperikemanusiaan....



Lim

Anonymous said...

Itulah....
kerna sedikit yg jahat itu,
yang baik-baik pun terkena kesannya.

----- @Naimisa

SITI ZAINON ISMAIL said...

Saya masih rindukan Siti Aminah, pembantu kami yang berani, lucu rajin dan setia. Dia datang ketika Mak makin sakit. Minah yang memeluk dan menidurkan Mak di biliknya. Dia melarang saya menjaga tidur dan makan Mak katannya : " Ibu tidur sana, supaya tidak capek, ibukan kerja cari wang, kalau ibu sakit siapa yang bayar gajiku..." Dia juga pantai bertukang, atap bocor ditampalnya...tingkap pecah digantinya ...hanya minta wang ganti saja. Malah kalau dia terlalu letih, minta cuti, tidur di rumah kosong kami..eh tengah malam dia pulang katanya, " cuti rehat dah selesai, harus tidur dengan nenek". Ah Minah,....ketika pulang telah tamat 3 tahun, bawa RM 12,ooo tunai, tidak mahu kumasukkan ke bank...bawa barang sarat...begnya terlebih barang diminta bayar tambahan RM 1,000, saya terkejut tapi dia menyeluk saku mengeluarkan jumlah banyak itu . eh suaranya, " Saya ada wang eceran sebanyak itu" . Bayangkan sebelum berangkat semua keluarga kami memberi dia wang kerana kami sayangkan Aminah...dan dia ada wang tambahan ekstra hasil pemerian saudara mara kami. Anda tahu kenapa begnya berat...ha dia bawa lesung batu dan segala barang eletrik, cerek,....Ah Aminah,..seminggu kemudian dia menelipon..." Bu wang 12,ooo sudah ku belikan rumah, Minah ada rumah batu...terimakasih Malaysia..." Sekarang Siti Aminah ku sudah berkerja di Brunei. Dia tahu, wang Brunei menjadikan dia lebih kaya.... (maaf Hilmy, panjang cerit ibu ya)

Anonymous said...

Beruntunglah dapat yang elokkk...

Helmy Samad said...

Salam.

Khemy: Saya pernah beberapa kali tanya Mahani tentang perkara ini. Jawapannya sama, tidak ada dan tidak mahu rekomen sebab takut tidak puas hati kelak.

DrBubbles: Silakan, teruskan. Terima kasih.

Lim: Benar, saya tak dapat bayangkan bila dia nak balik kelak.

Sdr. Naimisa: Kes "nila" dan susu sebelanga...

Ibu Zainon: Sifat "survival" mengajar manusia mengejar yang lebih elok - mereka berhak dapat lebih jika mereka rajin.

Anonymous: Kalau dapat yang tak elok pun insyaAllah saya tetap layan mereka sebagai manusia.