header-photo

Hikmah...

Apabila menerima surat PNM yang menyatakan dua buah judul terbitan WBSB terpilih untuk dibekalkan kepada Perpustakaan Desa seluruh negara, saya tersenyum lebar. Ini bagai bonus akhir tahun!

Terdapat 1039 buah (setakat ini) Perpustakaan Desa di seluruh negara dan setiapnya dibekalkan 2 naskah setiap judul.

Dan kerana ghairah, saya "terajar" sekali lagi dalam lapangan penerbitan ini.

Ketetapan harga pembekal - saya melakukan kesilapan memberi harga yang agak rendah - diskaun lebih 55%. Saya masih untung, alhamdullillah, tetapi "margin" tidak memberi saya ruang untuk rundingan lain seperti kredit dan penghantaran.

Ramai pembekal tidak "mampu" membayar tunai untuk buku-buku yang dipesan - modal kecil. Ini melewatkan pembelian dan pembekalan. Saya mahu membantu, tetapi diskaun yang tinggi itu menghalang.

Petang tadi saya berjumpa dengan pengurus pemasaran di PTS - Encik Zaharin - yang tidak lokek memberi pandangan dan nasihat - sebaiknya saya melantik Pengedar untuk kes sebegini. Ini memudahkan urusan kerana saya hanya perlu berurusan dengan sebuah syarikat sahaja dan bukannya 160 seperti apa yang saya alami kini. Biar pengedar tersebut berurusan dengan pembekal-pembekal. Saya hanya perlu mencetak buku dan berurusan dengan Pengedar.

Buat masa ini hal pembekalan ini membuat saya kelam-kabut. WBSB hanya ada dua tenaga kerja - Pak Samad dan saya. Operasi hanya saya seorang. Saya perlu jawab panggilan, sediakan sebutharga, proforma invois, invoice, nota hantaran, ambil buku di pencetak, menghantar buku dan pungut pembayaran. Benar, saya rasa letih, tetapi lebih baik letih kerja dari letih tak ada kerja! Ini proses saya belajar dan saya perlu melaluinya untuk masa hadapan WBSB.

Dalam kelam-kabut saya ini, nasihat Sifu PTS - Puan Ainon (seorang insan yang ikhlas mahu memandaikan bangsa melalui penulisan dan penerbitan - semoga Allah memberkati dan memelihara diri dan syarikatnya) masih dalam kepala saya. InsyaAllah Sifu, itu sedang diusahakan.

Dan tidak pelik rakan-rakan lain seperti Nisah, Faisal, Zaid dan "bloggers" lain juga membantu dalam pembelajaran saya ini. Saya berterima kasih, bersyukur dan bangga melintasi, mengenali dan duduk bersama jaluran mereka ini.

Saya perlu lebih kerap belajar dan diajar supaya tidak kecundang akibat "kurang ajar" - erti kata lain, ilmu penting dan sifatnya tidak pernah mencukupi. Teruskan mencari dan rela belajar kerana kita "mati" sebaik kita rasa kita ini pandai.

Sementara itu biarlah saya melepaskan keresahan..."Arghhhhhhhhhhhhh..."

8 reaksi:

Anonymous said...

Abang Helmy

saya minat membantu. Saya sudah email resume.

Puan Ainon Mohd. said...

Sdr Helmy,

Waduh! Kesian!

Jangan khawatir, tahun ini pening dan huru-hara, namun tahun-tahun akan datang sudah pandai buat sebut harga kepada PNM!

Baguslah Sdr pergi jumpa En. Zaharin, Pengurus Pemasaran PTS. Memang beliau seorang yang baik hati dan ikhlas membantu penerbit Bumiputera lain yang rajin belajar cara-cara mengurus syarikatnya dengan betul.

Anggaplah semua yang di PTS itu macam saudara-mara WBSB sendiri.

Helmy said...

Salam Puan Ainon,

Saya ikut nasihat PTS dan tadi segala urusan pembelian buku-buku WB oleh pembekal yang dapat kontrak Perpustakaan Desa tahun ini diurus oleh sebuah syarikat lain (berhampiran pejabat PTS di Batu Caves) - ini bermula esok dan mewakili 80% dari jumlah.

Alhamdullillah...rasa lega kerana kini hanya berurusan dengan sebuah syarikat saja.

Kini penumpuan diarah ke penerbitan 6 judul untuk setengah tahun pertama 2007 dan penstrukturan semula pengurusan.

Doakan usaha kami.

Puan Ainon Mohd. said...

Sdr Helmy,

Saya lega En. Zaharin dapat membantu saudara yang pening disebabkan dapat kontrak. Lebih baik pening sebab dapat kontrak daripada pening sebab tak dapat kontrak!

Saya juga amat lega akhirnya WBSB dapat kontrak PNM itu. Mujur sdr memberitahu saya dlm blog akan hal surat PNM itu. Lain kali, jangan teragak-agak bertanya kepada rakan2 lain akan hal-hal bisnes. Kita semua sekapal, kita akan saling tolong-menolong.

Jadi... (ehem! ehem!) 7 buku-buku baru WBSB yang cantik2 itu nanti akan diedarkan oleh PTS jugakah?

Hehehe.... (kalau sudah kepala orang bisnes nih... tolong kawan pun fikir bisnes juga!)

Helmy said...

Salam Puan Ainon,

bukankah kita sekapal? Dengan siapa lagi kalau bukan PTS yang mengedarkan?

Wah wah Puan...saya ke mesyuarat Kampung Buku di Melaka...rupanya ada juga rakan sekapal...hehehe

Puan Ainon Mohd. said...

Sdr Helmy,

Tulislah dalam entri laporan dari Melaka!

Helmy said...

Salam Puan Ainon...

Saya masih memikirkan tentangnya - mencari nilai-nilai positif dalam lautan negatif...

mohon masa - kerana WB diletakkan di satu situasi yang rumit - ada amanah dari pembesar Melaka yang dibisikkan.

Sabar ya.

Sementara itu, apa pendapat puan tentang "kampung buku"? Maksud saya adakah "mencukupi" bilangan buku-buku lama di Malaysia ini? Atau konsep itu perlu diubah sedikit di sini?

Puan Ainon Mohd. said...

Sdr Helmy,

Nampaknya saudara tidak berapa seronok dengan isi kandungan taklimat yang sdr hadiri di Melaka itu, ya?

Saya memang skeptis tentang apa-apa sajalah projek yang diterajui oleh pegawai2 kerajaan, apatah lagi projek intelektual seperti Kampung Buku.

Kalau orang politik (UMNO) masuk campur dan ikut membuat keputusan, semakin kuat skeptisisme saya. Macam manalah orang politik (UMNO) hendak menjayakan projek Kampung Buku sedangkan mereka sendiri bukan kaki baca buku! Tengok sajalah apa jadi pada Kampung Buku di Langkawi.

Bak kata Nabi Muhammad SAW, "Apabila sesuatu pekerjaan itu tidak diserahkan kepada pakar-pakarnya, tunggulah kebinasaan!"