header-photo

KBMM

Sedikit mengenai KBMM

Penubuhan Kampung Buku Malaysia (Melaka) ini adalah sebagai salah satu komponen Taman Botanikal - produk pelancongan Negeri Melaka.

KBMM mahu di jadikan "One Stop Book Center" - bertaraf antarabangsa - di mana ia menjadi pusat pengumpulan buku-buku lama dan baru dari pelbagai bahasa yang meliputi pelbagai tajuk dan perkara.

Pada peringkat awal, lapan penerbit dan pembekal yang terpilih akan dijemput untuk menjayakannya - ada lapan ruang - menjual buku-buku terpakai dan baru. Mereka yang terpilih perlu membayar sewa.

Luas ruang dari 44mp hingga 53.70mp. Kadar sewa RM17.50mp. Bil Elektrik dan air tanggungan penyewa.

Waktu operasi:
Isnin - Jumaat: 9.00 pagi - 6 petang
Sabtu - Ahad: 9.00 pagi - 2 petang


Sepintas lalu memang menarik...

Saya memikirkan tentang:

Lokasi
Lokasi yang terletak jauh di dalam Taman Botanikal (dulunya Hutan Rekreasi). Pak Samad dan saya sengaja berjalan kaki masuk ke dalam - percayalah, dari tempat letak kereta hingga ke lokasi pastinya berpeluh. Jalannya berliku dan kecil.

Walaupun pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya (dimiliki Kerajaan Negeri dan bertanggung jawab atas KBMM) telah menyatakan bahawa jalan akan dibesarkan dan tempat letak kereta dan bas yang mencukupi akan disediakan, semasa melawat tidak nampak lagi kerja-kerja dijalankan kecuali bangunan KBMM yang hampir siap. Dan mereka perlu menebang sejumlah besar pokok-pokok untuk membesarkan jalan dan menyediakan tempat letak kereta.

Hak Milik
Hak milik bertindih. Walaupun dinyatakan KBMM dibawah Perbadanan, tetapi kawasan saya kira masih milik Perhilitan. Tentu saja pihak perhilitan mementingkan persekitaran kerana ia bertanggungjawab memeliharanya. Pihak Perbadanan tentu saja memandangnya dari sudut pemasaran.

Sewa
Saya lebih memikirkan ini satu pengorbanan kepada nusa dan bangsa oleh pembekal dan penerbit yang terpilih. KBMM adalah satu komponen pelancongan Kerajaan Negeri - lebih mempromosi Melaka dan bukannya pembekal atau penerbit. Bukan mudah menjual buku "dalam hutan".

Sewa ruang, gaji pekerja dan kos-kos lain akan membebankan mereka yang terpilih. Harus ingat, kami ini syarikat. Keuntungan perlu untuk "survival". Selagi KBMM belum mencipta nama dan terkenal, selagi itulah kami akan rugi. Walaupun disenaraikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 2007 bagi mempromosi KBMM, tetapi ini hanya rancangan. Sedia maklum, merancang mudah dan bagi menjayakan sesuatu yang mahu dijayakan, pastinya senarai itu akan di"perbesar-besarkan" bagi menarik pelabur untuk melabur.

Saya kira pihak Kerjaan Negeri perlu memberi keistimewaan kepada mereka yang terpilih - tidak payahlah mengenakan sewa untuk satu jangka masa sehingga KBMM benar terbukti berjaya. Jika mereka boleh membelanjakan berjuta RM untuk projek ini, apalah sangat RM80,000 sewa setahun untuk lapan penerbit dan pembekal? Lagipun ini projek pelancongan - lihat sajalah masa lawatan - tidak logik langsung bagi hujung minggu. Berilah sedikit insentif. Kelak yang dapat nama pun bukannya penerbit atau pembekal, tetapi Kerajaan negeri. Wang membayar sewa itu boleh digunakan pembekal dan penerbit untuk menjalankan aktiviti/promosi mereka sendiri.

Aktiviti promosi penerbit dan pembekal penting kerana mereka lebih mengetahui bagaimana cara menjual buku. Lagipun kalau kira lokasi, saya pasti Langkawi lebih "komersil" berbanding Taman Rekreasi di Melaka ini. Aktiviti promosi perlu teratur, berterusan dan menemui sasaran.

Akhir sekali, apa yang akan membezakan KBMM ini dengan KBML? Apakah ada jaminan perkara sama tidak akan berulang jika tampuk kepimpinan bertukar tangan?



8 reaksi:

Puan Ainon Mohd. said...

Sdr Helmy,

Patutlah sdr tiada mood hendak membuat laporan!

Kalau macam itulah caranya, tak payahlah kita ikut serta. Cari nahas!

Anonymous said...

Semuanya bukan mustahil jika betul perancangan dan teratur promosinya. "Power of Advertisement!"

Mungkin namanya patut ditukar kepada RIMBA BUKU atau RIMBA ILMU, supaya jangkaan pengunjung lebih tepat dan datang dengan tanggapan yang betul. Jangan yang datang hampa dan mengkhabarkan kehampaan kepada yang lain, dah la!

Hehe. Syok gak ye baca buku dlm hutan. Ramai 'kawan'. Huhuhuhu...

-Andura-

Unknown said...

Salam.

Puan Ainon - Saya "takutkan" permainan politik yang meletakkan KBMM seakan telur di hujung tanduk.

Andura - Sememangnya ia bukan mustahil jika mereka yang bertanggung jawab lebih ikhlas dan rasional.

Memang betul, saya pernah cuba baca buku dalam hutan, tetapi diganggu ramai 'kawan'...

Anonymous said...

Sdr Helmy,

Tak tahulah. Saya bukan pesimistik, tetapi saya rasa macam penganjur tidak benar-benar faham dengan konsep kampung buku. Kampung buku bukan setakat sediakan tempat utk pengusaha buku menjual buku. Bukan macam orang buat jualan di tapak ekspo. Kampung buku perlu didokong oleh peminat dan pencinta buku. Perlu ada aktiviti berasaskan buku dan industri perbukuan. Perlu diwujudkan juga indstri sokongan kepada buku di kampung buku. Industri pencetakan, penjilidan, rekaletak dan rekabentuk buku, pengusaha dan pengeluar barangan dan perabut berasaskan perpustakaan.

Yang lebih penting, penganjur dan pekerja di kampung buku mestilah mereka yang sayangkan buku dan menghargai buku.

Saya rasa Kampung Buku ini akan mengulangi kegagalan Kampung Buku Langkawi.. :(

Puan Ainon Mohd. said...

Kalau hendak buat RIMBA BUKU marilah buat di Janda Baik! Di sini lebih indah rimbanya...

Unknown said...

Salam.

Puan Ainon,

Rimba indah Puan berdekatan dengan riba Pak Habibkah?

Akmal said...

salam sejahtera semua..adakah kampung buku di melaka ni hanya indah khabar sahaja atau kepentingan sesebuah organisasi?boleh saya tahu ramai tak staff pustakawan or penolong pustakawan kat situ?

Anonymous said...

Salam sdr Akmal,

Baru-baru ini saya berkesempatan melawat Kampung Buku ini. Agak menarik perhatian saya kerana ia "dipelihara" dengan baik. Terdapat jalan baru dan tempat letak kereta. Cumanya Kampung Buku ini akan terperuk jauh ke dalam.

Saya juga dapat tahu dari sumber yang boleh dipercayai, Kampung Buku ini adalah satu projek yang "mesti berjaya" oleh kerajaan negeri.

Saya tidak sempat bertanya banyak, tetapi terdapat staf-staf yang peramah (tidak diketahui pula sejauh mana pengetahuan mereka tentang buku). Kalau tidak silap saya terdapat beberapa penerbit yang menjalankan operasi mereka di sana.

Dalam situasi lain, saya hendak sangat melawat kampung buku ini pada hari yang biasa - tidak seperti semasa lawatan kami tempoh hari menghadiri majlis pelancaran buku "Edisi Seni Warisan Melaka" di mana terdapat ramai VVIP.

Apapun, usaha ini perlu disokong asalkan ia terus dipelihara dan dilindungi kerajaan negeri kerana saya masih tidak percaya ia boleh berdiri dengan sendiri tanpa sokongan padu mereka.