header-photo

Luluhkan hatiku

Prolog

Dia kembali.

Dan hatinya membuka sebuah rahsia. Dia rasa rindu. Jiwanya bergelora. Wajahnya di mana-mana. Dimakan masa, dia rasa tersiksa. Kelamaan, dia rasa berdosa.

Mengapa?

Mengapa kau kembali?


Manchester United 2 Bayern Munich 1

Sepanjang hari dia tersenyum walaupun semalaman dia tidak tidur. Matanya merah. Kepalanya berat. Seharian mendung. Aneh, hatinya senang. Seharian dia tersenyum.

"Matamu merah. Kau nampak lesu. Tak sihat?"
Dia senyum.
"Tapi seharian kau tersenyum."
Senyum sambil tergeleng.
"Kenapa ni?"
"Tiada apa," masih tersenyum.
"Betul?"
"Benar...tiada apa. Cuma tak cukup tidur."
"Kau buat apa?"
"Tengok bola..."
"Huh," Lisa mencebik dan berlalu, tapi matanya menjeling, manja.


"Lisa...Lisa...Lisa...," bisik hatiku. Dia menoleh. Aku senyum. Dia juga begitu sebelum melangkah hilang dibalik pintu. Aku pasti, dialah yang kucari selama ini. Aku tahu dia mengetahui rasa hatiku ini. Tapi, rasa saja tidak mencukupi. Aku perlu memberitahunya. Dia perlu dengar kata-kata hatiku ini. Kata-kata yang semakin hari semakin panjang, tapi bila disatukan..."Aku cinta padamu Lisa," semudah itu bila sendirian sebegini, tetapi entah mengapa, semakin dicuba semakin susah diluahkan bila dia di depanku. Dia benar melumpuhkanku.


Lisa

1983 Lisa dilahirkan. Aku ingat waktu itu. Aku benar teruja olehnya. Dunia komputer juga begitu. Namun, hayatnya tidak lama. Tiga tahun selepas itu Apple berhenti menjualnya. Ia tidaklah seindah namanya itu. Meletakkan nama wanita pada komputer adalah satu kesilapan. Komputer boleh diramal dan dibaca, wanita tidak.

Lisa lahir tahun Apple melancarkan komputernya yang tercanggih waktu itu - Lisa. Aku berumur 20 tahun waktu itu dan menuntut di sebuah institusi pengajian di Shah Alam dalam bidang pengurusan.

Aku duduk atas tangga melihat sebahagian Shah Alam. Aku senang begini setiap kali tamat kuliah petang. Angin agak menderu di waktu begini dan aku tidak begitu ambil kira tentang mereka yang berlalu turun naik tangga.

"Hoi Man, mengelamun tentang Lisa ya?"
Aku tersentak. Menoleh, "Heiii, kau ni. Nasib aku tak kena heart attack!"
Amin ketawa dan terus duduk sebelahku. "Kau tahu Man, aku rasa satu hari ada yang terlanggar kau dan jatuh tergolek kat tangga ni."
Kami ketawa.
"Hana mana?"
"Mana aku tau? Belum habis lagi kot?"
"Kau ni Man...terkadang aku rasa kau lebih menyayangi Lisa dari Hana!"
Kami ketawa lagi.
"Itu sesuatu yang tak mungkin aku miliki Min. Mana aku mampu. Belek majalah dan bila ke Kuala Lumpur aku tengok sajalah kat kedai komputer tu. Dapat pegang keyboard pun jadilah."
"Hana?"
"Hana?"
"Hana bagaimana?"
"Bagaimana apa?"
"Kau miliki?"
"Aduhhhh ke sana rupanya kau. Min, aku kawan saja dengan dia. Tak fikir langsung tentang itu?"
"Betulkah?"
"Betul...," aku menipu sebenarnya.
Ketawa lagi. Kali ini lebih kuat.
"Eh, jom turun padang!"
"Ok juga tu. Jom..."

Petang itu, kami duduk bersandar di tepi padang...melihat puteri-puteri bermain bola jaring...

Dua tahun selepas itu, Amin dan Nurhana berkahwin.

Aku duduk di tangga mengadap padang "putih" di Universiti Lancaster dengan angin dingin mengigit-gigit muka. Aku rasa kosong...kosong seperti padang bersalji itu. Aku tidak tahu samada berita itu atau salji yang turun itu melalikan aku...


Ibu

"Man tak mahu balik ke?" tanya ibu.
Aku tergamam
. Menelefon ibu satu kesilapan. Berkali mengelak, tapi entah mengapa wajah ibu sering dalam ingatan. Ini satu rasa yang tidak mahu aku rasa - aku benar-benar merinduinya. Hampir sepuluh tahun di kota London. Aku fikir apa di tanahair telah aku lupakan. Aku silap. Aku masih tidak mampu mengikisnya dari hatiku ini...ibu...entah mengapa, akhir-akhir ini ibu begitu dominan dalam kepalaku dan rasaku ini.
"Man...Man.."
"Ada ni...ibu sihat?"
"Bila Man nak balik?" desak ibunya lagi.
"Ibu.."
"Baliklah Man...ibu rindu..."
"Ibu, Man juga...,"mataku berair. Jiwaku mendung. Hatiku luluh. Mengapa aku menelefonnya? Mengapa?
"Baliklah Man," dia teresak. "Ibu merinduimu. Baliklah Man..."

Luluh...

Dua minggu selepas itu aku pulang ke tanahair.

Aneh, dalam perjalanan aku terfikir tentangnya. Hana, bagaimana dia kini?

bersambung...


7 reaksi:

Puan Ainon Mohd. said...

Epilog-nya jangan lupa dituliskan, ya, nanti.

blackpurple @ jowopinter said...

Menunggu sambungannya.... :)

Miss Reen said...

singa..pat sket sambongan tuh..
jgn cam series lain..smgu satu episod..
krem nak tgu tau!

Unknown said...

Salam.

Saya sedang memikirkan...siapa nak cepat kenalah bayar...hahahahah...sabarlah...saya tengah malas sangat niiiiii...

Anonymous said...

Salam,

bro, sudah kukatakan...
makin baca makin teruja...

tersentak-sentak membaca sebab teknik tulisan yang memberi kejutan-kejutan kecil, misalnya, "Lisa" yang dipikirkan tu rupanya, komputer, bukan orang dan tetiba aje amin dah kawen dengan Hana...
Kumahu tahu mengapa, bagaimana dan segalanya!
Apa yang ada dalam mindamu, bro?
Argh.

Wassalam.

sinaganaga said...

update blog la weh! ha ha

Unknown said...

Salam.

Inche Naga...hamba terperangkap dengan terjahan demi terjahan kerja...cerita ini sebenarnya sudah siap dan sedang memikirkan samada hendak menerbitkannya atau tidak...

Tapi, saya fikir biarlah ia menjadi sejarah.

Har har har :p