header-photo

Selamat Berpuasa...

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al-Baqarah:183)

Segala puji bagi Allah yang menjadikan di antara jalan-jalan (kebaikanNya) adalah bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya Al Qur’an diturunkan sebagai penyuluh dan penjelasan petunjuk dan pembeda bagi manusia.

“Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa.”

Selamat berpuasa semua :)

Mengadu...

Bila jiwa tertekan ke satu sudut, tiada apa yang boleh dilakukan kecuali pusing, berhadapan dengan apa yang menekan dan melawan kembali...

...aku perlu bercakap denganMu...

Bola...

Jadi kita kecundang. Ramai berikan sebab mereka ada pemain import. Saya kata kita tidak cukup baik. Semudah itu sebenarnya. Patut bersyukur mereka ada pemain import kerana jika mahu bersaing di pentas antarabangsa, bermain dengan mereka bagai kayu pengukur - sekurangnya di rantau ini.

Harimau Malaysia jangan putus asa!

InsyaAllah...

Pernah tidak hadapi situasi begini...

A: Awak janji?
Saya: InsyaAllah..
A: Awak kena janji...
Saya: InsyaAllah...
A: Saya nak awak kata awak janji...

Saya tertanya, bila masa InsyaAllah itu tidak laku dan mencukupi?

Rezeki...

Makan di gerai-gerai atau tempat terbuka biasanya kita akan didatangi...

Meja sebelah...

Penjamu Selera: Awak nampak tak saya tengah makan?
Si pencari rezeki diam tersenyum dan berlalu...
Penjamu Selera: Pantang saya beri bila tengah makan...
Teman Penjamu Selera: Kenapa yang?
Penjamu Selera: Melayang tau rezeki bila kita bagi orang minta duit masa kita sedang makan!
Teman Penjamu Selera: Ooooo

Rezeki di tangan Allah. Setahu saya sedekah tak kira masa. Hati mesti dibersihkan...

Fantasi...

Ada persamaan dalam filem Transformer 3 dan Harry Potter (Deathly Hallows 2). Kedua-duanya bertahan menentang kuasa jahat yang jauh lebih ramai dan lebih hebat.

Kita tahu siapa menang/berjaya. Ini filem-filem fantasi. Avatar juga begitu. Battle L.A sama. Ngangkung pun begitu.

Ngangkung? Ya, bukan akhirnya mereka insaf dari melakukan kejahatan?

Tapi, adakah Ngangkung filem fantasi?

Mari kita tinjau kedai-kedai jual nombor...hehe

Vampire...

Kadang saya tertanya sama ada teman saya ini seorang vampire?

Mengapa?

Kerana setiap kali mahu bertemu selalunya selepas mahgrib. Itu pintanya.

"I nak solat maghrib dahulu..."

Oh...ok. Vampire tak solat kan?

Phew...

Gali Lubang Kubur...

Orang yang banyak salah/dosa bila terdesak akan berulang buat kesilapan yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Mereka tidak sedar dan masih rasa apa yang mereka buat itu betul/benar.

Erti kata lain, "Gali lubang kubur sendiri."

Lalai...

Manusia paling lalai apabila merasakan dirinya terhebat dan terbijak dari yang lain.

Janda Hitam...

Dia menggigit mangsanya. Dengan fungsi enzim penghadaman yang meresap masuk tubuh mangsa, dia mengirup segalanya yang ada hingga tinggal kulit. Sang jantan cuma dapat rasa nikmat sekali...sebelum nyawanya melayang.

Itulah lelabah Black Widow.

Siapa kata di sini tak ada Black Widow?

Hantu...lagi...

Dulu nenek cerita tentang datuk yang lewat balik kerja dikejar hantu...galah! Lepas itu mak pula cerita tentang pontianak yang mengilai di atas pokok Kekabu belakang rumah! Ada cuba kawan yang kena sakat masa menunggang motor di lebuhraya sekitar Sunway. Akhir ini anak pula bercerita tentang satu makluk yang mengetuk tingkap biliknya setiap bulan mengambang dan kemudian mengilai...

Saya bernasib baik agaknya kerana makluk yang paling ngeri mengejar saya adalah anjing jiran...

Anda bagaimana?

Kedai Makan...

Mengapa kebanyakkan kedai makan...

Dulu sedap, lama-kelamaan jadi tidak sedap?

Dulu bersih, kini kotor (terutama tandasnya!)?

Dulu servisnya baik, kini terpaksa panggil berkali?

Dulu murah, kini mahal?

Dulu porsinya besar, kini mengecil?

Dulu pelayannya comel lote dan peramah, la ni tu diaaaa dan benkeng?

Mengapa kebanyakkan kedai makanan seperti ini biasanya milik orang Melayu?

Projek RM3 Juta...

Fitnah orang sebuah parti itu di internet...

Oh alangkah enaknya jika cerita ini benar! Oh orang yang bawa cerita ini, silalah beri projek RM3 juta ini kepada saya ya! Alaaa RM3 juta saja. Bukannya banyak... :p

Hello...

Lebih seminggu saya muram. Memikirkan soal diri. Memang tidak sabar menyambut Ramadan, tetapi "kecut" memikirkan Syawal. Ramadan sememangnya istimewa - terlalu - buat saya. Inilah masanya saya benar-benar dapat mencerminkan diri. Syawal...? Benar, saya kalau boleh mahu hari lompat. Tiada 1 Syawal dan mungkin 2 Syawal. Menyendiri, seorang diri pada Ramadan sesuatu yang baik. Perkara yang sama pada Syawal - waktu saya begini - itu "suicidal". Lihat anak-anak bergembira bersama keluarga dan saya...

Namun, hari ini saya seolah tidak mahu memikirkan tentang apa yang saya alami. Berdikit keceriaan mula berkumpul. Saya ceria sebenarnya hari ini dan keceriaan itu mahu saya limpahkan kepada dia yang istimewa.

Saya berbual dengan dia. Semakin lama semakin rancak. Tidak seperti sebelumnya bila dia mengadu resah kerana saya jawab sepatah-sepatah. Kali ini perkataan-perkataan saya mula berpatah-patah.

Tuhan ada perancangannya sendiri...

Dalam perbualan yang semakin rancak, saya sedar...dia senyap. Saya seorang saja yang bercakap...Hello? Hello....Helloooooooooooooooo!

Rupanya dia terlena kerana terlalu penat...boleh?

*Pastinya saya akan kena "pelangkung" esok oleh anda tahu siapa...tetapi, itulah yang saya mahu, perhatian! Hehe...

Pelangi...

Ini satu kisah benar.

Ada seorang insan. Hidupnya agak susah. Namun dia terus berusaha. Dia mengadu pada Tuhan setiap kali dia kesepian - selalunya waktu malam. Sering dia terlena semasa bercerita. Esoknya, sinaran pagi memberi dia kekuatan dan harapan. Dia teruskan usahanya. Begitulah hari demi hari hingga satu hari dia dibentangkan dengan satu peluang di mana ia akan menyelesaikan banyak masalahnya. Dia bersyukur. "Akhirnya...." bisik hatinya.

Namun, ia tidaklah semudah yang disangka. Peluangnya itu perlu modal. Dia berusaha mencarinya. Cariannya berakhir dengan jalan buntu. Dan setiap masa dia kesepian - selalunya waktu malam, dia akan bercerita atau mengadu kepada Tuhan. Tercari-cari jawapan dan mana silapnya itu hingga terhalang akan peluang yang ada itu. Berulang...ulang...ulang...

Saya sering berkata kepadanya, "Kadang-kadang Allah mahu menduga. Ada sesuatu untukmu. Sabarlah."

Dia menggeleng, "Entahlah. Terkadang hatiku berbisik jahat dan anehnya aku mula percaya."

Sesuatu yang merbahaya. Manusia sering kecundang dalam dugaan. Saya mahu membantunya, tetapi tidak mampu. Saya juga lihat dia dikecewakan oleh orang-orang yang "kononnya" menyayangi dia. Bukannya mereka tidak mampu, tetapi saya kira mereka lebih tidak percaya kepadanya. Dalam dunia kini, saya faham, manusia itu pentingkan wang dan harta. Mungkin mereka tidak sedar, ada sebab mengapa mereka "diberi" semua itu...

Saya doakan kawan saya itu terus tabah dan sabar. Pastinya ada pelangi buatmu akhirnya...itu janjiNYA kepada mereka yang tabah dan sabar.

Anugerah...

Kadang-kadang saya tidak percaya dengan anugerah-anugerah yang ada di Malaysia ini...tetapi itu hak merekalah.

Apapun, anugerah yang paling penting dan mulia datangnya dari Tuhan. Itu jangan kita lupa dan berjual-beli ya.

Rumah Berhantu..

Ada sebuah rumah di AmpangVille. Jika dilihat dari luar, pastinya bulu tengkuk akan timbul. Ada orang kata rumah ini berhantu! Saya sebenarnya tidak percaya. Jadi pada satu hari, saya berdiri di hadapan rumah ini. Agak lama juga saya meninjau - mungkin mencari maksud sebenar "berhantu" itu. Mungkin juga mengharap terlihat "kelibat".

"Awak tengok apa tu?" tanya jiran.
Saya terkejut, "Oh tak ada apa. saja tengok saja."
"Mahu renovate ke?"
"Errr tak. Mungkin cat sikit."
"Haaa baguslah. Nampak lusuh sangat..."
Saya hanya mengangguk.

Rumah yang dikatakan berhantu ini sebenarnya rumah di mana saya tinggal bersama seorang teman. Dan jika ada yang fikir ia berhantu, tentu sajalah hantu-hantu itu bernama Rahmat dan Helmy...dan Goldfish, Chloe, Velvet, Omar, Senget (semua kucing)...

*Seorang teman rumah kami meninggal Khamis lalu di HUKM. Semoga Allah cucuri rahmat dan tempatkannya di kalangan mereka yang beruntung. R.I.P Avroco :)

Ramadan...

Akhir ini satu perkara kerap bermain dalam kepala dan selepas itu turun ke hati...ia sesuatu yang tidak mahu saya lalui sebenarnya.

Ramadan sudah dirasai. Saya tidak sabar mahu melaluinya. Namun, insan seperti saya ini akan jauh menggelamun (ada kawan kata Aquarius memang begini, tetapi bintang yang saya percaya hanyalah bintang-bintang di langit). Saya akan fikirkan tentang apa yang akan saya lakukan pada Ramadan dan saya akan tersentak bila tiba Syawal...

Bagaimana harus saya lalui Syawal kali ini? Keseorangan...bayangkan...

Anak...

Saya habiskan hujung minggu lalu bersama anak. Banyak yang diceritakannya kepada saya. Kami juga bergurau "kasar". Maklumlah anak lelaki.  Dia tidurpun sekitar jam 3 pagi. Namun, ada beberapa tabiat yang sangat ketara - dia akan belek buku atau majalah sebelum tidur. Dia juga akan menyilangkan kakinya semasa membaca! Ini sangatlah saya!

Selama beberapa bulan akhir ini saya rasakan semakin kehilangannya, tetapi rasa saya itu terseliuh. Kini saya tahu, ada "magis" dalam hubungan anak dan bapa - walaupun lama tidak bertemu.

Rehat...

Selama seminggu blog ini tiada entri baru. Bukan apa, saya sengaja cuti dari menulis blog dan kurangkan penggunaan internet - beri tumpuan kepada penulisan novel yang sedang saya usahakan. Namun, agak banyak juga yang sempat saya tulis bila berehat sebentar. Doakan usaha saya ini ya...

Selingan: Transformer 3

Walaupun Megatron tumbang dan Optimus Prime hilang sebelah tangan, tapi entah kenapa semalam aku lihat banyak Bumblebee...betul...tak tipuuuu.

Mungkin kimia campuran air dan asap itu menghasilkan halusinasi?

Selingan: Ahli-ahli Nujum...

Sesuatu yang merungsingkan saya adalah apabila kita mula meramal dan mendoakan keburukan kepada sesuatu yang belum berlaku...

kecuali memang sesuatu telah dirancang untuk memerangkap bukan?

Cerita-cerita Kayangan: Kau & aku...

Di kafe...

Selain mata, aku suka senyumanmu...
Dia senyum tersipu.
Namun, apa yang buat aku terpaut adalah caramu yang membuat aku dekat pada Tuhan...
Dia ternganga...

Terkadang dalam kehidupan kita tertarik kepada seseorang yang melakukan sesuatu tanpa sedar.

Cerita-cerita Kayangan: Duda dan Janda...

"Jadi ke tidak bukan persoalan sebenarnya. Sudah lama kita tidur, terbuai dengan dunia sendiri dan perkara ini sebenarnya membangkitkan pemikiran yang telah lama tidur. Kita lihat protagonis. Kita lihat Tirani. Terkadang terdengar juga bunyi katak yang anehnya mahukan api walaupun sifatnya lebih kepada air," kata Dol Kropok.

Wak Tempe dari tadi senyap saja. Difikirkan Dol, Wak Tempe setia mendengar dan cuba memahami. Dia seronok. Namun, fikiran Wak Tempe sebenarnya pada Kiah. Janda muda itu tak harus menjanda lama. Dia rasa dirinya sangat sesuai buat Kiah. Duda dan Janda...hah sangat sedap bunyinya...

"Tapi, dalam aku fikir tentang semua ini, kekadang aku terfikir juga tentang Kiah tu..."

Wak Tempeh tersentak, ternganga. "Hah? Kiah?"
"Ya, Kiah."
"Kenapa pula?"
"Ya lah. Semalam aku sudah bertanya kepada anak-anak. Mereka setuju."
"Setuju apa?"
"Aku masuk minang si Kiah tu. Kesian dia. Lagipun aku ni duda. Dia janda. Sesuai sangatlah...Duda dan janda..."
"Hah?"

Petang itu Wak Tempe menelefon anak-anaknya. Disuruh mereka semua pulang. Ada perkara penting yang perlu dia bincangkan. Wak tahu, dia tak boleh biarkan saja. Dia perlu bersaing. Dia perlu menang.

Dan bermulalah "perang" dua duda untuk seorang janda...

Cerita-cerita Kayangan: Pak Kassim...

Bermula hari ini saya paparkan kisah-kisah kayangan saja...hingga diberitahu kelak.

Pak Kassim seorang petani. Tanah dua ekarnya mengisi keperluan hidup keluarganya. Anak-anaknya seramai 8 orang - 4 lelaki dan empat perempuan (sungguh adil pembahagian kuasa Ilahi diberitahunya kepada orang) hampir lengkap pembelajarannya. Yang tua seorang jurutera. Yang paling muda masih belajar di sebuah universiti tempatan.

Walau anak-anaknya menghantar wang setiap bulan, Pak Kassim masih tetap setia pada tanahnya. Walau berkali didesak anak untuk berehat, Pak Kassim tidak sedikitpun kendurkan usahanya. Malah, dia semakin rajin mempelbagaikan tanamannya. Dia semakin banyak bersedekah. Dia semakin lipat usaha fardu ain dan kifayahnya. Anak-anaknya impikan emak dan abah yang kini boleh bersenang. Menikmati kehidupan. Mereka tahu emak dan abah berhak sesuatu yang lebih baik atas usaha mereka selama ini. Namun Pak Kassim dan isterinya Mak Leha masih tetap seperti dahulu. Dan mungkin kerana anak-anak sudah tiada bersama, usaha mereka sebenarnya lebih dari dahulu.

Perjalanan menuju kematian harus lebih dilipat kali gandakan. Semakin dekat semakin keras usahanya. Kita pulang harus dengan bekal yang mencukupi atau setidaknya cuba cukupkan. Itu yang sering Pak Kassim beritahu saya. Hidup keikhlas-ikhlasnya Helmy...nasihat akhirnya.

Isu...

Tangani isu-isunya, bukan tangani orang-orangnya.

Henfon...

Kenapa bila kita santai, henfon aman, tetapi sebaik masuk tandas, ia ribut?
Kenapa dalam majlis atau acara atau menonton mahupun solat Jumaat, walaupun sudah diingatkan, mesti ada henfon yang berbunyi?
Kenapa kita boleh "bergayut" dengan teman, tetapi bila sudah nikah, kita cuma sms saja dengannya?
Kenapa kita tiap-tiap hari entah berkali hubungi teman, tetapi sebulan sekali baru hubungi ibu?
Kenapa kita marah bila nampak orang yang memandu menggunakan henfon sedangkan beberapa minit kemudian kita pun melakukan perkara yang sama?
Kenapa masih ada manusia yang sanggup beli henfon canggih dan hebat sebaik ada wang/gaji, padahal dia patut langsaikan hutangnya dulu? <<-- Ini kes benar dan banyak berlaku!

Kenapalah saya "mengarut" waktu sebegini tentang henfon sedangkan lebih baik tidur saja?

Imbauan...

Dia senyum padaku...
aku membalasnya.
Tak tercapai, namun jiwa kami tersentuh.