header-photo

Doa...

Ya Allah, jadikanlah anak aku Ali sebaik-baik manusia di dunia ini. Juga aku mohon kepadaMu agar letakkan dia dikalangan mereka yang beruntung di dunia serta akhirat. Amin...
Selamat hari lahir anak.

Romi & Juli 12.0...

Dalam YM (Yahoo Messenger)...

Romi: Awak...bila awak balik kampung?
Juli: Tak tentu lagi...kenapa?
Romi: Saja tanya. Eh, awak kenal Ustaz Azhar?
Juli: Apalak tak kenal. Dia coolkan!
Romi: A'ah. I memang suka dia!
Juli: I pun...
Romi: Awak, bila balik kampung nanti awak tunjukkan ini kat mak dan ayah awak ya...
Juli: Apa?
Romi: Ini http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=jSwrZhA0k1I#!
Setelah menonton...
Juli: Amboiiiiiiiiiii!

Sikit-sikit, lama-lama...

Beberapa hari lalu saya naik teksi dari Alamanda ke Putrajaya Sentral. Ini kerana sudah agak lewat dan saya tidak mahu terlepas tren ke KL. Sepanjang perjalanan saya berbual santai bersama pemandunya. Mata saya juga tertumpu ke meter. Sebaik memasuki kawasan Sentral, saya lihat meter sudah RM8. Niat saya hendak beri RM10 - lebih sedekah. Namun, saya nampak dia memicit sesuatu dan tiba-tiba meter jadi RM10.40. Ini di Putrajaya. Saya hanya senyum dan redha.

Manusia zaman kini nampaknya tidak begitu kira tentang pendapatan yang halal. Ambil senario di atas. Mungkin tambang RM8.40 tidak berbaloi kepadanya. Dia perlu lebih. Dia perlu menipu untuk dapat lebih. Saya halalkan kerana beberapa sebab saya sendiri.. Saya jua berdoa agar orang-orang seperti ini sedar dan insaf. Walaupun kecil, tetapi sikit-sikit, lama-lama jadi bukit :)

Rezeki...

Petang tadi saya di Ampang Point. Seperti biasa di kafe tepi jalan membuat sedikit kerja, membaca, memerhati dan menulis hingga perut saya terasa lapar. Seperti kebiasaan juga saya akan ke tingkat satu untuk membeli Roti Perancis (baguette) untuk dimakan begitu saja atau cecah kopi.

Dia: Bang, tak ingat saya lagi?
Saya: Hmmm macam kenal...
Dia: Saya Lokman. Dulu saya kat Subang Parade. Ni baru pindah sini.
Saya: Oooh saya ingat...

Lokman ini dulu selalu duduk santai bersama saya di kafe Subang Parade selepas dia bekerja. Sering juga dia membawa lebihan kek dan pastri dari tempat dia bekerja - sebuah kafe juga. Sudah lebih sepuluh tahun saya tidak berjumpa dengannya. Watak Lokman ini ada dalam sebuah novel saya. Saya bersyukur kerana silatulrahim itu tidak putus.

Saya duduk semula di meja kafe tepi jalan. Tersenyum melihat pastri-pastri gratis di hadapan mata. Rezeki datang dalam pelbagai cara dan rasa...alhamdullillah :)

Orang Luar...

Jika menaiki bas dari atau ke kawasan Ampang (sekitar Pekan Baru Ampang), saya terkadang rasa bahawa saya ini orang luar...

Jika duduk makan di kedai mamak sekitarnya, saya rasa begitu juga...

Singgah di gerai-gerai jual makanan dan kedai runcit kecil, saya rasa juga begitu...

Tadi saya tergesa tahan bas...

"Terima kasih bang."
"Bisa ja...," jawab pemandu bas.

Ah, memang saya orang luar kini...

Desak...

Akhir ini saya agak mendesak. Ini bukan sesuatu yang saya suka lakukan. Malah, ini adalah kelemahan saya jika berurusniaga. Saya paling tidak suka meminta.

Namun, akhir ini saya mula mendesak beberapa pihak. Ini kerana...

Seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w....
"Siapakah yang perlu kita hormati selepas Allah dan Nabi?"
"Ibu kamu," jawab Nabi Muhammad s.a.w.
"Selepas itu?"
"Ibu kamu."
"Selepas itu?"
"Ibu kamu."
"Selepas itu?" buat kali ke empat.
"Bapa kamu."

Hadith Sahih Bukhari.

Inilah sebabnya saya mendesak. Emak sedang sakit dan saya anak lelaki tunggalnya. Harapan dan doa agar mereka yang didesak itu memahami tanggungjawab saya.


Spideman...

Gelagat anak...
Mengubat keresahan diri...

Kata Luhur...

Hari itu "Boss Besar" kata tidak ada apa-apa.

Hari Ini "Boss bawah Boss Besar" kata ADA apa-apa.

Siapa sebenar "Boss"? Akhir ini memang mereka suka sangat dengan lembu hingga mahu lembukan kita bukan?

Filem...

Akhir ini saya kerap menonton filem. Ini sesuatu yang saya lakukan bila mampu dan ada masa lapang. Filem-filem yang saya tonton pelbagai. Ada Inggeris. Ada Cina. Ada Melayu. Ada Hindustan. Ada Tamil. Semuanya memberi input-input yang baik (kita ambil yang jernih saja ya). Dan dalam kepelbagaian genre dan mesej-mesej yang cuba disampaikan, saya tertanya mengapa filem-filem kita yang mendapat tempat dalam jiwa lebih banyak berkisar kepada kisah cinta? Gangsterism (+ Cinta)? Seram (+Cinta)? Dan komedi (+Cinta)? Filem seperti Bunohan bagaimana? Ini sajakah yang kita ada?

Tetapi, kita menonton untuk santai bukan? Tenangkan jiwa. Berehat. Berhibur. Jadi saya fahamlah. Dunia kita di sebelah ini terlalu "stress" dan filem-filem sebegini seakan "unstress"(?).

Bunker Mentality...

Saya sedia untuk keluar apabila seperti biasa, jika Rahmat ada, kami pastinya berbual tentang sesuatu dahulu. Hari ini saya tertarik dengan satu definisi darinya: Bunker Mentality. Ia banyak mengatakan tentang mentaliti semasa - tidak kiralah manusia atau haiwan ;)

Terimbas kembali masa lalu. Saya benar mempercayai dunia dalam empat dinding yang menjadi benteng kepada saya. Saya rasa selamat. Luka-luka berdikit terubat dalam fikiran-fikiran yang defensif.

Mengenang kembali, saya sepatutnya sembuh jauh lebih awal jika tiada dinding-dinding tersebut. Saya terimbas masa saya kehilangan sesuatu yang "berharga" pada satu bab hidup saya. Saya sangat terluka. Saya menangis menjilat luka, tetapi itu hanya untuk sehari dua saja. Mengapa? Saya berfikir...waktu itu saya muda. Ada sifat "berontak". Ada sifat berani. Tidak mengenal takut. Jadi hidup saya dimulakan semula.

Masihkah saya ada sifat-sifat sebegitu  untuk melawan dan mengalahkan sifat "Bunker Mentality"? Jika seorang tua berumur 77 tahun masih berani, mengapa tidak saya bukan?





Perhatian...

Entah kenapa saya tertarik dan memikirkan tentang status seorang kawan di FB ini:

Kenapa sedih bila manusia tidak memberikanmu perhatian? Sedangkan Allah sentiasa memberimu perhatian? Astaghfirullah. #islamspeaks

Ini fikiran spontan saya...

Bila hidup seperti saya yang lebih setahun menyendiri ini, saya tahu, perjalanan hidup ini belum lengkap dan sememangnya Allah Yang Maha Pengasih itu ada bersama. Saya lebih banyak bercakap dan mengadu kepadaNya. Interaksi saya lebih kepadaNya. Namun, sebagai seorang yang namanya manusia, kita tidak boleh hidup berseorangan. Kita perlukan manusia-manusia lain. Kita perlu tahu kewujudan kita. Kita perlu ada sesuatu yang fizikal sebab dalam dunia ini semuanya berlawanan. Contoh; hidup dan mati.

Sebagai manusia, perhatian itu penting. Bayangkan jika kita bercakap tetapi tiada respon? Dengan siapa kita hendak berkawan? Bercinta? Berkongsi kehidupan dan tanggungjawab? Bayangkan jika kita keseorangan...

Bagi diri saya ini, selagi belum masanya, saya perlukan perhatian...dari emak, bapak, anak, adik-beradik, saudara dan sahabat-sahabat. Ini perhatian bertempat. Ini perhatian "survival". Yang saya tidak perlukan adalah perhatian yang materialistik - seperti jadi popular dengan sengaja atau tidak.

Saya akan sedih jika emak yang sedang sakit tidak mendapat perhatian saya. Saya akan sedih juga jika Ali tidak mendapat perhatian saya. Dan anehnya, saya rasa mereka juga begitu terhadap saya. Dan dalam semua ini, saya juga tahu Allah sentiasa di situ, alhamdullillah...sesatkah saya?

Masa Kualiti...

Hari ini hampir seharian Ali bersama saya. Banyak tempat juga yang kami teroka...
Akhirnya dia santai keletihan. Saya tahu kami perlu lebih banyak habiskan masa bersama :)

PC Fair...

Jika melawat PC Fair - kini sedang berlangsung di Pusat Konvensyen KLCC - satu perkara yang tidak berubah dari dahulu: Sebaik keluar, anda akan sedar katalog dan senarai harga yang ada di tangan mampu dijual - timbang kati.

Lalu saya tertanya, ini satu pesta teknologi, tetapi mengapa pula bahan-bahan publisitinya masih dicetak atas kertas? Saya kira jika mahu membeli, pengguna masih mahukan sesuatu yang boleh dilihatnya berulang dan boleh dirasainya dan buat perbandingan - agaknyalah. Terbayang, alangkah lebih mudah jika ada "kiosk" untuk muat turun semua katalog, senarai harga dan tawaran istimewa ke dalam telefon pintar, tablets mahupun komputer riba.

Saya juga tertanya, setiap tahun entah berapa kali PC Fair ini berlangsung. Lokasinya boleh tahan - lihat laman web mereka. Teknologi sesuatu yang tidak tahan lama, sesuatu jenama ada modelnya dan modelnya kerap bertukar. Ini berlainan dengan buku dan sebab itu pesta buku tidak sebanyak pesta teknologi? Entahlah...

Sebaik duduk santai di kafe, saya perasan mengapa Apple tidak sertai PC Fair di sini. Apakah mereka sangat...?

Udang Merah...

Semalam saya makan durian di Wangsa Maju. Bukan apa, saya ini memang "hantu durian". Agak terkejut apabila lalu dan nampak ada pakcik menjualnya. Saya juga jenis yang tidak makan banyak. Sebiji dua mencukupi, tetapi jika musimnya memang saya ulang hampir tiap malam.

Durian "Udang Merah" memang sedap. Sekilo RM15. Saya pesan sebiji sahaja. Dalamnya ada empat ulas. Harganya RM18. Saya kira durian kini salah satu buah yang termahal harganya. Tertanya pula, agaknya zaman anak saya kelak berapa harganya?

Siapa?

Ok, siapa boleh beritahu dan ajar saya bagaimana hendak guna ChurpChurp di blog saya dan mungkin akan menjadikan saya jutawan?

Pak-pak Arab...

Ok, saya minta maaf. Dulu saya kata wanita-wanita paling bising - dalam bas. Hari ini saya sedar, di kafe pula yang paling bising adalah pak-pak Arab. MasyaAllah suara mereka begitu kuat seakan bertekak...tetapi tidak. Mereka santai dengan secangkir expresso dan ini saya kira menjana suara dan aksi mereka.

Letak mereka ini dalam bas terutama yang duduk di meja bersebelahan saya ini)...insyaAllah saya akan naik teksi :)

Sivik...

Saya bermalam di rumah emak di Subang Jaya semalam setelah menonton The Wrath Of The Titans di The Summit - tiada apa sangat tentang filem ini.

Selalunya saya naik bas untuk ke Kelana Jaya. Dari sana saya naik elarti ke KLCC untuk menaiki bas ke Ampang. Namun tergerak hendak menaiki komuter setelah lebih 5 tahun agaknya.

Ada  gerabak wanita pada komuter kini. Namun, saya perasan juga ada lelaki yang selamba saja duduk atau berdiri di dalamnya. Saya beranggapan...

1. Mereka ini tidak tahu membaca.
2. Tidak sedar/perasan.
3. Tidak ambil peduli/tidak hormat.
4. Rasa mereka itu wanita.

Setibanya di Sentral, saya terus ke stesyen elarti. Dalam elarti saya sedar...tempat duduk "istimewa" sememangnya milik mereka yang fikir mereka "istimewa". Ramai yang buat-buat tidak sedar atau tidur. Ada juga penuh sedar, tetapi mungkin tiada rasa. Kakak yang mengandung depannya itu, dia buat tidak tahu saja.

Dan sepanjang perjalanan, saya perasan juga ramai yang suka sangat gunakan lif di stesyen-stesyen elarti. Saya nampak jelas papan tanda "Orang Kurang Upaya". Apa yang saya nampak mereka semua berupaya, tetapi tetap menggunakannya.

Pelik orang-orang Lembah Kelang ini.

Namun, dalam semua ini saya teringat suasana menaiki ERL di Sentral untuk ke Putrajaya. Penggunanya beratur!

Rupanya kesedaran sivik ini bertempat dan bermasa ya :)

Dialog Duda-duda...

Duduk santai dengan seorang sahabat di kafe pada hari yang bersejarah ini...

1. Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah telah melengkapkan satu kitaran sebaik ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 - Daulat Tuanku!

2. Istana Negara kini juga istana yang baru - Daulat Tuanku!

Kami berbual tentang Raja kami ini. Kami juga berbual tentang sejarahnya. Ini tidak pula saya pasti, tetapi salasilanya saya dengar hingga ke kerajaan Langkasuka dan mungkin lebih? Jika benar haruslah rasanya diselidiki dan diberitahu rakyat. Kita patut menjadi rakyat yang bangga dengan sejarah negaranya.

Sahabat saya ini seorang duda. Saya juga begitu. Jadi ini dialog orang-orang duda...

Dia: Kau tahu, dia tak habis-habis beri masalah...
Saya: Ex kau?
Dia: Tak. Teman wanita akulah.
Saya: Masalah bagaimana?
Dia: Dia sangat cemburu. Aku buat itu ini semua tak kena. Telefon aku pun dia check. Aku sms, telefon, terima sms dan terima panggilan ex aku pun dia bising.
Saya: Susah tu bro...
Dia: Memang susah. Teman aku tu perlu tahu, aku dengan ex aku tu tiada apa kecuali anak kami saja. Jadi kami berhubungan pun soal anak. Aku perkara lain no hal bro, tapi jika orang bising soal anak aku...aku panas! Jangan halang aku dengan anak aku!
Saya: Relaxlah bro...

Ini saya kira masalah utama duda-duda (masalah janda-janda bab lain). Mencari pasangan baru ada perangkapnya. Yang paling utama kesesuaian. Perhubungan yang terbina lama (dengan bekas isteri) adalah sesuatu yang istimewa. Ia mengajar. Apatah lagi bila ada anak. Ini tanggungjawab. Saya percaya, sejahat mana (atau lekeh) seorang yang bergelar suami (atau bekas suami), nombor satu dalam hidupnya adalah anak - sekurangnya pada saya yang "lekeh" ini. Anda boleh ada "bekas isteri", tetapi mustahil ada "bekas anak" sendiri.

Jadi, sebagai pasangan, menyusahkan atau menghalang perhubungan seorang ayah dan anaknya "IS A NO-NO" - jika hendak kekal. Yang lain-lainnya bisa saja diubah-ubah. Kita ini (duda) bukan buluh yang tidak boleh dilentur. Kita ini fleksibel. Kita ini manusia bukan?

Nyalarasa...

Sebagai seorang penerbit buku, saya ditanya mengapa saya tawar dan setuju karya Pak Samad diterbitkan oleh PTS dan ITBM? Ada yang bertanya berapa saya dapat (dari segi kewangan)? Dan, sebenarnya ada, tapi tidak banyak.

Saya seorang penerbit yang kebetulan menerbitkan buku karya bapanya sendiri (dan emak juga). Saya rasa puas melihat karya-karya mereka diterbitkan. Selama tiga tahun saya memikirkan bagaimana mahu terbitkan karya-karya mereka. Masa itu memang tidak ada dana. Kebetulan saya kenal orang-orang penting di PTS. Alhamdullillah, karya-karya Bapak rancak di pasaran. Namun, setelah setahun berlalu, saya rasa agak pelik dan kecewa setiap kali karya-karya Bapak diterbitkan oleh PTS. Jangan salah sangka, seperti yang saya katakan, saya bersyukur dan puas melihat karya-karya Bapak diterbitkan, tetapi saya sebagai seorang penerbit  merasa seperti ada sesuatu yang tidak lengkap. Penerbit harus terbit buku - itulah bahagian yang hilang; nyalarasa saya.
Kerjasama dengan ITBM sesuatu yang menghidupkan saya semula. Hidup kerana saya mula menjalankan tugas sebagai seorang penerbit. Bukan keseluruhan, tetapi memadai buat masa ini untuk mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa. Ini, saya sangat berterima kasih kepada ITBM. Bila Rindu Ibu berada di pasaran Sabtu lalu, saya tersenyum puas. Ini bukan soal wang sebenarnya. Ini soal nyalarasa (passion). Saya mahu karya-karya Bapak dibukukan, alhamdullillah PTS sambut dan selepas itu saya mahu libat semula dalam penerbitan, alhamdullillah ITBM memahami.

Saya tahu juga masih banyak rintangan di hadapan - yang dirasai, diramalkan dan yang langsung tidak diketahui. Saya hanya mahu berterima kasih kepada PTS dan ITBM. Syukur dan terima kasih juga kepada Allah. Ini semua dengan izinNya jua.

KFC...

Beberapa bulan lalu ada kes pekerja KFC pukul pelanggan di Shah Alam - satu pengajaran.

Beberapa hari yang lalu, selepas solat maghrib di Ampang Point, saya terasa hendak makan ayam KFC. Waktu itu sekitar jam 7.40 malam.

Saya: Snack plate satu. Original...
KFC: Maaf bang, ayam dah habis.
Saya: Dah habis?
KFC: Ya dah habis bang.
Saya: Habis awak nak jual apa?
KFC: Jual burger, fries dan air bang...
Saya: Hmmm tak apalah. Terima kasih.
KFC: Sori ya bang.

Lihat, tiada masalah jika kita bersopan santun.

Tetapi, hati saya tertanya, pukul 7.45 malam ayam sudah habis di KFC Ampang Point? Ada sesuatu yang tidak kena bukan dengan KFC kini?