header-photo

SML: Draf awal...

Sungai Mengalir Lesu:
Draf awal kulit...
Masih melayang-layang memetik ilham yang ada.

Sungai Mengalir Lesu...

Proses penerbitan novel Sungai Mengalir Lesu sudah lama bermula. Jangkaan awal akan terbit sekitar Julai atau Ogos 2013.

Seperti biasa, ia tertangguh. Kali terakhir saya bertemu bapak, dia sarankan agar novel ini diterbitkan tahun hadapan. Sebagai penerbit, saya bantah. Dia senyum. Saya senyum - saya tahu dia cuba melengahkan. Saya katakan kepadanya, untuk tahun 2014 ada tiga karya yang akan diterbitkan...Hujan Pagi, Langit Petang dan Daerah Zeni. "Banyaknya," kata Pak Samad tersenyum. "Perlu," jawab saya tersenyum juga.
Kami memang selalu begini...
In sya Allah novel ini akan berada di pasaran sebelum tahun ini berakhir.

Ketetapan...

Semalam (Sabtu), selepas maghrib, saya duduk berbual dengan seorang ustaz. Saya bercerita tentang kesyukuran saya sering terkejut sepertiga malam yang akhir dan dapat tunaikan solat-solat sunat. Dia kata Allah sayang kita dan sebab itu saya dikejutkan dan in sya Allah usaha saya itu diterimaNya. Dia juga bercerita kejutan itu dari Allah. Apa yang saya lakukan selepas itu penting dalam menentukan baik buruknya. Ada yang terjaga, lihat jam, tarik selimut semula. Itu manusia yang rugi. Ada yang bersyukur terjaga dan beramal ibadah. Dia untung. Dia juga usulkan agar saya kunci sahaja jam agar usaha sepertiga malam itu diteruskan dan disebatikan dalam diri - menjadi rutin.

Jadinya hari ini (Ahad), saya sedikit terseliuh tentang soal "ketetapan" itu.

Ada Aku Kisah...

Jika kita perasan, cuaca waktu ini sudah macam masuk musim tengkujuh - sekurangnya itu yang saya rasai di Lembah Kelang. Tidak tahulah bagaimana cuaca di negeri lain.

Cuaca sebegini tentunya mempengaruhi "mood" apa saja yang hidup. Kucing-kucing jantan terutamannya waktu sebegini akan lebih garang dan akan menyerang - untuk mempertahankan wilayahnya - kucing-kucing jantan yang lain - sebab itu jika anda ada kucing jantan, akhir ini tentu saja ada luka-luka sana sini.

Kucing betina juga tidak terkecuali sebenarnya. Mereka juga diserang. Cuma serangannya berlainan sedikit. Ada yang rela. Ada yang tidak. Tetapi, hasilnya sama. Tidak lama lagi akan bertambah populasinya.

Dan bercakap soal serangan, manusia juga tidak terlepas. Akhir ini banyak serangan yang dilakukan manusia sesama mereka. "Tool" manusia ini lemah dari segala bentuk fizikal kecuali akal - lantas terikat dengan undang-undang dunia dan akhirat. Kerana itu kita perlu perkakasan baik berupa senjata, kenderaan, gajet dan apa sahaja yang ada - lihat saja diri anda. Kucing tidak perlu semua itu. Ia bergerak dengan naluri semulajadi. Dia tidak perlu baju, kasut atau jam apa lagi telefon pintar. Maklum itu beza binatang dengan manusia.

Jadinya sebesar mana kita fikir diri kita ini, akhir  selain hujan, akan turun juga kita masuk kubur. Tubuh fizikal dimakan ulat dan cacing. Tubuh halus ada kemungkinan dibelasah berulang abang malaikat yang taat setia kepada Allah yang Maha Esa. Itu belum kira waktunya kita dibangkitkan.

Dan sebagai manusia yang lemah - memang kita lemah - kita ini sebenarnya mencari apa? Ramai keliru dan mungkin sahaja terhijab. Yang benar bukannya susah sebenarnya. Mencuri salah. Membunuh salah. Memfitnah salah. Berzina salah dan sebagainya - semuanya telah termaktub dalam al-Quran. Dan sebab terkeliru dan mungkin terhijab, manusia mendera akalnya untuk membolehkan hal-hal sebegini menjadi perlu atau betul atau halal. Ada yang belit ayat-ayat suci hingga mencuri itu perlu - atau ada definasi yang sesuai bagi citarasanya - atas sebab "survival". Sama juga membunuh atas sebab-sebab agama. Memfitnah bukan fitnah tetapi pertanyaan atau selorohan dan sebagainyalah. Maklum sahaja bila akal kurniaan Maha Pencipta itu disalah guna. Kita terlalu terbuai duniawi dan sebab itu mungkin manusia seperti saya ini amat susah atau terhijab dari pemikiran tentang persediaan ke alam lain.

Akhirnya apa yang benar? Jika ini ditanya, ia bermakna anda sebenarnya dalam satu masalah yang besar.

Terimbas kembali kepada sang kucing, baik yang jantan atau betina, saya selalu berkata, "Korang ni boleh tak jangan pancut atau buang merata?" sambil merenung kepada mereka. "Goldfish", kucing alpha di sini buat tidak tahu dan saya pasti saya terdengar, "Ada aku kisah?" darinya.

"Ada aku kisah?" sebenarnya beza kita dengan binatang.

Cempedak Goreng...

Setahun lebih yang lalu, di gerai hadapan kafe ini jual cempedak goreng 3 biji satu ringgit. Tahun ini dua biji satu ringgit. Saya jangkakan tidak lama lagi mungkin 3 biji dua ringgit - agaknya. Saya lebih lihat dari sudut nilai matawang semakin kecil. Bukan harga cempedak goreng semakin mahal.

Lalu seperti biasa fikiran saya mula melayang...alangkah bagusnya jika saya ada tanah. Boleh tanam cempedak, durian, rambutan, manggis, nangka. Boleh tanam sayur-sayuran. Boleh buat kolam ikan. Boleh pelihara ayam, biri-biri dan lembu. Boleh juga ada kucing yang ramai. Erti kata lain, mandiri. Lebihan boleh jual buat beli beras dan kopi. Petang boleh santai bawah pohon cempedak, menulis, nikmati kopi, rokok dengan suasana menyamankan. Bila tiba waktu boleh ke surau dan jika diizinkanNya jadi ajk surau. Pagi-pagi boleh cari cendawan atau mamancing ikan. Petang layan saudara atau sahabat yang datang...

Saya terjatuh dari lamunan. "Ini hidup orang bersara...ada duit atau harta atau beringat semasa muda." Saya terlalu duniawi dahulu. Jadinya kini saya masih perlu bekerja mencari nafkhah dan bersedia untuk membayar harga tiga biji cempedak goreng dua ringgit yang saya ramalkan itu.






Syurga...

Saya sedang bercukur bila lahir rasa seperti, "Apa sebenarnya aku ini?" di hadapan cermin dan rasa ini berkembang kepada persoalan-persoalan lain - lebih kepada penilaian diri sendiri.

Saya tahu hidup ini terlalu singkat dan untuk menyelami isi hati orang lain (apalagi menyibuk) adalah satu usaha yang sebenarnya membuang masa dan merugikan. Jadinya saya kurangkan masa di laman maya.

Saya rasa kita terlalu khayal dengan duniawi, tentang kebendaan, tentang pegangan hidup orang lain dan ini merebak hingga kita menyatakan sesuatu - yang kita rasa tetapi tidak tahu hujung pangkal apalagi benar atau tidak.

Saya mahu baiki diri. Saya mahu fikir tentang diri saya - segala yang saya fikir dan lakukan. Saya mahu  syurga.

Dan jika itu menyalahi, saya pasti ada sesuatu yang sangat salah dalam kehidupan ini.