header-photo

Cempedak Goreng...

Setahun lebih yang lalu, di gerai hadapan kafe ini jual cempedak goreng 3 biji satu ringgit. Tahun ini dua biji satu ringgit. Saya jangkakan tidak lama lagi mungkin 3 biji dua ringgit - agaknya. Saya lebih lihat dari sudut nilai matawang semakin kecil. Bukan harga cempedak goreng semakin mahal.

Lalu seperti biasa fikiran saya mula melayang...alangkah bagusnya jika saya ada tanah. Boleh tanam cempedak, durian, rambutan, manggis, nangka. Boleh tanam sayur-sayuran. Boleh buat kolam ikan. Boleh pelihara ayam, biri-biri dan lembu. Boleh juga ada kucing yang ramai. Erti kata lain, mandiri. Lebihan boleh jual buat beli beras dan kopi. Petang boleh santai bawah pohon cempedak, menulis, nikmati kopi, rokok dengan suasana menyamankan. Bila tiba waktu boleh ke surau dan jika diizinkanNya jadi ajk surau. Pagi-pagi boleh cari cendawan atau mamancing ikan. Petang layan saudara atau sahabat yang datang...

Saya terjatuh dari lamunan. "Ini hidup orang bersara...ada duit atau harta atau beringat semasa muda." Saya terlalu duniawi dahulu. Jadinya kini saya masih perlu bekerja mencari nafkhah dan bersedia untuk membayar harga tiga biji cempedak goreng dua ringgit yang saya ramalkan itu.






0 reaksi: