header-photo

Untungnya menerbitkan karya-karyanya...

Setiap kali memulakan urusan penerbitan sesebuah buku, saya rasa teruja. Selain dapat membaca karya yang akan diterbitkan itu, saya sempat juga mempersembahkan pemahaman saya dan menerima maklum balas daripada pengarangnya.

Memahami apa yang cuba disampaikan Pak Samad dalam karyanya bukanlah mudah. Terlibatnya saya dalam urusan penerbitan karya-karyanya satu anugerah – saya lebih memahami dirinya kini.

Saya cuba bayangkan silam...40an...50an...60an...namun, mengetahui tidak sama dengan mengalaminya. Kita dilahirkan dalam satu zaman yang berbeza. Mana mungkin kita tahu erti sebenar “kesusahan kehidupan” zaman dijajah. Pernah kita lari dikejar peluru-peluru dan dihujani bom? Pernah kita mencari makanan dalam longkang dan sungai? Setiap kali saya bertanya tentang perang, dia tergeleng. Dia diam seperti ada sesuatu yang menyentap jiwanya dan selalunya dia menukar topik perbualan.

Tapi, di suatu hari entah mengapa dia bercerita...

Tergeleng lagi... “Elakkan perang. Ia bukan sesuatu yang kau perlukan...”

Saya terlontar memikirkan jejak hidupnya. Dia bukan seorang yang “mudah” buat saya dan tentunya tidak mudah bagi mereka yang tidak benar-benar mengenalinya hingga ada yang melabelkannya angkuh, sombong, bongkak dan kagum dengan dirinya sendiri. Namun, saya tahu keikhlasan dirinya itu.

“Helmy tahu, perbuatan yang lahir dari keikhlasan selalunya disalah erti.”
Saya tidak ternganga, tetapi terkerut dahi.
Dia tersenyum, “Bapak pernah dan selalu kata orang yang menolak ilmu itu bodoh. Ingat apa yang bapak dapat?”
Saya terangguk. “Mengapa bapak tidak jelaskan?”
Senyum lagi, “Kalau keihklasan semudah itu yang bapak luahkan tidak difahami dan diterima, malah dicerca dan dilabel, fikirkanlah sendiri.”
“Habis, bapak diam saja.”
“Ya, mengapa tidak?”
“Tapi...”
“Helmy, jangan masuk gelanggang mereka yang tidak ikhlas. Jangan masuk gelanggang mereka yang akalnya pendek. Kelak kita jadi bodoh dan tidak ikhlas. Kita akan dikuasai nafsu. Jika itu berlaku, Helmy fikir kita mampu ikhlas?”

Dulu saya pernah begitu...saya, anaknya, melabelkannya dengan pelbagai label (buruk) hanya kerana saya tidak mengenali dirinya yang sebenar. Perasaan sebegini menetap dalam jiwa selama hampir 20 tahun sehingga saya melalui satu masa yang saya kira “susah”. Dia hadir semula, menghulur tangannya dan kini berdikit gambaran kabur tentang dirinya itu menjadi nyata.

Seperkara menjurus ke seperkara yang lain...itulah untungnya saya menerbitkan karya-karyanya...saya dapat membaca, meneliti, menyoal dan mula memahami seorang insan bernama “Bapak” ini.

10 reaksi:

Anonymous said...

Sdr Helmy,

Terima kasih kerana menulis posting sebegini. Saya rasa bertuah dapat membaca pemikiran Pak Samad melalui tulisaan sdr.

Kata-kata Pak Samad tentang keikhlasan itu, bagai menyentap di jiwa.

Tulislah lagi sebegini! Saya suka sangat.

Anonymous said...

helmy,

saya pernah melihat pak samad memberi buku-buku secara percuma kepada anak-anak sekolah yang membelek buku-bukunya tetapi tidak cukup wang di ipoh beberapa tahun lalu.

benar apa yang helmy katakan. kita menilai manusia tanpa mengenalinya. itu satu penganiayaan. itu tidak iklas.

sampaikan salam saya pada pak samad.

hashimah - upsi

sinaganaga said...

"Naga, kalau kau jadi 'imam' - sembahyang tidak akan sah!" Kata Pak Samad.

Aku ketawakan saja. Dan aku tahu dia berkata ikhlas; suruh aku belajar 'sembahyang' betul-betul!

Anonymous said...

Keikhlasan yang tajam menusuk jiwa memang tak terdaya diterima.

Lemahnya aku!

-Andura-

Anonymous said...

Itulah hikmahnya zaman susah awak itu. Kalau tidak kerana 'kehilangan' itu, mungkin sampai bila-bila awak akan buruk sangka dengan ayah awak.

Anonymous said...

Tahniah! apabila dapat memahami nurani 'bapak' kita akan semakin 'kaya'.


Sampaikan salam..

Ony Latifah Osman
Ikatan penulis Sabah (IPS)

jiwa merana said...

salam ;-) .. ..

ermp, mungkin kini malah lebih disedari betapa bertuahnya badan bisa memiliki seorang bapak seperti ayah samad kerana tentu ramai sekali yg ingin menjadi anaknya .. .. sampaikan salam Jiwa pada ayah .. .. ;-) .. ..

Anonymous said...

kirim salam kat pak samad. tanya samada dia ingat abdul yang duduk bersamanya minum teh tarek di gerai mamak kat ipoh masa ltp tahun lalu.

Anonymous said...

salam bang Helmy,

Tolong sampaikan salam dari Kuching untuk Pak Samad.

Semoga suatu hari terluang nanti, bang Helmy dan Pak Samad bisa berkunjung-sastera ke Kuching menemui barisan peminatnya dari Bumi Kenyalang.

Armiza Nila
Petra Jaya, Kuching, Sarawak

http://armizanila07.blogspot.com/

Anonymous said...

W'salam.

InsyaAllah.