header-photo

Air...

Sudah lebih sebulan rasanya (mungkin lebih) saya melalui rutin menyimpan air dalam catuan yang dikenakan. Catuan air dua hari ada dan dua hari tidak ada ini (Selangor, negeri lain bercatu juga tetapi saya tidak tahu bagaimana jadualnya) tidak sangat menimbulkan masalah pada saya malah membuat saya berdisiplin dalam penggunaannya. Kini saya ada senarai pendek bila cuci pakaian atau apa yang perlu dicuci seperti kasut dan bekas-bekas, mandikan kucing dan bila mula menyimpan air - ini saya lakukan pada malam esoknya akan dicatu. Hari pertama ada air tidak saya gunakan sangat kecuali untuk tempat buang air besar. Ini kerana air di hari pertama seakan berkeladak dan nampak berminyak. Jadinya soal catuan air ini tidaklah sangat membebankan saya jika jadual itu tidak terganggu. Lagi pun saya seorang sahaja di sini.

Dan bercakap soal air ini, agak ramai merasa pelik kerana hujan yang setia turun hampir setiap hari tidak mengubah keadaan. Agak ramai merungut. Agak ramai menyoal dan agak ramai marah. Ini jelas dalam dinding-dinding FB, kicauan dan media-media. Saya bukanlah hendak pertahankan atau memperlekehkan pihak yang mengurus air - kerajaan pusat, kerajaan negeri dan syarikat pengurusan air, tetapi sebagai pentadbir, mereka perlu bertanggungjawab. Kemarau yang menyebabkan catuan, sungai yang tercemar, rumah-rumah pam yang uzur serta paip-paip saluran yang sudah melepasi tempoh hayatnya dan hujan yang tidak jatuh di tempat tadahannya menyumbang atas apa yang kita lalui ini. Sebagai pengguna jalan mudah adalah seperti apa yang berlaku kini. Saya belum berjumpa lagi insan yang bersyukur kerana atas kejadian ini ada positifnya. Apa yang kita tahu, kita bayar - untuk air dan cukai - dan kita patut dapat apa yang dibayar. Ini senario bekal dan permintaan. Kita juga sebenarnya bersalah kerana bila bekalan air itu ada, kita bazir dan tidak kisah - terutamanya rakyat Selangor yang ada nilai air RM20 percuma. Ertikata lain, "we take things for granted" (maaf berbahasa Inggeris kerana tulisan ini spontan).

Saya berdoa agar saya mulai waktu sebegini mula menghargai air dan tidak membazir. Saya juga harap kerajaan baik pusat dan negeri menjalankan tugas dengan lebih baik dari ini. Saya juga harap yang uzur dan yang sudah luput hayatnya itu diganti - bukan dengan wang rakyat kerana syarikat ini untung membekal air, tetapi mahu kerajaan tanggung kos ganti dan baiki?

Melihat suasana kini di luar kafe yang baru teduh, saya sangat merindui bermain hujan...mungkin akan saya lakukan jika hujan malam ini di Ampang.

0 reaksi: