Hari ini hujan turun lebih awal. Rasanya tilam berkali memanggil setiap kali saya melihatnya. Air di paip tidak ada - semalam dan hari ini. Esok baru ada kembali jika ikut jadual. Hujan semakin lebat. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 11 pagi. Ada sesuatu tentang hujan. Ia membuat saya lapar. Saya masih duduk merenung luar jendela. Tertangkap memori semalam. Nenek saya meninggal. Dia berumur 99 tahun. Semoga Allah mengampuni dosanya dan dia tergolong dalam umat yang beruntung di sisi Allah yang Maha Pengasih. Hujan masih setia. tiada kilat atau guruh. Ia jatuh terus ke bumi dan saya tersedar dari semalam saya belum makan. Patutlah lapar. Berdikit peristiwa lalu datang, tapi saya rasa tidak penting. Jadinya yang datang itu tidak saya tahan. Biar ia lalu kerana lapar itu dominan.
Saya: Bro sudah makan?
Rahmat: Belum...
Saya: Jomlah...
Dia kelihatan sedikit gelisah.
Saya: Aku ada sedikit duit ni. Jomlah.
Dia gegas bersiap.
Situasi ini melontar saya ke peristiwa semalam selepas pengkebumian nenek. Saya tertinggal beg di tanah perkuburan. Lantas saya berpatah balik. Semuanya masih ada. Cuma duitnya tidak ada. Tidak apalah bisik hati cuba menyedapkan diri. Pahit sebenarnya, tetapi saya cuba lihat positifnya.
Rahmat: Ok bang jom.
Saya: Jom...
Di kedai makan bawah ini (hujung jalan rumah) kami tidak banyak bercakap. Sesekali saya ber"WhatsApp" dengan kumpulan Jejaka Manis - saya, Arafat dan Shahrul. Masing-masing pos gambar makanan tengahari mereka. Shahrul dengan nasi berlaukkan sotong - RM14.50. Arafat dengan Nasi Ganjanya - sotong, gulai kambing dan teh "O" ais RM5 dan saya dengan nasi, sayur dan ikan kembung bakar bersama Nescafe Tarik - RM4.50. Shah Alam tidak murah berbanding Ampang - bahagian "Ghetto", tempat tinggal saya. Saya rasa bersyukur dapat makan dalam suasana yang tidak senang sebenarnya.
Begitulah kehidupan. Lagi pula dengan kehidupan seperti saya. Boleh tahan tanggungjawab, tetapi begitulah susunan hidup buat saya. Saya terima dan hadapi.
Hujan masih lebat semasa saya dalam bilik mahu bersiap keluar mencari talian internet percuma di kafe - Alhamdullilah masih ada minuman percuma. Allah ya Rabb tidak jemu memberi rahmat dalam apa jua situasi insanNya walau mereka yang dipertanggungjawabkan masih bermain sebab mengapa paip ini kering. Biarlah. Itu soal mereka yang kelak disoal.
Kini saya di kafe - 3.40 petang. Hujan sudah berhenti. Sedikit nikotina dan kafeina. Saya merenung jauh sebalik dinding gelas ini dan bertanya, "Apakah yang tersedia buat saya?".
*Pelepasan adalah catatan lima minggu sebelum hidup saya berhijrah ke alam lain.
0 reaksi:
Post a Comment