header-photo

Aku gembira jika...

Entah berapa kali memikirkan tentangnya...dan bila sekali lagi terfikirkannya tadi, aku sedar, dalam umur sebegini, mungkin telah beratus kali...mungkin saja beribu.

"Apa yang membuatku gembira?"

Persoalan sebegini melahirkan pelbagai jawapan bergantung kepada keadaan masa dan rasahati. Jika suasana agak tidak menyenangkan disebabkan oleh tekanan dalam permasalahan hidup, tentu saja jawapannya berkisar dalam penyelesaian permasalahan kehidupan itu sendiri. Andai suasana santai dan menyenangkan, tentu saja apa saja yang dilakukan waktu itu menyenangkan.

Hariku bermula agak lewat hari ini. Mungkin kerana tuntutan kerja atau mungkin saja aku tidur lewat kerana membaca, sebaik terjaga, seperti biasa akan aku capai telefon sel dan mendapati sudah hampir jam 11. Menyelak minda mencari jadual hari ini...ah, hari ini aku perlu pergi ke Jalan TAR bersama Daliey mencari dan membeli kain-kain untuk baju Hari Raya Emak, Mummy dan Papa...

Pengakuan: Pada mulanya aku rasa tertekan apabila semasa mandi dan bersiap berkali memikirkan tentang kesesakan manusia di Jalan TAR, namun sebaik aku tiba dan apabila semuanya selesai dalam masa satu jam, memeriksa realiti, aku sedar, aku sebenarnya terasa senang saja. Mengapa? Bukankah tadi sebelum kami mencari kain, kami membatalkan pesanan makanan di sebuah kedai makan di Jalan TAR kerana terpaksa menunggu lama? Ah, mungkin kerana aku mampu menghalang diriku dari membeli sesuatu untuk diriku sendiri agaknya...

Selepas itu kami ke Ampang Park untuk makan di Cozy House dan seperti biasa selepas makan Daliey dan Dila mahu...ah apalagi?

Namun, aku tidak rasa tertekan...mengapa? Mungkin sekali lagi aku mampu menahan dari membeli sesuatu...agaknya...

Tapi, apabila mak menerima kain yang kami hadiahkan itu...aku sedar...

Ah senang saja...

Apa yang membuatku gembira?

Aku gembira jika sekelilingku gembira - terutama insan-insan yang disayangi...30072006

Akhir-akhir ini sekelilingku ceria dan keceriaan mereka memancarkan sinarnya kepadaku...aku rasa ringan, aku rasa senang dan selangkah lagi pendakian aku dalam memahami makna-makna kehidupan ini...

Dan, aku sedar juga, makna-makna kehidupan ini bukan hanya tentang kegembiraan...

Akhirnya...

Hari ini aku tersenyum sebaik melangkah keluar dari 56. Apa yang aku rasakan selama ini benar. Tetapi, itu tidak penting. Yang penting apa yang dihajati, menjadi kenyataan...

Dalam pukul 5.30 aku berjumpa dengan Pak Samad - dia baru kembali dari KOMSAS. Duduk santai di Dome Mid-Valley sambil menikmati "Marble Cheesecake" dan kopi dan Pak Samad dengan "Earl Grey"nya, Pak Samad meneliti laporan yang sempat aku sediakan hasil dari perjumpaan itu. Dia senyum dan mengingatkan lagi, "Make sure everything's in order before you start...black and white kena ada." Aku mengangguk senyum.

"Tapi ada sesuatu yang tidak kena dengan cover ini..."
"Yes, but I can't figure it out...can you?"
Dia menggeleng, "Tak apa, nanti bapak fikirkan. Bila deadline?"
"Kalau all goes well, by late September."
"Lama lagi tu."
"Yup, but we can deliver by 1st week of September."
"Payment?"
"30 days, but expect 60, just to be sure."
"Printer?"
"Ready. No problem."
"No, I mean the payment?"
"Oh, no problem. We have the money."

Masa itu aku terbayang waktu yang sama tahun lalu. WiraBukit pastinya sudah berpusing 180 darjah! Tapi, Pak Samad seperti biasa...tengok wayang!

Ia satu hari yang baik...selain bonus menanti, beberapa buku lain pastinya akan diterbitkan lagi tahun ini.

Dan...pengakuan: Aku sebenarnya TELAH memanjakan diri dengan membeli sesuatu untuk diri sendiri...

Ah...selepas bernikah, nampaknya aku sudah mula terikut-ikut perangai si Daliey...kini aku tahu sedikit lagi apa makna perkahwinan...

Santai!

Sudah lama rasanya aku tak duduk menikmati kopi sambil melayari alam maya di kafe. Akhirnya aku seakan terlontar ke dalam situasi yang sering aku lakukan dahulu, tetapi tidak semenjak setahun (mungkin lebih) kebelakangan ini.

Aku perlu menulis...itu bisikan yang terdengar. Dan dengan kemudahan yang ada, kini aku tidak begitu perlu sangat berlari ke hulu dan hilir: Hanya duduk di kafe, buka dan balas emel, berhubung melalui YM, menulis/membalas surat rasmi yang akan dicetak bila kembali, menulis..aku sudah dapat bayangkan perubahan dalam hidup ini - walaupun dulu sememangnya aku begitu.

Kitaran roda hidup mengulangi sejarah...dan Cappucino ini sedap! Dan tentunya Hemingway akan kembali!

Pukul 1.30 pagi...

Hari yang agak sibuk. Selain dari menyusuri jalan-jalan di Kuala Lumpur - karenah ASEAN - mengelak kesesakan dan mencari jalan pintas, aku sedar suspensi sebelah belakang keretaku sudah hampir tamat tarikh luputnya. Ini ketara apabila melalui jalan yang tidak rata dan semasa mengambil selekoh. Dengan kesesakan yang memaksa kereta membakar lebih petrol serta terkadang terpaksa mengambil jalan yang bertol, aku rasakan kita sebenarnya sengaja mencipta ini semua hanya untuk memancu ekonomi agar tidak melecet. Mengapa tidak mengadakan saja ASEAN itu di Putrajaya? Bukankah di sana ada kemudahan? Untuk apa bangunan bulat mengembang itu? Untuk apa kesesakan ini? Mengapa suspensi keretaku nazak dalam waktu sebegini?

Persoalan demi persoalan, maklumlah hati panas. Dan bila terlepas dari semua itu, akhirnya aku mencari Amy. Nak berehat seketika minum Nescafe tarik di canteen sambil berbincang tentang buku-buku dan juga projek-projek Wira Bukit. Namun, aku dikejutkan apabila Uncle yang berniaga itu sudah bertukar kulit. Bukan Uncle saja, malah mamat yang selama ini membuat Nescafe tarikku juga bertukar kulit...mamak? Apa hal?????

Jadinya disebelah petang selepas aku melalui satu hari yang bolehlah dikatakan "panas", aku dan Daliey pergi ke The Curve...dengan satu niat, aku mesti memiliki sebuah komputer riba kerana komputer riba yang ada sudah "koma". Adalah sedikit terubat hati yang panas kerana akhirnya aku mampu "beroperasi" kembali secara normal. Dan Daliey pun secara normalnya melawat Ace Hardware dan British Hindia yang sedang sale tu...normal juga dia keluar dari kedua kedai ini dengan "buah tangan" terutama semasa di Ace Hardware. Aku boleh lihat matanya bersinar dan tangannya terketar mencapai itu dan ini...saat itu terimbas di kepala filem "Nujum Pa' Blalang"..."Kau tengok tu, aku amik ini...aku amik itu, kau tengok ini...," yup, aku terasa seperti dia berkata begitu kepadaku waktu itu.

Dan dalam aku "menggodak" komputer riba, dari pukul 9 hingga 1 pagi, perut aku pula seperti tergodak...oleh angin yang seperti ombak beralun. 1.30 pagi dan aku lapar! Hendak ke 223 aku malas pula. Hendak ke restoran mamak dekat rumah aku tak berapa berkenan sangat dengan kari, maggi jauh sekali...aku perlu nasi! Akhirnya...aku masak nasik satu pot dan makan dengan serunding daging yang aku beli beberapa hari yang lalu di Tesco Damansara...ahhh inzalnya!P6260001_1

Peringatan: Serunding seperti ini sebenarnya perlu dalam masa darurat. Kalau malas masak nasi, boleh makan dengan roti.

Akhirnya terubat juga apa-apa saja yang menyakiti...ah lihat sebelah kiri gambar, memperkenalkan "Lion Toy" yang aku namakan Camelia...harap Daliey tidak cemburu apabila aku meribanya sambil jari-jemariku menyampai hasrat di jiwa...


Ah, aku teringat pula suspensi yang nazak tu...

Aku Dan 56...

Kau begitu tinggi dan tampak gagah,

tetapi mengapa jiwaku semakin membara,

dan tidak tergentar langsung berhadapan denganmu?

Ah, aku gila agaknya!

Aku perlu...

"Ini akan membunuhku." Itu selalu bermain dalam kepalaku setiap kali aku menyalakannya. Namun, sehingga kini, walaupun kenyataan itu sudah sebati dengan diri, aku masih belum mampu berhenti. Aku terus membiarkan jantungku dilumuri tar dan kepalaku dicemari nikotin.

"Kematian itu datang dalam pelbagai cara. Tidak semestinya aku mati kerana ini." Itu juga jawapan yang sering menyusuli. Sebahagianku yang lain senyum memikirkan tentang jawapan yang lemah itu.

Aku mencari sesuatu yang mampu memberikan aku kekuatan untuk menolak. Dan semakin aku mencari dan memikirkannya, aku sedar dan semakin percaya: Merokok akan membunuhku...

Aku perlu berhenti! Ada sesiapa yang ada jawapannya?P6250166

Aku dan satu lagi kelemahanku...

Pak Samad dan Dunianya...

Pernah saya bertanya kepada Pak Samad samada dia membaca kesemua buku-bukunya itu. Dia tersenyum. Cas_113 Kalau di kira usianya dan dibahagi dengan jumlah koleksi bukunya, saya tidak menjumpai jawapan yang munasabah. Dari koleksi bukunya yang ada di 3 buah rumah - Ampang, Bangsar dan Subang Jaya (yang kebanyakkannya saya simpan kini) - satu persoalan lain timbul: Berapa jumlah wang yang Pak Samad belanja selama ini? Cas_114

Kini, buku-buku koleksi Pak Samad - di Ampang - sedang dalam proses dikumpulkan, dibersihkan, direkodkan dan yang sama akan dilakukan di Bangsar dan Subang Jaya oleh pihak Perpustakaan Negara yang akhirnya menunjukkan minat dan komitmen untuk memperolehi koleksi ini untuk disimpan - pelihara - dan dikaji.Cas_122

Saya agak sedih dan kesiankan Pak Samad kerana terasa akan kesedihannya melihat koleksinya akan berpindah tangan. Buku-buku ini bolehlah dikatakan sebagai apa yang membentuk dirinya kini. Namun kemampuannya membeli buku-buku yang sebegini banyak tidak mengizinkannya mampu memeliharanya - kecuali yang ada di Bangsar. Cas_133

Harapan saya - dan mungkin juga Pak Samad - adalah agar koleksi ini akan dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang dalam apa jua kajian yang dilakukan kelak.

Dalam saat-saat sebegini saya tersedar akan satu lagi kekuasaan Yang Maha Esa. Buku-buku yang sebegini jumlahnya bagaimanakah dimuatkan dalam sebentuk otak?Cas_128

Ah, aku ini tidak habis-habis mencari logik...

Nota: Al-Fatihah buat Allahyarham Hani Mohsen - 25 Julai 2006. Dia berusia 41 tahun...

Semalam sahabat saya selamat mengakhiri zaman bujangnya. Saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Madd & Ateen. Semoga kekal bahagia dan limpahi rahmat serta rezeki.

Ma12

Ateen, Datuk Ateen & Madd.

Saya dan Madd semasa menanti Ma2

rombangan dari Melaka tiba.

Selainnya, cuba klik sini untuk satu lagi blog sahabat yang kreatif: http://emilayusof.blogs.friendster.com/my_blog/2006/07/colored_pencil_.htm

Bisik...

Semalam, aku bisikkan rasa hatiku padamu sebelum aku menutup mataku dan melayang entah ke mana. Dan anehnya, kau seperti mendengar kerana hariku tersinar dipenuhi dengan isi bisikanku itu.

Kini, aku di persimpangan...Malam ini, perlukah aku berbisik lagi atau

sekali,

semalam,

mencukupi...

Lautan Yang Berombak Kembali...

Terfikir sesuatu yang menarik selepas menerima panggilan dari seorang teman semasa memandu pulang setelah seharian ke hulu dan hilir serata lembah kelang.

Akhir ini semakin ramai penulis yang menerbitkan sendiri karya mereka. Mengapa? Setahu saya, Sdr. Faisal Tehrani, Ayahanda Shahnon Ahmad, Sdri Lina Usman Awang dan yang terbaru Sdri Nisah Haron (kecuali Lina yang hampir menghasilkan penerbitan syarikatnya yang pertama - Tulang2 Berserakan - sebuah novel karya Allahyarham Ayahanda Usman Awang) menerjuni alam yang baru ini. Mengapa?

Setelah agak lama terbuai, saya sedar itu bukan persoalannya. Yang penting pada saya adalah "survival" mereka ini. Menerbitkan buku satu hal. Memasarkannya, satu hal yang lain. Selain bahan yang perlu sentiasa diadakan bagi menjana penerbitan, pemasaran yang baik diperlukan agar penerbitan bahan-bahan yang tersedia menanti untuk diterbitkan itu tidak terencat oleh kekurangan dana.

Saya berdoa akan kejayaan mereka ini - dan tentunya kejayaan Wira Bukit juga. Mereka inilah yang mengombakkan kembali lautan sastera yang selama ini tenang sahaja. Lautan yang berombak pastinya akan menerkam-nerkam pantai dan membawa perubahan bentuk rupa.

Dan dalam situasi ini, pastinya dunia buku sastera Melayu sedang mengalami suatu perubahan...

Persoalannya, adakah kita kembali menenangkan lautan setelah kita selesa?

"Hit Counter"

Berhari juga terfikir tentang "Hit Counter" apabila terbaca buletin si Nell yang bertanya tentangnya. Betullah seperti kata seorang rakan - kalau sering terfikir tentang sesuatu itu, pasti satu hari akan berdepan dengannya. Dalam situasi aku, aku sedang membaca blog Puan Ainon dan terlihat ada "Hit Counter" di situ. Aku "point and right click" untuk melihat dari mana datangnya "Hit Counter" itu. Selanjutnya, sejarah.

Beginilah yang telah aku lakukan:

http://www.tinycounter.com/

"daftar bla bla bla...selepas itu "copy" dan "paste" kod...

Pertama klik "my blog" di Friendster "Home"
klik "edit configuration"
dan "paste" kod kat "blog description/catchphrase.."

Ah, aku dengan benda-benda kecil yang merangsangkan...

Aku dan bahasaku...

Hari itu aku telah menghadiri satu majlis pelancaran buku. Ia sebuah buku Inggeris oleh seorang penulis Malaysia. Dan dalam pengucapan para-para pengucap, mereka sungguh mengagungkan bahasa Inggeris itu. Mereka juga menyatakan karya seperti itu menjadi kebanggaan negara - saya pun bangga. Kemudian, mereka menyatakan betapa mereka itu "Malaysian". Tetapi, sepanjang acara itu tidak sepatahpun aku mendengar mereka berbahasa Kebangsaan. Disusuli pula dengan kenapa kita ketinggalan...ya, keterikatan kepada bahasa Kebangsaan itu puncanya.

-ditapis-

Mereka memanggil diri mereka "Malaysians", tetapi mereka tidak berbahasa Malaysia - dan ada yang tidak tahu langsung berbahasa Malaysia.

-Ditapis-

Epilog: Saya angkat kaki pertengahan majlis dan dalam berjalan ke kereta saya teringat orang Jepun, Perancis, Sepanyol, Cina, Korea, India...dan tersenyum memikirkan mereka ini yang mati-mati fikir mereka bangsa Malaysia...ada lagi yang terjajah rupanya...Pak Samad tersenyum menggeleng memikirkan perangai anaknya ini...

Ah aku terlalu emosi dan marah kerana mereka menghina dengan mengecilkan Pak Samad sebenarnya...

Dari Tandy ke Jambatan Silatulrahim...

Mengimbas silam, saya tidak dapat lari dari mengingati saat saya menjejak kami ke dalam alam maya - internet. Sebelum itu hampir setengah hidup saya berkisar dengan alam komputer. Selepas SPM, semasa menanti keputusan, entah mengapa sebuah papan kekunci, peti telivisyen dan perakam kaset menarik perhatian. Ini sesuatu yang baru! Dan, saya - dengan sedikit pujuk rayu kepada bapa - mengambil kursus komputer - BASIC - di sebuah pusat pengajian komputer di Bangsar. Dari situ bermulalah hidup saya dalam alam komputer. Untuk pengetahuan, kenalkah anda kepada komputer-komputer berikut:

1. Tandy TRS-80
2. Sinclair ZX-80
3. Apple: II, IIc, IIe, Lisa...
4. And those compatibles yang gunakan "Microprocessor" atau "CPU" Z-80, Motorola 6502 & Intel 8088.

Kebanyakkan anda belum lahir lagi waktu itu agaknya...

Saya mula bekerja selepas itu di Yow Chuan Plaza. Itupun selepas hampir tiap-tiap hari melangut & menyibuk di sebuah kedai komputer - Numeron Computers - dan mungkin kerana itu, tuan punya kedai itu menawarkan pekerjaan dan itu seperti sebuah impian menjadi kenyataan. Selain menjual komputer, saya juga belajar memasangnya. Masa berlalu dan saya berhijrah dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain - tentu saja dengan tawaran yang lebih menarik. Akhirnya, berkeyakinan, saya menubuhkan sebuah syarikat menjual komputer dan "network". Masa itu Interl baru memperkenalkan "processor" 486nya. Sekali lagi masa berlalu dan syarikat itu mengembang hingga 1996. Tertipu, saya terpaksa menggulung tikar. Saya tidak sempat tumbang oleh kemelesetan 1997!

Selama dua tahun saya agak "takut" menyentuh komputer hingga ada sebuah kaunter berkotak dengan sebuah komputer dan dipaparkan diatasnya "Internet" yang terletak di bawah eskalator di Subang Parade menarik perhatian. Anda perlu membeli kad prabayar untuk menggunakannya - RM6 satu jam. Dan dalam satu sesi internet di sebuah kafe, saya terjumpa seorang dengan nama samaran "AntuTafe".

Jika tidak silap, pada mulanya kami bertengkar tetapi akhirnya duduk bersama menikmati teh tarek di satu gerai di SS15 Subang Jaya. Bersama, kami lalui banyak cabaran. Saya menyukainya kerana sifatnya yang tegas, degil dan selalunya orang bersifat begini pintar.

Terlalu banyak yang dilalui selama lapan tahun ini. Dia melihat bagaimana hidup saya hampir musnah dan terbina semula dan saya melihat bagaimana dia tercari arah dalam hidupnya dan akhirnya menemui apa yang dicitanya. Dan terkadang kami tersangkak oleh perbalahan, namun akhirnya terserlah nilai sebenar persahabatan itu.

Menoleh silam, saya tersenyum. Trs-80, Sinclair, 6502, 8088 membawa aku ke jalan di mana kita bertemu di satu persimpangan. Banyak yang telah kita lalui dan 22hb ini, akhirnya dia akan mengakhiri zaman bujangnya.

Saya hanya mahu dia mengetahui betapa persahabatannya itu sangat saya hargai dan sanjungi. Saya tidak mampu menggambarkan erti persahabatan selain dari apa yang saya jalin dengannya.

Ini masamu Madd, cuba jangan ulangi kesilapan sahabatmu ini...

Selamat Pengantin Baru Madd & Ateen...hidupmu baru bermula!

Antara Keinginan Dan Tanggungjawab...

Hampir setiap hari saya dihadapkan dengan persoalan yang menekan ini. Mengetahui bagaimana diri ini berfungsi, saya tahu saya cuma mampu melakukan satu perkara dalam satu masa. Dan, selama ini - hampir lima tahun - saya agak terkapai.

Lima tahun: Menerbitkan tujuh buku, tiga novel, beberapa cerpen dan puisi dan saya masih tidak berpuas hati. Ini bukanlah dari segi pencapaian selama hampir lima tahun itu, tetapi dari segi mutu penghasilan penerbitan buku dan karya-karya sendiri.

Novel Adik Datang sebenarnya satu malapetaka kalau dilihat dari segi penerbitannya. Ia penuh dengan kecacatan dari segi rekabentuk dan ejaan. Hampir saja Wira Bukit tersungkur dan berkubur. Namun dalam kecelakaan itu, ia mengajar dan saya perlu belajar (dan masih belajar serta diajar) bagaimana proses penerbitan buku itu.

Dirgahayu Dr. Mahathir sebenarnya adalah usaha 100% Pak Samad, Emilia Yusof, Daliza Dohat dan diri saya. Ia adalah satu percubaan yang berani dari segi kami mempersembahkannya. Pak Samad dengan tuntutan bagaimana harus ia dirupakan, kami sebenarnya agak gembira semasa mengerjakannya walaupun dalam tekanan. Dan dari sinilah sebenarnya bermula pendakian kami dalam menghasilkan buku-buku yang direkabentuk dengan nilai kreatif yang tinggi agar ia sekurangnya hampir atau menyamai karya itu sendiri.

"Orang Tua Itu" adalah novel saya yang pertama. Ia ditulis dengan penuh tekanan kehidupan. Hari-hari saya dipenuhi dengan tanda-tanda "-" dan saya banyak berhalunasi. Tidak, saya tidak mengambil dadah atau apa-apa ubatan yang membuat saya berhalunasi. Juga bukan, saya tidak gila - walaupun waktu itu saya sebenarnya yakin saya ini gila. Saya berhalunasi kerana itulah saja waktunya dapat saya rasai kegembiraan. Ya benar, saya berhalunasi perkara-perkara yang indah kerana pada waktu itu sekeliling saya dirasai sangat negatif.

Novel ini mengisahkan tentang diri saya sendiri sebenarnya dan apa yang saya lalui dan rasai. Dan inilah novel yang paling susah sekali untuk dihasilkan kerana pada waktu itu (masih sebenarnya hingga kini) apa yang berkitar dalam kepala hampir keseluruhannya dalam bahasa Inggeris dan saya yang entah mengapa begitu keras kepala mahu menghasilkan sesuatu dalam bahasa ibunda. Prosesnya melalui satu perjalanan masa yang lama dan pahit. Sehingga kini saya masih tidak berpuas hati dan saya kira novel ini tidak akan diterbitkan langsung dalam hayat saya ini. Hemingway sudah tiada. Tunggulah sehingga saya tiada, baru boleh baca perbualan saya dengannya di kafe di Subang Jaya!

bersambung...